Anda di halaman 1dari 1

LATIHAN

Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, anda telah mengunjungi rumah
terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
Huraikan kebaikan dan keburukan rumah terbuka itu.

Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam
kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah
terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak
kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk
mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan
masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan mengeratkan
hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan
masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata
pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan


masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu
yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara
ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama
lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan
persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan
dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal
maka tak cinta".

Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai
kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan
perayaan itu bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan
agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan
sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga
sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain
dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya
yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh
semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika
difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami
dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan mendatangkan keburukan atau
sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata
pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila menganjurkan rumah terbuka. Jadi,
semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah
terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.

Anda mungkin juga menyukai