Anda di halaman 1dari 9

KARANGAN CEMERLANG SPM - Kebaikan Amalan Rumah Terbuka

Kebaikan Amalan Rumah Terbuka

Amalan rumah terbuka sudah menjadi lumrah untuk sambutan perayaan


di negara ini termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan
Hari Krismas. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka
sehingga pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang
amat sinonim dalam kehidupan mereka sejak turun-temurun. Kerajaan
Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan
kaum dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan pada peringkat
kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Menyedari
kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat
nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah
apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?

Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak


memberikan kemaslahatan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum
dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita. Perpaduan yang terjalin
sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara
dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu,
amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat
mengenai perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis
terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu
pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi,
perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada
pembangkang atau kerajaan. Keadaan ini persis peribahasa buang yang keruh,
ambil yang jernih. Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan
sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang
kekangan yang perlu dibimbangi. Kesannya, perasaan muhibah antara satu sama
lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. Tegasnya, konsep
penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.

Dari perspektif yang lain , amalan rumah terbuka dapat membantu


rakyat Malaysia memahami budaya kaum lain. Mereka akan merayakan
perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya
dan agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah
kaum-kaum lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang
rakan-rakan mereka sendiri. Maklumlah tak kenal, maka tak cinta. Sebagai
contoh, orang-orang India, Cina, Iban dan Kadazan merayakan sambutan Hari
Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga
sebaliknya. Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya kaum lain,
malah budaya sihat ini juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat
berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan
tersemai dalam kalangan generasi sekarang. Tuntasnya, budaya dan adat resam
kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.

Dari kaca mata yang berbeza, penganjuran rumah terbuka juga


merupakan daya tarikan kepada pelancong asing yang melancong di negara
kita. Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati
keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan menghayati sendiri
keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut
perayaan kaum masing-masing. Keadaan ini bertepatan dengan kata mutiara
jauh perjalanan, luas pemandangan. Dalam konteks ini, kerajaan melalui
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan kerjasama
kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka
Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari
Gawai, Deepavali dan Krismas. Pengalaman pelancong asing meraikan
perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia
sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka sekembalinya mereka ke negara asal
mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri pelancongan
negara. Izharnya, konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang
harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum
dapat hidup di bawah payung keharmonian.

Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim


dalam hubungan kekeluargaan. Hal ini dikatakan demikian kerana
simboliknya amalan rumah terbuka merupakan medan pertemuan yang paling
sesuai untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga.
Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan
sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar.
Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan silaturahim dan perpaduan akan
terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan lesap dalam kehidupan
generasi akan datang yang semakin tidak mengenali sanak-saudara
mereka. Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan
dapat melepaskan kerinduan di samping mendapat perkembangan terkini antara
satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih
dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini. Situasi ini dapat mencerminkan yang
tua dihormati, yang muda disayangi. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan
dapat diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka
dibudayakan.

Tempias daripada amalan rumah terbuka ini menyebabkan suburnya


hubungan silaturahim dalam masyarakat. Kesibukan bekerja dan mencari
nafkah menyebabkan rapuhnya institusi kejiranan yang dahulunya kukuh.
Namun ikatan hubungan ini dapat kembali disuburkan melalui amalan rumah
terbuka. Rumah terbuka menyediakan ruang serta peluang bagi masyarakat
untuk mengenali jiran tetangga. Ghalibnya, masyarakat setempat akan dijemput
menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak tertentu. Jiran tetangga
yang sebelumnya tidak dikenali atau jarang bertemu dapat berkumpul dan
berbual-bual bagi mengukuhkan hubungan yang renggang. Segala salah faham
dapat diredakan melalui pertemuan serta perbincangan semasa amalan rumah
terbuka. Menurut Saidina Abu Bakar, ‘Hiduplah seperti pohon kayu lebat
buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar orang dengan batu, tetapi
dibalasnya dengan buah’. Malahan, hubungan antara pemimpin dan rakyat
juga menjadi lebih erat apabila mereka menganjurkan majlis rumah terbuka
seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohamad
Najib bin Tun Abdul Razak setiap tahun. Jelaslah bahawa amalan rumah
terbuka mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota
masyarakat.

Selain itu, amalan rumah terbuka juga merupakan metodologi lain bagi
melihat serta merasai kepelbagaian masakan. Rumah terbuka yang
dianjurkan di negara kita telah memberikan kelebihan kepada masyarakat
peribuminya. Setiap perayaan mempunyai corak atau cara sambutan yang
berbeza-beza, maka heterogen adat dan tradisi mula diketengahkan
menyebabkan masyarakat kini mampu mengenalinya secara dekat. Keunikan
adat dan tradisi yang diamalkan telah menjadi faktor penarik bagi masyarakat
lain untuk mula menyesuaikan diri serta merasai kepelbagaian juadah yang
disajikan. Sebagai contoh, rumah terbuka bagi masyarakat Iban biasanya
menyajikan sagu, manakala masyarakat India pula mementingkan manisan.
Tetamu yang menghadirinya pasti teruja apabila mereka dapat merasai juadah
yang berbeza dan pelbagai, justeru tradisi dapat terus dipertahankan, bak kata
aforisme Melayu, biar mati anak, jangan mati adat. Berakar umbi daripada
amalan inilah masyaralat dapat melihat serta merasai kepelbagaian aneka
masakan daripada latar masyarakat yang berbeza. Hal ini menyebabkan tradisi
bangsa terus kukuh.

Pada kaca mata berbeza, pendapatan negara semakin meningkat


apabila industri pelancongan di negara kita semakin maju. Pelancong asing
akan bertandang ke negara kita kerana mereka teruja akan cara-cara masyarakat
majmuk menyambut rumah terbuka. Jabatan Perangkaaan Negara juga
menjelaskan bahawa hasil terimaan pelancong meningkat sebanyak 3.1 peratus
pada tahun 2011 dan dijangka akan terus meningkat saban tahun. Rumah
terbuka dapat menjadi salah satu platform dalam meningkatkan industri
pelancongan Malaysia. Selain itu, sikap toleransi dan persefahaman multi etnik
yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sudah menjadi salah satu daya tarikan
yang kuat dalam kalangan pelancong asing kerana konsep yang berat sama
dipikul, yang ringan sama dijinjing telah lama sebati dan menjadi pegangan
utuh masyarakat kita. Pelancong juga sudah tentu teringin melihat kebudayaan
yang sebelum ini belum pernah dilihat. Hal ini disebabkan segala kebudayaan
yang unik ini dipersembahkan dalam bentuk yang asli. Tuan rumah dan tetamu
yang hadir mengenakan pakaian tradisi masing-masing. Juadah yang
dihidangkan juga mengutamakan hidangan tradisi, maka masyarakat Malaysia
mahupun masyarakat antarabangsa dapat menyelami budaya semua kaum di
negara ini dengan lebih dekat. Hasilnya, kesemua keunikan ini telah menjadi
magnet tarikan kepada pelancong.

Malahan, amalan ini juga dilihat telah menyumbang kepada


pembentukan identiti Malaysia melalui budaya bangsa nasional.
Sebenarnya, rumah terbuka berlandaskan konsep seruan beragama dan adat
budaya kaum masing-masing. Namun demikian, perayaan masing-masing telah
diasimilasikan sehingga melahirkan budaya bangsa secara nasional. Senario ini
bermakna perayaan negara kita telah berkonsep ala- Malaysia. Pertembungan
budaya antara dua atau lebih budaya sebenarnya membawa kepentingan kepada
semua pihak. Tamsilnya, masyarakat Cina tidak menyediakan hidangan yang
tidak boleh dijamah oleh masyarakat Melayu dan begitu juga dengan
masyarakat India. Pertembungan budaya ini sebenarnya bertujuan menjaga
perasaan sahabat handai. Hal ini disebabkan penghormatan itu merupakan asas
keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan hidup. Keindahan, keunikan dan
kehalusan budaya ini akan menyebabkan generasi baru berasa banggsa dengan
warisan yang dimiliki selagi adat ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek
panas. Kebudayaan kebangsaan Malaysia akan diwujudkan dan kebudayaan ini
akan menjadi identiti rakyat Malaysia.

Setelah menghalusi hujah-hujah di atas, bayang kian jelas bahawa


amalan rumah terbuka memang banyak membawa manfaat kepada masyarakat
dan negara. Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam
oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati,
kemungkinan amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat
sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah
siap pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. Jika amalan murni
ini dibudayakan, sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan 1Malaysia
akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara
kita merupakan satu titik kecil dalam peta dunia, namun usaha kerajaan untuk
menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada
negara-negara di dunia.
Rumah Terbuka Rakyat Malaysia (Buku Teks Tingkatan 5 m/s 1)

Soalan Contoh

Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, anda telah mengunjungi
rumah terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
Huraikan kebaikan dan keburukan rumah terbuka itu.

