Anda di halaman 1dari 3

Semangat kejiranan banyak menyumbang pelbagai manfaat apabila diamalkan.

Sekiranya
pengamalan sikap saling membantu dan menjalin hubungan silaturahim antara jiran tetangga,
kita dapat mewujudkan masyarakat yang aman sejahtera. Bak kata pepatah Melayu, bulat air
kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Namun begitu, semangat kejiranan yang
menjadi tunjang kepada kehidupan bermasyarakat dilihat semakin pudar. Budaya ini bagai hilang
ditelan arus kemodenan. Masyarakat kini tidak lagi mementingkan semangat kejiranan yang sudah
lama diamalkan sejak zaman nenek moyang kita lagi. Jadi, apakah antara faktor yang menjadi
halangan bagi mewujudkan semangat kejiranan ini?
Kesibukan bekerja merupakan faktor dominan yang menjadi halangan kepada kewujudan
semangat kejiranan. Pada era globalisasi ini, masyarakat terpaksa bekerja bagi memenuhi tuntutan
ekonomi yang semakin tinggi. Pekerja pejabat akan pulang pada waktu petang dan terdapat juga
mereka yang terpaksa bekerja lebih masa demi mencari rezeki. Hal ini menjadi halangan kepada
mereka untuk menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan bersama jiran tetangga. Mereka tidak
sempat untuk bertanya khabar mahupun bertegur sapa dengan jiran-jiran mereka. Perkara ini
menyebabkan terhakisnya semangat kejiranan dalam diri mereka. Malah, perkara yang lebih
menyedihkan jika terdapat di antara mereka yang langsung tidak mengenali jiran mereka karenah
sibuk bekerja. Jika sikap ini terus berlangsung, maka semangat kejiranan terutamanya di kawasan
bandar dan berkemungkinan di kawasan pedalaman juga akan luntur sekiranya dipandang enteng
oleh masyarakat di negara ini.
Seterusnya, terdapat juga segelintir ibu bapa yang berfikiran negatif mengenai jiran tetangga
mereka yang merupakan penyebab lunturnya semangat kejiranan dalam diri anak-anak mereka.
Ibu bapa terlalu risau dan paranoid sekiranya anak- anak mereka berkawan dengan jiran yang
tidak diketahui asal usul mereka. Sedangkan pada dasarnya, mereka sendiri yang tidak cuba untuk
mengenali jiran mereka. Sekiranya terdapat masa yang terluang, para ibu bapa ini lebih rela
membawa anak-anak mereka bersiar-siar berbanding membiarkan anak-anak mereka bergaul
dengan jiran tetangga. Pemikiran secara negatif dan kolot ini seharusnya diubah dan mereka perlu
selalu bersangka baik mengenai jiran mereka. Bak kata pepatah, tak kenal maka, tak cinta , para
ibu bapa ini seharusnya menggalakkan anak-anak mereka untuk berkenalan dan bergaul dengan

jiran tetangga. Sekiranya anak- anak dimomokkan dengan perkara-perkara yang negatif soal
kehidupan berjiran, maka tidak mustahil apabila anak-anak ini dewasa kelak mereka tidak mampu
untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai jiran dengan baik.
Selain itu, perbezaan taraf dan darjat dalam anggota masyarakat yang mendorong kepada sikap
sombong dan bangga diri juga merupakan sebab hilangnya semangat kejiranan dalam diri mereka.
Terdapat segelintir jiran yang berfikir mereka hanya layak untuk bergaul dengan orang yang
mewah dan berada, manakala ada golongan yang bersederhana bergaul sesama mereka. Hal ini
dapat dibuktikan apabila Jawatankuasa Rukun Tetangga menganjurkan aktiviti kejiranan di
kawasan kejiranan, aktiviti ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada jiran
tetangga. Sikap mereka ini dapat dikaitkan dengan peribahasa, bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing, yang bermaksud tidak bermuafakat atau tidak mengendahkan
orang lain. Sebaik-baiknya mereka perlulah melupakan perbezaan darjat ini dan mula bergaul
tidak kira bangsa, agama ataupun dari segi kemewahan hidup mereka.
Di samping itu, terdapat juga golongan masyarakat yang masih lagi bersifat perkauman.
Pemikiran seperti ini telah lama wujud dalam diri sesetengan golongan masyarakat kita,
sememangnya Malaysia terkenal dengan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. Namun
begitu terdapat segelintir masyarakat yang tidak matang dan bersifat perkauman sesama sendiri.
Mereka seharusnya berfikiran terbuka untuk bergaul dengan orang yang berlainan daripada
mereka. Tidak salah sekiranya mereka saling mengunjungi sewaktu musim perayaan atau
keramaiaan. Sifat perkauman ini mungkin masih akan berlanjutan hingga ke anak cucu, sekiranya
kita tidak mula membendung sifat ini mulai sekarang. Sifat ini juga merupakan salah satu punca
regangnya hubungan silaturahim di antara jiran tetangga di negara ini. Sekiranya, sifat ini dapat
dibendung, maka sebuah masyarakat dan negara yang aman damai dan maju pasti dapat tercapai
seiring dengan Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang
keempat.
Masyarakat di negara ini juga kurang akan sikap prihatin dalam diri mereka. Perbuatan seperti
suka menjaga tepi kain orang lain perlu dilaksanakan secara positif bagi menggalakkan

pembentukkan masyarakat yang mempunyai nilai kejiranan yang tinggi. Jiran-jiran seharusnya
mengambil tahu akan perkembangan semasa jiran mereka dengan bertanya khabar melalui sistem
pesanan ringkas, ataupun melalui laman sosial, memandangkan kita kini berada di zaman
terknologi. Selain itu, aktiviti saling bertukar juadah juga antara kaedah terbaik bagi mengeratkan
pertalian antara jiran tetangga. Mereka juga lama kelamaan akan mula rapat dan mesra sesama
mereka.
Tuntasnya, hidup berjiran merupakan satu nikmat yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa
kepada kita. Namun, apabila nikmat ini tidak diamalkan, maka ia merupakan satu kerugian buat
anggota masyarakat. Kita sebagai anggota masyarakat seharusnya bersungguh-sungguh dalam
menghidupkan kembali semangat kejiranan yang sudah lama dilupakan ini. Negara kita mampu
untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dan layak untuk bersaing dengan negara-negara
maju di seantero dunia, sekiranya semangat kejiranan ini terus diamalkan dan dijadikan tradisi
oleh masyarakat di negara ini.

Disediakan oleh;
Nurazmiza
Seri Athirah
Nur Liyana Nadia

Anda mungkin juga menyukai