Anda di halaman 1dari 9

Dimensi Diri : Usaha Menggembirakan Ibu Bapa

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.


Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas menunjukkan
bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia
yang melahirkan kita dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.
Mereka merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai
pernah berkata bahawa, ”Tiada anugerah yang lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada
anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar
pengorbanan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Sebagai anak yang
bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk
membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit.. Satu
perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita
agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan
harapan ibu bapa tercapai?
Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah saya akan
belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan
sepenuh perhatian semasa guru sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami,
saya akan bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang
akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang
dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti
dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi yang penuh dengan persaingan
ini, amat penting bagi seseorang mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain
terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian
akademiknya. Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan
setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum
menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana ada
kemahuan di situ pasti ada jalan. Pada masa yang sama, saya juga akan memberi perhatian pada perkara
yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan
akademik bukanlah segala-galanya. Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang. Tegasnya,
saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi membanggakan ibu bapa.
Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan.
Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa dan berkeyakinan tinggi
dalam usaha mencapai kejayaan. Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam
kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, malahan perlu menjadi seorang yang
cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati
ibu bapa, guru-guru, jiran tetangga dan orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan
hubungan saya dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya juga
akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti mengucapkan selamat kepada
mereka. Sahsiah yang saya miliki ini pasti akan menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata
pepatah, “akhlak yang baik seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas
dalam diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri
dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya akhlak seseorang
itu buruk, walau betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani.
Jelasnya, amalan berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama sekiranya ingin berjaya
dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh membolehkan saya mempunyai benteng keimanan
yang kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya daripada pengaruh negatif yang dapat menjejaskan
kehidupan saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk
melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini demikian kerana
Allah sentiasa menyeru hamba-Nya untuk melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi perkara yang buruk.
Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai
matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya pada masa hadapan.
Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang
yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya,
saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Tegasnya, saya akan berpegang teguh kepada
ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk
menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan
dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya
akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta
matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya
akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan
pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah
diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil
daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak
dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai
semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan
tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya
juga dapat bergantung kepada rakan-rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan
menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya untuk
membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan nasihat yang berguna dan bukannya
menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan
stres. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang
kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya
tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar dapat memenuhi
impian dan harapan ibu bapa.
Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibnu Khaldun pernah
berkata bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan
sesebuah negara”. Hal ini jelas menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan
kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan
pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan tahap pemikiran diri
saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata kerana selain boleh membantu
saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu
pengetahuan luas. Secara langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba
memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi sikap malas. Saya akan
mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan
usaha, tangga kejayaan. Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya
mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam pekerjaan kelak, saya
akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka.
Akhir sekali, saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong dan
memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa
sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar
bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin
akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka
terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas
dalam masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka
agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal buat
seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga dan dorongan saya untuk mengejar impian dan cita-
cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berpeluang
untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat
ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan
berlaku ke atas diri saya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk mencapai impian dan kejayaan
dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh. Saya akan berusaha memastikan agar
impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus, saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa
saya. Charles Dickens pernah berkata bahawa “kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan
melalui hutan rimba.” Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia
boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya,
kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan cita-cita sebagai kenyataan
kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Dalam menghadapi dunia semakin mencabar ini ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang penting dalam
kehidupan seseorang.
Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menambahkan ilmu pengetahuan.
"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad" dan " Ilmu Jambatan Hidup" .
Itulah antara dua kata-kata yang membuktikan bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan manusia. Pada
zaman kini, jika saya itu tidak mempunyai ilmu, saya akan ketinggalan dan akan mengalami kesusahan dalam
kehidupan, saya boleh diibaratkan seperti katak di bawah tempurung akan sentiasa ketinggalan dalam
berbagai aspek kehidupan sama ada aspek sosioekonomi, mahupun sosiobudaya. . Untuk memperoleh serta
mendalami ilmu, saya perlu berusaha dengan gigih kerana ilmu tidak datang sendiri melainkan dengan usaha
yang berterusan. Bak kata peribahasa Melayu, yang bulat tidak datang menggolek dan yang pipih tidak
datang melayang. Menurut Hadis, Rasululah pernah meriwayatkan tuntutlah ilmu sehingga ke nagara
China. Berdasarkan kenyataan di atas, sudah terang lagi bersuluh, ilmu pengetahuan amat penting dalam
kehidupan dan saya perlu berusaha untuk menggapainya, bak kata peribahasa Melayu genggam api biarlah
jadi arang, menjeluk perkasam biarlah sampai ke pangkal lengan, begitulah konsep sepatutnya
menjadi pegangan saya lakukan untuk mengembangkan ilmu di dada. Bahkan juga, ilmu pengetahuan mampu
mengubah kehidupan keluarga saya terutama untuk memecah kepompong kemiskinan keluarga yang sering
menghantui keluarga saya mayapada. Sekiranya saya tidak mengambil kesempatan mengubah kehidupan
keluarga saya dengan meningkatkan ilmu pengetahuan, sudah pasti kehidupan keluaraga saya tidak akan
berubah dan berada pada takuk yang lama. Persoalannya, bagaimanakah kita mampu untuk menambah ilmu
pengetahuan?

