Anda di halaman 1dari 37

TEMA BERDASARKAN BUKU TEKS TINGKATAN 4

Tema 1: MEREALISASIKAN IMPIAN


 
SOALAN:
Setiap individu mempunyai impiannya tersendiri. Sebagai seorang pelajar yang
berwawasan, anda mempunyai impian untuk mencapai kecemerlangan dalam
pelajaran.
 
Jelaskan persiapan-persiapan yang perlu anda lakukan untuk merealisasikan
impian anda itu.

JAWAPAN:
            Sebagai insan yang masih berdenyut, kita tidak boleh sekadar berdiam diri
dan memasang impian dan cita-cita dalam kehidupan ini. Begitu juga dengan saya,
hidup ini mesti dihias dengan impian, harapan dan cita-cita barulah sempurna.
Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta
dan dipecahkan. Suatu waktu dahulu, ada calon yang berjaya memperoleh 16A1,
yakni suatu pencapaian yang belum pernah dicapai. Akan tetapi beberapa tahun
kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Saudari Nur Amalina yang berjaya
memperoleh 17A1. Pada SPM 2008 pula, Saudara Azli Azlan dapat mencipta rekod
dengan memperoleh kesemua 21A1 bagi subjek yang diambil oleh beliau. Sebagai
pelajar yang berwawasan, saya mempunyai impian untuk mencapai kecemerlangan
dalam dunia akademik saya. Persiapan-persiapan awal amatlah mustahak sebagai
persediaan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

            Pertama-tama, saya perlu menetapkan suatu matlamat yang jelas sama ada
dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Saya perlu belajar
memahami diri dari segi kecenderungan, kemampuan, kekuatan dan kelemahan
supaya saya dapat menepati matlamat diri. Manusia tidak merancang untuk gagal
tetapi sebenarnya mereka gagal merancang dek tidak mempunyai hala tuju atau
impian masa depan yang cemerlang. Kebanyakan pelajar pada milenium ini
mengadu bahawa mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi kerana mereka
terlalu sibuk akan pelbagai aktiviti selain pelajaran. Istilah tidak ada masa bukan
merupakan alasan yang jujur kerana pada dasarnya kita semua memiliki masa 24
jam setiap hari. Yang perlu ditingkatkan sebenarnya ialah usaha kita untuk
membahagikan masa dengan lebih cermat dan berhemah. Kita digalakkan membuat
jadual waktu dan menuruti jadual itu tanpa gagal agar perjalanan hidup seharian kita
sistematik, berdisiplin dan seimbang. Kita perlu membahagikan masa kita untuk
membuat ulang kaji, beriadah atau bersenam, dan berinteraksi dengan ahli keluarga
secara seimbang. Jadual waktu kita tidak semestinya penuh dengan aktiviti ulang
kaji dan kelas tambahan, sebaliknya kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat
dengan pelbagai akitiviti yang dapat mengurangkan tekanan hidup seperti
bersenam, menyertai kem, menonton televisyen dan sebagainya.

            Selain itu, semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, saya
perlu memberikan perhatian penuh tanpa kompromi. Pada hari yang sama, saya
perlu membuat nota ringkas untuk memudahkan saya membuat ulang kaji pada bila-
bila masa. Mungkin setiap orang mempunyai cara belajar yang tersendiri dan
berbeza tetapi bagi saya kaedah perbincangan antara rakan sebaya atau belajar

1
secara berkumpulan merupakan kaedah yang terbaik untuk kita mengingati fakta.
Setiap ahli kumpulan mesti bersifat tegas, berdedikasi dan berdisiplin untuk
memastikan tiada perkara lain yang dibincangkan selain intipati pelajaran. Debat dan
perbincangan boleh diadakan sesama sendiri untuk memahami sesuatu topik.
Maklumat yang dikongsi bersama juga mampu mendatangkan impak yang positif
kepada setiap individu.

            Antara amalan lain yang boleh saya amalkan termasuklah rajin menimba
ilmu dan pengalaman. Pada hemat saya, membaca buku dapat meningkatkan daya
fikir dan ilmu pengetahuan bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Saya suka
memilih buku-buku yang bertema berat dan berkaitan dengan kecemerlangan hidup.
Buku-buku yang dikarang oleh Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat yang
terunggul pada abad ini misalnya menjadi pilihan saya pada masa santai. Bagi saya,
pelajar yang menginginkan kecemerlangan tidak boleh malas membaca. Selain itu,
saya juga perlu menjadi pendengar yang baik. Sama ada orang yang sedang
bercakap itu guru mahupun rakan-rakan, saya tetap akan setia mendengar jika
perkara yang diperkatakan itu mendatangkan kebaikan. Sebagai insan pelajar, kita
tidak harus bersikap angkuh ketika menimba ilmu. Sikap rendah diri secara positif
ibarat padi semakin berisi semakin tunduk wajar kita amalkan dalam kehidupan
sehari-hari.

            Bersesuaian dengan era globalisasi, saya tetap tidak akan ketinggalan
menggunakan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi secara positif untuk
menimba ilmu. Saya sentiasa melayari Internet di rumah bagi mendapatkan pelbagai
maklumat. Antara laman web yang saya layari termasuklah portal pelajaran dan
berita tentang hal ehwal dunia semasa. Kadang-kadang saya turut bersembang
siber dengan sahabat pena dan kini sahabat siber, sama ada dari negara kita atau
dari luar negara untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris saya lagi. Kami
juga sering bertukar-tukar pendapat di dalam blog dan media sosial masing-masing.
Prasarana Internet amat membantu saya untuk menambahkan ilmu dan kemahiran
tanpa perlu kita menyalahgunakan kemudahan canggih tersebut.

            Akhirulkalam, kejayaan tidak akan dapat direalisasikan oleh manusia yang
asyik leka dan malas tanpa hala tuju hidup yang jelas dan berwawasan. Sebaliknya,
sebagai insan yang dahaga akan ilmu, pengalaman, dan kejayaan, kita perlu
senantiasa bersikap tekun, gigih dan tabah berusaha tanpa putus asa. Yang paling
penting, kita perlu pasrah, berdoa dan mendapat keberkatan daripada Tuhan, ibu
bapa, dan guru-guru sebelum menduduki peperiksaan agar usaha kita senantiasa
diberkati dan berjaya.
 
SOALAN:
Anda meminati sesuatu bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu,
persediaan awal amat penting sebelum anda menceburi bidang pekerjaan tersebut.
Bincangkan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan.
 
JAWAPAN:
            Era penyejagatan pada masa ini semakin hari semakin berkembang pesat
ekoran sikap manusia yang sentiasa berusaha untuk mencapai dan mendominasi
kejayaan dalam kehidupan. Manusia juga sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa
berputus asa untuk memperoleh kejayaan, bak kata pepatah Melayu, genggam bara

2
api biar sampai jadi arang. Saya meminati sesuatu bidang kerjaya yang amat
mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal adalah amat penting sebelum
saya dapat menceburi bidang pekerjaan ini. Saya perlulah melakukan beberapa
persediaan yang sewajarnya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih
tidak datang melayang.
           
            Persediaan yang afdal yang wajar saya lakukan termasuklah melengkapkan
diri saya dengan kemahiran insaniah yang meliputi beberapa aspek, iaitu kemahiran
berkomunikasi, mempunyai pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah,
kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan
maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran
kepimpinan. Kemahiran insaniah sangat penting untuk melahirkan modal insan yang
kamil dan yakin untuk berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang.
Sebagai contoh, semasa berada di alam persekolahan dan pengajian tinggi, saya
perlulah menggunakan peluang yang ada untuk bergerak aktif sama ada dalam
aktiviti kemasyarakatan, sukan atau kebudayaan. Hal ini adalah kerana kemahiran
insaniah dapat mempersiapkan diri saya dengan kemahiran yang boleh
diaplikasikan pada masa hadapan terutamanya semasa berada dalam alam
pekerjaan. Oleh itu, usaha untuk memiliki kemahiran insaniah amat penting agar
saya dapat berkecimpung dalam bidang yang saya minati itu.
 
            Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya perlu mempunyai daya saing
yang tinggi kerana saya merupakan golongan pemuda-pemudi yang bakal
berhadapan dengan dunia yang kian mencabar ini. Sesungguhnya remaja di
Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara lain. Mereka sememangnya sudah
diajar berdikari sejak kecil lagi manakala remaja di negara kita masih ditatang bagai
minyak yang penuh. Jadi, tidak hairanlah mereka lebih matang dan daya saing
mereka lebih tinggi daripada remaja di negara kita. Menyedari hakikat ini, saya perlu
kental dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai
rintangan. Sebagai contoh, Abraham Lincoln pernah mengalami 13 kegagalan besar
dalam bidang politik sebelum beliau dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang
ke-16 pada usia 51. Kecekalan Abraham Lincoln ini perlu saya contohi kerana di
mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya juga mesti membekalkan diri saya
dengan semangat juang yang tinggi untuk mencapai matlamat saya. Saya perlu
berupaya untuk menghasilkan teknologi dan robotik yang setanding dengan remaja
yang lain. Jelaslah membuktikan bahawa seseorang yang ingin mencapai kejayaan
dalam bidang yang diceburi perlulah memiliki daya saing yang tinggi.
 
            Selain itu, saya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam
terhadap bidang pekerjaan yang bakal saya ceburi itu. Hal ini adalah kerana
ketinggian ilmu yang saya miliki dapat memastikan jati diri saya tidak mudah
rapuh. Sejak kecil lagi, rakyat Jepun telah didedahkan dengan amalan membaca
kerana mereka percaya bahawa membaca itu jambatan ilmu. Hanya dengan
membaca, mereka berupaya memajukan negaran mereka dengan pelbagai
teknologi moden yang canggih. Jadi, saya perlu banyak membaca buku-buku yang
berkaitan dengan bidang yang saya minati. Saya percaya bahawa ilmu pengetahuan
yang tinggi mampu mematangkan saya untuk mengatur setiap langkah
kehidupan. Sememangnya pelangi hari ini tidak mampu berjanji untuk muncul pada
hari keesokan. Oleh hal yang demikian, saya perlulah meningkatkan pengetahuan

3
dan keyakinan saya bagi merealisasikan impian saya untuk menceburi bidang
kerjaya yang mencabar dan berisiko.
 
            Seperkara lagi, saya perlulah sentiasa sensitif dan prihatin terhadap isu
semasa. Saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung. Hal ini adalah
supaya saya lebih peka terhadap masalah yang kian menular seperti cendawan
yang tumbuh selepas hujan sama ada di negara kita atau di luar negara. Dewasa ini,
banyak jenayah yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh, kes pembunuhan
Datuk Sosilawati, seorang jutawan dan rakan-rakannya yang telah dibunuh tanpa
perikemanusiaan. Sebagai iktibar, saya perlu lebih berhati-hati dalam mengharungi
kehidupan yang penuh pancaroba ini terutamanya ketika menceburi bidang kerjaya
yang lebih mencabar dan berisiko. Jadi, saya mestilah memiliki semangat inkuiri
yang kuat dan tinggi supaya saya sentiasa lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu
yang berlaku di sekeliling saya. Hal ini dapat dicapai sekiranya saya rajin membaca
surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui isu-isu semasa. Dengan cara
ini, saya berupaya untuk menangkis sebarang cabaran ketika saya bekerja dalam
dunia pekerjaan yang berisiko dan mencabar.
 
            Persediaan yang seterusnya ialah saya perlu mempunyai minda yang kreatif
dan inovatif. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang yang dapat berfikir di luar
kotak dan berani melakukan anjakan paradigma mampu untuk menongkah arus dan
mendepani cabaran semasa. Sebagai seorang pelajar, kejayaan akademik memang
merupakan satu kepentingan untuk berjaya dalam kehidupan tetapi tidak dapat
disangkalkan juga bahawa mempunyai nilai tambah diri seperti nilai kepimpinan dan
berfikir secara kreatif serta kritis juga signifikan untuk berjaya dalam kerjaya yang
mencabar dan berisiko. Oleh itu, pemikiran saya yang kreatif dan inovatif dapat
menangani cabaran-cabaran yang bakal saya tempuhi kelak terutamanya pada era
globalisasi ini. Saya juga dapat mengemukakan idea-idea yang bernas yang dapat
meningkatkan kualiti kerja saya kelak. Tuntasnya, kemampuan untuk berfikir secara
kreatif dan inovatif dapat membantu saya ketika melibatkan diri dalam kerjaya yang
saya idamkan.
 
Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar saya lakukan sebagai
prasyarat untuk mencapai kejayaan dalam pekerjaan saya nanti. Oleh itu, saya
perlulah menitikberatkan kemajuan diri saya dalam semua aspek sama ada dalam
aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial. Dengan cara ini, saya pasti dapat
menangkis segala dugaan yang mendatang kerana saya percaya bahawa hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semoga impian saya akan menjadi realiti
dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa.

4
Tema 2: INSAN TERDIDIK, NEGARA SEJAHTERA
 

SOALAN:

Sebagai sebuah negara sedang membangun, Malaysia memerlukan rakyat yang


berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi atau insan yang cemerlang.

Huraikan cara-cara yang berkesan untuk melahirkan insan yang cemerlang.

 JAWAPAN:

            Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, negara kita telah
pesat membangun dan bangunan yang mencakar langit telah didirikan bagai
cendawan tumbuh selepas hujan. Namun demikian, pembangunan kerohanian tidak
mengalami transformasi yang ketara secara anjakan paradigma. Untuk
merealisasikan wawasan 2020, Misi Nasional atau Satu Malaysia, kerajaan perlu
menjanakan pembangunan kerohanian untuk melahirkan modal insan yang
cemerlang, terutamanya golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak
negara yang bakal menerajui cerucuk kepimpinan di negara kita. Dalam konteks ini,
modal insan yang cemerlang memerlukan ciri-ciri yang unik, iaitu berintelek,
berakhlak mulia, kreatif dan kritis, berbadan sihat serta memiliki kepimpinan. William
J. Siegel berkata, “Manusia tidak meracang untuk gagal tetapi mereka gagal
merancang.” Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu merancangkan tindakan-
tindakan yang efektif untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat
Malaysia.

            Untuk mencambahkan insan yang cemerlang, ibu bapa memainkan peranan


yang prioriti. Menurut Hadis, anak dibaratkan kain putih yang akan dicorakkan oleh
ibu bapanya. Lantaran itu, ibu bapa yang bertanggungjawab dan memiliki ilmu
keibubapaan berupaya mencanai insan yang gemilang. Terlebih dahulu, ibu bapa
perlu menitikberatkan pencapaian akademik anak mereka. Selain menemani anak
mereka mengulang kaji dan membuat latihan, ibu bapa juga perlu menjadi role
model atau suri teladan kepada anak mereka dalam amalan membaca kerana ke
mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Amalan membaca perlu dipupuk sejak
kecil lagi, persis peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebung”. Banyak membaca
luasnya ilmunya. Ibu bapa tidak patut lokek atau kedekut untuk memberikan pujian
kepada anak atas sesuatu kejayaan. Hal ini dapat memberikan dorongan kepada
mereka untuk mendaki lereng yang penuh dengan onak dan duri hingga mencapai
kejayaan yang cemerlang. Hal ini selaras dengan kata-kata El Leseur, “Tanpa
semangat tidak ada pekerjaan besar yang dapat dilakukan.” Tegasnya ibu bapa
perlu berusaha membimbing anak mereka ke arah kecemerlangan akademik.

             Bagaimanapun, kecemerlangan akademik atau intelek tidak akan membawa


sebarang makna jika tidak dilengkapi dengan sahsiah yang mulia. Ternyata, banyak
golongan yang terdidik turut melibatkan diri dalam pelbagai jenayah kolar putih atau
gejala sosial terutamanya pengagihan dadah dan kegiatan maksiat bagai melukut di

5
tepi gantang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka
menerima ajaran agama dan nilai-nilai murni di rumah. Ibu bapa perlu membimbing
anak mereka menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab suci.
Golongan muda perlu memiliki keimanan yang teguh untuk menjauhi segala godaan
dan nafsu. Pemuda dan pemudi yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan berjati
diri dapat melahirkan masyarakat sakinat yang diidam-idamkan. Dengan kata lain,
ibu bapa hendak membentuk anak remaja yang berakhlak mulia untuk melahirkan
masyarakat penyayang menjelang wawasan 2020.

            Untuk melunaskan hasrat negara, modal insan yang kreatif dan kritis
merupakankomponen yang signifikan. Pihak sekolah berperanan penting untuk
melahirkan insan yang kreatif dan kritis. Sukatan pelajaran dan kokurikulum sekolah
perlu mengalami reformasi dan keluar dari kepompong yang tradisi dan statik.
Dalam dunia ICT, pendapatan Google, Facebook dan Microsoft telah mengatasi
pendapatan negara kita. Produk yang dijual oleh mereka ialah kreativiti dan ilmu
mereka. Hal ini telah membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki tidak akan berguna jika
tidak dicampuri dengan imaginasi yang berani dan praktikal yang berterusan. Ekoran
daripada itu, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar mengemukakan idea
mereka. Pertandingan reka cipta robotik, laman web dan fesyen serta lain-lain lagi
perlu diadakan . Secara tidak langsung, pihak sekolah dan warga didik tidak boleh
lagi bergantung pada buku teks sahaja tetapi perlu bersikap terbuka untuk melatih
anak buah mereka untuk mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.

            Di samping itu, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memastikan generasi muda
kita memiliki badan yang sihat dan cergas. Pihak sekolah perlu memberikan ilmu
pengetahuan tentang cara-cara menjaga kesihatan kerana mencegah lebih baik
daripada mengubati. Pendidikan Jasmani di sekolah perlu dititikberatkan.
Kementerian Pelajaran telah menetap setiap pelajar perlu bergiat dalam satu sukan.
Hal ini merupakan tindakan yang bijaksana. Ibu bapa perlu memastikan anak
mereka senantiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan pemakanan seimbang
seperti kriteria dalam piramid makanan. Sehubungan dengan itu, putera dan puteri
yang sedang berjuang dalam medan ilmu dapat menjauhi penyakit kronik dan
penyakit berjangkit. Badan cergas otak cerdas. Fizikal yang sihat akan
membentuk semangat kental dan waja diri untuk menghadapi pancaroba dalam
gelombang globalisasi. Natijahnya, ibu bapa dan pihak sekolah perlu
menitikberatkan kesihatan dan kekuatan fizikal anak muda kita.

             Sementelahan, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang terancang


untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa . Apakah ciri-ciri seorang pemimpin
yang berwibawa? Tidak lain tidak bukan pemimpin yang berketerampilan perlu
bersikap disiplin, tanggungjawab, amanah, dapat bekerjasama, berinteraksi dan
bermusyawarah dengan orang lain serta berupaya berucap di khalayak ramai.
Dalam situasi ini, pihak sekolah perlu menyediakan satu ruang yang kondusif
kepada pelajar untuk menonjolkan kepimpinan mereka. Setiap pelajar perlu
diberikan peluang untuk menjadi ahli jawatankuasa dalam kelas, persatuan 
kokurikulum  dan  pasukan  beruniform.  Menurut  kata-kata 
mutiara,  “Anda memerlukan sebanyak mungkin pengalaman getir untuk menziarahi
keunggulan anda.” Justeru itu, guru sebagai penasihat harus membimbing pelajar
untuk menjadi pemimpin tanpa banyak campur tangan. Seperti peribahasa, “bumi
mana tidak ditimpa hujan”, pelajar yang bersalah atau bersilap perlu diberi peluang

6
untuk membaiki diri mereka sehingga meminimumkan kelemahan mereka.
Kepimpinan seseorang insan akan berputik setelah dibimbing, diasak, dilatih dan
diberi peluang. Hakikatnya, sekolah merupakan medan yang kondusif untuk
membuahkan modal insan yang bercirikan kepimpinan.

Tema 3: MEMETIK BINTANG


Tema 4: MENJULANG HARAPAN DI BUMI
Tema 5: MEMACU PRODUKTVITI
 
SOALAN:
Produktiviti merupakan elemen yang vital untuk melicinkan pentadbiran dan
meningkatkan kuantiti serta kualiti hasil pengeluaran dalam kehidupan manusia.
 
Bincangkan peranan produktiviti dalam kehidupan kita.
 
JAWAPAN:
            Dasawarsa ini, ramai orang yang ingin menjadi produktif dalam menyiapkan
segala urusan kehidupan. Bahkan dalam sebuah organisasi, produktiviti merupakan
elemen yang vital untuk melicinkan pentadbiran dan meningkatkan kuantiti serta
kualiti hasil pengeluaran. Produktiviti boleh didefinisikan sebagai nilai atau kualiti
output yang dapat dihasilkan oleh satu unit input. Dalam zaman pascakemerdekaan
ini, negara Malaysia telah muncul sebagai kuasa ekonomi yang disanjungi di
persada antarabangsa. Di samping mempunyai golongan penduduk yang dedikasi,
kita juga mempunyai infrastruktur yang mampu meningkatkan produktiviti dalam
pelbagai sektor. Lantas, kita sebagai rakyat Malaysia harus mengelakkan budaya
"automasi" dan mengamalkan fikiran kritis dan konstruktif untuk meningkatkan
produktiviti dalam semua aspek kehidupan.

            Antara peranan produktiviti adalah peningkatan produktiviti dalam sektor


perindustrian. Barang yang dihasilkan dengan menggunakan komputer bukan
sahaja lebih banyak dan lebih cepat, tetapi juga lebih menjimatkan masa berbanding
dengan keupayaan semula jadi manusia. Alat teknologi dapat menjamin kualiti
barangan yang dikeluarkan dengan mengaji mutu barangan dengan tepat dan cepat.
Robot digunakan untuk memasang kereta atau menjalankan kerja-kerja yang
terdedah kepada bahan pencemaran dan radioaktif. Selain itu, kemunculan
penggunaan laser turut memajukan produktiviti dalam bidang perindustrian. Laser
merupakan alat pemecah dan pemotong yang termoden. Laser dapat memotong
batu permata, intan, kaca, malah kepingan logam tanpa mengeluarkan haba, bunyi
dan sisa kotoran. Maka jelaslah produktiviti dalam sektor perindustrian merupakan
hasil daripada penggunaan alat-alat berteknologi seperti jentera canggih dan robot-
robot.

            Selain itu, peningkatan produktiviti dalam sektor pertanian. Melalui


kepakaran dalam teknologi, teknik dan teknologi pertanian akan mengalami
transformasi. Teknik-teknik moden yang efektif dalam bidang penanaman,
penternakan dan penuaian akan membantu meningkatkan produktiviti. Bioteknologi
juga akan membantu dalam penghasilan baka, benih dan racun bagi memajukan
sektor pertanian. Pertanian yang berorientasi intensif teknologi bukan sahaja
meningkatkan kualiti makanan tetapi juga menjamin kelangsungan makanan.

7
Lantas, usaha berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan dapat membantu
memelihara ekologi tanaman yang akan meningkatkan kualiti hidup manusia. Kini,
bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang kejuruteraan makanan
ubahsuaian genetik mempunyai ciri-ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan
bermutu, murah serta dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman.

            Seterusnya, peningkatan produktiviti sistem telekomunikasi. Maklumat dari


sesuatu kawasan boleh dihantar ke seluruh dunia dalam masa beberapa saat sahaja
melalui satelit. Kita tidak perlu menggunakan kaedah kuno seperti melepaskan asap
sebagai tanda isyarat atau memukul kompang untuk menghantar mesej. Sebaliknya,
sesuatu acara sukan atau pertandingan boleh disiarkan secara langsung ke semua
pelosok dunia dengan pantas. Penciptaan telefon bimbit dapat menghantar SMS
dan MMS kepada orang lain dengan mudah dan cepat. Syarikat Celcom, Digi dan
Maxis dengan bantuan satelit dapat membantu pengguna telefon bimbit untuk
menghubungi sesiapa sahaja dalam kehidupan seharian. Penciptaan teknologi laser
turut memainkan peranan penting kerana mengganti peranan kabel dengan optik
fiber. Jalur laser yang lebih luas membenarkan maklumat seperti bunyi dan suara
dihantar dengan lebih cepat dan tepat serta meminimumkan risiko kehilangan data.

