Anda di halaman 1dari 3

Teknik Mengolah Karangan STPM - Guna Formula

Teknik Mengolah atau Mengembangkan Isi Karangan


Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim
Guru Cemerlang Bahasa Melayu
Pendahuluan

Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil
mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar murid
menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian, kebiasaannya murid
menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya
menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam
perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea
antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.

Murid-murid juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah
perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, murid-murid menulis karangan
yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan
juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan
yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada teknik atau cara yang boleh membantu
mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang
demikian, cikgu akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan
isi karangan.

Keperluan Soalan
Bagi peperiksaan STPM, bahagian ini akan mengemukakan 4 soalan karangan yang berdasarkan isu-
isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa, terdapat satu soalan yang biasanya merujuk kepada
soalan karangan berformat. Murid-murid dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya
hendaklah antara 650 hingga 700 perkataan dengan berdasarkan 4 soalan yang dikemukakan dalam
peperiksaan STPM.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan

Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang ketiga
iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan
isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar
kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini
perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang
ketiga ini.

Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula


1. Pendahuluan
i. IKCHF (IKCHF- Isi, Kesan/Kenapa, Contoh, Huraian, Fokus soalan)

Contoh perenggan pendahuluan 1


Statistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan utama negara kita. (I)
Hal ini telah menyebabkan banyak kecederaan berlaku dalam kalangan pengguna jalan raya di
samping banyak juga nyawa manusia yang terkorban. (K) Sebagai contoh, bilangan kes kemalangan
jalan raya biasanya meningkat pada setiap kali musim perayaan utama hampir tiba. (C) Jumlah kes
kemalangan jalan raya tersebut tentunya membimbangkan semua pihak. (H) Oleh hal yang
demikian, pelbagai usaha perlu ditingkatkan bukan sahaja pada musim perayaan tetapi juga pada
hari-hari biasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara
kita. (F)
Contoh perenggan pendahuluan 2 
Terdapat projek perumahan yang terbengkalai atau tidak disiapkan oleh pemaju perumahan di
negara kita. (I) Hal ini sudah tentu akan menyusahkan pembeli-pembeli rumah yang mengharapkan
rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. (K) Terdapat beberapa kes seperti
ini yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu seperti yang dilaporkan oleh media
massa arus perdana. (C)  Perkara ini tentunya meresahkan bakal pembeli rumah yang sedang
berkira-kira untuk membeli rumah sendiri. (H) Oleh itu, terdapat beberapa kesan yang timbul
daripada masalah tersebut dan langkah-langkah perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menangani
masalah itu. (F)

2. Isi Karangan
i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)

Contoh perenggan isi


Kemalangan jalan raya yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya
yang cuai. Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu kenderaan di jalan
raya. (A) Kebiasaannya juga mereka menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan
ataupun memandu dalam keadaan mengantuk. (m) Keadaan ini seterusnya menyebabkan pemandu
kenderaan hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan. (Ba) Oleh hal yang
demikian, pengguna jalan raya perlu berhati-hati dan tidak cuai semasa memandu kenderaan di
jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan daripada berlaku. Hal ini bertepatan dengan pepatah
Melayu iaitu beringat sebelum kena dan janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah. (M) (79
perkataan)

ii. Individu dan Keluarga (Inke), Masyarakat (Kawan, Jiran dan Sekolah), Negara, Teknologi, dan
Antarabangsa. ((InkeManeTekA)

Contoh perenggan isi 


Salah satu punca penagihan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. (Kawan) Para
ramaja biasanya mudah terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka.
Selain itu, mereka juga ingin tahu dan ingin mencuba perkara tersebut. Hal ini biasanya akan
menyebabkan mereka ketagih terhadap dadah.

iii. Inikah Hasilnya Cinta (IKHC – Isi, Kesan/Kenapa, Huraian, Contoh)

Contoh perenggan isi


Aktiviti sukan yang kita lakukan boleh menyihatkan badan kita. (I) Hal ini dikatakan demikian
kerana semasa kita bersukan, badan kita akan mengeluarkan peluh. (K) Seterusnya perkara ini
berlaku disebabkan oleh jantung kita bekerja kuat dan mengepam darah ke seluruh badan. (H)
Contoh aktiviti sukan yang boleh kita lakukan adalah seperti bermain bola sepak, badminton, hoki,
dan berjoging. (C)

3. Penutup/kesimpulan
i. KCAHH – Kesimpulan, Cadangan, Argumen, Huraian, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan


Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita. (K)
Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlulah menjalankan langkah-langkah yang berkesan
dengan kerjasama anggota masyarakat untuk membanterasnya. (C) Jika langkah terebut tidak
diambil pastinya masalah rasuah akan menjadi semakin parah. (A) Jadi, kita tidak mahu perkara
tersebut berlaku kerana kesannya amat buruk kepada masyarakat dan negara. (H) Jadi, kita semua
berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan demi kesejahteraan dan ketenteraman
masyarakat negara kita. (H)

ii. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan


Kesimpulannya semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras jenayah yang berlaku di negara
kita. (K) Anggota masyarakat perlulah membantu pihak berkuasa dengan melaporkan kejadian
jenayah yang berlaku dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah diharapkan dapat
dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa. Seterusnya, hal ini membolehkan masyarakat
di negara kita ini hidup dalam keadaan aman, tenteram, dan harmoni. (H)

Penutup
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid untuk menghuraikan dan
mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap
perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan
perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan
jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu, murid-
murid juga dinasihatkan agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk
membantu proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan
membaca surat khabar Utusan Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan
Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik, dan sebagainya. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan
supaya banyak berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah
semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula yang dicadangkan ini.

Anda mungkin juga menyukai