Anda di halaman 1dari 5

Masalah jerebu merupakan fenomena cuaca yang dialami oleh negara kita saban tahun.

Fenomena ini seolah-olah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda negara. Bincangkan punca-punca berlakunya masalah jerebu dan kesan-kesannya . Analisis soalan: Tema/Isu : Masalah jerebu Tugasan : bincangkan punca-punca berlakunya jerebu dan kesan-kesannya Format : tiada (perbincangan) FAKTOR JEREBU Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang . Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu. Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat

sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita. Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asapasap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi. Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia telah banyak membawa perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam keghairahan mengejar arus modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita yang sering mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah menjadi polemik orang ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering terlintas di fikiran kita ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak jawapan yang berlegarlegar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang semakin serius ini perlu diatasi dengan segera kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak kerajaan memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan membakar sampah sarap secara terbuka manakala pemaju kilang yang membiarkan pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis perlu dikenakan hukuman yang lebih berat. Biarlah mereka menerima pengajaran supaya lebih peka terhadap isu jerebu yang semakin kronik ini, kerana sudah terhantuk baru tengadah. Pemaju-pemaju kilang yang mengamalkan sikap sebegitu bukan sahaja harus dikenakan saman yang lebih tinggi, malah premis kilang mereka harus disita. Bagi memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan turut perlu mewajibkan setiap kilang perindustrian supaya memasang sistem penapisan asap dalam kilang mereka untuk mengurangkan penyaluran habuk dan gas-gas toksik ke dalam udara. Pada masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar haruslah menggemblengkan tenaga dengan organisasi bukan kerajaan untuk menjalankan kempen kesedaran yang lebih efektif secara giat. Kempen kesedaran ini bukan sahaja dapat menyedarkan orang ramai tentang perbuatan mereka yang menyumbang kepada masalah jerebu, malah kempen tersebut mampu membekalkan mereka dengan informasi tentang langkah-langkah yang patut diambil oleh setiap individu untuk membantu dalam mengatasi fenomena jerebu. Tuntasnya, kerajaan menjadi pemangkin perdana bagi memastikan masalah jerebu dapat ditangani dengan cara yang efektif. Selain itu, tindakan kerajaan yang lain dalam menangani masalah jerebu ialah pembenihan awan perlu dilaksanakan demi menyekat keadaan jerebu daripada menular. Akibat daripada fenomena El-Nino, cuaca kering dan kemarau telah melanda Malaysia. Keadaan ini memburukkan lagi keadaan jerebu. Dengan demikian, kerja pembenihan awan terpaksa dilakukan untuk mendapatkan hujan. Apabila cuaca kering, suhu awan menjadi tinggi, titisan air menjadi ringan, Titisan yang sangat ringan ini tidak dapat jatuh ke bumi

sebagai hujan. Oleh itu, iodin perak ataupun ais kering akan ditabur untuk menurunkan suhu awan tersebut. Ais kristal akan terbentuk dan semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, air kristal akan jatuh ke bumi dan bertukar menjadi titisan air apabila cair akibat daripada suhu bumi yang panas. Hujan boleh memainkan peranan penting apabila keadaan jerebu menjadi sangat serius. Hujan dapat membawa bersama jerebu jatuh ke bumi, justeru masalah jerebu dapat diatasi dengan pembenihan awan. Tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam menangani fenomena jerebu. Ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak mereka tentang langkah-langkah mencegah masalah jerebu, menerusi pendidikan tidak formal. Ketika mereka masih di bangku sekolah, anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan memerlukan bimbingan ibu bapa untuk membentuk jati diri mereka yang sempurna. Sebagai memberi teladan kepada anak-anak mereka, mereka perlu memikul tugas untuk memaparkan sikap mesra alam supaya sikap sebegitu tersemai dalam sanubari anak-anak mereka sehingga menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan, bak kata pepatah, alah bias tegal biasa. Berpegang pada prinsip bagaimana acuan begitulah kuihnya, anak-anak akan mengikut sikap ibu bapa sebagai rakyat negara yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam membentuk keperibadian mereka supaya menjadi individu yang mengamalkan sikap mesra alam, ibu bapa juga diamanahkan dengan tugas menyuburkan nilai-nilai murni, seperti nilai bertanggungjawab dan nilai peka terhadap isu-isu alam sekitar dalam jiwa anak-anak untuk menyedarkan anak-anak tentang tanggungjawab mereka dalam memelihara kebersihan udara. Ibu bapa turut diberikan tanggungjawab untuk membuka mata anak-anak mereka terhadap isu jerebu melalui penyertaan dalam kempen-kempen kesedaran kerajaan. Melalui langkah tersebut, anak-anak akan didedahkan kepada perkara serius ini sejak umur yang kecil lagi, malah hal ini membantu mereka memahami impak jerebu terhadap negara supaya mereka dapat menghulurkan bantuan dalam usaha menangani masalah jerebu. Maka, peranan ibu bapa dalam usaha mengatasi fenomena jerebu turut mendatangkan impak positif kerana mereka menjadi penentu sahsiah generasi muda. Selain kerajaan dan ibu bapa, pemimpin-pemimpin negara perlu bertemu dengan pemimpin dari negara jiran dan berbincang tentang kesan-kesan yang disebabkan oleh pembakaran hutan serta mencari cara penyelesaian masalah bersama-sama. Pemimpin negara Indonesia boleh memainkan peranan dengan merancang pembakaran hutan dengan teliti dan memikirkan cara mengurangkan implikasi negatif yang dibawa oleh pembakaran hutan. Mereka juga patut melarang pembakaran hutan dan mengenakan hukuman yang berat terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut. Dengan melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang tersebut, maka masalah jerebu dapat diringankan. Sebagai rakyat Malaysia kita boleh memainkan peranan kita dengan tidak membakar sampah sarap secara terbuka. Hal ini kerana asap yang dihasilkan melalui pembakaran sampah sarap merupakan antara penyumbang kepada jerebu dan sebagai akibatnya kesihatan manusia akan terjejas dan membawa kepada pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong, penyakit asma, pneumonia, barah paru-paru dan sebagainya. Di samping itu, kita boleh melibatkan diri dalam aktiviti menyelamatkan alam sekitar dengan menanamkan tumbuhtumbuhan di sekitar kawasan rumah. Dengan adanya kerjasama daripada masayarakat, masalah jerebu pasti dapat ditangani sebelum nasi menjadi bubur.

Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi masalah tersebut, persis kata orang-orang tua, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat berkembang maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan yang sememangnya berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha mengurangkan masalah jerebu dan mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan bersama.

Anda mungkin juga menyukai