Anda di halaman 1dari 3

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

- September 07, 2019

  Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita, sama ada di
depan, belakang, kiri atau kanan. Jiran akan merupakan orang yang pertama
menghulurkan bantuan sewaktu kita mengalami kesusahan. Namun begitu, pada
realitinya masyarakat kini khususnya yang tinggal di bandar tidak mengenali jiran
mereka. Pihak kerajaan telah mengadakan pelbagai aktiviti untuk menyemarakkan
lagi semangat kejiranan dalam masyarakat. Program Rumah Terbuka yang dianjurkan
pada setiap tahun semasa perayaan utama kaum yang terdapat di negara kita
sememangnya bertujuan menggalakkan perpaduan dan semangat kejiranan. Akan
tetapi, masyarakat kini hanya bergaul dengan jiran semasa menghadiri program
seperti itu tetapi tidak bertegur sapa dengan jiran dalam kehidupan seharian.
Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa kalau ada asap, tentu ada api.
Maka, marilah lapangkan jiwa dan minda untuk memikirkan sebab-sebab semangat
kejiranan semakin luntur dalam kalangan masyarakat kini. 

  Umum mengetahui bahawa fakta perdana yang menyebabkan senario ini ialah
perubahan gaya hidup masyarakat kini. Masyarakat kini terlalu sibuk mencari rezeki
untuk menyara keluarga mereka masing-masing. Kos sara hidup yang amat tinggi
serta tekanan yang dihadapi telah memaksa warga kota untuk bekerja sepanjang hari.
Akibatnya, apabila mereka pulang ke rumah pada waktu malam, mereka telah
keletihan dan tidak mempunyai masa yang berlebihan untuk bergaul dengan jiran.
Lama-kelamaan, masyarakat bandar akan semakin bersifat individualistik kerana telah
biasa hidup secara bersendirian tanpa menjaga tepi kain orang lain. Hal ini
demikian kerana mereka tidak mahu membebankan diri dengan mengambil tahu
perkara jiran. Mereka tidak mahu bergantung kepada orang lain. Hal ini bagai enau
dalam belukar, melupaskan pucuk masing-masing. Namun begitu, perkara ini
tidak sama dengan kehidupan masyarakat pada dahulu kala. Mereka lebih
mengamalkan semangat "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" dengan jiran-
jiran kerana corak kehidupan yang bersantai dan kos hidup yang lebih rendah.
Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa jadual seharian
masyarakat yang padat dengan kerja masing-masing menyumbang kepada salah satu
faktor semangat kejiranan semakin pudar. 

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa senario yang berlaku juga disebabkan
oleh kecanggihan teknologi pada era globalisasi ini. Konsep "Dunia Tanpa
Sempadan" telah jelas terbukti dengan adanya rangkaian Internet di hampir seluruh
dunia. Dengan ini, masyarakat hanya perlu menaip kata kunci tertentu pada kotak
pencarian untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan pantas dan mudah.
Malah, masyarakat mampu mendapatkan pelbagai jenis hiburan dengan bermain
permainan video, mendengar muzik atau menonton video melalui komputer, telefon
bimbit atau televisyen. Hal ini menyebabkan masyarakat kurang keluar dari rumah
dan kurang berkomunikasi dengan orang walaupun hanya berada di sebelah. Mereka
begitu asyik menggunakan peralatan ini dan tidak mempedulikan jiran mereka.
Mereka diibaratkan kera sumbang dan akan kekurangan kemahiran untuk
berkomunikasi dengan ramah-tamah. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang
lagi bersuluh bahawa penggunaan alatan teknologi pada masa kini turut
mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa punca lain yang agak jelas ialah sifat
perkauman yang tebal dalam masyarakat. Sesetengah masyarakat tidak suka
mempunyai jiran yang berbeza kaum daripada mereka dan hal ini menyebabkan jiran-
jiran tidak bergaul antara satu sama lain. Mereka mempunyai tanggapan serong
terhadap cara hidup yang berbeza kaum lain. Situasi ini menyebabkan masyarakat
tidak mempunyai rasa hormat terhadap jiran dan menjejaskan konsep kejiranan.
Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak
untuk bergaul dengan jiran yang berlainan kaum. Mereka juga mungkin menghadapi
masalah dengan jiran dan enggan bertoleransi dan memaafkan antara satu sama lain.
Malahan, ibu bapa tidak menerapkan kepentingan mengamalkan kepentingan
semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. Mereka kurang mendidik anak-anak
tentang jiran yang akan menghulurkan bantuan kepada kita apabila menghadapi
masalah. Justeru, anak-anak juga semakin mengabaikan jiran mereka. Oleh hal yang
demikian, ternyatalah bahawa sifat perkauman yang menebal juga merupakan punca
kurangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. 