            Selanjutnya, peningkatan produktiviti sektor penyelidikan. Pelancaran satelit


dapat mengumpul data, data penting mengenai persekitaran bumi dengan pantas.
Maklumat ini kemudian dianalisis dengan segera oleh komputer untuk menghasilkan
keputusan kajian yang tepat tentang keadaan cuaca, seperti hala tuju angin dan
kelembapan sesuatu kawasan. Ramalan kaji cuaca ini dapat membantu manusia
untuk bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman malapetaka seperti banjir dan
taufan. Berbanding dengan zaman dahulu, ramalan cuaca dilaksanakan dengan
memerhatikan kedudukan matahari pada waktu siang dan bintang-bintang pada
waktu malam. Kaedah ini kurang produktif kerana kedudukannya tidak tertentu. Hal
ini membuktikan bahawa perkembangan pesat dalam tahap teknologi telah
merancakkan peningkatan produktiviti dalam sektor penyelidikan.

            Produktiviti dalam bidang pendidikan juga dipengaruhi. Murid-murid yang


menganggap proses pembelajaran sukar untuk difahami pastinya akan berminat
apabila komputer digunakan untuk menyampaikan pengajaran dalam bentuk grafik
yang berwarna-warni. Teknik pengajaran sebegini direalisasikan apabila munculnya
kemudahan alat ICT di kebanyakan sekolah di Malaysia. Pada zaman sekarang,
para murid dapat menelaah pelbagai isu semasa dunia dengan hanya menekan
papan kekunci. Mereka tidak lagi menjadi katak di bawah tempurung. Murid
didedahkan kepada pengetahuan am yang bukan dari buku teks sekolah sahaja.
Sebagai kesan murid-murid mampu meluaskan il u pengetahuan mereka dan
menjadi insan yang berilmiah dan berkualiti. Lantas, produktiviti dalam pendidikan
pun dapat ditingkatkan.

            Selain itu, peningkatan produktiviti di klinik dan hospital. Doktor boleh
membuat diagnosis sesuatu penyakit dengan menggunakan komputer untuk
memproses butir-butir peribadi mengenai pesakit dan seterusnya mendiagnosis jenis
penyakit yang dihadapinya. Dalam rawatan kesihatan khususnya semasa
pembedahan, teknologi memberikan sumbangan yang besar dari segi melicinkan
kerja pembedahan. Umpamanya bacaan denyutan jantung dan analisis gambar
sinar - x pesakit boleh dibuat dengan serta-merta dengan peralatan canggih. Cara ini

8
dapat membantu menjamin keselamatan dan kejayaan sesuatu pembedahan.
Lagipun, pakar-pakar perubatan dapat menghasilkan ubat yang lebih berkesan.
Mereka dapat mencipta peralatan canggih untuk membanteras pelbagai penyakit
berbahaya pada masa kini. Penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari,
diabetis dan tekanan darah tinggi dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden
dalam bidang perubatan. Dengan cara ini, langkah pemulihan akan dapat dilakukan
dengan segera. Oleh hal yang demikian, perkembangan dalam bidang perubatan
telah meningkatkan produktiviti dan jangka hayat rakyat kita.

            Dalam kehidupan kita, ramai orang ingin lebih bermotivasi dalam kerja dan
ingin mencontohi orang yang cemerlang dan berjaya dalam kehidupan mereka. Kita
mengagumi kehidupan mereka yang tersusun dan terancang. Antara teknik yang
boleh digunakan untuk memastikan masa kita dibahagikan dengan betul ialah
Teknik Pomodoro, Teknik GTD, Teknik Jangan Putuskan Rantai dan sebagainya.
Namun yang paling penting, kita mesti mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk
meningkatkan produktiviti hidup. Sebab itulah, pihak kerajaan menyeru agar rakyat
kita melakukan senaman riadah sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Amalan ini
melahirkan rakyat yang sihat dan produktif. Bak kata pepatah "otak yang cerdas
datang daripada tubuh yang cergas".

            Tuntasnya, dengan adanya inovasi dan perkongsian, produktiviti meningkat


kerana inovasi adalah jantung, berkongsi adalah hati. Maka, Yang Amat Berhormat
Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia meletakkan 'inovasi'
sebagai salah satu mekanisma dalam agenda transformasi pembangunan negara.
Beliau telah memperuntukkan bajet yang positif dan Belanjawan 2013 untuk
merancakkan kegiatan inovasi, peningkatan produktiviti dan keusahawan. Lantas,
setiap lapisan masyarakat haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha
untuk mempromosikan produktiviti kehidupan. Dengan ini, kita dapat membina
masyarakat yang berminda kelas pertama, seterusnya aspirasi negara kita untuk
mencapai Wawasan 2020 mampu diimplimentasikan dan dilestarikan.
 
Tema 6: DUNIA PELANCONGAN

SOALAN:
Pelancongan dianggap sebagai satu industri yang menguntungkan negara.
Kemukakan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan
kedatangan para pelancong ke Malaysia.
 
JAWAPAN:
Memang tidak dapat dinafikan bahawa sektor pelancongan telah
menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara Malaysia. Pihak kerajaan pernah
menjelaskan bahawa sektor pelancongan akan terus menawarkan peluang
pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi  melebihi daripada jumlah yang
dijangkakan. Berdasarkan hakikat itu, usaha-usaha perlu ditingkatkan lagi oleh
semua pihak supaya setiap perancangan yang diatur terhadap industri pelancongan
dapat berjalan dengan lancar.
 
Keistimewaan Malaysia dapat diperhatikan melalui budaya dan etika kerja
penduduknya, bangunan dan perusahaannya, tempat-tempat sejarah yang unik, dan
keindahan alam semulajadinya seperti bukit-bukau yang menghijau, rangkaian pulau

9
yang cantik, air terjun yang bertingkat-tingkat, dan pantainya yang putih bersih.
Keistimewaan-keistimewaan tersebut menjadi faktor pendorong kepada kedatangan
pelancong ke negara kita. Untuk menggalakkan lagi kedatangan mereka, langkah-
langkah yang wajar dan program terancang harus dilaksanakan, seperti membuka
tempat-tempat rekreasi yang baru dan berpotensi, dan melaksanakan pembangunan
di kawasan pelancongan. Ini termasuklah menyediakan prasarana dan kemudahan
penginapan untuk kegiatan pelancongan, serta mengekalkan tempat-tempat
bersejarah. Projek pembangunan semula jadi juga dapat mendatangkan pulangan
yang besar kepada ekonomi negara.
 
Kita juga dapat mengembangkan aktiviti pelancongan melalui usaha-usaha
politik seperti menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara luar yang boleh
dilakukan melalui misi-misi lawatan rasmi. Di samping itu, pihak Perbadanan
Pelancongan Malaysia boleh memajukan industri pelancongan dengan cara
mengedarkan risalah tentang keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di
Malaysia, misalnya tempat-tempat pelancongan yang menarik, tempat-tempat yng
bersejarah, pelbagai kebudayaan kaum, makanan masyarakat setempat, dan
sebagainya. Usaha-usaha promosi boleh dijalankan menerusi penayangan filem-
filem rencana tentang keindahan negara Malaysia. Agensi-agensi pelancongan juga
boleh memainkan peranan dengan cara menawarkan pakej pelancongan yang
berpatutan agar pelancong mudah tertarik dan tidak menghadapi masalah untuk
berkunjung ke negara kita.
 
Di samping kestabilan politik, pihak kerajaan juga harus memastikan
perkembangan ekonomi negara terus meningkat. Oleh itu, pengeluaran pelbagai
barangan tempatan dan industri desa seperti kraf tangan, batik, dan barangan
makanan perlu ditingkatkan. Seterusnya, kemudahan tempat membeli-belah dan
kawasan bebas cukai harus disediakan untuk menampung keperluan pelancong.
Dengan itu, kemudahan-kemudahan tersebut akan menjadikan tarikan kepada
pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Satu perkara lagi ialah pihak kerajaan
perlu memastikan nilai mata wang negara terus berkeadaan stabil.
 
Masyarakat atau penduduk tempatan juga boleh berusaha untuk menarik
minat pelancong. Mereka boleh mengamalkan corak hidup yang harmoni, beramah
mesra, bersopan santun, dan bertoleransi dengan para pelancong. Sikap biadab dan
karenah buruk penduduk tempatan akan memberikan persepsi negatif kepada
pelancong. Para pelancong akan bertindak lebih drastik dengan melaporkan kepada
mana-mana media yang akhirnya menjatuhkan imej negara. Oleh itu, untuk
meningkatkan lagi imej negara, kebersihan setempat juga harus dijaga.
 
            Kesimpulannya, industri pelancongan merupakan satu projek atau program
pembangunan yang menguntungkan negara daripada pelbagai sudut. Sebagai satu
industri yang menguntungkan, faktor-faktor semula jadi yang menarik dalam negara
harus dikekalkan. Manakala semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung
hendaklah mengambil tahu tentang industri ini. Orang awam sekurang-kurangnya
boleh memainkan peranan dengan cara bertegur sapa dengan para pelancong atau
sekadar mengukir senyuman sebagai tanda persahabatan. 

Tema 7: DEMI KEDAMAIAN

10
Tema 8: DALAM LIPATAN KENANGAN

Tema 9: SAYANGI MALAYSIA


 

SOALAN:

Semakin hari semakin terserlah sikap masyarakat yang sudah kurang rasa cinta akan
negara.

Bincangkan usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan


masyarakat di negara kita

JAWAPAN:

            Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada
masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-
masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan
perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu
berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan
pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan
tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita
tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara
dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat
ditingkatkan.

            Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya
adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari
bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar
seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya
semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus
diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita
dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan
perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

            Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan
memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah
dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan
memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata
pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam
kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh
hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid
hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi
pengajian tinggi.

         Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-


besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik
ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik

11
dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di
samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk
menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan
perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang
dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-
pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan
filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat
cinta akan negara.

           Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti


yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di
kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari
kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di
samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum
tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai
bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu
masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan
dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

         Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-
pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman
politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka
yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan
dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil
perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan
menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati
ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak
dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk
dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

         Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah
dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini
penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi
individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki
semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan
negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan
negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam
kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan
mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan
peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam
kalangan masyarakat.

Tema 10: BAHASA BUGAR, SASTERA KEKAR


 

SOALAN:

Amalan membaca dalam kalangan masyarakat semakin hari semakin berkurangan apatah
lagi karya sastera.

Huraikan ciri-ciri sesebuah karya sastera yang dapat menarik minat masyarakat untuk
membaca.

12
JAWAPAN:

Mari kawan, kita membaca,


Mari rakan, timba ilmu dengan membaca,
Itulah perjuangan, sahutlah seruan,
Jadikan membaca gaya wawasan.

             Bait lagu di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya budaya mambaca dalam
kalangan masyarakat. Walaupun begitu, ramai pihak terutamanya pencinta karya sastera
meluahkan rasa kekesalan mereka kerana bahan bacaan terutamanya karya sastera kini
semakin dipinggirkan dan diabaikan berbanding bahan bacaan picisan yang melambak di
pasaran  ‘’bak cendawan tumbuh selepas hujan’’.  Fenomena ini sangat membimbangkan
lantaran hasil karya sastera yang berkualiti daripada penulis-penulis tersohor seperti A.
Samad Said, Usman Awang, Othman Puteh, dan Keris Mas bagaikan tiada nilainya pada
pandangan masyarakat.  Walau bagaimanapun, kebangkitan penulis-penulis baharu yang
menampilkan gaya kontemporari dalam hasil penulisan mereka seperti Nisah Haji Haron,
Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid, dan Hashim Latif telah berjaya mencuri hati
pembaca, terutamanya golongan remaja. Karya mereka yang menarik menyebabkan bahan
sastera kembali menjadi bahan bacaan yang digemari. Apakah keistimewaan dan ciri-ciri
hasil karya mereka sehingga berjaya mengubah fenomena tersebut?

              Pada pandangan saya, hasil karya sastera yang menarik pasti dapat meninggalkan
kesan yang mendalam pada hati pembaca. Ciri-ciri sebuah karya sastera yang berkualiti
dapat dilihat dari beberapa sudut. Kajian yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
mendapati bahawa golongan yang mendominasi bahan bacaan ialah golongan remaja. Oleh
itu, bagi menarik minat mereka untuk membaca sesebuah karya haruslah menampilkan
tema permasalahan remaja. Konflik dalam percintaan, persahabatan, dan kekeluargaan
haruslah dibangkitkan berserta dengan revolusinya agar pembaca dapat mengaplikasikan
apa-apa yang dipelajari melalui bahan bacaan tersebut dalam kehidupan seharian
mereka. Remaja sangat menggemari bahan bacaan yang bertepatan dengan gaya hidup
mereka. Karya seperti  ‘’Puteri Kampus’’ oleh Aisya Sofea  jelas mencerminkan gaya hidup
remaja yang sering memberontak apabila dikongkong oleh keluarga. Jadi tema sesebuah
karya pasti dapat menarik minat pembaca seandainya bertepatan dengan jiwa mereka
kerana mereka akan dapat menyelami perwatakan watak semasa membaca karya tersebut
dan menjiwainya sehingga akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam.

