Anda di halaman 1dari 4

KEBAIKAN RUMAH TERBUKA

Sebagai sebuah negara majmuk, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum mengamalkan
bahasa, agama, dan budaya yang berlainan. Oleh hal yang demikian, maka wujudlah pelbagai perayaan yang
disambut oleh penduduk Malaysia sepanjang tahun. Sebenarnya, inilah ciri-ciri keunggulan kita sebagai sebuah
negara majmuk.
Justeru, majlis rumah terbuka diadakan setiap kali tiba musim perayaan. Kini majlis rumah terbuka telah
menjadi suatu kecenderungan aliran yang popular dalam kalangan masyarakat negara in Konsep rumah terbuka
ini memberikan peluang kepada setiap rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan perayaan sesuatu kaum
yang lain.
Secara tidak langsung, kecenderungan ini dapat mengeratkan silaturahim dan mencerminkan identiti
masyarakat Malaysia yang harmonis di mata pelancong asing. Hal ini demikian kerana terdapat negara-negara lain
yang mempunyai penduduk majmuk seperti di negara kita juga tetapi gagal mencapai tahap perpaduan seperti kita.
Malah, rakyat negara berkenaan sentiasa bercakaran sesama sendiri.
Asal usul majlis rumah terbuka ini dapat dirintis kembali kepada adat budaya dan konsep seruan beragama
anutan setiap kaum di Malaysia. Tanpa mengira mana-mana perayaan, sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru
Cina, Deepavati, Hari Natal, Pesta Keamatan, Pesta Gawai dan sebagainya, masing-masing tetap menyambutnya
dengan cara yang tersendiri.
Sesungguhnya, proses pembudayaan yang wujud dalam konsep rumah terbuka menyaksikan
pertembungan antara dua atau lebih budaya. Sebagai akibatnya, akan berlakulah proses asimilasi dan penyerapan
unsur-unsur kebudayaan oleh sesuatu kaum minoriti daripada kaum majoriti. Umpamanya, banyak unsur budaya
Melayu yang akan diterima secara tidak langsung sebagai unsur budaya kaum Iban, Kadazan, dan Murut ekoran
majlis-majlis rumah terbuka yang diadakan saban tahun.
Tambahan lagi, melalui amalan rumah terbuka, kaum-kaum yang berlainan akan lebih memahami antara
satu dengan yang lain. Selain mengenal juadah kaum-kaum lain, mereka akan didedahkan kepada adat resam dan
pantang larang rakan-rakan mereka. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan
generasi. Sikap toleransi ini amat penting demi keutuhan negara kita.
Kesimpulannya. Amalan rumah terbuka semasa menyambut perayaan pelbagai kaum di Malaysia
seharusnya dijadikan suatu tradisi kehidupan rakyat negara ini. Malah, amalan sedemikian rupa menjadi identiti
masyarakat majmuk Malaysia yang tiada tolok bandingnya dengan negara-negara lain.

KEBAIKAN RUMAH TERBUKA


Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam
kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini
memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan adanya
rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan
rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu
akan mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan
mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata
pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat
di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan
beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan
mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping
menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri
daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan
pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta".

Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai
kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu
bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai
contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya
Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan
dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya.
Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat
berbilang kaum di negara kita.
Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan
masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan
oleh sikap tetamu yang hadir, iaitu tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak
menghiraukan aspek kebersihan dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di
merata-rata tempat. Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir
dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah
diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan menjaga aspek kebersihan dan tidak
mengotorkan tempat itu.

Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang
mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah
dan kesulitan kepada orang lain yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut
semasa mengambil makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah
yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak
menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan
tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku, sedangkan ada orang lain yang
mungkin tidak mendapat makanan langsung.

Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh
semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika difahami
dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti
amalan rumah terbuka akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk
menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila
menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan
menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat
dicapai.Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN RUMAH TERBUKA YANG ANDA HADIRI

Satu hari di hari raya,


Aku menangis tanda gembira,
Aku menangis tanda kucinta,
Kepada-Nya.

