Anda di halaman 1dari 2

Menurut hasil rujukan Kamus Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, jiran ialah orang

yang tinggal berhampiran dengan rumah seseorang tetangga. Prihatin pula ialah mengambil berat atau memberi perhatian terhadap sesuatu perkara. Jika digabungkan kedua-dua perkataan ini, jiran prihatin bermaksud orang berhampiran kita yang mengambil berat atau memberi perhatian sesama tetangga. Jiran prihatin ialah jiran yang mengamalkan nilai-nilai murni terhadap orang lain, dan menjauhkan diri daripada sifat-sifat negatif. Menjadi jiran yang prihatin adalah amat digalakkan. Sedarkah kita, Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak, memuatkan elemen jiran prihatin ini menerusi konsep 1 Malaysia? Banyak langkah atau sikap-sikap yang boleh diamalkan untuk menonjolkan keprihatinan kita terhadap jiran terdekat. Kerja termudah yang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja ialah bertegur sapa dan bertanya khabar. Kita boleh menegur jiran kita apabila bertemu atau bersua muka dengannya. Apabila kita ternampak jiran kita sedang bekerja di halamannya, jangan menunggu untuk menyapanya. Melalui amalan ini, jiran kita itu akan menganggap kita ingin mengenalinya dan secara automatiknya dia akan membalas dan melemparkan senyuman kepada kita. Kita yang memberi salam sudah tentu berasa senang hati dengan balasannya. Kita perlulah kerap menegur jiran dan bertanya khabar, kerana ini boleh mengeratkan lagi silaturrahim antara kita dan jiran. Ini juga mewujudkan suasana selesa dan mesra untuk kita meluangkan masa bersama dengan jiran. Selain itu, kita boleh menghantar sesuatu kepada jiran kita, setidak-tidaknya jiran yang tinggal di sebelah kiri atau kanan kita. Contohnya, andaikata kita dan keluarga baru pulang dari melancong di Singapura, belilah buah tangan atau makanan dari negara tersebut. Memberi sesuatu kepada jiran tidak bermakna hanya selepas kita pulang dari percutian yang memenatkan. Kita juga boleh memberi makanan atau lauk-pauk yang dimasak di rumah. Kita dapat berkongsi rezeki dengan jiran-jiran kita itu. Bukankah ini perkara baik? Jiran prihatin juga saling menjaga sesama tetangga. Apabila jiran kita tiada di rumah kerana keluar atau pergi ke mana-mana tempat yang jauh, kita sepatutnya membantunya dengan menjaga rumahnya. Pada zaman kini, rumah yang tidak berpenghuni sering menjadi aim para perompak yang terdesak untuk mendapatkan wang. Jika kita cukup prihatin, kita dapat melindungi rumah jiran kita itu daripada dipecah masuk. Di samping itu, kita haruslah selalu saling mengunjungi rumah tetangga kita. Terutama sekali ketika jiran kita itu sakit. Apabila jiran mengadakan majlis terbuka atau sempena hari-hari perayaan, jangan lupa untuk datang. Lazimnya, tuan rumah majlis akan berasa gembira apabila ada orang yang mendatangi majlis yang diadakannya. Bukankah begitu? Langkah ini juga amat penting dan tidak boleh dipandang sebelah mata. Jangan, walaupun sekali, mengamalkan sifat-sifat negatif dengan jiran kita. Sifat-sifat yang mesti kita elakkan ialah mengata belakang, mengkhianati, menfitnah dan sebagainya.

Ini menjadi masalah yang melanda masyarakat kita pada zaman yang kian maju dan sofistikated ini. Perbuatan memfitnah dan mengata bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Tidakkah terlintas di fikiran mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini akan akibat dan kesan buruk yang akan menimpa mereka kelak? Jika ada yang mengatakan mereka bukanlah mengumpat tetapi hanya mahu mengongsikan pengalaman atau tauladan, mereka silap besar. Tauladan yang mereka sebarkan itulah bakal menjadi punca perpecahan masyarakat dan putusnya tali silaturrahim yang terjalin. Ada sesetengah tetangga yang meminta bantuan jiran untuk melihat-lihat rumahnya. Ini merupakan perkara biasa dan jika kita menghadapinya, jagalah rumahnya itu. Sentiasalah beringat supaya jangan menjadi seorang yang pecah amanah. Sungguhpun jiran kita itu meminta kita menjaga rumahnya, ini tidak bermakna kita boleh memasuki rumahnya sesuka hati sahaja. Kesimpulannya, kita sebagai masyarakat integriti mestilah mengamalkan nilai-nilai murni sesama sendiri. Mulakan dengan berbuat baik dan prihatin akan jiran tetangga dan perjalanan membentuk masyarakat integriti akan semakin mendekati kita. Ingatlah, kendatipun manusia tidak sempurna dan tidak lepas daripada melakukan kesalahan, ini bukanlah penghalang untuk kita berbuat baik dengan orang lain. Jiran yang prihatin membentuk masyarakat integriti. Janganlah kita sudah terhantuk baru nak terngadah.

(619 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai