Anda di halaman 1dari 12

1

PETIKAN ( 1 )
Kecuaian manusia adalah punca utama yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Nyatakan pendapat anda berhubung dengan pernyataan ini.

Malaysia mempunyai rangkaian jalan raya dan lebuh raya yang moden serta antara yang terbaik di
dunia. namun begitu, setia tahun kes kemalangan jalan raya di Malaysia mencatat peningkatan yang tinggi.
jumlah kemalangan meningkat dari semasa ke semasa. Malah hampIr setiap hari ada saja berita tentang
nahas jalan raya yang dipaparkan oleh pihak media massa.
Punca utama berlakunya kemalangan jalan raya ialah kerana kecuaian manusia. Misalnya, sikap
pemandu yang gemar memandu dengan laju. Slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat langsung tidak
diendahkan. Golongan ini memandu lebih daripada had laju yang dibenarkan. Sebagai akibatnya, mereka
gagal mengawal kenderaan yang dipandu laju hingga menyebabkan kemalangan.
Seperkara lagi, terdapat sesetengah pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk.
Kesannya, fikiran mereka melayang-layang dan hilang tumpuan terhadap pemanduan. Meskipun pelbagai
langkah telah dijalankan oleh pihak berkuasa, seperti mengenakan mata kesalahan terhadap pemandu yang
memandu di bawah pengaruh alkohol, masalah pemandu mabuk masih gagal ditangani dengan berkesan.
Selain itu, pengguna jalan raya sering kali melanggar lampu isyarat. Tindakan mereka ini bukan saja
membahayakan diri sendiri tetapi juga mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Kedegilan pemandu
mematuhi isyarat lalu lintas menyebabkan banyak kes kemalangan yang sepatutnya dapat dielakkan daripada
berlaku.
Pemandu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyumbang kepada peningkatan
kes kemalangan di Malaysia. Banyak pemandu yang gemar membuat panggilan, menjawab panggilan, atau
menghantar SMS ketika memandu tanpa menggunakan alat bebas tangan. Oleh sebab terlalu melayan
panggilan, mereka terlupa bahawa mereka sedang memandu di atas jalan raya.
Pemandu yang memandu tanpa lessen juga merupakan faktor meningkatnya kadar kemalangan jalan
raya. Golongan ini biasanya terdiri daripada remaja yang belum layak untuk mendapatkan lesen memandu.
Mereka tidak mempedulikan papan tanda amaran, arahan had laju, atau larangan memotong kerana tidak
mengetahui peraturan jalan raya. Tindakan ini akhirnya mengundang padah apabila mereka terlibat dalam
suatu kemalangan.
Justeru itu, semua pengguna jalan raya perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing. Sebagai
pemandu yang berhemah, mereka harus memandu kenderaan secara berhemah dan peka terhadap
pengguna jalan raya yang lain. Langkah ini penting untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di
negara kita.





2

PETIKAN ( 2 )
Masyarakat Penyayang penting dalam membentuk negara yang aman dan sejahtera. Tuliskan cara-cara
mewujudkan masyarakat penyayang.

