Anda di halaman 1dari 3

Skrip Forum Kebaikan dan Keburukan Rumah Terbuka Semasa Perayaan Aidilfitri Ahli Kumpulan : Nur Khairina binti

Khairudin (5 Beringin) Nurul Shazatul Syahmi Mohd. Nasir (5 Beringin) Amirah Amani Rosli (5 Beringin) Wan Nor Khairina Wan Rohaimi (5 Beringin) Indah Suria Yahaya (5 Beringin)

Pengerusi: Bismillahhirahmannirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.Warga dewan sekalian, bertemu kita lagi dalam gelanggang Forum Remaja. Pada hari ini, saya Nur Khairina binti Khairudin akan mempengerusikan forum yang memfokuskan tajuk Kebaikan dan Keburukan Rumah Terbuka Semasa Perayaan Aidilfitri. Sebelum kita membincangkan perkara ini dengan lebih jauh lagi, izinkan saya memperkenalkan empat orang panel kita yang tidak asing lagi. Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, saudari Nurul Shazatul Syahmi Mohd. Nasir. Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung saudari Amirah Amani Rosli. Dan di hujung sana, nampak bijak berkata-kata, saudari Indah Suria Yahaya. Akhir sekali, panel terakhir kita, Wan Nor Khairina Wan Rohaimi. Selamat datang ahli-ahli panel dan hadirin hadirat sekalian. Belakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Baiklah sebelum saya menyimpang lebih jauh lagi, soalan saya kepada panel pertama, apakah pendapat saudari tentang konsep dan kebaikan rumah terbuka? Panel 1: Terima kasih pengerusi majlis. Terlebih dahulu, terima kasih kerana menjemput saya untuk berbicara dalam majlis forum ini. Rumah terbuka di Malaysia bermaksud sesuatu perayaan agama disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan memupuk persefahaman di kalangan rakyat Malaysia. Pada pendapat saya, amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat". Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat

dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu tak kenal maka tak cinta. Begitulah pendapat saya mengenai soalan tadi. Pengerusi: Terima kasih kepada panel pertama kita atas lontaran konsep dan pendapat yang utuh lagi berisi. Sebentar tadi panel pertama menyatakan pendapatnya yang mantap mengenai kebaikan rumah terbuka. Seterusnya, apakah pendapat panel kedua kita yang pastinya tidak sabar untuk menyampaikan pendapatnya berkaitan kebaikan rumah terbuka. Panel 2: Terima kasih kepada saudari pengerusi. Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Dari sudut keagamaan, penganjuran majlis rumah terbuka juga memberi peluang kepada umat Islam untuk mempamerkan keindahan Islam yang menggalakkan setiap umatnya menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam. Islam tidak pernah melarang kita menjemput masyarakat bukan Islam untuk hadir ke majlis umat Islam dan menjalinkan hubungan baik dengan mereka. Sebagai contoh, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Amalan rumah terbuka ini juga adalah sesuatu yang unik bagi Malaysia kerana telah mendorong menyumbang kepada keamanan dan kebaikan keadaan dalam negara kita. Itu sahajalah pendapat saya tentang persoalan tadi. Pengerusi: Terima kasih kepada panel kedua kita yang bijak memberikan pendapatnya. Saudara dan saudari sekalian, selain kebaikan, terdapat juga keburukan rumah terbuka. Jadi, marilah kita sama-sama mendengar pendapat panel ketiga tentang keburukan rumah terbuka. Silakan saudari. Panel 3: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Terima kasih saudari pengerusi. Keburukan rumah terbuka dapat di lihat dari aspek kebersihan, antara yang perlu diberi perhatian. Bukan sekadar kebersihan di kawasan premis, malah makanan yang disediakan. Jangan nanti, ada tetamu yang pulang daripada menghadiri rumah terbuka, terpaksa berdepan masalah kesihatan seperti keracunan makanan atau yang berkaitannya. Kita juga sedia maklum, ada sesetengah tetamu tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di meratarata tempat. Persedian perlu dibuat bagi mengelak ia daripada berlaku. Perkara ini akan

menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan menjaga aspek kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu. Dalam kita seronok beraya, kebersihan jangan dilupakan. Amalan ini penting untuk menjaga kesejahteraan dan kesihatan keluarga serta sahabat handai. Begitulah pendapat saya mengenai keburukan rumah terbuka. Pengerusi: Terima kasih kepada panel ketiga atas pandangan yang amat bernas sebentar tadi. Kini dipersilakan panel terakhir kita untuk memberikan pendapat tentang keburukan rumah terbuka. Silakan. Panel 4: Terima kasih saudari pengerusi forum. Selain itu, penganjur juga perlu bijak dalam menguruskan majlis agar tidak berlaku pembaziran. Pembaziran adalah perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku, sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat makanan langsung. Islam tidak sukakan pembaziran. Kerana itulah mereka yang membazir atau boros dikatakan saudara syaitan. Berhati-hatilah bagi mengelak pembaziran apabila merancang mengadakan Rumah Terbuka, apatah lagi perbuatan menunjuk-nunjuk. Penganjur rumah terbuka juga jangan sesekali membezabezakan tetamu yang hadir kerana akan mengecilkan hati segelintir pihak. Hadirin sekalian, setiap perkara yang dilakukan sudah tentu kita mengharapkan berkat daripada Allah SWT. Oleh itu, seharusnya kita menunjukkan sifat mahmudah kepada para tetamu. Itu sahajalah pendapat saya tentang keburukan rumah terbuka. Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada keempat-empat ahli panel kita yang bijak kerana sudi hadir dan begitu hebat mengutarakan kata-kata dan pendapat sebentar tadi. Semoga kita mendapat manfaat daripada perbincangan ini . Nampaknya masa amat mencemburui kita, Sebelum berakhirnya forum ini, mari kita sama-sama menepuk tangan untuk diri sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar perbincangan kita pada hari ini. Sesungguhnya, amalan rumah terbuka baik bagi memperkukuh perpaduan. Namun, dalam usaha kita mengadakan Rumah Terbuka, ada baiknya konsepnya dihayati secara mendalam. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai. Sekian salam hormat daripada saya, Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai