Anda di halaman 1dari 2

Kesan positif daripada amalan rumah terbuka Malaysi

Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat
Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini memang perlu diteruskan
dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang
itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya
sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan mengeratkan hubungan dan perpaduan
sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan
aman dan harmoni seperti kata pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat".
Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita.
Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan
tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling
memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung
perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan
dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta".
Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan
memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama,
walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina,
India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu
dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain
dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam
kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.
Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk
menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang
hadir, iaitu tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan dan
membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat. Perkara ini akan
menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan pihak penganjur untuk
membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan
menjaga aspek kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu.
Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang mementingkan diri dan
tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain
yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau
bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka
menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku
ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran
berlaku, sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat makanan langsung.
Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak.
Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika difahami dan dihayati oleh
anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka
akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu
seperti kata pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua

anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar
hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.

Anda mungkin juga menyukai