Banyak pihak yang tertanya-tanya mengapa kita perlu mewujudkan masyarakat penyayang. Apakah
kepentingan masyarakat penyayang diwujudkan? Jawapannya, tepuk dada, tanyalah selera masing-masing
mengapa begitu banyak masalah berlaku di negara kita? Boleh dikatakan hampir setiap isu daripada isu social
hinggalah isu politik adalah disebabkan kurangnya sifat penyayang dalam kalangan masyarakat kita
terutamanya generasi muda kita pada hari ini.
Masyarakat penyayang ditakrifkan sebagai masyarakat yang hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Sikap bertolak-ansur, suka membantu, bersefahaman, dan berkasih sayang merupakan nilai-nilai murni yang
perlu ada dalam kalangan setiap anggota masyarakat berkenaan.
Pihak kerajaan sering menyarankan supaya rakyat negara ini dapat hidup dengan rukun. Perbezaan
latar belakang dari segi agama, bangsa, dan budaya bukanlah alasan untuk rakyat di negara ini berpecah
belah dan saling mencurigai. Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlu memahami dan mempraktikkan
semangat perpaduan dan kasih sayang antara mereka supaya dapat menjalani kehidupan harian dengan
sempurna.
Kempen Rumahku Syurgaku adalah salah satu cara membentuk masyarakat penyayang. Kehidupan
bermasyarakat bermula dari rumah, iaitu melalui anggota keluarga. Keluarga yang bahagia ialah keluarga
yang dapat mewujudkan perasaan kasih sayang, berbudi pekerti mulia, dan sebagainya. Kasih sayang yang
dapat diwujudkan dalam keluarga merupakan teladan terbaik untuk dilaksanakan dalam masyarakat. Cara ini
akan dapat melahirkan generasi yang senantiasa berkasih sayang terhadap masyarakat di sekeliling mereka.
Sekolah juga memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat penyayang. Sukatan
pelajaran yang disusun bertujuan untuk membina masyarakat yang memiliki sifat penyayang. Selain itu, aktiviti
kokurikulum dapat juga dijadikan sumber rujukan dan panduan supaya rakyat di negara ini dapat hidup
bersama dan memiliki nilai-nilai yang dituntut oleh setiap agama.
Para pemimpin pula merupakan model yang akan ditiru oleh rakyat. Justeru, amatlah penting para
pemimpin di negara ini menunjukkan sikap yang terpuji agar dicontohi oleh golongan rakyat. Cogan kata
Kepimpinan Melalui Teladan perlulah dihayati dan dilaksanakan dalam usaha untuk membina masyarakat
penyayang.
Masyarakat penyayang dapat juga diwujudkan melalui sambutan Hari Warga Tua Sedunia. Langkah
Pertubuhan Bangsa=Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 1 Oktober setiap tahun sebagai Hari Warga Tua
Sedunia wajar dipuji dan diberikan perhatian oleh semua pihak. Hal ini penting supaya warga tua tidak berasa
diketepikan dan tidak dipedulikan oleh anak-anak. Kesejahteraan, kemakmuran, serta kebajikan mereka
sebenarnya perlu diatur sejak awal. Oleh itu, sokongan padu daripada keluarga terdekat, saudara-mara, dan
sahabat handai penting bagi memastikan golongan ini dapat menghabiskan saki-baki hidup dengan selesa.
Kesimpulannya, setiap warganegara Malaysia perlulah memiliki sikap cinta akan negara ini. Sebagai
negara membangun dan sedang bergerak menuju ke arah negara maju menjelang 2020, pembentukan
masyarakat yang penyayang menjadi satu kemestian. Kesejahteraan dan kemakmuran negara terletak di
tangan kita semua.
3


PETIKAN ( 3 )
Punca-punca berlakunya fenomena ponteng sekolah.