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan sebab seterusnya,
iaitu masyarakat yang tidak menunjukkan kerjasama dalam aktiviti kemasyarakatan.
Sesungguhnya, pelbagai aktiviti sering dijalankan dalam sesebuah kawasan
perumahan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota masyarakat
seperti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, mengadakan majlis atau
kenduri, Program rumah Terbuka dan Hari Keluarga. Rukun Tetangga yang
ditubuhkan untuk menjaga keselamatan sesuatu perumahan juga kurang disertai oleh
penduduk sesebuah kawasan perumahan kerana sikap malas mereka. Amalan gotong-
royong dalam mengadakan sesuatu majlis semakin ditinggalkan, sebaliknya mereka
menggunakan khidmat katering dan menempah restoran dan hotel untuk sesuatu
majlis. Hal ini menutup peluang untuk masyarakat menyumbang tenaga dan sekali
gus kurangnya peluang untuk masyarakat bertemu dan menjalinkan kemesraan.
Masyarakat juga mengambil ringan terhadap aktiviti-aktiviti tang diadakan. Dengan
bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa
masyarakat yang kurang mengambil bahagian terhadap aktiviti kemasyarakatan
menyebabkan kurangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. 
  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah pembangunan pesat dalam sesebuah bandar
juga mengakibatkan kelunturan semangat kejiranan. Pada hakikatnya, banyak pusat
beli-belah, pusat hiburan dan taman-taman permainan yang didirikan dalam sesebuah
bandar bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini telah menarik minat
masyarakat untuk berkunjung ke tempat-tempat ini dan menghabiskan masa yang
banyak di sana. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila wujudnya jurang status
sosioekonomi masyarakat. Masyarakat yang berstatus tinggi atau bergaji tinggi akan
memandang rendah jiran mereka yang bergaji kecil itu. Persepsi yang  mengutamakan
status diri menyebabkan kurangnya interaksi sesama jiran. Golongan masyarakat yang
mempunyai kuasa membeli yang tinggi pula menimbulkan perasaan tidak selesa
masyarakat. Keadaan ini menyebabkan hubungan mereka semakin renggang yang
menyebabkan golongan yang bergaji kecil berasa rendah diri. Justeru, sememangnya
diakui bahawa pembangunan pesat yang terdapat di sesebuah bandar juga
menyebabkan semangat kejiranan semakin pudar. 

  Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, memang tidak dapat dinafikan


bahawa terdapat banyak faktor yang menyebabkan kelunturan semangat kejiranan
dalam sesebuah masyarakat. Jiran dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi
daripada pancaran matahari. Orang tua-tua juga pernah berkata bahawa jiran
tetangga yang baik merupakan adik-beradik kita di dunia dan di akhirat. Hal ini
disebabkan mereka merupakan orang yang pertama menghulurkan bantuan kepada
kita apabila kita menghadapi masalah. Kita tidak dapat berlari daripada realiti hidup
bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain. Sesungguhnya, benarlah bicara pendeta
bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Semangat
kejiranan sememangnya penting dalam kalangan masyarakat untuk memupuk
perpaduan dan seterusnya menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial, bak kata
pepatah "kuat akar kerana tunjang, kuat tunjang kerana akar". Kita tidak
haruslah menjadikan tanggapan yang negatif, hasad dengki, mempunyai prasangka
buruk dan salah faham yang pernah berlaku sebagai halangan untuk menjalinkan
semangat kejiranan. Sebagai jiran yang prihatin, kita hendaklah buang yang keruh
dan ambil yang jernih untuk memanfaatkan semangat kejiranan kerana "Jiran
Sepakat Membawa Berkat". 

Anda mungkin juga menyukai