Mari kita bersama-sama mengupas isi pertama saya iaitu cara saya memperoleh ilmu pengetahuan
ialitu melalui pembacaan. Hal ini kerana ayat pertama yang diturunkan Allah kepada junjungan besar Nabi
Muhammad ialah surah Al-Alaq.Wahyu tersebut disampaikan oleh Malaikat Jibrail dengan berkata, 'Bacalah
wahai Muhammad! ' Beliau bersabda: "Aku tidak pandai membaca." Sabda Rasulullah lagi, lalu malaikat
memegang dan memelukku erat-erat, ketika aku merasakan kepayahan ia pun melepasku. Sudah terang lagi
bersuluh betapa dalam Islam konsep membaca amat diutamakan selaras dengan Surah Al-Alaq di atas,
Malaikat Jibrail meminta Rasululah membaca walaupun beberapa kali Rasulullah menyatakan bahawa beliau
tidak tahu membaca. Oleh sebab itu, sebagai khalifah di muka bumi saya sebagai generasi yang sedar akan
peri pentingnya ilmu dalam kehidupan seharusnya membudaya membaca dalam kehidupan seharian saya.
Sebagai khalifah pada zaman moden pelbagai cara membolehkan saya memperoleh ilmu dengan membaca
kerana membaca gedung ilmu . Kita boleh membaca secara konvensional dengan membaca buku pelbagai
aspek ilmuan seperti bahasa, matematik, sains dan sebagainya. Seyogia, pada zaman moden ini, maklumat
di hujung jari, dan dunia tanpa sempadan kerana saya boleh melayari pelbagai sumber ilmu
menggunakan pelbagai peranti sama ada dengan komputer riba atau gadjet terkini telefon pintar, dan cara
pembacaan ini bukan sahaja pantas dan murah tetapi bahan pembacaan boleh diperoleh dengan pelbagai
pendekatan sama ada melalui video dengan melayari laman sesawang Youtube, atau melalui bahan
berbentuk bahan bertulis sam ada berbentuk powerpoint, atau melalui teks. Sekiranya saya cakna dengan
maklumat berkenaan sudah pasti saya menjadi orang berilmu kerana orang berilmu diperlukan dalam
kalangan masyarakat kotemporori dan saya akan dihormati. Kesimpulannya, ilmu pengetahuan
membolehkan saya meningkatkan ilmu pengetahuan terutama melalui pembacaan sama ada secara
konvensional iatu yang boleh saya dapati daripada buku, mahupun menggunakan teknologi terkini
menggunakan telefon pintar arau komputer riba.

Mari kita selusuri perbincangan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama
dengan kata kunci isi kedua iaitu cara saya menuntut ilmu pengetahuan dengan memberi tumpuan kepada
sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru ibarat lilin membakar diri untuk menerangi
kehidupan pelajar, justeru adalah sangat malang jika saya tidak mengambil pusing dengan tidak menumpu
perhatian kepada proses pengajaran guru. Selain itu, amalkan bertanya sekiranya kita tidak memahami
penerangan guru kerana malu bertanya sesat jalan dan malu biarlah bertempat. Oleh sebab itu, saya
sebagai pelajar yang proaktif memerlukan saya sentiasa melibatkan diri dalam proses pengajaran dan
pembelajaran kerana dengan langkah sedemikian rupa saya akan menjadi pelajar yang berjaya dan disayangi
guru. Selalunya pelajar dalam kategori ini akan sentiasa mengungguli tempat pertama dalam peperiksaan,
sama dijalankan oleh pihak sekolah atau peperiksaan umum yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan
Malaysia . Bahkan konsep mencatat setiap penerangan guru juga merupakan amalan terpuji kerana
adakalanya penerangan guru tidak ada dalam nota tetapi keluar secara spontan semasa pengajaran guru
kerana proses mengunakan deria telinga untuk mendengar, deria mata untuk melihat dan angota
tangan dan jari jemari mencatat akan memudahkan proses memantapkan ingatan saya semasa
proses pengajaran dan pembelajaran guru semasa di dalam kelas. Menurut seorang pakar psikologi pernah
mengatakan bahawa “ lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka
memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Selain itu,
saya juga perlu mengelakkan diri saya daripada melakukan perbuatan yang menimbul kemarahan guru
seperti bersembang, dan mengganggu proses guru semasa beliau mengajar kerana konsentrasi guru akan
hilang semasa mengajar apabila situasi berkenaan berlaku, dan selalunya pelajar dalam kategori ini akan
berada di belakang pelajar yang berjaya. Kesimpulannya, Jika saya tidak mampu menjadi garam yang
memasinkan ikan, jangan menjadi lalat yang membusukkan ikan.” Maksud peribahasa berkenaan
ialah kita harus tidak menimbulkan masalah kepada orang lain kerana sifat berkenaan amat merugikan.
Tegasnya, sebagai seorang pelajar ingin berjaya, saya perlu memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan
pembelajaran guru di dalam kelas.

Seterusnya saya akan membincangkan isi ketiga di bawah kata kunci membentuk kumpulan
belajar mampu meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang
saya tidak kuasai. Sebagai seorang pelajar yang mendambakan kecemerlangan saya perlu memilih anggota
kumpulan yang akan membatu saya menguasai mata pelajaran yang sukar untuk saya kuasai
kerana berkawan biarlah ramai, musuh jangan dicari. Antara faktor pemilihan rakan untuk kumpulan
saya berkenaan biarlah kalangan rakan yang sealiran dengan jiwa saya, supaya saya berbincang maksudnya
biarlah rakan kumpulan studi saya ini rakan yang boleh membantu saya berbincang berkiatan pelajaran di
luar waktu persekolahan. Seterusnya, rakan yang saya pilih perlu bervariasi kemahiran, maksudnya rakan
yang tersebut perlu menguasai pelbagai mata pelajaran. Apabila semua faktor pemilihan berkenaan diambil
kira, sudah pasti proses pembelajaran berkumpulan akan memberi impak maksima dan perbincangan boleh
dilakukan dengan perkongsian ilmu yang akan dapat meningkatkan penguasaan ilmu pelbagai untuk saya dan
ahli kumpulan perbicangan saya. Contohnya rakan pertama mahir dalam mata pelajaran bahasa Inggeris,
dan saya pula mahir mata pelajaran Bahasa Melayu, rakan kedua saya pula mahir mata pelajaran matematik,
sementara rakan ketiga saya mahir mata pelajaran matematik tambahan, dan rakan kelima mahir mata
pelajaran Biologi. Tepuk dada tanya selera, jika semua faktor pemilihan di atas lengkap sudah pasti aktiviti
pembelajaran saya secara kumpulan akan ceria, di samping perkongsian ilmu akan berkonsep menang
menang dan semua ahli kumpulan akan menerima kesan terutama untuk menguasai pelbagai ilmu.
Peribahasa ada mengatakan "Kawan ketawa senang dicari, kawan menangis
sukar dicari." Konklusinya, saya akan membentuk kumpulan belajar sealiran dengan jiwa saya dan mampu
meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang saya tidak kuasai.

Seterusnya, saya akan membicarakan isi keempat saya di bawah tajuk pemilihan buku hasil karya
pengarang tersohor amat penting untuk saya meraih pengalaman mereka menggapai kecemerlangan dalam
kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh ilmu pengetahuan dalam kehidupan. Hali ini kerana
mereka telah menerbitkan karya ilmiah yang mampu meningkatkan minat dan kesungguhan pembaca untuk
mengumpulkan ilmu pengetahuan untuk menerangi kehidupan serta kesejahteraan masyarakat serata
alam. Antara nama pengarang tersohor Islam yang perlu kita contohi seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun,
Syed Muhammad Abduh, Syed Tahir Jalaluddin, HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik bin Syeikh
Abdul Karim bin Syeikh Muhammad Amarullah. Ketekunan ilmuan tersohor ini untuk menuntut ilmu perlu
perlu saya jadikan budaya dalam kehidupan sayaa. Contohnya Ibnu Sina seorang ulama tersohor Islam malah
pakar dalam bidang perubatan sehingga hasil karya beliau diterjemahkan dalam bahasa latin, Hebrew dan
bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, bak kata pepatah Melayu, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Antara hasil penemuan Ibnu Sina dalam ilmu perubatan ialah beliau telah menemui pengaruh kuman dalam
penyakit seperti penyakit rubella, alahan, cacar, penyakit jiwa, dan menghasilkan ubatan dan preskripsi ubat
yang mujarab untuk digunakan sebagai penyembuhan pelbagai jenis penyakit. Harimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, begitulah jasa ilmuan tersohor Islam yang
menguasai pelbagai ilmu untuk kegunaan manusia sehingga ke zaman moden ini. Intihanya, pemilihan buku
bacaan terutama hasil karya ilmuan Islam tersohor mampu meningkat usaha saya untuk menghasilkan
penemuan baru dalam apa juga bidang ilmu terutama untuk kejahteraan masyarakat negara malah untuk
masyarakat dunia amnya.