Belakangan ini isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar hangat diperkatakan oleh masyarakat.
Hal ini adalah ekoran daripada berita tentang beberapa orang pelajar ditahan semasa merayau-rayau
di pusat beli-belah semasa waktu persekolahan. Isu ponteng sekolah mendapat perhatian apabila
ada sesetengah pihak menyalahkan guru yang dikatakan tidak pandai mengajar hingga pelajar
ponteng sekolah.
Punca utama pelajar ponteng sekolah ialah kurangnya minat untuk belajar. Dalam hal ini,
pencapaian akademik pelajar amat rendah dan mereka malas membuat latihan yang diberikan oleh
guru. Mereka beranggapan bahawa pergi ke sekolah suatu bebanan. Hal ini demikian kerana mereka
terpaksa belajar dari pagi hingga tengahari, selain terpaksa membuat pelbagai latihan. Dengan ini.
jalan penyelesaian yang dipilih oleh mereka ialah ponteng sekolah. Biasanya pada awal pagi mereka
keluar rumah dengan memakai pakaian seragam sekolah, tetapi mereka tidak pergi ke sekolah
sebaliknya mereka melencong ke pusat beli-belah, atau berkumpul di mana-mana tempat, seperti
pusat permainan video atau pusat snuker untuk berseronok-seronok.
Selain itu, sikap ibu bapa yang kurang mengambil berat tentang anak-anak merupakan salah
satu faktor yang memungkinkan anak-anak berani ponteng sekolah. Ada sesetengah ibu bapa yang
sibuk bekerja hingga tidak ada masa untuk bersama-sama dengan anak-anak. Mereka tidak tahu
aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Masalah ini akan jadi lebih parah apabila ada ibu
bapa tidak datang ke sekolah apabila diundang oleh pihak sekolah untuk membincangkan masalah
anak mereka yang ponteng sekolah. Tindakan ibu bapa yang memandang ringan terhadap masalah
ini seolah-olah memberikan kebebasan kepada anak-anak untuk terus ponteng sekolah.
Gejala ponteng sekolah berlaku kerana pelajar berasa bosan. Hal ini demikian kerana
kemungkinan terdapat sesetengah guru tidak pandai mengajar atau tidak menunjukkan kesungguhan
di bilik darjah. Namun begitu, bilangan guru yang seperti ini adalah kecil. Mengikut kajian yang
dijalankan, menunjukkan sedikit saja pelajar yang ponteng sekolah kerana bosan dengan cara
pengajaran guru. Selain itu, ada pelajar ponteng kerana terpengaruh oleh rakan-rakan. Punca yang
lain wujudnya fenomena ponteng sekolah ialah sistem pendidikan negara kita yang terlalu
berorientasikan peperiksaan. Hal ini terbukti apabila selesai peperiksaan sama ada peperiksaan
peringkat sekolah atau peperiksaan awam, bilangan pelajar yang ponteng sekolah mencatat kadar
yang tinggi.
Kesimpulannya, semua pihak perlu mengembeling tenaga dan usaha untuk membenteras
fenomena ponteng sekolah ini daripada menjadi barah yang akan melemahkan institusi pendidikan
pada masa hadapan.

4

PETIKAN ( 4 )
Kemudahan internet bukanlah sesuatu yang asing dekad ini. Nyatakan kesan-kesan penggunaan internet
dalam kalangan pelajar.

Kerajaan telah memperkenalkan konsep dunia tanpa sempadan dengan membangunkan kawasan
Cyberjaya sebagai pusat teknologi maklumat. Selaras dengan perkembangan ini, perkhidmatan internet kian
meluas. Kini, internet dapat dilanggani menerusi talian tetap dan talian mudah alih juga. Hal ini memberikan
kesan positif kepada negara khususnya dalam bidang pendidikan.

Banyak kelebihan yang dapat diperoleh menerusi internet. Kemudahan ini membuka ruang yang lebih
luas kepada pelajar memperoleh maklumat. Internet umpama perpustakaan elektronik yang memudahkan
pencarian bahan yang mungkin tidak dapat diperoleh dari perpustakaan biasa. Hal ini dapat membantu pelajar
lebih memahami pembelajaran di sekolah.

Kita sedia maklum bahawa internet kaya dengan pelbagai info yang merangkum pelbagai bidang. Info-
info ini bukan sahaja memuatkan maklumat dalam negeri, malah dari seluruh dunia juga. Maklumat-maklumat
tersebut lebih tepat dan terkini serta mudah diperoleh tanpa banyak membuang masa. Proses pencarian
maklumat juga tidak membosankan kerana kebanyakan laman web dipaparkan dalam pelbagai bentuk bahan
grafik dan berwarna-warni.

Selain itu, kita dapat berhubung dengan kenalan melalui e-mel juga. Dewasa ini, penggunaan e-mel
begitu meluas hingga masyarakat jarang-jarang menghantar surat melalui pos. Internet dapat menghubungkan
seseorang dengan kenalan dari merata pelosok dunia dalam tempoh yang singkat. Laman sembang di internet
pula memudahkan seseorang pelajar berbincang dengan rakan-rakan mengenai sesuatu topik meskipun tidak
duduk semeja.

