Anda di halaman 1dari 2

Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam

kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah
terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak
kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk
mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan
masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan mengeratkan
hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan
mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti
kata pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".
Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan
masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para
tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu
perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara
satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung
perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar
belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu,
iaitu "Tak kenal maka tak cinta".
Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada
pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan
merayakan perayaan itu bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar belakang
budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan
akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu
dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat
resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan
mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di
negara kita.
Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan
menimbulkan masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu
diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang hadir, iaitu tidak
mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan
dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat.
Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan
menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini
perlulah diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan menjaga aspek
kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu.
Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang
mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan
menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain yang turut hadir dalam
majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau
bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya
mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah,
tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut.
Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku, sedangkan ada orang lain

yang mungkin tidak mendapat makanan langsung.


Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam
oleh semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan
kebaikan jika difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini
tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan mendatangkan
keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu
seperti kata pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila menganjurkan rumah
terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati
konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat
dicapai.

Anda mungkin juga menyukai