Anda di halaman 1dari 2

CARA MENGATASI PEMBAZIRAN MAKANAN SEMASA BULAN RAMADAN

Ramadan menjelma lagi dan seperti biasa umat Islam di seluruh dunia terus menunaikan ibadat
berpuasa serta menghidupkan malam harinya dengan melakukan ibadat terawih di masjid-masjid
dan surau-surau. Ramadan adalah bulan yang sangat mulia, pada hakikatnya, kita perlu bersedia
untuk menyambut kedatangan bulan ini dengan sambutan dan harapan agar ia akan menjadikan kita
sebagai manusia yang lebih baik di sisi Allah. Laporan khas sebuah media berhubung berbuka puasa
ala bufet yang kini semakin popular dalam kalangan umat Islam di negara ini menunjukkan
kehidupan umat Islam di negara ini pada masa kini semakin dilimpahi dengan kemewahan.
Sepanjang Ramadan umat Islam digalakkan memakan makanan yang berkhasiat semasa berbuka dan
bersahur, serta ditegah daripada melakukan pembaziran, tetapi malangnya masih ramai daripada
kita yang memasak terlalu banyak hidangan atau dengan jalan paling mudah ialah membeli pelbagai
juadah makanan dan minuman yang begitu banyak dijual di pasar dan bazar Ramadan yang dibuka
bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan pada bulan puasa. Disebabkan terlalu banyak makanan
yang dihidangkan, kebanyakannya tidak termakan dan akhirnya terbuang begitu sahaja, pembaziran
seumpama ini amat dilarang oleh Islam dan menyalahi konsep Ramadan itu sendiri. Saban tahun
apabila tiba sahaja Ramadan, hotel-hotel dan restoran mula dibanjiri dengan iklan bufet Ramadan
bagi mempengaruhi umat Islam agar supaya berbuka puasa di sana dan pada tahun ini harga bufet
Ramadan yang ditawarkan oleh hotel dan restoran telah meningkat. Apakah tindakan yang boleh
diambil bagi mengatasi masalah ini?

Bagi mengurangkan sisa makanan, isi rumah perlu memastikan untuk hanya membeli ayam,
daging, sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit sekadar memenuhi keperluan mereka.
Kemudian, masak makanan secukupnya setiap hari dan jika terdapat sisa, simpanlah sebaiknya
supaya boleh dimakan kemudian. Sebaliknya, lebihan makanan itu boleh diberikan kepada kepada
jiran. Atau boleh juga diberi makan haiwan peliharaan. Rakyat Malaysia juga perlu belajar membuat
kompos daripada sisa makanan dan menggunakannya sebagai baja untuk tanaman mereka. Dengan
mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu untuk makanan, sekali gus pembaziran makanan dapat
dikurangkan, isi rumah bukan sahaja boleh menjimatkan wang tetapi juga mengurangkan kesan
karbon dan melindungi alam sekitar melalui pelepasan metana yang lebih rendah daripada tapak
pelupusan.

Sederhana semasa mengadakan majlis-majlis seperti iftar perdana. Sekiranya anda ingin
mengadakan majlis kenduri, hari jadi dan sebagainya, lakukan perancangan yang sebaik – baiknya.
Ambil pendekatan sederhana dalam pemilihan menu dan kuantiti makanan yang hendak
dihidangkan. Makanan yang berlebihan bukan sahaja boleh menyebabkan pembaziran makanan
malah meningkatkan masalah obesity. Jangan terikut-ikut dengan budaya menunjuk-nunjuk dengan
mengadakan majlis secara besar-besaran.

Pembaziran makanan paling kerap terjadi semasa bulan ramadan. Ini kerana masa yang dibenarkan
makan terhad dan kebanyakkan orang tidak dapat mengawal nafsu semasa membeli makanan untuk
berbuka. Anda boleh mengawal dengan membawa hanya sejumlah wang yang telah ditetapkan oleh
bajet anda. Anda juga perlu berdisiplin sebagai contoh hanya membeli satu jenis kuih setiap hari.
Kuih yang lain boleh dibeli pada keesokkan hari pula. Sesetengah restoran makanan secara buffet
sangat menitik beratkan isu pembaziran makanan ini. Pembeli harus sentiasa ingat bahawa makanan
sebaiknya dibeli secukupnya dengan tidak berlebihan supaya dapat memastikan pembaziran tidak
berlaku. Jika terdapat jenis makanan yang tidak disukai dalam menu tersebut, beritahu pelayan
restoran supaya tidak menghidangkannya. Sebagai contoh jika anda tidak menggemari sayur, anda
akan tetap membayar harga yang sama tetapi sekurang-kurangnya anda tidak akan membuang
sayur tersebut.

Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan
jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan dan semoga Ramadan ini akan dapat
membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin. Sehubungan itu, sempena
hari yang baik dan bulan yang baik ini marilah kita bersama-sama kembali kepada ajaran Islam dan
amalan yang sebenarnya serta tidak terpengaruh dengan perkara yang melalaikan dan merugikan.
Pembaziran makanan dapat dielakkan dengan memberi didikan kepada masyarakat Malaysia supaya
bijak memilih makanan serta mengawal kuantitinya. Didikan ini perlu dilakukan sejak kecil lagi,
bermula dari rumah. Pengetahuan serta amalan pemakanan sihat dan seimbang juga boleh
membantu mengurangkan masalah pembaziran makanan lagi-lagi semasa bulan mulia ini.

Anda mungkin juga menyukai