Internet juga menawarkan ribuan perkhidmatan yang dapat memudahkan urusan harian. E-dagang
membolehkan pengguna membeli-belah melalui litar maya. bagi pelajar, laman ini memudahkan pembelian
buku-buku keluaran terkini. E-perbankan pula menawarkan perkhidmatan perbankan 24 jam yang amat
menjimatkan dan memudahkan pengguna. Selain itu, internet turut menawarkan perkhidmatan hiburan dari
serata dunia. Ruangan hiburan yang mudah dan murah ini dapat dinikmati meskipun pelajar berada di rumah.
Pelajar dapat menikmati lagu-lagu terkini dan muat turun lagu-lagu kegemaran dari dalam dan luar negeri juga.

Kesimpulannya, perkembangan teknologi maklumat banyak menfaatnya. Oleh itu, terpulanglah kepada
kita untuk menilai dan memilih baik buruknya penggunaan internet ini. Jika pelajar bijak memanfaatkannya
sudah tentu teknologi ini memberikan impak yang amat memberangsangkan kepada penggunanya.

5


PETIKAN ( 5 ) FAEDAH MENYERTAI KO KURIKULUM SEKOLAH

Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak
mengecewakan. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar tidak mahu melibatkan diri mereka dalam
aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi
syarat unntuk pemilihan ke universiti. Sebenarnya, kokurikulum mempunyai banyak kebaikan yang tersirat.

Pelajar yang terlibat dengan kokurikulum dapat menyihatkan badan mereka. Peluh yang keluar dapat
menghilangkan toksik dari badan. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh
masalah, jadi pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan
itu mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan
penghafalan dan membuat latihan. Jelaslah, minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan
aktiviti yang berbeza iaitu kegiatan kokurikulum.

Dalam masa yang sama pembabitan pelajar memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak
sihat. Kegiatan kokurikulum dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan. Penetapan masa ini
menyebabkan pelajar terpaksa menguruskan masa mereka dengan bijak. Pelajar yang terbabit dalam
aktiviti ini akan mengutamakan aktiviti kokurikulum dan pembelajaran mereka. Ringkasnya, mereka
kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak.

Selain itu, pelajar turut dapat menambah keyakinan diri mereka melalui aktiviti kokurikulum ini.
Kokurikulum menyediakan satu medan yang sesuai kepada pelajar untuk memimpin atau mengetuai
sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberikan mereka satu keyakinan terhadap kemampuan mereka dalam
aspek-aspek tertentu. Mereka mula menyedari bakat yang ada dan berupaya untuk mengembangkannya
serta mengasahnya menjadi sesuatu yang lebih cemerlang lagi seperti memimpin pertubuhan belia, syarikat
dan mungkin juga negara.

Malahan, aktiviti kokurikulum membuka minda dan mata pelajar tentang erti persahabatan dan pergaulan.
Mereka akan bertemu dengan pelbagai orang dalam menjalankan aktiviti kokurikulum itu. Mereka
mengenal jenis manusia sebenar terutama apabila menghadapi masalah untuk menganjurkan sesuatu
aktiviti. Mereka juga mengenali erti persahabatan yang sejati. Pengalaman ini semua akan mengajar pelajar
erti kehidupan yang tidak boleh mereka peroleh di luar.

Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah disertai oleh semua pelajar tanpa sebarang prasangka buruk.
Mereka tidak harus menganggap aktiviti ini akan menghalang kemajuan mereka dalam peperiksaan.
Mereka tidak harus menyalahkan kokurikulum kalau mereka tidak memperoleh keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan. Mereka seharusnya melihat aktiviti ini sebagai satu proses pembelajaran yang harus
dialami oleh semua orang sebagai sebahagian daripada proses kehidupan kita sebagai manusia.
6

PETIKAN ( 6 ) - KESAN MEROSAKKAN HARTA AWAM ( VANDALISME )

Harta awam membawa maksud harta kegunaan orang ramai yang disediakan oleh pihak kerajaan
mahupun swasta. Contohnya seperti taman rekreasi, telefon awam, tandas awam dan perhentian
teksi. Dewasa ini, perbuatan merosakkan harta awam kian menjadi-jadi. Perkara ini telah memberi
kesan yang buruk kepada masyarakat dan negara.

Antara kesan tersebut adalah menyusahkan masyarakat terutamanya golongan miskin atau
sederhana. Mereka mungkin tidak mampu untuk membeli telefon bimbit kerana mereka hanya
menggunakan duit mereka untuk menampung kehidupan seharian. Oleh itu, mereka pasti akan
menggunakan telefon awam. Sekiranya telefon awam rosak, mereka tidak dapat meminta bantuan
sekiranya berlaku kecemasan.

Selain itu, perbuatan ini juga menyebabkan kewangan negara terganggu. Kerajaan terpaksa
memperuntukkan dana untuk membaik pulih harta awam ini sedangkan dana tersebut boleh
digunakan untuk membangunkan sektor lain. Negara juga tidak dapat menaikkan taraf sosial
ekonomi rakyat apabila wang rakyat dihabiskan untuk kerja membaik pulih harta-harta awam.

Imej negara juga pasti akan turut tercemar. Sebagai contoh, apabila pelancong datang ke
Malaysia dan terlihat contengan di dinding-dinding bangunan, mereka akan memandang serong
terhadap negara ini. Mereka akan pulang ke negara mereka lalu memberitahu teman-teman mereka
tentang keadaan di Malaysia. Secara tidak langsung, Malaysia akan dipandang rendah walaupun
Malaysia merupakan salah sebuah negara yang maju.

Akhir sekali, industri pelancongan juga boleh tercemar sekiranya perbuatan ini berleluasa. Kita
pasti sudah sedia maklum bahawa industri pelancongan menjadi salah satu sektor yang menjana
kewangan negara dan sumber pendapatan rakyat di Malaysia. Justeru, kemungkinan besar industri
pelancongan ini akan terjejas dan rakyat mengalami kesukaran untuk mencari pendapatan sebagai
akibat daripada perbuatan ini.

Tuntasnya, perbuatan merosakkan harta benda awam ini akan member kesan negatif kepada
rakyat dan negara Malaysia. Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berganding
bahu untuk membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa.
7


PETIKAN ( 7 ) - FAEDAH BERSUKAN

Kegiatan bersukan dan riadah amat berfaedah dan patut disertai oleh semua lapisan masyarakat,
tanpa mengira tua ataupun muda, laki-laki ataupun perempuan, yang sihat dan apatah lagi yang tidak
sihat. Rakyat yang sihat satu aset kepada negara. Sebab itulah, sukan berfaedah kepada rakyat
malahan negara. Kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk membina
prasarana yang ada kaitannya dengan sukan.

Kegiatan bersukan dan riadah dapat menyihatkan badan. Aktiviti sukan yang dilakukan akan
mengeluarkan peluh dari dalam badan sekaligus lemak yang berlebihan akan terbakar. Badan akan
menjadi lebih sihat dan cergas. Bukankah otak yang cerdas datangnya daripada badan yang sihat?.
Badan yang sihat dapat meningkatkan produktiviti dan pengeluaran negara. Negara juga bakal
mendapat faedahnya melalui peningkatan pengeluaran.

Kegiatan riadah dan bersukan biasanya dilakukan di kawasan awam seperti taman bunga.
Kemudahan sukan di sini digunakan oleh masyarakat pelbagai kaum. Dengan demikian, selain
menyihatkan badan, kegiatan riadah dan bersukan juga dapat mengeratkan silaturrahim serta
memupuk perpaduan. Setidak-tidaknya, kegiatan begini memberi kesempatan kepada seseorang
untuk berkenalan antara satu sama lain. Pendek kata, yang dekat bertambah mesra, yang jauh
bertambah dekat.

