Anda di halaman 1dari 4

Dimensi Diri : Usaha Menggembirakan Ibu Bapa

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.


Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka
itu tercapai.

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini
jelas menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama.
Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita dan membesarkan
kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.
Mereka merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita.
Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa, ”Tiada anugerah yang lebih berharga yang
diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang
mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan ibu bapa dalam
mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Sebagai anak yang
bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa
bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang
derhaka atau kacang lupakan kulit.. Satu perkara yang amat wajar kita lakukan dalam
kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya dalam hidup.
Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan
ibu bapa tercapai?
Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa
tercapai ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian semasa guru sedang
mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya
kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang
akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka
yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah.
Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan
keluarga. Pada era globalisasi yang penuh dengan persaingan ini, amat penting bagi
seseorang mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain
terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan
pencapaian akademiknya. Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya
meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh
itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya
dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di
situ pasti ada jalan. Pada masa yang sama, saya juga akan memberi perhatian pada
perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar
bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya. Seorang insan yang berjaya
perlu mahir dalam pelbagai bidang. Tegasnya, saya akan belajar dengan tekun dan
berusaha dengan gigih bagi membanggakan ibu bapa.
Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi
bahasa dalam kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah,
tidak berputus asa dan berkeyakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan. Hal ini
demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja
perlu cemerlang dalam bidang akademik, malahan perlu menjadi seorang yang
cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI
yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan
sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru, jiran tetangga dan
orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya
dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya
juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti
mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki ini pasti akan
menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “akhlak yang baik
seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam
diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi
penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat
bahawa sekiranya akhlak seseorang itu buruk, walau betapa cemerlang pun
pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya, amalan
berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama
sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh membolehkan
saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya
daripada pengaruh negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang
teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk melawan
serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini demikian
kerana Allah sentiasa menyeru hamba-Nya untuk melakukan sesuatu yang baik serta
menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan
keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam
hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya pada masa hadapan.
Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk
saya menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh
rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu
bapa dan keluarga. Tegasnya, saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar
dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai
keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa
kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan
seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca
dengan permata dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup
saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka,
saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat
menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta
lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung,
pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan
dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam
pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan
mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya
tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan
terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung
kepada rakan-rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan
menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya
untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan nasihat yang
berguna dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif
yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stres. Maklumlah, seseorang akan lebih
terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan
kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia
agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup
saya agar dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan.
Ibnu Khaldun pernah berkata bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan
seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara”. Hal ini jelas
menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan
kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan
pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan
tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang
dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut
juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara
langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba
memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi sikap
malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi
seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga kejayaan. Saya berharap agar
perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan ibu
bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam pekerjaan kelak, saya akan
mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka.
Akhir sekali, saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya
akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan
sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar
bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan
dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan
mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih
tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa
mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia luar. Maka,
wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri saya tidak akan
menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal buat
seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga dan dorongan saya untuk
mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa
mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya.
Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian
saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan
berlaku ke atas diri saya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk mencapai
impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-
sungguh. Saya akan berusaha memastikan agar impian dan cita-cita saya tercapai dan
sekali gus, saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya. Charles
Dickens pernah berkata bahawa “kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat
jalan melalui hutan rimba.” Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa
hadapan, tetapi manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa
hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita
untuk menjadikan impian dan cita-cita sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya,
tidak hendak seribu dalih.

Anda mungkin juga menyukai