Anda di halaman 1dari 16

1/1/2018

BENGKEL
PENULISAN
KARANGAN
CEMERLANG

ZAINAFSIAH BINTI ZAKARIA


SMK SERI PERLING, JOHOR BAHRU
JOHOR
1

SOALAN SPM 2017-


N
2

CONTOH KARANGAN CEMERLANG ~ BAHAGIAN A

Pada mayapada yang mendepani ombak globalisasi ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling di
sekolah telah memikul obligasi yang vital untuk memastikan perkembangan mental dan rohani pelajar-
pelajar sejajar dengan perkembangan fizikal bagi memacu kejayaan Malaysia ke ambang 2020. Hal ini
demikian kerana pelajar-pelajar yang masih berdarah muda setampuk pinang memerlukan bimbingan
daripada guru-guru untuk menghadapi kehidupan yang penuh dengan ranjau ini. Dengan adanya Unit
Bimbingan dan Kaunseling di sekolah, mestilah para pelajar dapat mengecap kemaslahatan yang dibawa
oleh unit tersebut. Persoalan yang bermain-main dalam gawang minda kita ialah apakah peranan Unit
Bimbingan dan Kaunseling di sekolah? Persoalan ini akan dibincangkan secara terperinci hingga ke
akar umbi sebentar lagi.

Marilah kita capahkan lensa perbincangan dengan menghuraikan peranan Unit Bimbingan dan
Kaunseling dalam menyediakan khidmat nasihat kepada pelajar yang menghadapi masalah. Pelajar-
pelajar yang masih muda merupakan insan yang kurang berpengalaman bak kata orang tua-tua kurang
makan garam dalam meniti kehidupan. Oleh itu, mereka memerlukan nasihat atau saranan yang bernas
daripada guru-guru kaunseling yang banyak makan garam. Sebagai tamsilannya, pelajar-pelajar yang
menghadapi masalah tentang pergaulan mereka dengan kawan atau masalah pembelajaran boleh
merujuk guru bimbingan dan kaunseling. Menurut kata-kata Richard Nixon, “Anda memerlukan
pengalaman getir untuk menzahirkan keunggulan anda.” Jelaslah di sini bahawa dengan adanya nasihat,
bimbingan dan dorongan daripada guru-guru kaunseling, tentulah para pelajar dapat mengembangkan
sayap mereka dengan keberanian, kepintaran dan jiwa besar mereka untuk mencari resolusi bagi segala
kemelut yang dihadapi oleh mereka.

Seterusnya, marilah kita luaskan perspektif denganmendalami peranan Unit Bimbingan dan
Kaunseling dalam memberikan bimbingan kerjaya kepada pelajar-pelajar yang bakal menjejaki alam
pembelajaran yang baharu. Disebabkan para pelajar bakal menjadi modal insanyang menggerakkan
transformasi negara kita pada masa hadapan, guru-guru kaunseling memainkan peranan yang
signifikan untuk membimbing para pelajar mengenal pasti bakat dan potensi dalam diri mereka.
Dengan uslub ini, para pelajar dapat mengasah lagi potensi dan kemahiran mereka dan seterusnya
menyerlahkan kehebatan mereka dalam bidang-bidang profesional. Sebagai evidensnya, kerjasama
antara pihak sekolah dengan pihak universiti untuk mengadakan pameran pendidikan dan kerjaya,
dapat menghasilkan sinergi bagi membimbing pelajar-pelajar untuk meneroka minat mereka dalam
bidang-bidang baharu. Sementelahan pula, ceramah-ceramah tentang peluang melanjutkan pelajaran
membolehkan para pelajar untuk memahami jurusan dan kursus-kursus pelbagai yang ditawarkan oleh
universiti. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada
berguna. Maka, bantuan daripada guru-guru kaunseling dapat membimbing mereka supaya tidak
tersalah pilih kerjaya yang menjadi idaman di hati pelajar.

Jika ditinjau dari skop yang lain, Unit Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting untuk
meningkatkan motivasi murid. Allahyarham Profesor Hamka berpendapat bahawa biarpun seribu kapal
tenggelam di tengah lautan, namun cita-cita mansia tidak pernah karam. Ungkapan ini jelas
membuktikan betapa pentingnya jiwa besar untuk menggapai bintang kecemerlangan. Lantaran itu,
bagi mengelakkan semangat dan cita-cita pelajar daripada luntur, Unit Bimbingan dan Kaunseling
senantiasa berpenat lelah memerah idea untuk mengobarkan jiwa besar dalam diri pelajar. Sebagai
justifikasinya, unit tersebut sering mengadakan kem motivasi untuk meningkatkan semangat pelajar
untuk menghadapi pancaroba dalam kehidupan. Bagi pelajar-pelajar yang bakal menduduki
peperiksaan ini adalah seperti PT3, SPM dan STPM, minhaj ini adalah amat drastik agar para pelajar
dapat meningkatkan keyakinan diri mereka bagi menongkah arus dalam kehidupan mereka. Izharlah,
Unit Bimbingan dan Kaunseling dapat memastikan perkembangan mentaliti pelajar agar tidak
terjerumus ke dalam lembah kehinaan.