Dalam sesuatu pertandingan sukan, semangat kerjasama, tolong-menolong dalam pasukan
amat dipentingkan. Tanpa bersatu hati, maka pasukan tersebua biar segagah manapun pasti tidak
akan berjaya. Semangat kesukanan yang kuat dengan jati diri yang perkasa bakal meraih kejayaan
gemilang.

Tuntasnya, dalam usaha hendak mengejar kemajuan dalam dunia sukan, wajarlah kita
bersama-sama mewujudkan masyarakat yang sihat dan cergas.




8


PETIKAN ( 8 ) - KEBAIKAN PROGRAM KITAR SEMULA

Sejak belakangan ini, program kitar semula telah mula diberi perhatian oleh kerajaan kerana
kawasan pelupusan sampah sudah semakin terhad. Antara tujuan program kitar semula adalah
kerana kawasan pelupusan sampah yang semakin kecil sedangkan sisa bahan buangan semakin
hari semakin banyak. Keadaan seperti ini jika tidak diuruskan dengan baik akan menyebabkan
pencemaran serta boleh menyebarkan wabak penyakit.
Program kitar semula dapat mengurangkan kuantiti sampah kerana bahan buangan seperti
surat khabar, botol mnuman dan besi boleh dikitar semula dan diproses menjadi bahan mentah untuk
kegunaan pelbagai industri. Dalam hal ini, mengitar semula penting untuk menjimatkan kos
pengurusan sampah oleh pihak Majlis Perbandaran dan pihak swasta. Kos pengurusan sampah
bukanlah murah kerana proses ini melibatkan banyak pihak dan kenderaan yang besar. Oleh sebab
itu, sampah perlu diuruskan dengan baik agar dapat menjimatkan perbelanjaan membersihkan
keadaan persekitaran.
Program kitar semula juga membekalkan bahan mentah untuk industri tertentu, contohnya
kertas surat khabar lama penting untuk kilang kertas. Manakala besi buruk boleh dijadikan bahan
logam yang penting untuk industri besi dan logam. Botol minuman dan bekas makanan plastik boleh
dijadikan sumber industri yang berasaskan barangan plastik. Oleh sebab itu ada pihak tertentu
melihat program ini sebagai sumber pendapatan. Kerana semua bahan berkenaan boleh dijual.
Justeru, bahan berkenaan tidak harus dibuang di merata-rata tempat kerana ada banyak faedah
yang boleh kita peroleh jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Kitar semula juga penting agar alam sekitar bersih daripada pencemaran. Kebersihan alam
akan menambah keceriaan di sesuatu kawasan. Orang ramai boleh menikmati keindahan alam
dengan sepenuhnya jika alam sekitar bersih dan kehidupan akan menjadi lebih seronok dan selesa.
Kesimpulannya, yang lebih penting melalui program kitar semula ialah dapat mendidik
masyarakat supaya mementingkan kebersihan alam sekitar. Melalui program tersebut kita
mengharapkan agar semua penduduk Malaysia dapat memainkan peranan masing-masing untuk
menjaga alam sekitar setiap masa. Orang ramai harus mengetahui tempat pembuangan sampah
yang betul. Mereka hendaklah membuang sampah di tempat yang telah ditentukan oleh pihak
berkuasa tempatan. Alam yang bersih akan menjamin keselesaan hidup di mana-mana juga kita
berada di negara ini.