Selanjutnya, perbicaraan saya menjurus kepada membicarakan isi kelima iaitu untuk menambah
ilmu pengetahuan saya perlu mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah.
Sebagaimana kita sedia maklum, banyak pusat tuisyen boleh menjadi medan untuk saya meningkatkan
pengetahuan ke arah seorang pelajar berjaya dalam pelajaran. Setiap tahun, pusat tuisyen tumbuh bagai
cendawan selepas hujan. Kenapa situasi ini berlaku? Antaranya, ibu bapa dan pelajar sedia maklum, tenaga
pengajar yang mengajar di pusat tuisyen adalah dalam kalangan guru-guru berpengalaman mengajar dan
kebanyakan mereka menjadi penyemak kertas peperiksaan berdasarkan bidang ilmu mereka, justeru ibu
bapa berusaha untuk melaburkan duit mereka untuk kecemerlangan anak-anak mereka dengan menghantar
anak-anak mereka ke pusat tuisyen. Tindakan ibu bapa ini umpama di mana ada gula, di situ ada semut.
Kebiasaannya guru-guru berpengalaman di pusat tuisyen akan mempermudah dan mendedahkan cara-
cara untuk saya menjawab soalan, terutama item-item soalan sukar untuk saya fahami. Oleh sebab itu,
kebanyakan pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang adalah dalam kalangan pelajar yang
mengikuti kelas tuisyen. Selain itu, budaya sekolah cemerlang, sentiasa mengadakan program
kecemerlangan dengan menjemput guru-guru cemerlang, sama ada dalam daerah malah ada yang
menjemput guru-guru cemerlang dari luar daerah dan antara kriteria guru-guru yang dipilih untuk menjadi
tenaga penceramah berkenaan adalah kalangan guru berpengalaman terutama menjadi penyemak kertas
mata pelajaran berkenaan. Dalam kalangan ibu bapa pula, mereka sentiasa menyokong sebarang usaha pihak
pentadbir sekolah untuk mengadakan program kecemerlangan untuk anak-anak mereka. Sokongan ibarat
aur dengan tebing, antara pihak sekolah dengan ibu bapa serta bantuan Persatuan Ibu Bapa Guru, begitu
juga sekiranya program yang dijalankan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen di
tempat tersebut, sudah pasti usaha tersebut akan membuahkan impak yang maksimun.
Kesimpulannya, untuk menambah ilmu pengetahuan saya akan sedaya upaya akan mengikuti kelas tuisyen
atau program kecemerlangan anjuran sekolah untuk kecemerlangan saya dalam pelajaran.

Kesimpulannya, pelbagai kaedah, pendekatan boleh saya lakukan untuk menambahkan


ilmu pengetahuan. Sebagai mana perbicaraan di atas, ilmu pengetahuan boleh diperkembangkan antaranya
saya perlu membudayakan membaca dalam kehidupan seharian saya, di samping itu, saya perlumemberi
tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas, membentuk kumpulan belajar yang
mampu meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang saya tidak
kuasai, pemilihan buku hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk saya meraih pengalaman mereka
menggapai kecemerlangan dalam kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh kejayaan dengan ilmu
pengetahuan, dan untuk menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar, saya perlu mengikuti kelas
tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah. Sudah terang lagi bersuluh, yang pipih tidak akan
datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek, menjolok pekasam biarlah sampai
ke pangkal lengan untuk menggapai kecemerlangan ilmu pengetahuan, justeru untuk menambah ilmu
pengetahuan saya perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana usaha tangga kejayaan.
Penulisan 1 : Dimensi Diri : Prakarsa Mencapai Kecemerlangan Peperiksaan

Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai
kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan.

