Anda di halaman 1dari 2

Faktor-faktor yang menyebabkan jerebu

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini,
masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan
bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolaholah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda
negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah
menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar
Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah
diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu
telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku
sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya
disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , jikalau tiada angin,
masakan pokok bergoyang .
Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialahpembakaran
hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika
memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan
sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan
global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran
hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu
seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan
secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan
membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar
sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya.
Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah
separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.
Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa
kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini
dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah
rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka
sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat
pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah
mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap
daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah
jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan
kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa
asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup
angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini
melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.
Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan
tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di
Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak
dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua

tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan
kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini
merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak
dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi.
Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan
jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari
paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di
lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara
menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.
Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang
tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung
pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan
negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan
ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan
wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang
dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi
sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi
ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap
yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang
yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan
jerebu di negara kita lagi.
Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan
yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula
jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan
oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini,
sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar
kawalan persis kata orang tua-tua, sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya masalah
jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan
nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk
menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat
sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu
ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari
sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna.
Posted by ZAREENAS BLOG at 8:38 PM

Anda mungkin juga menyukai