Lirik lagu dendangan M. Nasir ini telah mengimbau kembali peristiwa sewaktu saya menghadiri
majlis rumah terbuka yang dikendalikan oleh kerajaan Malaysia pada tahun lepas. Majlis Rumah
Terbuka Aidilfitri tersebut diadakan di Dataran Bandar Raya Johor Bahru yang berlangsung dari jam 3
petang hingga 11 malam. Sambutan majlis gilang-gemilang ini sangat meriah dan hangat kerana
dihadiri oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada multietnik. Acara ini sungguh istimewa kerana
dihadiri oleh Menteri Besar Johor, YB Dato Haji Abdul Ghani bin Othman bagi bersama-sama
memeriahkan suasana. Tidak dilupakan penyanyi jemputan iaitu Jamal Abdilah turut hadir untuk
menghiburkan para tetamu yang sedang menjamu selera. Para pengunjung tidak putus-putus datang
bagi menghadiri majlis yang julung-julung kali diadakan ini. Persoalannya di sini, mengapakah
kerajaan begitu beriya-iya menganjurkan majlis seumpama ini sehingga turut dihadiri oleh pelbagai
kaum padahal perayaan Hari Raya Aidilfitri disambut oleh umat Islam? Oleh yang demikian, kebaikan
dan keburukan rumah terbuka yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan lebih
terperinci demi kebaikan semua.
Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menganjurkan majlis rumah
terbuka yang dapat dihadiri oleh pelbagai kaum. Sebenarnya, objektif utama kerajaan mengadakan
rumah terbuka ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini
demikian kerana dengan kehadiran masyarakat sejagat yang berbilang kaum, ikatan perpaduan
antara mereka dapat diperkukuh. Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa rumah terbuka
merupakan medium yang dapat menyatukan rakyat Malaysia yang berlainan bangsa seperti Melayu,
Cina, India, Iban dan sebagainya. Situasi ini dapat dilihat apabila semua kaum berkumpul di satu
tempat, mereka dapat bergaul dan beramah mesra antara satu sama lain. Melalui majlis ini, rakyat
Malaysia dapat bertemu dan berkenal-kenalan dengan lebih dekat. Dengan cara ini, integrasi
nasional akan dapat ditingkatkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dapat hidup di
bawah satu bumbung dengan harmoni. Secara tidak langsung, perayaan yang julung-julung kali
diadakan ini menjadi wahana integrasi rakyat pelbagai kaum yang membanjiri majlis rumah terbuka
tersebut. Jadi, amalan ini baik dan wajar sekali diteruskan dari masa ke masa bagi menyemai
perasaan muhibah dalam kalangan masyarakat.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kebudayaan sesuatu kaum dapat dilihat
semasa berlangsungnya majlis rumah terbuka. Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat beruntung kerana
tinggal di bumi Malaysia iaitu setiap kaum di Malaysia mempunyai budaya dan cara hidup yang unik.
Kebudayaan tradisional yang telah wujud berabad-abad lama dahulu telah membentuk identiti
rakyat Malaysia sehingga terkenal di mata dunia. Bertitik tolak daripada itu, pengunjung pastinya
akan dapat menyaksikan keunikan sosiobudaya masyarakat Malaysia. Majlis rumah terbuka akan
menjadi lebih menarik apabila sesuatu kaum mempersembahkan acara kebudayaan mereka.
Persembahan yang unik dan mengagumkan ini boleh dijadikan simfoni budaya sebagai daya tarikan
pelancong. Bukan itu sahaja, juadah yang bakal disajikan juga tentunya mencerminkan kebudayaan
sesuatu kaum. Dengan ini, masyarakat Malaysia dapat menyelami budaya sesuatu kaum dengan
lebih mendalam. Apabila mereka berpeluang mengenali adat dan kepercayaan suku kaum yang lain
secara tidak langsung akan menimbulkan rasa hormat terhadap amalan bangsa lain. Oleh itu, jurang
antara kaum dapat dirapatkan manakala tembok perbezaan dapat dirobohkan.