9



PETIKAN ( 9 )
FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN KEMALANGAN JALAN RAYA

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan jalan raya saban tahun semakin
meningkat dari hari ke hari. Setiap hari, sama ada di kaca-kaca televisyen, di dada-dada akhbar
mahupun di corong-corong radio pasti ada sahaja dpaparkan tentang kemalangan jalan raya yang
banyak meragut nyawa manusia.
Punca yang paling signifikan penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap
pemandu iti sendiri. Hal ini disebabkan pemandu bersikap mementingkan diri, tidak sabar ketika
berada di jalan raya dan tidak mematuhi peraturan jalan raya. Sebagai contoh, pemandu kenderaan
memandu kereta dengan laju tanpa mematuhi had laju yang dibenarkan. Secara tidak langsung,
pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, sikap
berhati-hati di jalan raya akan dapat menghindarkan kemalangan maut daripada berlaku.
Punca seterusnya penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah keadaan struktur jalan
raya. Keadaan jalan raya yang berlubang-lubang dan sempit sudah pasti mengundang bahaya
kepada pengguna jalan raya. Sebagai contoh jalan raya yang bengkang-bengkok dan selekoh tajam
akan memudahkan pemandu yang tidak biasa dengan jalan tersebut terbabas dan terlibat dalam
kemalangan jalan raya. Oleh itu, pihak kerajaan perlulah mengambil inisiatif segera memperbaiki
struktur jaan raya yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya agar keselamatan pengguna-
pengguna jalan raya terjamin.
Selain itu, keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik juga menjadi punca
berlakunya kemalangan jalan raya. Keadaan kenderaan yang tidak diselenggarakan mengikut jadual
yang ditetapkan boleh mengundang malapetaka kepada pemandunya. Sebagai contoh, brek
kenderaan yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan pemandu sukar mengawal
kenderaan di saat-saat kecemasan. Impaknya, pemandu akan mudah tersasar dan berlakunya
kemalangan jalan raya ketika ingin menghentikan kenderaan secara kecemasan. Jelaslah,
kenderaan hendaklah diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan yang jauh kerana
malang tidak berbau.
Tuntasnya, semua pihak perlulah bekerja sama bagai aur dengan tebing bagi menangani isu
kemalangan jalan raya ini. Segala usaha yang dilaksanakan hendaklah berterusan dan bukanlah
sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat hendaklah dijadikan
pedoman bagi semua pengguna jalan raya .


10

PETIKAN ( 10 ) - KEBAIKAN AMALAN MENABUNG

Menabung ialah amalan meyimpan wang yang diperoleh. Wang ini disimpan di tempat yang selamat
seperti di bank atau dalam bentuk saham atau bon. Menabung juga dapat dikatakan seperti
menyediakan payung sebelum hujan. Banyak kebaikan yang akan kita peroleh jika kita menabung.

Salah satu daripada kebaikan menabung ialah kita akan mendapat keuntungan. Hal ini kerana wang
yang disimpan di bank akan dibayar faedah manakala saham akan dibayar dividen. Sebagai contoh,
jika kita menyimpan wang di dalam akaun simpanan tetap, kita akan dibayar faedah mengikut kadar
dan tempoh simpanan. Oleh itu, lebih lama wang itu disimpan, lebih tinggi kadar faedah yang akan
diperoleh.

Amalan menabung akan mendidik kita supaya sentiasa berjimat cermat. Sikap berjimat cermat
sebenarnya merupakan satu amalan yang baik kerana kita akan lebih berhati-hati dalam membuat
perbelanjaan. Oleh itu, dapat mengelakkan pembaziran. Sebagai contoh, apabila mempunyai wang
lebihan, seseorang yang tidak menabung akan bertindak membelanjakan wang tersebut untuk
membeli barang yang dikehendakinya. Tegasnya, sikap suka menabung akan menjadikan seseorang
itu tidak membazir.

Amalan menabung juga dapat membantu kita dalam keadaan kecemasan yang memerlukan wang.
Kita sebenarnya tidak dapat menjangka hal yang akan berlaku kepada diri kita atau keluarga kita, bak
kata orang malang tidak berbau. Oleh itu, jika kita ditimpa kemalangan atau dijangkiti penyakit, kita
boleh menggunakan wang simpanan untuk mendapatkan rawatan yang baik di hospital. Justeru,
wang simpanan yang ada dapat menyelamatkan nyawa anda dalam keadaan yang darurat.