            Pada masa yang sama, sesebuah karya itu akan menarik apabila jalan cerita yang
ditampilkan tidak terlalu meleret-leret dan menimbulkan beberapa unsur kejutan atau
peristiwa yang tidak diduga. Karya yang terlalu panjang dan meleret akan menimbulkan
kebosanan kepada pembaca sehingga akhirnya berkemungkinan mereka akan melangkau
sesetengah muka surat semata-mata untuk mengetahui pengakhiran cerita. Kesuntukan
masa menyebabkan mereka menolak untuk membaca kerana menganggap bahan bacaan
tersebut mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Penambahan unsur tragis atau
saspens merupakan perencah dalam sesebuah karya. Hal ini demikian kerana sifat remaja
yang gemar akan cabaran menyebabkan mereka tertarik untuk menduga jalan cerita bagi
sesebuah karya. Perbezaan tersebut akan menyebabkan remaja semakin berminat untuk
meneruskan pembacaan mereka sehingga helaian terakhir. Dengan cara ini, barulah hasrat
untuk membudayakan pembacaan karya sastera dalam kalangan remaja akan terlaksana
sekali gus sisipan pengajaran akan meresap ke jiwa mereka. Oleh itu, sesebuah karya yang
menarik haruslah mempunyai jalan cerita yang menarik dan tidak membosankan.        

Seterusnya ciri-ciri sesebuah karya sastera yang menarik ialah mengandungi unsur-
unsur imaginasi. Dalam era sains dan teknologi ini, saya dapat mengesan bahawa
unsur tahyul dan imaginasi masih menjadi pilihan pembaca. Jika kita lihat, sinetron ‘’Bawang

13
Putih Bawang Merah’’ yang ditayangkan oleh stesen televisyen TV3 telah mencapai tahap
yang tertinggi dalam senarai rancangan televisyen yang paling diminati. Pada ghalibnya,
masyarakat Malaysia pada hari ini gemar sesuatu yang bertentangan dengan kehidupan
normal. Gaya penceritaan seperti ini banyak terdapat dalam hasil karya Nisah Haji Haron
dan Ramlee Awang Murshid. Sebagai contoh, cerpen ‘’Annyss Sophillea’’ karya Nisah Haji
Haron memuatkan kisah kehidupan manusia dari dua latar tempat yang berbeza, ditambah
dengan kehidupan haiwan mistik seperti unicorn.  Karya Ramlee Awang Murshid pula lebih
menampilkan unsur surealisme seperti dalam karya ‘’Rahsia Perindu’’ dan ‘’Tombiruo’’. Hasil
karya seperti inilah yang sering menjadi pilihan remaja pada hari ini kerana ada
kelainannya. Oleh hal yang demikian, penghasilan karya yang mempunyai jalan cerita yang
unik atau lain daripada yang lain pasti akan lebih menarik minat masyarakat untuk
menjadi santapan minda mereka.               

Selain itu, hasil karya yang menarik haruslah menampilkan gaya bahasa yang indah
dan mudah difahami. Karya sastera yang menggunakan laras bahasa klasik sangat tidak
digemari oleh pembaca, khususnya remaja kerana gaya bahasanya sukar dimengerti.
Penggunaan ayat yang mudah lebih meninggalkan kesan dalam hati pembaca berbanding
ayat yang panjang walaupun gramatis. Nisah Haji Haron contohnya, sering menggunakan
istilah sains dan teknologi dalam hasil penulisannya. Walaupun begitu, istilah yang
digunakan ialah istilah mudah yang sering terdapat dalam mata pelajaran Sains di sekolah.
Hal yang demikian menyebabkan remaja gemar membaca hasil karya penulis ini kerana
dapat mempelajari teknik pengaplikasian istilah sains dalam penulisan. Maka tidak hairanlah
apabila karya yang menggunakan gaya bahasa yang indah dan laras bahasa yang mudah
lebih mendapat tempat dalam hati pembaca.              

Di samping itu,  nilai dan pengajaran dalam sesebuah karya juga perlu diberi
penekanan bagi menghasilkan karya yang menarik dan bermutu tinggi. Karya sastera yang
seronok dibaca tetapi tidak meninggalkan sebarang pengajaran kepada pembaca tidak ubah
seperti bahan picisan yang sekadar menjadi hiburan murahan.  Sesebuah karya haruslah
menampilkan nilai-nilai murni yang dapat memberikan kesan kepada pembaca dan
seterusnya secara tidak langsung membentuk jati diri pelajar bermoral tinggi dalam usaha
melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama. Karya seperti ‘’Pewaris’’ oleh
Rahimidin Zahari sarat dengan nilai-nilai Islamik yang tinggi. Nilai seperti ketaatan,
keinsafan, kejujuran, dan keikhlasan yang ditampilkan mampu menyedarkan pembaca
betapa langit itu tinggi atau rendah. Pembaca dapat menghayati kebesaran dan kekuasaaan
Tuhan melalui Bagia Shaeif selaku watak utama dalam novel ini. Justeru, para penulis
haruslah menitikberatkan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca , bukan sekadar
untuk berhibur,  menitiskan air mata, atau berkhayal di alam fantasi sahaja tanpa berpijak di
bumi nyata.  Dengan itu,sesebuah karya perlulah mengandungi nilai-nilai yang baik supaya
dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian pembaca.              

Sebagai intiha,  dapatlah dikatakan bahawa tidak mudah untuk mendapatkan karya
sastera yang menarik.  Penulis-penulis muda yang semakin prolifik mengasah mata pena
mereka kini sewajarnya lebih peka akan kualiti bahan penulisan yang bakal diterbitkan untuk
dijual dalam pasaran.  Seyogia,  yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan
sempadan. Seandainya lebih banyak karya sastera yang menarik dan berkualiti dihasilkan,
maka sudah pasti budaya membaca dalam kalangan generasi muda akan terus bercambah
dan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan menjelang tahun
2020 tidak hanya tinggal impian atau ‘’menanti kucing bertanduk’’.  Perkara ini tidak mustahil
untuk dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan tidak hanya
berpeluk tubuh mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku dengan sendirinya.

Tema 11: EKONOMI DINAMIK, NEGARA BERWIBAWA

14
Tema 12: ASLI DAN KONTEMPORARI
Tema 13: SEGALANYA BERMULA DI SINI

Tema 14: SIHAT DAN BERSIH PILIHANKU


 
SOALAN:
Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan agar
berada dalam keadaan yang baik.
Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk menjaga kesihatan diri.
JAWAPAN:
Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki
tubuh badan yang sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa
halangan. Anak-anak dapat ke sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari
rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah orang, nikmat kesihatan hanya disedari
apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli
ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan
pula, pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang
seperti “Cendawan tumbuh selepas hujan”. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini
dalam kehidupan, beberapa langkah perlu diambil agar kesihatan kita terjamin.
Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan
adalah dengan menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam
dan di luar rumah hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air
bertakung. Perkara ini akan dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen
penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan
kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam
iaitu kempen “Jumpa Sampah Kutip” dan kempen “Memerangi LILATI (lipas,lalat dan
tikus).” Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang di tempat khas.
Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung dan menjadi
tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit bawaan vektor
seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga kebersihan
persekitaran merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah mencapai tahap
kesihatan yang optimum.
Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan
kesihatan kita berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan,
seseorang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali
setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula
dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk
memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam keadaan sihat dan dapat
mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah tinggi, kencing
manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, “Mencegah lebih baik
daripada mengubatinya”. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini, keadaannya
akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,“Cegah sebelum
parah”. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita
secara berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara
berjadual.

15
Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai
langkah menjaga kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan
seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan
pemakanan iaitu “What you are, is what you eat”. Boleh dikatakan seseorang yang
mengamalkan pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan yang baik.
Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna seseorang mengambil makanan
yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan seseorang.
Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan
dan keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih
kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas,
seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk
mendapatkan gizi seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan
minuman bergas perlu dielakkan kerana boleh memudaratkan kesihatan kita.
Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai tahap kesihatan adalah dengan
mengamalkan diet makanan seimbang.
Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan
riadah. Amalan riadah seperti berenang, joging, menunggang basikal dan kegiatan
sukan lain adalah baik untuk kesihatan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi
Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu
melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi mendapatkan
tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika
setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan istiqamah sesuai dengan
peribahasa, “Alah bisa tegal biasa.” Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot
tubuh akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di
samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman
di taman-taman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas
seharian penat bekerja di pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan
kegiatan senaman secara untuk memperoleh kesihatan yang baik.
Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya
untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-
macam amalan hidup yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara
gaya hidup yang negatif ialah amalan seks rambang dan bebas, melanggani
pelacur, penagihan dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya.
Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup muda-mudi
dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen “Katakan Tak Nak Pada
Rokok” giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang
penyakit seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-lain.
Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat
berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah
kepada cara hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana
kempen “Gaya Hidup Sihat” yang diuar-uarkan oleh kerajaan.
Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan
keutamaan dalam hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk
memperoleh kesihatan yang baik. Antaranya, menjaga kebersihan diri dan
persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan melakukan kegiatan riadah. Kita
haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat
menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi

16
sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogan,
“Rakyat Sihat Negara Sejahtera”.

Tema 15: ANGIN PERUBAHAN MEMBADAI


Tema 16: DIPIMPIN UNTUK MEMIMPIN
 
SOALAN:
Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai
peranan penting dalam membangunkan dan memajukan negara ini.
Ulaskan penyataan di atas.
 
JAWAPAN:
      Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang
merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial.
Ternyata mentaliti generasi muda di negara kita belum lagi mengalami anjakan
paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara
sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi
mudanya pada hari ini.” Mantan Presiden Indonesia, Soekarno pernah
mengungkap,  “Jika diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu
menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang
muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia”. Bait-bait susunan retorik yang
penuh puitis ini telah menjadi satu menifestasi dalam usaha membangunkan
golongan belia dan generasi muda. Ternyatalah di sini bahawa remaja mahupun
golongan belia yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan
bangsa. Oleh itu, saya perlu memainkan peranan saya dengan penuh
tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.
 
      Peranan saya yang signifikan ialah saya perlu belajar bersungguh-sungguh
untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik
merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan yang pemimpin
negara yang berkualiti demi menjamin masa hadapan negar yang cerah
terutamanya dalam aspek pembangunan negara. Intelek merupakan faktor
perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu,
saya perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut
segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui
pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia
maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai
kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung.
Saya juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk
dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati
mati, ikut rasa binasa.  Seorang tokoh cendekiawan Islam pernah berkata bahawa
petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat 
mencintai hiburan Tegasnya, tanpa remaja dan golongan yang bijak pandai maka
pembangunan negara akan terbantut. 
 
      Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat
menjamin pembangunan negara jika generasi muda kita seperti saya tidak memiliki
kesihatan fizikal dan mental yang seimbang. Generasi muda yang ingin

17
membangunkan negara perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi
segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, muda-mudi
negara perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal
istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan
generasi muda di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, saya
patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan
persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai
angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-
lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja
mahupun golongan belia harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak
ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat
bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, muda-mudi negara yang
sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan
negara.
 
      Selain itu, saya juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur.
Golongan muda harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, saya haruslah
mengamalkan segala suruhan agama dan meninggalkan semua larangan agama.
Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan
sosial. Saya mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan dan menjauhkan diri
daripada melakukan perkara yang mungkar seperti menagih dadah, berzina dan
mencuri.  Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, golongan
muda juga harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat
sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua
dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam
serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Dalam konteks ini, saya dapat
membantu pembangunan negara dengan memastikan negara bebas daripada
ancamana masalah sosial. Dengan kata lain, golongan remaja dan belia negara
harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar
dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya
pada suatu hari nanti.
 
      Seperkara lagi, saya juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu
pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka
yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu
dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan
maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan
menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, golongan remaja dan
belia kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli
dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan
galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun
demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu
disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam
pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan
berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan
negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang
kreatif dan inovatif.
 