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah sambutan rumah
terbuka turut mendatangkan keburukan. Contoh paling ketara yang sering kita saksikan ialah
masalah kebersihan. Dalam konteks ini, kebersihan bermaksud bersih daripada segala kekotoran baik
dari segi diri, pakaian mahupun tempat. Masalah kebersihan kerap timbul kerana segelintir
pengunjung yang memandang enteng akan aspek kebersihan semasa berada dalam majlis tersebut.
Kadangkala, terdapat penguujung yang membuang sampah dan sisa-sisa makanan di tempat yang
tidak sepatutnya. Bagi majlis yang menggunakan pinggan dan cawan polisterina, pengunjung tanpa
rasa bersalah hanya membuang pinggan dan cawan tersebut ke merata-rata tempat sehingga
mencacatkan pemandangan. Selain itu, kebersihan tandas juga tidak begitu memuaskan. Situasi
sedemikian boleh berlaku kerana tindakan sesetengah pengunjung yang bersikap tidak ambil peduli
terhadap kebersihan persekitaran mereka. KIta tidak boleh menuding jari kepada pihak penganjur
sahaja. Sepatutnya setiap pengunjung harus sedar dan bertanggungjawab menjaga kebersihan agar
pengunjung lain berasa selesa. Tuntasnya, aspek kebersihan perlulah dititikberatkan dalam majlis
rumah terbuka demi keselesaan dan kebaikan bersama.

Sebagaimana yang kita ketahui, semasa majlis rumah terbuka juga ada pengunjung yang
mementingkan diri sendiri. Fenomena ini dapat dilihat apabila pengunjung mangambil makanan,
mereka tidak beratur dengan betul dan berebut-rebut. Malah, terdapat juga segelintir pengunjung
yang tamak dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak. Keadaan ini berlaku
disebabkan sikap tetamu yang rambang mata sehingga mangambil makanan secara berlebihan tanpa
memikirkan tetamu lain yang mungkin akan kekurangan makanan. Mereka juga mengambil makanan
berlebihan sehingga tidak mampu dihabiskan kesemuanya. Situasi ini tentunya akan menyebabkan
berlakunya pembaziran kerana makanan yang tidak habis itu dibuang begitu sahaja. Memandangkan
keadaan yang sedemikian, ramai tetamu yang tidak berpeluang merasai makanan kerana tidak
mencukupi padahal kerajaan telah pun menyediakan makanan yang banyak. Selain itu, terdapat juga
pengunjung yang sengaja tidak memberi peluang kepada orang lain duduk walaupun mereka sudah
selesai makan. Hanya kerana berebutkan makanan dan tempat duduk, sikap tolak ansur sanggup
ditolak tepi disebabkan sikap mementingkan diri sendiri yang amat menebal dalam diri. Natijahnya,
sikap mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
hendaklah kita kikis dalam menjalani kehidupan kita seharian.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, konsep rumah terbuka perlu
dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Budaya mengadakan rumah terbuka telah diamalkan
secara meluas dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana terbukti majlis ini banyak mendatangkan
faedah. Jadi, setiap kekurangan yang ada perlu diperbaiki dari masa ke masa bagi memperoleh
manfaatnya. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa bermuafakat dalam melaksanakan sesuatu
perkara. Semua pihak sama ada pihak kerajaan, pihak swasta atau orang perseorangan perlu
berganding bahu bak aur dengan tebing untuk menjayakan program ini. Kesepakatan rakyat Malaysia
pasti terserlah apabila mengadakan majlis seumpama ini. Dengan ini, kita dapat merealisasikan
hasrat kerajaan iaitu untuk menyatupadukan masyarakat majmuk di Malaysia. Seandainya semua
pihak berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, perkara ini pasti akan
mencapai matlamatnya seperti yang diharapkan. Oleh yang demikian, program ini perlu diadakan
lebih kerap dan diperluas ke seluruh negara.

Anda mungkin juga menyukai