Anda di halaman 1dari 5

Soalan berfokus diri

Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak
baik kepada generasi akan datang.
Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Gunakanlah masa yang ada


Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara

Sebahagian daripada lirik lagu Remaja persembahan kumpulan nasyid Unic saya
petik untuk menggambarkan kemaslahatan peranan remaja pada masa ini. Lagu yang
menyuntik semanagat ini menyeru para remaja agar menggunakan masa dengan sebaiknya
dan mempunyai azam yang kuat demi memajukan diri masing-masing . Melalui usaha yang
gigih dan tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah
yang terpuji , remaja akan menjadi warga yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan
nusa. Hal ini demikian kerana menurut Menteri Belia dan Sukan, Dato Ahmad Shabery
Cheek, belakangan ini, remaja begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada
dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa
dan masyarakat ataupun konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin
mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh negara. Pergolakan antarabangsa yang
berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah remaja kita. Remaja yang rata-ratanya
mempunyai semangat inkuiri atau ingin tahu yang tinggi berserta perlakuan untuk mencuba
sedaya upaya sehingga berjaya bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai
ke pangkal lengan, perlu dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar baik melalui diri sendiri,
ibu bapa, guru-guru, masyarakat mahupun kerajaan memandangkan remajalah yang bakal
memegang tampuk pemerintahan negara ini lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara
yang unggul dan terbilang. Negara memerlukan remaja yang mempunyai nilai mandiri dan
jati diri yang utuh di samping berdaya saing serta berfikiran kreatif dan inovatif. Namun
demikian, amatlah malang kepada negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan
sentiasa mendukung panji Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara kini dikaitkan
dengan isu kenakalan. Perbuatan yang melanggar norma, aturan atau hukum dalam
masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan membawa petanda yang tidak baik
kepada generasi akan datang bak kata pepatah, air perabung mengalir ke cucur atap. Isu ini
begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga seorang insan yang bergelar remaja
justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar memiliki
ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.

Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan
mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan
diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah swt. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan
ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh
dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu
Albert Einstein (walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan bahawa agama
tanpa ilmu adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu
dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu
tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah
dikurniakan oleh Allah swt. Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan
memahami Al-Quran, mengkaji hadis-hadis dan menyelami sirah nabi serta para sahabat.
Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu
pastinya akan menjadi sumber primer saya bagi membina pemahaman yang kukuh tentang
kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan
dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti
memahami nilai yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari . Nilai-nilai seperti
ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri
saya membina peribadi mulia . Pengajaran daripada Al-Quran dan hadis mampu merobah
mana-mana perlakuan saya yang sebelum ini yang dianggap bejat atau kurang memuaskan
kepada perlakuan yang positif atau terpuji. Jikalau saya tidak memahami kandungan Al-
Quran ataupun hadis, saya akan berjumpa dengan ustaz atau ustazah yang mempunyai
pengetahuan yang luas berkaitan dengan agama yang suci ini. Saya akan meluangkan masa
untuk pergi ke perpustakaan bagi mendalami ilmu agama kerana di perpustakaan, suasananya
yang hening mampu menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa. Dengan mendalami ilmu
agama, saya yakin saya mampu membentuk sahsiah diri yang terpuji kerana saya akan
memperlihatkan kesopanan berbudi bahasa, kemanisan berkata-kata dan kemampuan
memberikan buah fikiran dengan penuh tertib serta matang berlandaskan akhlak Nabi
Muhammad saw. Jelasnya, saya akan terhalang daripada menjadi penyumbang petanda yang
tidak baik kepada generasi akan datang.

Selain itu, satu lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan
menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan
yang paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya
ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap
saya bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama sembilan
bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah
bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang
dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang atau Si
Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada ibu
bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan
yang terbuka dan hati yang lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan
memberontak dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan
berbincang dengan cara yang paling baik atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala
permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih.
Allah telah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat
baik kepada mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk
ayat 23 yang menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara
menyatakan bahawa remaja boleh membina peribadi mulia dengan mentaati ibu bapa melalui
perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka dan menjauhkan diri daripada perilaku
yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib
ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah
kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa
membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw. yang bermaksud : Sesiapa yang ingin
dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu
bapanya dan menyambung tali silaturahim." Jelaslah bahawa mentaati ibu bapa mampu
menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan terhalang daripada
melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.

Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah
dengan menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi
bergelar pelajar, saya akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada
mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan
berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang sebaiknya dan berguna. Guru telah banyak
berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula daripada mereka mengajar
kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang
saya lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata
cendekiawan Wellington iaitu, Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya
tetapi bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat,
bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya
menjadi insan berguna yang mampu mendaki menara gading . Bukan sahaja guru ialah ibu,
bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, penasihat dan pembimbing malahan guru adalah
segalanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-
anak muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu,
pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Dengan ilmulah
manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai
khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga
peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris
para nabi. Justeru dengan menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan
bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan
taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama
rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain
keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan
dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya akan menjaga atau memelihara hubungan yang
baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna
kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu sensitif
terutama isu agama. Saya akan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang telah
mengorbankan banyak nyawa yang berpunca daripada rusuhan kaum. Saya akan memberikan
pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik
dan telah membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya
perlu berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang
berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan
meramaikannya seperti kata pepatah berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali
dicari. Saya akan menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat segi dorongan, nasihat,
ilmu dan sebagainya kepada orang lain. Rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok apabila
berkawan dengan saya sekiranya saya tidak bersikap bagai buntal kembung. Apabila saya
menjalinkan hubungan baik dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada
dalam kamus rutin hidup saya sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang
mempunyai sahsiah terpuji.

Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk


mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak
bermoral . Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan
perkara yang negatif yang mampu keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri,
keluarga, bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya oleh hasutan syaitan yang
membisikkan kata-kata bermadu kepada anak Adam agar melakukan dosa. Saya sentiasa
awas bahawa syaitan telah berjanji akan menyesatkan umat manusia dek sebab Allah swt.
telah mencampakkannya keluar dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam.
Kesombongan merajai hati syaitan dengan alasan dia diciptakan daripada api manakala Adam
daripada tanah. Kedegilan syaitan kian hari kian diwarisi manusia hingga pelbagai kebejatan
moral dan perlakuan hedonisme mewarnai kehidupan menjadikan nilai-nilai nurni jelas nyata
dikesampingkan. Saya tidak mahu terjebak dalam kancah yang serba menyesakkan nafas
dan boleh memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang Muslim yang cemerlang dan
memiiki sahsiah yang terpuji. Menteri Belia dan Sukan, Dato Ahmad Shabery Chee pernah
menyuarakan pendapat bahawa , Para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan
peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana
sahaja pada bila-bila masa. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada
pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas aurat dan menjaga
hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. First impression orang lain terhadap kita
amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar.

Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan


meningkatkan mutu akhlak dalam kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas
ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan
mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip yang saya
pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji.
Pemupukan sahsiah diri ini saya yakin akan membentuk saya menjadi seorang yang beriman
dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai kerohanian yang
amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah saw. Mutiara kata ulamak
tersohor Hamka akan saya jadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Katanya, Aku
hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya,
memperkemas dadanya teapi tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak
akalnya. Tidak akan saya lakukan perkara yang sia-sia yang bisa menyesatkan saya
daripada landasan yang benar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan
akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup saya. Semoga isu kenakalan remaja
akan lenyap agar tidak lagi menebarkan sayap negatif kepada generasi akan datang bak kata
peribahasa Sebab nila setitik rosak susu sebelanga

Anda mungkin juga menyukai