18
    Akhir sekali, saya juga dapat memainkan peranan saya untuk membangunkan
negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila kita mempunyai
sifat sedemikian, kita lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain.
Dalam nada yang serupa, kita dapat memberi kesan kepada negara kita. Kita dapat
menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Kitalah yang akan
menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi
mewujudkan kesejahteraan sosial. Sebagai contohnya, saya mestilah sentiasa
mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi
negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu
bangsa satu bahasa dan satu negara. Hal ini bermakna saya perlu mengamalkan
perpaduan sama ada di sekolah atau di tempat-tempat lain. Dengan ini,
keharmonian negara dapat dipelihara dan pembangunan negara dapat dijalankan
dengan lancar dalam suasana negara yang aman harmoni. Maka, sifat keterbukaan
golongan muda yang belum keras ubun-ubunnya sudah pasti dapat memudahkan
mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh
komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.
 
      Secara intihanya, semua remaja dan belia negara termasuklah saya mempunyai
tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjanakan pembangunan
negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Pemusa-pemudi
negara merupakan tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah
merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja dan belia yang berkualiti
akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika mereka tidak diasuh, dibimbing
dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar
imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, generasi yang
merupakan aset negara ini perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta
melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri
sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita
dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara
maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.

SOALAN:

Ungkapan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” lumrah disebut kepada
golongan remaja untuk memberi semangat supaya mereka mengambil bahagian
aktif dalam pembangunan negara.

Huraikan ciri-ciri kepemimpinan yang perlu dimiliki oleh seseorang remaja sebagai
bakal pemimpin masa depan negara.

JAWAPAN:

        “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.  Sudah terang lagi bersuluh
bahawa pemuda-pemudi dalam negara kita merupakan individu yang bakal memacu
pentadbiran negara pada masa hadapan. Dalam mencapai status negara maju pada
tahun 2020, pelbagai cabaran dan konkurensi yang sengit yang harus ditempuhi
oleh negara dan hal-hal ini perlu dipikul oleh golongan belia dalam negara kita
kerana merekalah merupakan nadi kepada bangsa Malaysia. Oleh yang demikian,

19
saya sebagai remaja, haruslah menyiapkan diri dalam pelbagai aspek sebelum saya
menggalas tugas sebagai pemimpin negara pada masa akan datang. Persoalannya,
apakah ciri-ciri yang harus saya miliki sebagai belia yang akan menjadi tonggak
negara pada masa hadapan?

    Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi, “Ibarat keris panjang sekeluk, ke


mana pergi ke mana elok” yang bermaksud seorang pemimpin yang baik akan
tetap berguna kepada rakyat walau di mana-mana dia berada. Seorang pemimpin
yang baik hendaklah mempunyai pedagogi ataupun pendidikan yang tinggi.
Pendidikan merupakan wahanayang tepat kerana pendidikan mampu mematangkan
pemikiran seseorang. Dengan adanya pemikiran yang matang, buah fikiran yang
baik untuk mencetuskan pembangunan negara mampu dicetuskan. Saya dan belia-
belia lain hendaklah menggunapakaikan pendidikan dengan sebaik-baiknya kerana
sebuah bangsa yang tidak mempunyai pendidikan merupakan sebuah bangsa yang
tidak akan pernah maju. Oleh itu, sebagai pemacu pentadbiran negara pada masa
hadapan, saya haruslah menjadi seseorang yang berpendidikan kerana persis
mutiara kata “ Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu menjaga manusia
sedangkan harta dijaga oleh manusia”.

    Seterusnya, ciri-ciri yang perlu saya miliki adalah patuh kepada ajaran agama.
Ajaran agama merupakan akses fundamental kepada keperibadian yang lebih
sempurna dan mulia. Hal ini demikian , ajaran yang disampaikan oleh agama dapat
dipraktikkan oleh masyarakat dalam kehidupan harian. Hasilnya ialah, sebuah
komuniti yang lebih bertamadun dapat diwujudkan. Selain itu, dengan adanya ajaran
agama, saya dapat menggelakkan diri daripada terjebak dalam kancah sosial di luar
rumah. Hal ini disebabkan oleh kemurniaan ajaran sesebuah agama dapat
mematangkan pemikiran seseorang. Dengan berbekalkan pemikiran yang matang,
seseorang itu dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Oleh itu, tidak
dapat dinafikan bahawa ajaran agama amat penting dalam menyediakan seseorang
individu untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

    Bukan itu sahaja, untuk menjadi tonggak negara pada masa hadapan saya
hendaklah melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran. Kemahiran-kemahiran
seperti kemahiran komunikasi di hadapan umum, kemahiran bersosial dan
sebagainya perlu dikuasai untuk menambahkan keyakinan diri. Seseorang pemimpin
perlulah mempunyai keyakinan diri dalam menjalankan tugas mereka. Dengan itu,
mereka akan sentiasa disanjungi dan dihormati oleh masyarakat yang dipimpin oleh
mereka. Selain itu, saya hendaklah mempunyai
motivasi ekstrinsik dan instrinsik bagi membolehkan saya bersemangat dan dapat
mendorong saya ke arah yang lebih maju kerana lebih banyak motivasi diri
seseorang itu, lebih terdorong juga seseorang itu untuk memajukan dirinya.

    Riwayat Muslim ada mengatakan “sedarlah, bahawa setiap daripada kamu


adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinan
kamu”. Riwayat ini jelas menyatakan bahawa seseroang pemimpin haruslah
mempunyai nilai bertanggungjawab dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana
tanggungjawab dalam kepimpinan, mustahil kita dapat menggembalakan manusia.
Ibu bapa dan para guru di sekolah hendaklah mempraktikkan nilai ini didalam diri
anak-anak mereka dengan menunjukkan sikap yang bertanggungjawab dalam
setiap perlakuan mereka. Golongan ini haruslah ingat bahawa anak-anak akan

20
memerhatikan dan mengikuti semua jejak orang yang lebih dewasa dan mereka
persis mutiara kata “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”.  Tuntasnya
seseorang pemimpin perlu mempunyai nilai bertanggungjawab dalam dirinya.

    Selain itu, pemimpin negara pada masa hadapan hendaklah meletakkan agenda
perpaduan negara sebagai yang terpenting. Agenda perpaduan tersebut melebihi
segala agenda penting yang diperlukan dalam membangunkan negara yang maju.
Sekiranya seseorang pemimpin tidak mengetengahkan perpaduan dalam
membangunkan negara, pasti pembangunan negara tidak akan dapat mencapai
matlamatnya. Selain itu, saya juga perlu mempraktikkan perpaduan sesama rakan-
rakan di sekolah. Dengan modus operandi yang sebegini, saya dapat menonjolkan
jati diri sebagai seorang pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan. Bukan itu
sahaja, saya juga bersedia memperjuangkan kemerdekaan tanah air supaya tidak
dijajah buat kali yang kedua kerana kemerdekaan sesebuah negara yang tidak
mudah dicapai, bak kata Tun Dr Mahathir “..bukan kecil tugas kita untuk
meneruskan perjuangan kemerdekaan kerana mengisi kemerdekaan itu lebih
sengsara”.

   Natijahnya, menjadi seorang pemimpin bukanlah sesuatu  yang mudah untuk


dilaksanakan. “Kurangkan bercakap, lebihkan tindakan” merupakan prinsip
seseorang pemimpin yang baik. Saya sedar bahawa sebagai seorang belia yang
bakal memegang tonggak negara pada masa hadapan perlulah seimbang dari
semua aspek dan tidak seharusnya bersikap seperti segelintir pemimpin yang hanya
makan gaji dan bersikap materialistik namun tidak melakukan apa-apa yang
mendatangkan faedah buat masyarakat. Selain itu, saya hendaklah bijak memanfaat
setiap peluang yang terbuka untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan. Oleh
yang demikian, belia pada zaman pascakemerdekaan ini tidak seharusnya hanyut
dibawa arus kemodenan kerana belia pada hari ini adalah cerminan negara pada
masa yang akan datang.

TEMA BERDASARKAN BUKU TEKS TINGKATAN 5


Tema 1: ANDA BERSIH ANDA SIHAT
 
SOALAN:
Kebersihan diri merupakan kebersihan tubuh badan yang perlu dijaga oleh
setiap individu bagi menjamin kesejahteraan hidup.
 
Sebagai remaja yang mengutamakan kesihatan, cadangkan cara-cara anda
menjaga kebersihan diri.
 
JAWAPAN:
            Bagi memulakan arena perbincangan dalam isu ini, saya tergerak hati untuk
memetik pepatah dalam bahasa Arab yang bermaksud, “Kebersihan itu
sebahagian daripada iman”. Mendalami kandungan tersirat pepatah tersebut,
jelaslah bahawa kebersihan merupakan rukun utama untuk menentukan tahap tinggi
atau rendah keyakinan seseorang terhadap Khaliq. Kebersihan juga menjadi
lambang ketamadunan dan taraf berfikir sesuatu bangsa sama ada bertaraf maju
atau primitif. Oleh hal yang demikian, kebersihan sering menjadi kayu ukur akan

21
kesejahteraan hidup berdasarkan slogan, “Rakyat Bersih Negara Sejahtera”. Oleh
itu, sebagai remaja pascamilenium ini, saya amat beriltizam untuk mengamalkan
gaya hidup bersih dan sihat sejajar dengan matlamat melahirkan generasi sihat,
cerdas, pintar dan berdaya saing.
 
Kebersihan yang nyata adalah yang tampak pada zahirnya. Walau
bagaimanapun, kebersihan yang hakiki hendaklah bermula daripada kebersihan
batiniah. Oleh itu, saya amat cakna dalam urusan kebersihan sama ada zahir
mahupun batin. Aura yang terpancar pada wajah menjadi bacaan hati dalam diri
seseorang. Dalam hal ini Imam Al Ghazali dalam nukilannya pernah menyatakan,
“Mahu melihat kecantikan diri bercerminlah, sebaliknya mahu melihat kecantikan
batin bercerminlah pada wajah. Oleh itu, sebelum zahir dilihat cantik, saya perlu
menghiasi jiwa dan rohani. Mengamalkan sifat-sifat seperti takwa, bersyukur dan
amanah merupakan santapan jiwa yang akhirnya akan terpancar pada peroman. Hal
demikian amatlah tepat dengan kata-kata dalam lirik ‘Wajah Cerminan Hati’
dendangan penyanyi tersohor 1960-an, iaitu A Ramlie, yang berbunyi;
Andai hati tak sayang wajahmu lain sekali
Andai hatimu jujur, wajah cerminan hati.
 
Disiplin dan amalan secara rutin ialah anak kunci kepada kebersihan diri.
Dalam hal ini, saya amat sedar bahawa tanpa disiplin tiada apa-apapun yang kita
lakukan boleh berjaya. Sehubungan dengan pengurusan penjagaan diri, rutin harian
hendaklah saya susun bermula dari bangun tidur hinggalah tidur semula. Perkara-
perkara penting seperti mandi, bersiap, makan, belajar, beriadah dan berehat
hendaklah dilakukan secara berjadual dan berlangsung selagi hayat dikandung
badan. Sikap melakukan sesuatu kerja secara sambalewa amat mudah menjadi
virus untuk menyerang minda dan habit kita supaya mengabaikan pengurusan diri.
Kesudahannya, diri kita menjadi tidak terurus, kurang bersedia dan yang lebih
malang lagi mudah diserang penyakit sama ada penyakit fizikal mahupun penyakit
emosi seperti kemurungan. Benarlah seperti yang pernah difatwakan oleh tokoh
bijaksana bahawa, “Apabila kita gagal merancang, justeru kita merancang untuk
gagal”.
 
Aspek penampilan diri juga wajar saya ambil kira dalam hal menjaga
kebersihan diri. Penampilan diri yang tampan, segak dan bergaya boleh memberi
saya keyakinan diri dan yakin pula untuk berkomunikasi dengan khalayak. Saya
seharusnya menjaga kebersihan pakaian, cara berpakaian dan cara bercakap
apabila berkomunikasi. Inilah beberapa sifat yang boleh menonjolkan diri kita agar
dilihat harmoni hati nurani, tajam minda dan mata hati serta matang akal budi. Pokok
pangkalnya, kebersihan hendaklah meliputi segala perkara sama ada badaniah,
rohaniah, insaniah dan alamiah.
 