Permaisuri, Raja, Gajah, Kuda, Kesateria, dan bidak merupakan nama yang tidak asing dalam
permainan catur. Pecatur perlu merancang strategi agar kemenangan dapat diperoleh. Menuntut ilmu juga
memerlukan perancangan yang teliti ibarat seorang pencatur. Murid-murid sebagai insan yang masih
berdenyut, tidak boleh sekadar berdiam diri dan hanya memasang impian untuk mendakap kejayaan. Begitu
juga dengan saya, hidup ini mesti dihias dengan harapan, perancangan dan cita-cita barulah sempurna. Tahun
demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan dipecahkan. Suatu waktu
dahulu, ada calon yang berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu pencapaian yang belum pernah dicapai. Akan
tetapi beberapa tahun kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Saudari Nur Amalina yang berjaya
memperoleh 17A1. Pada SPM 2008 pula, Saudara Azli Azlan dapat mencipta rekod dengan memperoleh
kesemua 21A1 bagi subjek yang diambil oleh beliau. Sebagai pelajar yang berwawasan, saya perlu
mempunyai percaturan untuk mencapai kecemerlangan dalam dunia akademik saya. Persiapan-persiapan
awal amatlah mustahak sebagai persediaan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan
terbilang.
Saban hari angin perubahan mengetuk-ngetuk pintu kehidupan kita. Segala-galanya terus mengalami
perubahan dengan pantas. Yang alpa, yang masih lena dibuai mimpi pasti akan ketinggalan. Setiap murid
perlu memperlengkap diri mencari bekal bagi menghadapi perubahan dengan memastikan diri mencapai
tahap akademik setinggi yang boleh. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan
untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Namun, kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai
sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam
peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang
tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau
mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Agar pelajar
tidak menyesal pada masa hadapan disebabkan gagal memperoleh keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan, mereka mempersiapkan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Oleh itu, sebagai seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan. Persoalannya, apakah modus operandi dan perancangan dan persediaan awal yang sepatutnya
saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?
Langkah pertama yang saya ambil ialah sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar
di kelas. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar, sudah tentu sesuatu
pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Hal ini persis pendapatseorang
pakar psikologi yang pernah mengatakan bahawa “lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah
disebabkan oleh mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran
sedang dijalankan”. Ditambah lagi dengan suasana bilik darjah bilik darjah yang ceria perlu supaya saya tidak
akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya
oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya ulangi. Saya juga menyiapkan segala kerja rumah
yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya
juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang faham
kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan
kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa
mengemukakan soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka.
Tegasnya memberi tumpuan ketika guru mengajar dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru
merupakan satu langkah dan persediaan yang sedang saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan.
Selain itu, saya menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar
dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar
menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk
mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah,
jika saya mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan apabila peperiksaan sudah tiba, hal ini
diibaratkan nasi sudah menjadi bubur. Kita haruslah sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula,
kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan
awal. Manakala pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang
masa dan tidak berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa lalu tidak akan kembali”, maka
mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan dan ini haruslah dielakkan.
Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan
awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru di sekolah, barulah saya
bertanya kepada guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga haruslah menghapuskan perasaan
segan bertanya kepada guru-guru di sekolah bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut”, “segan
bertanya sesat jalan.” Malah, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat
tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru di tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik
itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana
ini juga membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala
program yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik
Menjawab Soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah,
saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya,
penyertaan saya dalam program sekolah dan mengikuti kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi
saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk
menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan
dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya
akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta
matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya
akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan
pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah
diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil
daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak
dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai
semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan
tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya
juga dapat bergantung kepada rakan-rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan
menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya untuk
membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan
bukannya menyuruh saya melibatkan diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan
jiwa dan stres. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam
ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia
agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya.
Akhir sekali, saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa
kepada Tuhan. Kata orang-orang tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat
kepada ibu bapa.” Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman.
Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak
kaki ibu. Misalnya, ibu saya selalu menasihatkan saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan
berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya
tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekalipun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan
yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah,
saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan
kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa
saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberiannya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah dan segala perbincangan yang saya rancangkan.
Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang
dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh
kepada kita pada malam-malam yang gelap gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan terutamanya
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, hidup kita sudah tentu teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan
belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan tanpa berputus asa ibarat genggam bara api
biar sampai jadi arang.

Anda mungkin juga menyukai