Anda di halaman 1dari 4

Teknik Mengolah Karangan STPM - Guna Formula

Teknik Mengolah atau Mengembangkan Isi Karangan

Pendahuluan

Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya
sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang
mendengar murid menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian,
kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan
tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar
menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu
dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang
lain.

Murid-murid juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati
jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, murid-murid
menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh
soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang
panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada
teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar
seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, cikgu akan membincangkan teknik atau
cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.

Keperluan Soalan

Bagi peperiksaan STPM Semester 1, Bahagian C akan mengemukakan 3 soalan karangan


yang berdasarkan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa, terdapat satu soalan yang
biasanya merujuk kepada soalan karangan berformat. Murid-murid dikehendaki menulis
sebuah karangan yang panjangnya hendaklah antara 600 hingga 650 perkataan dengan
berdasarkan 3 soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan STPM Semester 1

Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh
pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan

Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang
ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan
pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang
paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang
demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan
murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.
Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula

1. Pendahuluan

i. IKCHF (IKCHF- Isi, Kesan, Contoh, Huraian, Fokus soalan)

Contoh perenggan pendahuluan 1

Statistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan utama negara
kita. (I) Hal ini telah menyebabkan banyak kecederaan berlaku dalam kalangan pengguna
jalan raya di samping banyak juga nyawa manusia yang terkorban. (K) Sebagai contoh, kadar
kemalangan biasanya meningkat pada musim perayaan utama. (C) Jumlah kemalangan jalan
raya tentunya membimbangkan banyak pihak. (H) Oleh hal yang demikian, usaha pihak
berkuasa perlu ditingkatkan bukan sahaja pada musim perayaan tetapi juga pada hari-hari
biasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara
kita. (F)

Contoh perenggan pendahuluan 2 

Terdapat projek perumahan yang terbengkalai atau tidak disiapkan oleh pemaju perumahan di
negara kita. (I) Hal ini sudah tentu akan menyusahkan pembeli-pembeli rumah yang
mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. (K) Terdapat
beberapa kes seperti ini yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu
seperti yang dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C)  Perkara ini tentunya meresahkan
bakal pembeli rumah yang sedang berkira-kira untuk membeli rumah. (H) Oleh itu, terdapat
beberapa kesan yang timbul daripada masalah tersebut dan usaha-usaha perlu diambil oleh
pelbagai pihak untuk menangani masalah ini. (F)

2. Isi Karangan

i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)

Contoh perenggan isi

Kemalangan jalan raya yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan
raya yang cuai. Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu kenderaan
di jalan raya. (A) Kebiasaannya juga mereka menggunakan telefon bimbit semasa memandu
kenderaan ataupun memandu dalam keadaan mengantuk. (M) Keadaan ini seterusnya
menyebabkan pemandu kenderaan hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan berlakunya
kemalangan. (Ba) Oleh hal yang demikian, pengguna jalan raya perlu berhati-hati dan tidak
cuai semasa memandu kenderaan di jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan daripada
berlaku. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu iaitu beringat sebelum kena dan janganlah
sudah terhantuk baru nak tengadah. (M) (79 perkataan)

ii. Individu dan Keluarga (Inke), Masyarakat (Kawan, Jiran dan Sekolah), Negara, Teknologi,
dan Antarabangsa. ((InkeManeTekA)
Contoh perenggan isi

Salah satu punca penagihan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. (Kawan)
Para ramaja biasanya mudah terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan-rakan
mereka. Selain itu mereka juga ingin tahu dan ingin mencuba perkara tersebut. Hal ini
biasanya akan menyebabkan mereka ketagih terhadap dadah.

iii. Inikah Hasilnya Cinta (IKHC – Isi, Kesan, Huraian, Contoh)

Contoh perenggan isi

Aktiviti sukan yang kita lakukan boleh menyihatkan badan kita. (I) Hal ini dikatakan
demikian kerana semasa kita bersukan, badan kita akan mengeluarkan peluh. (K) Seterusnya
perkara ini berlaku disebabkan oleh jantung kita bekerja kuat dan mengepam darah ke
seluruh badan. (H) Contoh aktiviti sukan yang boleh kita lakukan adalah seperti bermain bola
sepak, badminton, hoki, dan berjoging. (C)

3. Penutup/kesimpulan

i. KCAHH – Kesimpulan, Cadangan, Ancaman, Huraian, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan

Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita.
(K) Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlulah mengadakan kempen secara besar-
besaran tentang keburukan rasuah. Kempen tersebut bolehlah dijalankan di media-media
massa arus perdana dan juga melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Badan
Pencegah Rasuah. (C) Hal ini dikatakan demikian kerana jika masalah rasuah tidak diatasi
sudah tentu akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jika jentera pentadbiran negara kita
rosak sudah pasti kita semua yang akan menerima padahnya.(A) Perkara ini bertepatan
dengan ungkapan, lebih baik mencegah daripada mengubati sesuatu penyakit.(H) Jadi, kita
semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum berleluasa atau
menjadi lebih serius. (H)

ii. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan

Kesimpulannya semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras jenayah yang berlaku di
negara kita. (K) Anggota masyarakat perlulah membantu pihak berkuasa dengan melaporkan
kejadian jenayah yang berlaku dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah
diharapkan dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa. Seterusnya, hal ini
membolehkan masyarakat di negara kita ini hidup dalam keadaan aman, tenteram dan
harmoni.(H)
Penutup

Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid dalam


menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid
dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan
pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan
dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat
dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu, murid-murid juga dinasihatkan agar membaca
bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu proses pengolahan dan
pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan membaca suratkhabar Utusan
Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa,
Fokus, Kosmik, dan sebagainya. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak
berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa
berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula yang dicadangkan ini.

Anda mungkin juga menyukai