Sebelum pena diskusi melabuhkan noktahnya, Unit Bimbingan dan Kaunseling telah menjamin
pembentukan modal insan yang sempurna dari segi mental, iman dan rohani untuk menerajui negara
3

Malaysia pada persada antarabangsa. Justeru, para pelajar seyogia menghargai nasihat dan bimbingan
daripada guru-guru kaunseling supaya tidak menjadi insan yang bobrok dan terlibat dalam kebejatan
moral. Pihak sekolah juga perlu proaktif dalam menggiatkan peranan unit ini demi kemaslahan para
pelajar. Anak-anak umpama permata yang perlu digilap sehingga bersinar. Oleh hal yang demikian,
marilah kita bersama-sama mengimplementasikan strategi-strategi yang pragmatik, efektif dan efisien
bagi mengembangkan lagi peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling supaya dapat melahirkan modal
insan yang berkaliber untuk menerajui cerucuk kepimpinan negara kita ke arah yang lebih maju.
Biarlah pepohon terus menghijau, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah Malaysia terus gemilang.
[654 patah kata]

CONTOH KARANGAN CEMERLANG BAHAGIAN B

SOALAN 1
Setiap anak seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggaan keluarga.
a

Berikan komen anda.

Tiada ibu dan bapa,


Tiadalah anak yang dilahirkan.

Untaian kata di atas jelas menunjukkan betapa peri pentingnya keberadaan ibu bapa kerana
tanpa mereka berdua, siapalah kita di dunia ini. Ibu bapalah yang melahirkan, membesarkan dan
memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Tugas bapa adalah untuk mencari nafkah untuk
keperluan segenap isi keluarga malahan ibu pula telah melahirkan kita. Tidakkah kita teringin untuk
membalas jasa mereka walaupun sebenarnya kita tidak mampu? Bagi saya, anak-anak perlu
memberikan kasih sayang, menghormati dan mentaati mereka. Kenapa wujudnya golongan yang
menderhaka kepada ibu bapa? Jika difikirkan, ibu bapalah yang mencorakkan kita umpama kain putih
dengan pelbagai corak dan warna yang menarik. Jadi, menapa kita harus menderhakai mereka? Ibu
bapa orang yang paling rapat dalam kehidupan kita dan memahami kah gerak geri serta tingkah laku
kita. Sebagai contoh, apabila kita pulang ke rumah selepas tamat persekolahan, sudah pastinya
makanan telah terhidang di atas meja sedangkan kita tidak memintanya. Jelaslah di sini, ibu bapa
menjaga kita seperti menatang minyak yang penuh bagi memastikan kita mendapat apa-apa yang kita
kehendaki. Oleh itu, setiap anak seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggan
keluarga.

Perkara pertama yang boleh dilakukan oleh seorang anak adalah dengan mencari ilmu. Seperti
yang kita ketahui, ibu bapa ingin melihat anaknya berjaya dan tiada ibu bapa yang ingin melihat
anaknya gagal dalam kehidupan. Misalnya, ibu bapa bertungkus lumus mencari pendapatan untuk
menghantar anak-anaknya ke sekolah bahkan ada sesetengah ibu bapa yang bersengkang mata dan
membanting tulang empat kerat semata-mata melakukan beberapa pekerjaan dalam satu-satu masa
untuk memberikan pendidikan kepada anak-anaknya. Oleh hal yang demikian, kita sebagai anak perlu
membalas jasa mereka dengan menimba ilmu. Ilmu amat berharga persis mutiara yang bersinar.
Justeru, mutiara itu hendaklah selalu digilap aga ilmu tersebut lebih bernilai. Hakikatnya, kita
seharusnya bersungguh-sungguh menimba ilmu agar menjadi insan yang berjaya pada masa hadapan.
Malahan, dengan kejayaan yang dimiliki dapat membanggakan keluarga terutama ibu bapa yang banyak
berkorban kepada anak-anak. Jadi, anak-anak yang telah berjaya janganlah seperti kacang lupakan kulit
kerana ibu bapalah yang bersungguh-sungguh dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan
yang sempurna. Janganlah kita mengetepikan mereka selepas kita berjaya, sebaliknya tunjukkanlah
kejayaan kepada mereka dan bahagiakan mereka. Sesungguhnya, melihat anak mereka berjaya
merupakan suatu detik terindah buat mereka. Oleh itulah, janganlah kita menunjukkan tindak-tanduk
yang boleh mematahkan hati dan harapan mereka. Misalnya, meninggikan suara, tidak menghormati
4

malah lebih teruk iaitu menghantar mereka ke rumah orang tua-tua. Jelaslah di sini, jika kita menimba
ilmu, kita tidak akan melakukan perkara yang melanggar norma-norma masyarakat.

