Anda di halaman 1dari 6

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN

APAKAH FUNGSI PENDAHULUAN DALAM KARANGAN?

 menarik perhatian dan minat pembaca

 menunjukkan arah kepada pembaca tentang persoalan yang akan disentuh dalam isi karangan

 menjelaskan tema karangan secara ringkas bertepatan dengan kehendak soalan.

APAKAH CIRI-CIRI PENDAHULUAN YANG BAIK?

 Tepat dengan kehendak soalan

 jelas dan sesuai dengan kehendak soalan

 menggunakan bahasa yang tepat dan jelas

 ada perkaitan dengan isu yang dibincangkan dalam isi karangan

 ditulis dalam satu perenggan

 tidak memasukkan isi karangan dalam pendahuluan

Umpama sebuah pintu, pendahuluan sangat penting bagi menarik minat


pembaca untuk mengetahui isi-isi yang akan dikemukan oleh penulis dalam karangan.

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN

1. Terdapat beberapa jenis pengenalan karangan untuk memulakan penulisan.


2. Antaranya termasuklah:
a. Pendahuluan jenis definisi
b. Pendahuluan jenis pendapat
c. Pendahuluan jenis suasana
d. Pendahuluan jenis persoalan
e. Pendahuluan jenis peribahasa
f. Pendahuluan jenis sejarah
g. Pendahuluan sedutan puisi/lagu
h. Pendahuluan gabungan

a). Pendahuluan Jenis Definisi


- memberikan takrif · makna · definisi (dengan merujuk kamus)
Contoh Soalan
Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang
pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes ini sentiasa berlaku dan berulang.
Contoh Pendahuluan
“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman.
“Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. “Penderaan”
pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis
iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak
terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

Latihan
Masalah ponteng kerap dilaporkan melalui media massa. Berikan pendapat anda tentang punca-punca
gejala ini semakin berleluasa.

b). Pendahuluan Jenis Pendapat


- menyatakan pendapat seseorang tokoh

Contoh Soalan
Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.
Contoh Pendahuluan
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita
tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau mengatakan bahawa
kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita
mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita.
Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat
mahupun negara.

Latihan
Sektor pertanian di negara ini semakin diberikan perhatian oleh pihak kerajaan. Huraikan langkah-
langkah untuk menggalakkan para belia menceburi bidang pertanian.
c). Pendahuluan Jenis Suasana
- menggambarkan sesuatu melalui suasana/situasi yang sesuai.

Contoh Soalan
Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumahnya tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan
keadaan dan suasana pada masa kejadian itu berlaku.
Contoh Pendahuluan
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar akan jeritan manusia dari celah-celah
rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang
berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba
lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu, saya
menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di
bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

Latihan
Sewaktu menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah, seorang rakan anda telah mengalami kecederaan.
Gambarkan keadaan dan suasana pada masa kejadian itu berlaku.

d). Pendahuluan Jenis Persoalan


- mengemukakan beberapa ayat tanya yang berkaitan dengan tajuk

Contoh Soalan
Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda,
apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?
Contoh Pendahuluan
Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang dilaporkan di media
massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya,
apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Latihan
Masalah kemerosotan disiplin dalam kalangan pelajar semakin meningkat. Pada pendapat anda,
apakah faktor-faktor yang menyebabkan pelajar masa kini kurang berdisiplin.

e). Pengenalan Jenis Peribahasa


- memasukkan satu atau lebih peribahasa Melayu yang sesuai.

Contoh Soalan
Tulis suatu rencana yang bertajuk “Perpaduan Asas Kemajuan” untuk dimuatkan dalam majalah
sekolah anda.
Contoh Pendahuluan
Orang Melayu sememangnya kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara
peribahasa yang menekankan aspek kerjasama dan perpaduan termasuklah “Ke bukit sama didaki, ke
lurah sama dituruni”, “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”, “Berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing”, “Bagai aur dengan tebing”, dan “Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua”.
Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang
utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas
kemajuan sesebuah negara.

Latihan
Semangat perpaduan antara kaum hendaklah dikekalkan ataupun ditingkatkan. Huraikan penyataan
tersebut.

f). Pengenalan Jenis Sejarah


- memasukkan fakta sejarah yang bersesuaian.

Contoh Soalan
Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.
Contoh Pendahuluan
Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan
bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan
kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-
an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak
Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak
negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

Latihan
Bincangkan langkah-langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda
ibu negara.

g). Pendahuluan sedutan puisi / lagu

- mengemukakan sedutan lagu/pantun/sajak yang berkaitan dengan tema karangan

Contoh soalan.

Bincangkan pengorbanan dan jasa ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang cemerlang.
Contoh Pendahuluan

Duhai apakah gerangan budi balasan


Bagi insan melahirkan, membesarkan

Bercucuran air mata bila mengenangkan


betapakah bersar budi , ibunda berikan
siang malam ..menderita hingga entah bila
sungguh bersar pengorbanan ibunda berikan

Pengorbanan dan jasa seorang ibu tergambar jelas dalam lirik lagu ini. Ibu telah melahirkan dan
mendidik seseorang anak menjadi insan yang berjaya dan berguna kepada keluarga, bangsa dan tanah
air. Kasih sayang dan budi seorang ibu tanpa mengharap sebarang balasan, tetapi sudah menjadi
tanggungjawab anak-anak untuk membalas segala jasa dan pengorbanan mereka.
Latihan

Pembentukan masyarakat dengan acuan sendiri mestilah berasaskan nilai-nilai murni. Huraikan cara-
cara untuk memupuk nilai-nilai murni dan kesan pengabaian nilai murni terhadap masyarakat.
PENDAHULUAN GABUNGAN
- Menggabungkan dua atau lebih jenis pendahuluan

Contoh Soalan

Vandalisme merupakan masalah sosial yang kerap kali terjadi dan para remaja seringkali dikaitkan
dengan masalah ini. Berikan pendapat anda.
Contoh pendahuluan

Menurut kamus, kegiatan vandalisme boleh didefinasikan sebagai kegiatan laku musnah yang
berkaitan dengan tidakan merosakkan atau memusnahkan harta benda termasuk kemudahan
awam. Gejala memusnahkan kemudahan awam seperti pondok menunggu bas, telefon awam,
kemudahan di sekolah dan sebagainya. Persoalannya mengapakah gejala vandalisme ini sering berlaku
dalam kalangan remaja? Apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk membendung gejala ini?

Latihan

Karya tradisional seperti pantun, gurindam dan seloka semakin dipinggirkan oleh masyarakat.
Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku.

Anda mungkin juga menyukai