Menabung juga dapat mengawal inflasi. Hal ini demikian kerana apabila kita menabung, wang yang
mengalir dalam aktiviti belian adalah kurang.Keadaan ini dapat mengelakkan kenaikan harga barang
dalam pasaran. Apabila harga barang tidak naik,inflasi tidak akan berlaku. Oleh itu, menabung dapat
mengawal inflasi.

Kesimpulannya, kita mesti mengamalkan sikap suka menabung. Kanak-kanak harus digalakkan
supaya menabung sejak kecil lagi. Wang yang disimpan itu mungkin sedikit tetapi sikit-sikit lama-
lama jadi bukit.

11

PETIKAN ( 11 )
Gaya hidup sihat satu amalan yang murni. Nyatakan cara-cara mencapai gaya hidup sebegini.


Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada
diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup
dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu
tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup
sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh
dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu diet pemakanan yang seimbang dalam
kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, ramai yang suka mengambil satu jenis makanan sahaja
seperti hanya memakan daging tanpa mengambil sayur dalam diet mereka. Ketiadaan diet yang seimbanglah
atau hanya menumpukan pemakanan mereka terhadap satu aspek sahaja yang menyukarkan seseorang
untuk mencapai matlamat gaya hidup yang baik ini. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua
mencapai satu kehidupan yang ceria kerana semua zat yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi
pemakanan yang baik itu.

Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu
lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti berjalan atau berlari bersendirian atau melakukan
aktiviti bersukan bersama-sama keluarga atau ketika hujung minggu untuk mendapatkan senaman sebegini.
Aktiviti senaman sudah lama diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah
manusia lebih stabil dan baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka lebih tinggi. Maka, semakin kerap
senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas
datangnya daripada badan yang cergas.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih
terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya
berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan
menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi untuk memperoleh gaya hidup yang sihat
ini.

Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting dimiliki oleh seseorang itu untuk menangani
tekanan kehidupan moden. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai
kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh
cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Maka,
semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.

Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan
tadi. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang
menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah
lebih baik daripada mengubatinya.

12

PETIKAN ( 12 ) KEBAIKAN AMALAN BERGOTONG ROYONG


Pada hari ini, isu amalan gotong-royong selalu diperkatakan. Umum mengetahui bahawa isu ini
semakin hari semakin serius dibincangkan. Persoalannya mengapakah hal sedemikian berlaku? Oleh
itu, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita bersama-sama mencari kebaikan amalan bergotong-
royong.

Sesungguhnya, kebaikan amalan gotong-royong adalah mengeratkan perpaduan sesama ahli
masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum.
Contohnya, mereka dapat berbincang dan bertukar-tukar pandangan. Sekiranya hal ini dilakukan
pastilah akan melahirkan keadaan yang aman. Benarlah amalan gotong-royong boleh mengeratkan
perpaduan ahli masyarakat.

Selain itu, kebaikan amalan gotong-royong adalah mempercepat dan memudahkan sesuatu
kerja. Hal ini demikian kerana kerja yang dilakukan dapat dilakukan bersama-sama. Contohnya,
bergotong-royong menjayakan majlis perkahwinan. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan
meringankan sesuatu kerja. Tepatlah bahawa amalan gotong-royong membawa banyak kebaikan.

Di samping itu, kebaikan amalan bergotong-royong adalah memperkukuh semangat kejiranan.
Hal ini demikian kerana masyarakat dapat mengambil berat hal-hal kejiranan. Contohnya, kita boleh
menolong jiran yang menghadapi kesusahan. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan
mengukuhkan hubungan antara jiran. Betullah bahawa amalan gotong-royong memberikan banyak
kebaikan.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama dalam menggalakkan amalan gotong-
royong ini. Jika tidak, kita tidak akan berjaya. Semoga akan lahir masyarakat yang cemerlang,
gemilang, dan terbilang.

Anda mungkin juga menyukai