Kesihatan ialah aset besar yang membolehkan seseorang itu tampil sebagai
individu seimbang dan harmonis sama ada dalam aspek fizikal mahupun rohani.
Oleh hal yang demikian, saya sangat mengutamakan perihal kesihatan dalam
memastikan diri dilihat bersih, kemas, berkeyakinan dan terampil. Kecaknaan
terhadap kebersihan tubuh badan memberi impak yang besar terhadap penjagaan
kesihatan. Oleh itu pemilihan makanan, berehat dan riadah hendaklah diberi
perhatian yang teliti. Selain itu, kesihatan mental dan emosi boleh membuka dimensi
yang luas dalam persahabatan. Di sinilah terminologi utama yang boleh membentuk

22
insan seimbang dalam aspek jasmani, emosi dan rohani. Sesungguhnya, amatlah
kontradiksi untuk merealisasikan kebersihan diri sama ada zahir atau batin
seandainya kesihatan diri kita tidak terurus.
 
Kebersihan diri turut terpancar apabila kebersihan persekitaran tempat tinggal
kita turut terjaga. Hal ini amatlah penting kerana kehidupan yang mesra alam itu
merupakan teras utama untuk hidup sihat dan selamat. Hal-hal yang berkaitan
dengan kebersihan rumah tangga seperti tempat tidur, bilik mandi dan tempat
makan hendaklah saya jaga. Semua elemen ini menjadi persekitaran tetap kepada
diri kita. Seandainya tidak diuruskan dengan baik, justeru banyak anasir yang boleh
mengancam kebersihan dan kesihatan. Pelbagai penyakit seperti penyakit
berjangkit, serangan kuman dan udara yang tidak bersih boleh membawa musibah
penyakit. Sewajarnya, kawasan sekitar hendaklah dibersihkan dan dihiaskan dengan
pokok-pokok bunga serta landskap yang menarik. Sebenarnya, semua perkara
tersebut menjadi aset untuk jiwa, minda dan emosi saya menjadi tenang dan stabil.
 
Kesimpulannya, kebersihan diri menjadi perhiasan zahir dan batin seseorang
insan. Insan yang bersih ialah insan yang kenal tentang dirinya dan tahu tentang
matlamat dirinya dijadikan Tuhan. Dalam Islam, Allah amat mementingkan perihal
kebersihan dan keindahan sejajar dengan firman yang bermaksud, “Allah itu cantik
dan amat suka akan kecantikan”. Berpandukan petunjuk tersebut, selaku anak muda
harapan bangsa dan negara saya harus memperlengkap diri dengan pakej
penampilan diri yang segak, kemas dan sihat. Saya juga perlu menyempurnakan
sahsiah dengan ilmu pengetahuan dan pekerti yang baik. Demikian pakej anak
muda yang bakal menggalas tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat Negara
Berpendapatan Tinggi yang diidam-idamkan.
 
Tema 2: SUKAN DAN REKREASI
 
SOALAN:
Aktiviti sukan merupakan pilihan masyarakat terutama golongan remaja untuk
mengisi masa lapang. Walaupun begitu, faedah-faedah melebihi daripada itu.
 
Huraikan faedah-faedah sukan dan rekreasi kepada masyarakat.
 
JAWAPAN:
 
Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi
masa lapang atau sebagai riadah kecil kerana semasa bersukan proses merembes
keluar bahan bahan kumuh yang tidak diperlukan tubuh badan berlaku melalui
perpeluhan . Mutakhir ini, pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan
dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan
yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan professional melalui
pertubuhan bukan kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan. Penglibatan
masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat diri, keluarga,
masyarakat dan negara. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan
dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang
sahaja tetapi juga boleh menambah dan menyumbang sumber pendapatan individu
dan keluarga. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?
 

23
            Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu
mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih
banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran. Golongan profesional dan
separa profesional pada alaf baru sering berlumba-lumba untuk meningkatkan
sumber ekonomi diri dan keluarga sehingga mengabaikan kegiatan fizikal akibat
kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini
membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan
kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat
menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan  langkah
awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal
obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan
sukan  juga dapat membantu mereka yang  menghidap penyakit untuk kembali pulih.
Bahkan juga penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani
ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan
sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan
dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa
yang tidak diperlukan oleh badan. Sekiranya, aktiviti bersukan menjadi amalan
masyarakat, sudah pasti bilangan pesakit kronik negara dapat dikurangkan
kerana tubuh badan yang cergas, melahirkan otak yang cerdas. Seyogia,
mencegah lebih baik daripada mengubati Tegasnya, penglibatan masyarakat
dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang
sihat.
 
            Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa senggang individu. Masa
lapang sebenarnya amat berharga bagi  setiap individu atau masyarakat. Seseorang
yang melibatkan diri dalam bidang sukan dapat mengisi masa lapang dengan
berfaedah kerana masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu
sangat berharga . Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan
bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan atau stres. Bagi golongan
remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada
melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , gejala vandalism serta hedonisme
dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam
pengambilan dadah. Malah aktiviti riadah ini dapat menarik masyarakat ke arah
memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan amat jelas kerana
dengan bersukan sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan
melangkah gagah  dengan yakin ke peringkat antatabangsa  walaupun
melalui ranjau pidana  dunia persaingan hari ini. Jikalau aktiviti senggang ini
digunakan untuk beriadah sudah pasti negara akan dapat melahirkan atlet
negara bertaraf dunia. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat
memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.
 
            Di samping itu, sukan merupakan  salah satu instrumen penting untuk
mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat negara yang berbilang
kaum. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan
dalam pasukan untuk meraih kemenangan.  Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk
melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung,
bulat  manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat
melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat
menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam
sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama,

24
bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan
diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Sekiranya,
amalan bersukan menjadi budaya masyarakat sudah pasti keakraban dan
kesepaduan masyarakat akan terjalin dan masalah perkauman akan dapat
dielak. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan
bersatu padu serta mengeratkan hubungan antara mereka.
 
            Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan
pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran
profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya boleh meningkatkan ekonomi
mereka. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu
menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di
peringkat  glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran
wang asing kepada negara. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama
perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju  anak
muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan
sebagai  kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional,
pemain badminton  seperti Datuk Lee Chong Wei  dan Shalin Zulkifli masing-masing
menjadikan badminton dan  bowling sebagai kerjaya. Apabila budaya bersukan
menjadi budaya masyarakat  bukan sahaja tubuh badan mereka sihat, malah
mereka dapat  meningkat sara hidup yang kini kian meningkat. Jelaslah sukan
juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.

            Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai


faedah kepada masyarakat. Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan
menyertai semua jenis aktiviti sukan kerana bersukan dapat melahirkan masyarakat
yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu
mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu
duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. 
Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara.
Tegasnya,  kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

Tema 3: KERJAYA MENITI JAYA


Tema 4: BERSATU KITA TEGUH
 
SOALAN:

Perpaduan kaum asas keharmonian negara.

Ulaskan pernyataan di atas.

JAWAPAN:

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada


masyarakat berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India,
Kadazan, Iban dan sebagainya dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara
di dunia menjadikan Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana

25
masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang bangsa, agama
dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan pemimpin kita yang menjadikan
perpaduan kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah negara bangsa yang
maju menjelang tahun 2020 nanti. Pada pendapat saya, banyak kepentingan yang
dapat diperoleh jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan
masyarakat.

Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat


menerima antara satu sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga
boleh menimbulkan konflik antara kaum. Pengalaman 13 Mei 1969 suatu ketika
dahulu banyak mengajar kita supaya menjadikan perpaduan kaum sebagai
keutamaan. Kini, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sudah hidup bersatu padu
dan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka saling bekerjasama,
menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain kerana tidak mahu pisang
berbuah dua kali. Keterbukaan pemimpin negara dalam bidang pendidikan banyak
menyumbang ke arah perpaduan kaum.  Sebagai buktinya, di Malaysia wujud
Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masing-masing menggunakan bahasa ibunda,
tetapi pada masa yang sama bahasa lain boleh dipelajari. Hal inilah yang
menyebabkan semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan harmoni
kerana  perasaan prejudis kepada kaum lain tidak wujud. Jelas menunjukkan
bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika perpaduan antara kaum
dapat dikukuhkan.

Selain itu, ramai pelancong  luar negara berkunjung ke Malaysia kerana


tertarik dengan budaya masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia.
Banyak keunikan cara hidup masyarakat pelbagai kaum dapat ditonjolkan seperti
kepelbagaian makanan, pakaian, rumah ibadat, kesenian dan sebagainya kepada
pelancong asing. Keunikan inilah yang menyebabkan pelancong dari Eropah, Timur
Tengah dan Asia Timur datang ke Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat
kebudayaan pelbagai kaum. Sebagai buktinya, pada tahun lalu seramai 25 juta
orang pelancong asing datang ke negara kita hasil daripada usaha kerajaan yang
bersungguh-sungguh mempromosikan keunikan yang terdapat di Malaysia
khususnya kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di sini. Menteri pelancongan,
Datuk Seri Ng Yen Yen menjelaskan bahawa usaha untuk menarik 30 juta
pelancong asing ke Malaysia pada tahun 2012 sedang digiatkan dan fokus
kementerian adalah menganjurkan festival kebudayaan pelbagai kaum yang
terdapat di negara kita. Jadi, perpaduan kaum yang kukuh di negara kita mampu
menarik pelancong asing datang ke sini.

Di samping itu, perpaduan kaum juga secara tidak langsung mampu


mengukuhkan ekonomi negara. Tidak dapat dinafikan bahawa antara sebab utama
pelabur asing berani menanam modal di sesebuah negara adalah kerana kestabilan
politik dan perancangan kerajaan yang mesra pelabur. Hal ini kerana mereka tidak
mahu modal yang dilaburkan di sesebuah negara akan rugi akibat pergolakan yang
berlaku di sesebuah negara. Malaysia bertuah kerana menjadi destinasi pelabur
asing dari Amerika, Eropah, Jepun, China dan India. Baru-baru ini, pelabur dari
China membawa modal sebanyak RM1.5 bilion untuk dilaburkan dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi di Cyberjaya kerana yakin dengan usaha

26
kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk memacu negara menjadi sebuah negara
maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Sudah tentu modal yang
dilaburkan itu mampu menjana pendapatan kepada negara sekali gus  menyediakan
peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Pelabur ini  berani menanam modal
di sini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kestabilan politik negara ekoran
daripada masyarakat yang hidup bersatu padu tanpa sebarang perbalahan. Jadi,
sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum mampu mengukuhkan ekonomi
negara.

Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga


mampu meningkatkan imej negara di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa  negara pada masa kini sudah berada di peta masyarakat antarabangsa
ekoran daripada usaha kerajaan yang berterusan membina negara yang disegani di
peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada mantan Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamed menjadi perintis untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan
negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah menjadikan
negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk
membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga
dikenali di pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di
negara kita. Sebagai buktinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah
mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan
kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas yang berpengkalan di  Amerika
Syarikat. Hal ini sangat jelas menunjukkan bahawa pengiktirafan sedemikian adalah
kerana masyarakat Malaysia hidup bersatu padu sehingga keadaan menjadi aman
dan harmoni.

Kesimpulannya, perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai


harganya. Banyak negara di dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana
wujud prejudis antara masyarakat. Kita sering kali melihat atau mendengar melalui
media massa sama ada media cetak atau media elektronik mengenai pertempuran
yang berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa seperti
warga tua dan kanak-kanak. Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana
masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru
supaya kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan 
negara untuk menjadi  negara maju dapat direalisasikan.

Tema 5: PENDIDIKAN UNTUK SEMUA


Tema 6: SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
 
SOALAN:
Sains dan teknologi merupakan bidang yang amat penting pada zaman sekarang.
Huraikan cara-cara memupuk Budaya Sains dan Teknologi dalam kalangan pelajar.
 
JAWAPAN: 
Ekoran kemajuan sains dan teknologi, terciptalah pelbagai alatan yang
memudahkan urusan harian manusia.  Penciptaan kenderaan canggih
membolehkan sesiapa sahaja bergerak ke sana ke sini dalam masa yang singkat. 
Penemuan kaedah rawatan moden pula telah membantu pihak perubatan mengesan

27
dan merawat penyakit dengan lebih berkesan. Walaupun kepentingan sains dan
teknologi diakui, namun kesedaran orang ramai, khususnya pelajar tentang perkara
ini masih kurang.  Sehubungan dengan itu, usaha untuk memupuk budaya sains dan
teknologi dalam kalangan pelajar perlu dilakukan.
           
