Anda di halaman 1dari 5

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN BAHASA MELAYU

1. Pendahuluan Jenis Definisi

2. Pendahuluan Jenis Pendapat

3. Pendahuluan Jenis Suasana

4. Pendahuluan Jenis Persoalan

5. Pendahuluan Jenis Peribahasa

6. Pendahuluan Jenis Sejarah

Tajuk : Isu Penderaan

(Pendahuluan Jenis Definisi)

Dera bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. Mendera
bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. Penderaan pula
bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya, penderaan terbahagi kepada dua jenis,
iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak
terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

Tajuk : Kepentingan Bahasa Inggeris

( Pendahuluan Jenis Pendapat)

Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawakita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika
kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau berkata bahawa
kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita
mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan
kita. menurut beliau, bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada
rakyat mahupun negara.

Tajuk : Gambaran Tentang Kemalangan Ngeri Rumah Tertimbus

( Pendahuluan Jenis Suasana)

Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan
batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan
dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya
menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu saya
menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di
bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

Tajuk : Isu Kemalangan Jalan Raya

( Pendahuluan Jenis Persoalan)

Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada-ada sahaja kemalangan jalan raya yang dilaporkan di
media massa? Hal ini amat membimbangkan terutamanya menjelang musim perayaan. Siapakah
yang patut dipersalahkan, pengguna jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-
faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Tajuk :Rencana "Perpaduan Asas Kemajuan"

(Pendahuluan Jenis Peribahasa)

Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek
kehidupan. Antara peribahasa yang menekankanaspek kerjasama dan perpaduan termasuklah "Ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah",
"Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bagai aur dengan tebing", dan Ibarat Telur sesangkar,
pecah sebiji pecah semua". Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep
kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan
sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.

Tajuk: Kemerosotan Sukan Bola Sepak

( Pendahuluan Jenis Sejarah)

Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan
bola sepak sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan
kita layak menyertai sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an, dan awal tahun
1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kita setanding dengan keupayaan pasukan bola
sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola
sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-
negara lain?
Jenis-Jenis Pendahuluan
Pendahuluan Jenis Definisi

Tajuk/Tema: Berjimat cermat


Skop/Fokus Soalan: Langkah-langkah untuk menggalakkan masyarakat berjimat
cermat

          Berjimat cermat merupakan satu amalan perbelanjaan wang secara berhemat atau
penggunaan sesuatu dengan tidak boros. Sejak kebelakangan ini, negara kita mengalami krisis
ekonomi dan masalah kejatuhan nilai mata wang. Bagi mengatasi keadaan ini, maka sikap berjimat
cermat patut diamalkan oleh setiap rakyat. Sikap rakyat yang suka berjimat cermat akan
mengelakkan meningkatnya kadar inflasi, yakni satu keadaan apabila permintaan terhadap sesuatu
barang atau perkhidmatan melebihi penawaran barang dan perkhidmatan tersebut yang akan
menyebabkan kenaikan harga. Sikap borong dilarang oleh Tuhan. Malah, kerajaan Malaysia juga
menyeru rakyat supaya berjimat cermat, bukan sahaja untuk mematuhi ajaran agama , tetapi untuk
membantu memulihkan ekonomi negara. Oleh itu, langkah-langkah berjimat cermat patut kita
rancangkan demi menjamin kehidupan yang sempurna sepanjang masa, lebih-lebih lagi dalam
menghadapi masa depan yang belum diketahui keadaannya.

Pendahuluan Jenis Pendapat Tokoh

Tajuk/Tema: Hubungan ibu bapa dengan sekolah


Skop/Fokus Soalan: Faktor-faktor yang menyebabkan hubungan ibu bapa dengan sekolah
renggang

          Pakar motivasi, Dato' Dr. Fadzilah Kamsah berkata, “Kebanyakan ibu bapa yang menghantar
anak ke sekolah berasrama gagal  mewujudkan hubungan rapat dengan pihak sekolah terutamanya
guru yang sepatutnya boleh membantu mereka memantau kegiatan pelajar terbabit di asrama. Ketika
mengulas tentang kejadian seorang pelajar yang mati dipercayai selepas dibelasah oleh sekumpulan
pelajar senior , Dato' Dr. Fadzilah Kamsah berkata, ibu bapa sepatutnya menjadikan perjumpaan
dengan guru dan pihak sekolah sebagai rutin untuk mendapatkan pandangan positif serta memantau
perkembangan anak-anak., terutamanya yang belajar di sekolah berasrama. Sekiranya ibu bapa dan
guru saling berhubungan serta mengenali antara satu sama lain, ibu bapa akan mendapat laporan
yang terus daripada guru mengenai pencapaian atau kegiatan terbabit di sekolah. Oleh itu, untuk
mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan pihak sekolah supaya anak-anak yang tinggal di
asrama mendapat perhatian, maka semua pihak haruslah mencari jalan untuk menyelesaikan
masalah ini.