Pendahuluan
- Jelaskan konsep rumah terbuka secara umum.

Isi-isi Penting
i. mengeratkan perpaduan kaum
ii. memahami budaya kaum lain
iii. masalah kebersihan
iv. ada yang mementingkan diri

Penutup
- konsep rumah terbuka perlu dihayati.

Karangan Contoh

Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa


dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep
rumah terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana
banyak kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu
untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana
tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan
mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti
akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni
seperti kata pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat".

Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan


masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para
tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah
tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling
memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara
tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada
pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan
pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta".

Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada
pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan
merayakan perayaan itu bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar
belakang budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban,
Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan
orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari
budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara
ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan
masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan


menimbulkan masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu
diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang hadir, iaitu tidak
mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan
dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat.
Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan
menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini
perlulah diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan menjaga aspek
kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu.

Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang
mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan
menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain yang turut hadir dalam
majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau
bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak.
Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak
menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak
menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran
berlaku, sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat makanan
langsung.

Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan
mendalam oleh semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak
mendatangkan kebaikan jika difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat.
Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah
terbuka akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk
menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, "Rumah siap pahat
berbunyi" apabila menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota
masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang
sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.
AMALAN RUMAH TERBUKA

(TEMA) Rumah terbuka atau ‘open house’ sudah menjadi lumrah pada
sambutan perayaan di negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari
Natal dan juga Hari Raya Aidilfitri. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada
rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat
mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dalam kehidupan
mereka. (ISU) Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak
enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang
diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan
negeri. (ARAHAN) Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan
rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di
gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah
terbuka?

(ISI 1) Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak


memberikan kepentingan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum
dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita. (MENGAPA) Perpaduan
yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan
visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa.
Selain itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota
masyarakat mengenai erti perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan
sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai
salah satu pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan
idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada
pembangkang atau kerajaan. (BAGAIMANA) Jadi, setiap kaum seperti
Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah
terbuka kaum lain tanpa sebarang halangan dan kekangan yang perlu
dibimbangi. (KESAN) Sehubungan dengan itu, perasaan muhibah antara satu
sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. (PENEGAS)
Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan
rumah terbuka.

(ISI 2) Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota


masyarakat serta pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat
membantu sesama kaum memahami budaya kaum-kaum lain. (MENGAPA)
Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka
berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga membolehkan
setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama
lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan
mereka sendiri. (BAGAIMANA) Sebagai contoh, orang-orang India, Cina,
Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama
dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. (KESAN) Hal ini dapat
membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang
sihat juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di
negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam
kalangan generasi sekarang. (PENEGAS) Pendek kata, budaya dan adat resam
kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.

(ISI 3) Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri,


penganjuran rumah-rumah terbuka juga merupakan persembahan kepada
pelancong asing yang datang melancong di negara kita. (MENGAPA) Mereka
bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan
negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan
dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan
kaum masing-masing. (BAGAIMANA) Kerajaan melalui Kementerian
Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri
berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari
Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan
Krismas. (KESAN) Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan
yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari
bibir ke bibir mereka sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali
gus dapat merancakkan industri pelancongan negara. (PENEGAS) Izharlah
bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis
di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat
hidup di bawah payung keharmonian.

(ISI) Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan


silaturahim dalam hubungan kekeluargaan. (MENGAPA) Hal ini dikatakan
demikian kerana simboliknya amalan rumah terbuka ialah amalan ini
merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan
silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar
sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya
semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan silaturahim
dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan hilang
kepada generasi akan datang yang semakin tidak mengenali sanak-saudara
mereka. (BAGAIMANA) Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan
beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan di samping mendapat
perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali
mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini.
(PENEGAS) Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan
serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan.

(PENUTUP) Bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih


banyak membawa kebaikan kepada negara dan masyarakat. (CADANGAN)
Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua
pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan ini
akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk
menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap baru
pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. (HARAPAN) Jika
amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai
Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat
Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta dunia
namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa
dapat dijadikan teladan kepada mata dunia.

Anda mungkin juga menyukai