            Bagi mencapai matlamat tersebut, ibu bapa hendaklah memperkenalkan
“dunia sains dan teknologi” kepada anak-anak.  Selain memberitahu anak-anak
tentang kepentingan budaya sains dan teknologi dalam kehidupan era moden, ibu
bapa seharusnya membawa anak-anak mengunjungi pameran sains dan teknologi
yang sering diadakan.  Tujuannya adalah untuk menanam minat anak- anak
terhadap sains dan teknologi sejak awal lagi.  Bagi anak-anak yang menunjukkan
minat mereka terhadap bidang ini, galakan hendaklah diberikan agar minat tersebut
dapat disuburkan.
           
           Sesetengah pelajar beranggapan bahawa Sains merupakan mata pelajaran
yang sukar dipelajari.  Oleh hal yang demikian, fobia terhadap mata pelajaran Sains
perlu dihilangkan dalam diri pelajar.  Di sekolah, Unit Bimbingan dan Kaunseling
harus mengadakan ceramah untuk membetulkan tanggapan tersebut.  Kesedaran
tentang hal ini juga perlu diberikan kepada ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan
Guru (PIBG).  Selain itu, pelajar yang telah berjaya dalam bidang tersebut boleh
diundang untuk memberikan penjelasan kepada pelajar tentang perlunya budaya
sains dan teknologi pada era globalisasi.  Langkah ini penting untuk membina
keyakinan dalam diri pelajar bahawa sains dan teknologi mampu dipelajari oleh
sesiapa sahaja.
           
            Di sekolah, guru mata pelajaran Sains hendaklah memberikan penekanan
kepada aspek amali dan penyelidikan, di samping penekanan terhadap teori.  Selain
itu, pertandingan reka cipta sains perlu diadakan dari semasa ke semasa.  Aktiviti ini
penting untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti pelajar.  Ganjaran yang setimpal
perlu disediakan untuk menarik lebih ramai pelajar mengambil bahagian.  Usaha ini
dipercayai dapat meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi, sekali
gus memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda di negara
ini.
           
            Seterusnya, institusi pengajian tinggi pula hendaklah menawarkan lebih
banyak kursus yang berkaitan dengan sains dan teknologi.  Dengan berbuat
demikian, lebih ramai pelajar berpeluang untuk mengikuti pengajian dalam bidang
tersebut.  Pada masa yang sama, pihak institusi yang berkenaan hendaklah
menyediakan kemudahan pembelajaran sains dan teknologi yang mencukupi untuk
membolehkan pelajar mengikuti pengajian dengan berkesan.  Di samping itu,
insentif kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang tersebut wajar diberikan
sebagai pendorong agar pelajar berusaha untuk menguasai bidang tersebut.  Oleh
hal yang demikian, pihak institusi pengajian tinggi harus memikirkan pelbagai
kaedah untuk menarik minat generasi muda dalam bidang sains dan teknologi.
           
            Di samping itu, Kementerian Pendidikan mengadakan Kempen Budaya
Sains dan Teknologi dalam kalangan pelajar.  Sehubungan dengan itu, wacana ilmu
yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi telah diadakan dari semasa ke
semasa.  Sebagai contoh, aktiviti forum dan wawancara tentang sains dan teknologi
diadakan sepanjang pelaksanaan kempen itu.  Selain itu, peraduan menulis esei,

28
pidato, melukis poster, dan mencipta puisi yang bertemakan sains dan teknologi
telah diadakan khusus untuk pelajar sekolah.  Kempen yang berterusan ini diyakini
dapat memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda di
negara ini.
           
           Sesungguhnya, bidang sains dan teknologi banyak mendatangkan faedah
kepada kehidupan manusia. Pelajar hendaklah memantapkan ilmu dalam bidang
ini.  Selain itu, kesedaran semua pihak tentang kepentingan sains dan teknologi
amatlah penting.  Dengan adanya kesedaran sedemikian, usaha pemupukan
budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar akan mencapai matlamatnya. 
Akhir kata, sama-samalah kita memainkan peranan dalam memartabatkan bidang
sains dan teknologi demi kemajuan negara. 

Tema 7: PERTANIAN, PENTERNAKAN DAN PERIKANAN


Tema 8: MELANCONG MENCARI MAKNA

Tema 9: EKONOMI, KEUSAHAWANAN DAN PENGURUSAN KEWANGAN


 
SOALAN:
 
Salah satu usaha untuk memupuk semangat keusahawanan di setiap sekolah
adalah dengan menubuhkan koperasi. Walaupun begitu, masih ramai yang memilih
untuk membeli barangan keperluan di kedai-kedai di luar sekolah.
 
Bincangkan kebaikan-kebaikan koperasi sekolah.
 
JAWAPAN:
 
            Setiap sekolah mempunyai koperasi yang tersendiri. Lazimnya, koperasi ini
didaftarkan di bawah Akta Koperasi dan bernaung dengan Angkatan Koperasi
Nasional (ANGKASA). Koperasi sekolah ini dikendalikan oleh Ahli Lembaga
Pengarah yang terdiri daripada guru-guru dan diuruskan oleh pelajar sekolah. Satu
organisasi yang terdiri daripada para pelajar dibentuk untuk membantu guru
menguruskan koperasi sekolah ini. Penubuhan koperasi sekolah mendatangkan
banyak faedah kepada warga sekolah. Persaolannya, apakah kebaikan koperasi
sekolah?
 
Pada pandangan saya, penubuhan koperasi sekolah dapat membantu pelajar
untuk memahami aspek perniagaan dengan mendalam. Hal ini dikatakan demikian
kerana pelajar-pelajar yang menyertai koperasi sekolah berpeluang menjalani
aktiviti-aktiviti berkaitan dengan urusan perniagaan. Sebagai contoh, guru yang
bertugas akan mendedahkan pelajar dengan urusan perniagaan seperti cara
menetapkan harga barang, menulis rekod penjualan barang, cara-cara membuat
penyata kewangan, dan juga memahami konsep perakauan. Koperasi sekolah juga
melatih pelajar bersikap jujur dan amanah semasa menjalankan sesuatu pekerjaan.
Sebenarnya, penglibatan pelajar dalam koperasi adalah merupakan proses
pembelajaran di luar bilik darjah. Perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti

29
subjek prinsip akaun dan matematik dapat diaplikasikan ketika pelajar-pelajar
mencari pengalaman berniaga di koperasi sekolah. Pengalaman tersebut dapat
membantu pelajar-pelajar yang ingin menceburi bidang perniagaan dan
keusahawanan sebagai kerjaya pada masa hadapan. Hal ini bertepatan dengan
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tegasnya, pelajar-pelajar akan
mendapat pengalaman berniaga dengan menyertai koperasi sekolah.

            Selain itu, koperasi sekolah dapat menyediakan peralatan dan keperluan
sekolah. Saya berpendapatan sedemikian kerana koperasi sekolah membekalkan
peralatan seperti alat-alat tulis dan keperluan sekolah yang lain dapat diperoleh
dengan mudah. Barangan yang ada di koperasi sekolah dijual dengan harga yang
lebih murah berbanding dengan kedai alat tulis di pasaran. Sebagai tamsilan, alat
tulis seperti pen , pensel, buku latihan, dan sebagainya lazimnya ditawarkan sepuluh
peratus lebih murah daripada kedai alat tulis yang terdapat di luar kawasan sekolah.
Secara logiknya, pelajar-pelajar hanya membuang masa sahaja jika mereka pergi ke
pasar raya semata-mata kerana hendak membeli sebatang pen. Dengan adanya
koperasi sekolah, pelajar-pelajar dapat memperoleh barangan keperluan sekolah
dengan mudah. Secara tidak langsung, pelajar-pelajar tidak akan mensia-siakan
masa dan tidak akan membazir wang. Pelajar-pelajar boleh memanfaat masa yang
dijimatkan dengan aktiviti berfaedah seperti membaca dan beriadah. Wang yang
dijimatkan boleh digunakan untuk membeli buku rujukan. Jelaslah, koperasi sekolah
bukan sahaja memudahkan pelajar-pelajar membeli peralatan sekolah , malah dapat
menjimatkan masa dan wang.
 
            Di samping itu, penubuhan koperasi juga memberi faedah dengan
menambah kewangan sekolah. Hal ini bermaksud, koperasi sekolah yang
beroperasi dengan baik dapat menjana keuntungan yang dijangkakan. Lazimnya,
keuntungan diperoleh pihak koperasi berpunca daripada pembelian murid-murid,
guru-guru dan warga sekolah. Oleh yang demikian, sebahagian keuntungan akan
diberi kepada pihak sekolah untuk mengukuhkan keduddukan kewangan pihak
sekolah. Keuntungan koperasi sekolah dapat dimanfaatkan dengan membina
kemudahan-kemudahan asas di dalam kawasan sekolah. Misalnya, keuntungan
koperasi sekolah boleh digunakan untuk membina laluan berbumbung, membina
pondok-pondok bacaan, dan menceriakan kawasan sekolah dengan menaja
beberapa taman mini. Di samping itu, ada juga koperasi sekolah juga memberi
sumbangan yang ikhlas kepada pihak sekolah. Contoh yang boleh diketengahkan
ialah kemudahan pendingin hawa di dalam surau Aisyah Umairah Sekolah
Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) merupakan sumbangan ikhlas
daripada koperasi sekolah tersebut. Saya optimis, dengan adanya koperasi,
keuntungan yang didapati dapat memanfaatkan pihak sekolah.
 
            Bukan itu sahaja, aktiviti koperasi sekolah juga dapat memupuk nilai murni
dalam sanubari diri pelajar. Hal ini memang benar kerana sistem pelaburan yang
diperkenalkan oleh koperasi sekolah dapat mendidik pelajar menabung. Pelajar-
pelajar yang menyertai koperasi sekolah digalakkan berjimat cermat. Wang yang
dijimatkan boleh digunakan untuk melabur. Walaupun pelajar menabung dalam
jumlah yang sedikit tetapi akan menjadi banyak akhimya seperti kata pepatah
sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Amalan menabung ini amat penting disemai
dalam kalangan pelajar demi menjamin masa hadapan mereka. Dengan cara inilah,
pelajar-pelajar berpeluang menjadi pemegang saham koperasi sekolah. Apa yang

30
pasti, keuntungan koperasi sekolah akan dipulangkan dalam bentuk dividen dan
bonus kepada pelajar yang membuat pelaburan. Sebagai contoh, Koperasi Sekolah
Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam telah berjaya membayar dividen
tahun 2012 kepada ahli-ahlinya. Dividen yang diperoleh oleh pelajar boleh disimpan
dalam bank untuk kegunaan masa hadapan. Bagaikan sudah terang lagi bersuluh,
koperasi sekolah dapat memupuk nilai murni dalam diri pelajar.
 
            Konklusinya, aktiviti koperasi sekolah memang banyak membawa manfaat
kepada pelajar. Semua warga sekolah perlulah bertanggungjawab untuk
memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan. Sekiranya semua
pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan
dalam jangka masa yang lama. Ibu bapa seharusnya memberi galakan agar anak
mereka menyertai aktiviti murni sebegini terutama ketika muda kerana melentur
buluh biarlah daripada rebungnya. Negara amat memerlukan ahli perniagaan yang
mahir dalam menguruskan urusan perniagaan pada masa depan. Usaha  yang
sistematik  dan  proaktif  untuk menambah baik status koperasai mestilah
digerakkan  mulai  dari  sekarang  kerana  perjalanan  yang  beribu  batu, mestilah
bermula dengan langkah yang pertama!

Tema 10: ALAM SEKITAR DAN TEKNOLOGI HIJAU


Tema 11: DUNIA SELAMAT MILIK KITA
Tema 12: KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN ESTETIKA
Tema 13: JATI DIRI, WARGANEGARA PATRIOTIK
 

SOALAN:

Pelbagai usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat


di negara kita telah dilakukan oleh banyak pihak tanpa jemu namun semangat cinta
akan Negara semakin hari semakin luntur.

 Huraikan usaha-usaha yang lebih berkesan untuk menanganinya.

