Anda di halaman 1dari 4

Karangan Contoh SPM - Rumah Terbuka

Rumah Terbuka Rakyat Malaysia


Soalan Contoh

Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu,


anda telah mengunjungi rumah terbuka yang
dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
Huraikan kebaikan dan keburukan rumah terbuka itu.

Pendahuluan
- Jelaskan konsep rumah terbuka secara umum.

Isi-isi Penting
i. mengeratkan perpaduan kaum
ii. memahami budaya kaum lain
iii. masalah kebersihan
iv. ada yang mementingkan diri

Penutup
- konsep rumah terbuka perlu dihayati.

Karangan Contoh

Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah


terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat
Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama.
Konsep rumah terbuka ini memang perlu diteruskan
dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya.
Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang
itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-
jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya
sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu
akan mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama
anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan
masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan
harmoni seperti kata pepatah, "Bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan


kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita.
Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para
tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan
tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan
membolehkan mereka berbual mesra dan saling
memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di
samping menjamu selera, secara tidak langsung
perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang
terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat
dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah
Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta".

Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu


yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami
budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan
merayakan perayaan itu bersama-sama, walaupun
mereka berbeza latar belakang budaya dan agama.
Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban,
Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya
Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan
begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat
mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan
berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah
tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam
kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana


rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk
menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu
diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang
hadir, iaitu tidak mementingkan aspek kebersihan.
Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan dan
membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di
merata-rata tempat. Perkara ini akan menimbulkan
masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan
menyusahkan pihak penganjur untuk
membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah
diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan
menjaga aspek kebersihan dan tidak mengotorkan
tempat itu.

Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka


adalah terdapat pihak yang mementingkan diri dan
tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan
menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang
lain yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu
yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau
bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam
jumlah yang banyak. Sekiranya mereka
menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak
menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku
ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut.
Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran
berlaku, sedangkan ada orang lain yang mungkin
tidak mendapat makanan langsung.

Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu


dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Konsep
rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan
kebaikan jika difahami dan dihayati oleh anggota
masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan
dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan
mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja
untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata
pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila
menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota
masyarakat haruslah memahami dan menghayati
konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat
yang dicita-citakan akan dapat dicapai.

Anda mungkin juga menyukai