Pendahuluan Jenis Persoalan

Tajuk/Tema: Kemalangan jalan raya


Skop/Fokus Soalan: Faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan kadar kemalangan
jalan raya

          Dewasa ini, kadar kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat dari semasa ke
semasa, terutamanya pada musim perayaan. Adakah kemalangan jalan raya terjadi akibat kelalaian
diri sendiri atau kelalaian orang lain? Mengapakah jumlah kemalangan jalan raya semakin meningkat
dari setahun ke setahun, khususnya pada cuti perayaan? Apakah punca sebenar kemalangan
berlaku? Mengapakah kemalangan jalan raya banyak membabitkan motosikal dan bas ekspress
berbanding dengan kenderaan lain.? Bagaimanakah kita hendak mengelak atau mengurangkan
kadar kemalangan jalan raya? Adakah dengan mengadakan kempen keselamatan  jalan raya kita
dapat mengawal kemalangan jalan raya? Mungkin ada antara kita yang mengatakan bahawa
kemalangan jalan raya disifatkan sebagai takdir daripada Tuhan. Persoalannya, apakah faktor-faktor
sebenarnya yang menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku?

Pendahuluan Jenis Peribahasa

Tajuk/Tema: Semangat Kejiranan


Skop/Fokus Soalan: Langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat

          Sejak belakangan ini, semangat kejiranan dan amalan gotong-royong semakin tipis dalam
masyarakat kita. Jikalau dahulu peribahasa seperti “ringan sama dijinjing, berat sama dituruni”, dan
“hati gajah sama dilapah sama dilapah, hati kuman sama dicecah” menjadi pegangan hidup
masyarakat. Dalam zaman yang serba canggih dengan teknologi yang tinggi, manusia tidak lagi
mementingkan semangat kejiranan. Bagi mereka amalan gotong-royong dianggap kerja yang
membuang masa dan sia-sia sahaja. Mereka hidup seperti “enau di dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing” dan “masing-masing perahu, masing-masing kayuh”. Jadi, bagaimanakah kita
hendak memupuk semangat kejiranan dalam sanubari setiap warganegara kita?

Pendahuluan Jenis Puisi

Tajuk/Tema: Kepentingan ilmu


Skop/Fokus Soalan: Faedah-faedah menuntut ilmu

Berburu ke padang datar,


Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Bintang tujuh sinar berseri,


Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak di cari,
Mana yang dapat janganlah lupa.

          Daripada pantun dua rangkap di atas, kita dapat melihat bahawa ilmu sangat penting dan
setiap orang digalakkan menuntut ilmu. Hal ini demikian kerana ilmu dapat diibaratkan seperti obor
yang dapat menerangi malam yang terang, bahkan ilmu dikatakan menjadi teman ketika
keseorangan, dijadikan teman ketika keseorangan, dijadikan teman ketika diperantauan, dan menjadi
penyuluh dalam kegelapan. Kini, kita mendapati bahawa orang yang berilmu mencapai kejayaan
dalam hidup mereka, manakala orang yang jahil terkial-kial entah di mana. Oleh itu, setiap orang
digalakkan menuntut ilmu kerana ilmu mempunyai pelbagai faedah dan manfaatnya.

Pendahuluan Jenis Gabungan

Tajuk/Tema: Kesesakan lalu lintas


Skop/Fokus Soalan: Langkah-langkah untuk mengatasi kesesakan lalu
lintas

Kini, kesesakan lalu lintas merupakan satu masalah yang masih cuba diatasi oleh pihak berkuasa.
Kesesakan lalu lintas telah menjadi satu fenomena yang bukan sahaja menyusahkan para pengguna
jalan raya, tetapi boleh menimbulkan masalah sosial, pencemaran alam sekitar, dan psikologi kepada
penghuni bandar-bandar besar. Kesesakan lalu lintas menjadi cabaran kepada pihak berkuasa
tempatan sehingga segala tumpuan dan tenaga telah dicurahkan untuk menangani masalah ini.
Keadaan ini bertambah buruk apabila bilangan penduduk serta kenderaan seperti kereta, bas, dan
lori bertambah seperti kedatangan kelkatu selepas hujan di kawasan tersebut. Menurut satu rencana
yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa menunjukkan Kuala Lumpur telah dilanda sindrom
kesesakan lalu lintas yang amat parah. Banyak kenderaan tersadai di jalan raya dan menimbulkan
kekucar-kaciran dalam sistem perhubungan dan pengangkutan. Apakah langkah-langkah yang wajar
dan drastik perlu diambil untuk membanteras masalah ini? Kempen kongsi kereta yang dilancarkan
oleh kerajaan tidak membawa sebarang kesan. Oleh itu, setiap pihak haruslah mengambil inisiatif dan
memberi komitmen supaya kesesakan lalu lintas yang semakin menjadi-jadi dapat dikurangkan atau
dibendung.
Dicatat oleh Kalam Kal di 6:26 PG 

Anda mungkin juga menyukai