 JAWAPAN:

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita


pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian
kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka
tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting
dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak
mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka
tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan
hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera
Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita
berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

31
          Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada
caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan
semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat
patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh,
biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil,
sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga
dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan
masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara
yang akan memburukkan nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian


dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam
kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini
dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana
aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain,
perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan
seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian,
semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah
selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi
pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara


besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan
semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang
kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu,
Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen
dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio
hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan
semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang
kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan
filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan
semangat cinta akan negara.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan


aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik
dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut
boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu,
aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan
kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen
televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan
menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh
masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu.
Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat
mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada


pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa,
agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi

32
pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para
pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai
kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang
kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini
penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan
dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua
orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak
tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik


perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat
patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan
pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya
sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa
berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan
pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah
mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati
diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan
masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam
kalangan masyarakat.

Tema 14: CITRA BAHASA DAN SASTERA KITA


Tema 15: INDUSTRI CEMERLANG, NEGARA GEMILANG
 

SOALAN:

Industri kecil dan sederhana (IKS) merupakan sokongan kepada kegiatan ekonomi
Negara yang lebih besar. Ia turut melibatkan jumlah tenaga kerja yang ramai.

 Huraikan kepentingan IKS kepada ekonomi Negara.

 JAWAPAN:

            Mutakhir ini, arus globalisasi yang menerjah dunia telah memberi impak dan
perubahan yang besar kepada negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan
sosial. Dalam menongkah dan mengejar arus modenisasi ini, kerajaan kita telah
menggagaskan konsep 1 Malaysia yang berpaksikan slogan  “Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan”. Hal ini juga merupakan rentetan kepada Dasar Ekonomi
Baru supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran negara
secara adil dan saksama. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah memperuntukkan
sejumlah dana yang besar bagi memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Hal
ini bertepatan dengan peribahasa Melayu hati kuman sama di cecah, hati gajah
sama dilapah. IKS  telah dibangunkan dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh
selepas hujan. Contoh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah kilang kraf tangan,
kilang keropok, perusahaan batik, kilang mi dan lain-lain lagi. Terdapat banyak
kepentingan IKS kepada masyarakat dan negara.

33
            Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat
terutamanya penduduk di luar bandar.  Kita sedia maklum bahawa industri ini
banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung
Satu Produk’.  Sebagai contoh  kilang membuat kerepek, kilang membuat sos
tomato, kilang kraf tangan  dan lain-lain lagi.  Pengusaha kilang dapat menjual hasil
keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta pengunjung-
pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil IKS ini di
pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun keuntungan
penjualannya tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah pengusaha IKS
menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para pengguna. Dalam
usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih tidak datang
melayang, yang bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan pegangan. Prinsip
membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi cabaran dan dugaan dalam
perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha IKS pada hari ini.  Oleh hal
yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan
pendapatan penduduk di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi
negara.

            Selain itu, IKS juga dapat membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada
masyarakat terutamanya penduduk kampung. Kita sedia maklum bahawa untuk
menjana dan meningkatkan hasil pengeluarannya pengusaha IKS ini memerlukan
pekerja yang ramai. Sebagai contoh, kilang membuat kerepek memerlukan pekerja
untuk menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan produk
mereka. Sekurang-kurangnya kilang IKS tersebut memerlukan antara 15 hingga 20
orang pekerja untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha untuk meminimumkan
kos serta meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan memilih para
pekerja dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini telah akan membuka peluang
kepada suri rumah, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja di
situ. Sikap pengusaha IKS yang prihatin serta mengutamakan khidmat sosial kepada
masyarakat setempat, akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap IKS yang
diwujudkan di sesuatu kawasan itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan orang
berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, ironinya, para pekerja tersebut
akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu serta kualiti produk kilang
tersebut. Jelaslah bahawa IKS ini bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan
kepada penduduk kampung malah dapat membantu negara mengurangkan masalah
pengangguran.

             Di samping itu, pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar bandar juga dapat
membantu meningkatkan sektor pertanian dan perikanan. Kita sedia maklum
bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk proses pengeluaran kilang
mereka. Biasanya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil  pertanian,
perikanan atau perhutanan. Tamsilnya kilang membuat keropok memerlukan hasil
tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula memerlukan hasil pertanian seperti
ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian dan 
perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk
kampung yang selama ini sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para
pengusaha IKS. Hukum ekonomi menjelaskan bahawa kadar permintaan
mempengaruhi penawaran dan harga barangan. Implikasinya harga barang mentah
pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan meningkat. Secara   tidak
langsung sektor pertanian akan meningkat. Hal ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar

34
kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan
pendapatan petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi
permintaan IKS terhadap bahan mentah yang semakin  meningkat kerajaan melalui
agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan sebagainya telah
memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para petani dan
nelayan. Tuntasnya, IKS ini merupakan serampang dua mata kerana  kewujudannya
bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi malahan dapat membasmi kadar
kemiskinan  rakyat di negara kita yang tercinta ini.

            Ada pendapat yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia umpama


telah melancong ke separuh dunia. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat pelbagai
kesenian dan budaya daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama. Apakah
kaitan penyataan ini dengan IKS? Kolerasinya ialah kewujudan IKS dapat
meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Kita sedia maklum bahawa para
pelancong suka membeli  kraftangan untuk dibawa pulang. Sebenarnya di Malaysia
terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum yang
menjadi warganegara Malaysia. Sebagai contoh perusahaan membuat tembikar,
pasu bunga, ukiran, labu sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan dan
lain-lain lagi. Hasil kraf tangan melambangkan identiti serta jati diri negara. Para
pelancong membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk  membeli kraftangan ini sebagai
cenderamata kenang-kenangan atau hadiah  kepada rakan-rakan apabila pulang
kelak. Dalam hal ini peribahasa Melayu ada menyebut bahawa “tak tumbuh, tak
melata, tak sungguh orang tak kata”. Hal ini menjelaskan bahawa kualiti serta
keunikan kraftangan Malaysia  akan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita.
Ironinya perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara
berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor
pelancongan.

            Konklusinya,  terdapat banyak kemaslahatan Indutri Kecil dan Sederhana


(IKS) kepada masyarakat dan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak
seharusnya membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja. Kita perlu gigih
meningkatkan kualiti IKS kerana industri ini sebenarnya merupakan sebahagian
daripada barangan keluaran tempatan yang berperanan meningkatkan imej negara
di mata dunia. Apabila masyarakat sama ada di dalam atau di luar negara
menggunakan sahaja barangan IKS, maka secara tidak langsung jati diri negara
telah terserlah.  Oleh hal yang demikian, semua pihak iaitu pihak kerajaan, swasta,
masyarakat serta individu perlulah bekerjasama untuk meningkatkan industri ini.
Dana yang besar telah diperuntukkan oleh kerajaan perlu digunakan sebaik-baiknya
bagi tujuan memajukan IKS.  Diharapkan barangan keluaran IKS mampu bersaing
dalam pasaran  di peringkat tempatan dan juga persada antarabangsa. Hal ini juga
selaras dengan gagasan 1 Malaysia iaitu, Rakyat didahulukan, Pencapaian
diutamakan.

Tema 16: INTEGRITI


 
SOALAN:
Integriti merupakan unsur penting yang perlu wujud dalam diri sesorang pekerja dan
organisasi. Jatuh bangun sesebuah oranisasi terletak sejauh mana ia diurus dengan
cekap tanpa unsur negatif seperti rasuah, pecah amanah atau pilih kasih.
 

35
Huraikan kepentingan integriti dalam kehidupan kita.
 
JAWAPAN:
 
       Saya percaya ramai antara kita yang baharu mendengar perkataan integriti
yang dalam bahasa Inggeris disebut integrity. Sebenarnya perkataan integriti sudah
lama wujud dalam Kamus Dewan, cuma dari sudut pemakaian perkataan tersebut
dalam percakapan seharian amat jarang sekali kita gunakan. Kalau kita dengar pun
perkataan itu sama ada dalam media atau ucapan tokoh-tokoh tertentu, kita
mengambil sikap pura-pura tahu, walaupun sebenarnya kita tertanya-tanya apa yang
dimaksudkan dengan integriti itu. Mungkin juga sebahagian kita lebih merujuk
kepada pemahaman yang bermaksud 'berkaitan rasuah".
 
      Dalam Kamus Dewan, integriti bermaksud "kejujuran, keutuhan, keadaan
sempurna dan utuh". Menurut kamus Oxford Dictionary, Integrity ialah wholeness,
soundness, uprightness, honesty. Jadi, integriti bukanlah semata-mata rasuah,
tetapi juga berkait rapat dengan keseluruhan sifat kejujuran dan ketelusan. Dalam
sebuah terbitan bertajuk "Dari Akar Hingga Buahnya" terbitan Institut Integriti
Malaysia (IIM) mengambarkan "Integriti bagaikan pokok yang berdiri teguh di hutan.
Akarnya dalam, menunjangi yakni menyokong batang yang besar lagi tinggi yang
mempunyai rimbunan dedaun menghijau sebagai mahkotanya....". Sesiapa yang
memiliki integriti akan berdiri teguh yang tidak akan mudah goyah dan terpujuk
kepada kebendaan umpama pokok tersebut yang sifatnya kuat dan tidak mudah
digugat. 
 
     Oleh itu, bila kita membicarakan tentang integriti, maka perlu kita merujuknya
sama ada individu itu sendiri atau individu sebagai penjawat awam dan sesebuah
organisasi atau pertubuhan. Ini kerana setiapnya mempunyai tindakan sehari-hari
yang bertaut rapat dengan etika. Dalam individu, integriti bolehlah dilihat sebagai
'cakap serupa bikin". Apa yang seseorang itu katakan haruslah selari dengan
tindakan dan yang dikotakannya. Tindakannya pula bermoral, mengikut peraturan
sedia ada dan beretika yang konsisten dalam apa juga perkara yang selari antara
kepentingan diri dengan kepentingan orang ramai. Tetapi jika berlaku pula "cakap
tak serupa bikin" individu tersebut bolehlah dianggap dan dikatakan tidak berintegriti.
 
     Sementara jika kita melihat individu sebagai kakitangan awam atau penjawat
awam, sudah tentulah kita melihatnya integriti sebagai mereka yang telah diberi
tanggungjawab dan amanah yang pelaksanaannya harus dipertanggungjawabkan
untuk kepentingan umum. Di bahu mereka ada amanah, jadi integriti dalam konteks
penjawat awam merujuk kepada melaksanakan anamah dan kuasa yang ada untuk
kepentingan umum bukannya untuk kepentingan diri sendiri, rakan taulan, saudara
mara atau kroni atau kerana ada kepentingan lain, kata orang "ada udang di sebalik
mee". Seseorang penjawat itu harus mempunyai dan menunaikan setelus dan
setulus sama ada untuk masyarakat, bawahannya malah kepada ketuanya. Aspek
ini harus diutamakan. penjawat awam tidak boleh membiarkan amanah dan kuasa
yang dimilikinya diatur dan dikuasai oleh pihak lain.
 
     Sesebuah organisasi juga perlu ada integriti. Untuk melihat organisasi yang
berintegriti, bolehlah kita melihat dalam aspek pelaksanaan kod etika, wujud piagam
pelanggan, memiliki proses kerja yang teratur dan pematuhan kepada amalan

36
terbaik. Semua aspek ini harus dihayati, diamalkan oleh kakitangannya sebagai satu
kebiasaan yang membudaya dalam organisasi berkenaan dan bukan sebaliknya
aspek tersebut hanyalah sebagai hiasan dinding dan hanya untuk dibaca atau
diceritakan kepada pihak lain, tetapi pengamalan dalaman sendiri tidak berlaku.

     Berdasarkan itu integriti akan terpancar sekiranya nilai-nilai elok sebagai jati diri
dalam keluarga, masyarakat keseluruhannya seperti ketelusan, beramanah,
keikhlasan dalam bekerja, tidak menipu, dipercayai, menepati masa dan memiliki
sikap keterbukaan bila dikritik dan ini menjadi amalan serta tauladan dan secara
bersama kita lakukannya serta ditunjangi dengan akar sistem yang cekap dan
berkualiti sudah tentunya kita dianggap berintegriti. Sebaliknya jika lemah dan hilang
integriti dalam pola kehidupan seharian sudah tentu mereka yang memiliki kuasa
akan menggunakan kuasanya untuk kepentingan diri, tidak bertanggungjawab dan
tidak produktif yang akhirnya mewujudkan satu sistem pengurusan dan
perkhidmatan yang lemah dan terbengkalai. Ini akan menjadi bertambah parah
apabila semua kita tidak mengambil berat dan tidak sensitif dengan apa yang
berlaku.

37

Anda mungkin juga menyukai