Seterusnya, anak-anak perlu membalas jasa ibu bapa. Sebagai contohnya, anak-anak haruslah
menjaga ibu bapa sehingga ajal mereka sudah tiba. Hal ini adalah satu cara untuk menjadi individu
kebanggan keluarga. Anak-anak juga boleh memberikan sedikit wang perbelanjaan kepada ibu bapa
mereka sebagai tanda terima kasih kepada ibu bapa. Pada masa yang sama, hal ini akan dapat
menggembirakan dan menyenangkan hati ibu bapa. Sesungguhnya, hidup ini ibarat roda jika kita tidak
menghormati ibu bapa kita, anak-anak kita juga tidak akan menghormati kita. Oleh itu, kita perlu
mengerah keringat untuk membalas jasa mereka. Dalam agama Islam juga menyuruh umat-Nya
menghormati ibu bapa dan suruhan itu jugalah yang merupakan tiket untuk memasuki syurga. Di
samping itu, anak yang berjaya ialah anak yang menghormati kedua-dua orang tua mereka. Justeru, kita
hendaklah memberikan sepenuh kasih sayang kepada mereka agar mereka sentiasa mendoakan
kesejahteraan kita pula. Dari kecil, kita sudah diajar cara beradab dengan ibu bapa tetapi mengapa
anak-anak pada zaman sekarang ini sering tidak menghormati ibu bapa dan ahli keluarganya? Adakah
kerana mereka sudah berjaya selayaknya mereka sombong? Ingatlah anak-anak, ke mana tumpahnya
kuah kalau tidak ke nasi.

Selain itu, kita seharusnya menyayangi kedua-dua ibu bapa. Anak yang menjadi kebanggaan
keluarga ialah anak yang mentaati ibu bapa dan melakukan syariat Islam. Menghormati ibu bapa adalah
salah satu syariat Islam yang amat dituntut. Jika kita berpegang teguh pada prinsip ini, insya-Allah kita
akan berjaya di dunia dan di akhirat. Jadi, menyayangi mereka adalah salah satu cara menghormati ibu
bapa. Contoh lain yang boleh diketengahkan ialah anak-anak perlu menjaga mereka ketika sakit,
menyediakan tempat tinggal dan sentiasa menziarahi mereka. Hal ini akan membuatkan mereka berasa
disayangi dan akan meredai segala yang kita lakukan. Realitinya, doa paling baik dan mustajab ialah
doa daripada ibu bapa. Jadi, kita seharusnya sentiasa memohon restu dan keredaan mereka sepanjang
mengharungi onak dan duri dalam meniti kehidupan. Kita juga seharusnya mewujudkan keluarga
sakinah supaya kehidupan kita diberkati kelak. Ibu bapa tidak mengharapkan anak-anak
mengharapkan anak-anak mereka memperoleh keputusan cemerlang malahan mereka amat berharap
anak-anaknya menghormati mereka. Jelaslah bahawa setiap anak seharusnya mempunyai impian untuk
menjadi individu kebanggaan keluarga.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak dalam memastikan mereka
menjadi individu kebanggaan keluarga. Jadi, tiada sebab untuk kita lari daripada peranan kita sebagai
anak-anak. Ibu bapa yang telah mengorak langkah membentuk keperibadiaan anak-anak sejak awal
sudah pasti akan berasa bangga dan bahagia kelak. Jadi, usahlah kita menidakkan tanggungjawab kita
sebagai anak adalah sangat besar. Justeru, anak-anak perlulah menyusun strategi bagi memastikan
mereka akan menjadi kebanggaan keluarga suatu hari nanti. Tuntasnya di sini, ibu bapa dan keluarga
haruslah diberi perhatian sewajarnya kerana merekalah insan yang paling rapat dan sentiasa ada di sisi
kita sama ada susah mahupun senang. Jelaslah, kita seharusnya sentiasa ingat dan menjalankan obligasi
sebagai anak yang dapat menjadi kebanggaan keluarga kelak. Terserlah bahawa jika kita berjaya,
sebenarnya kejayaan itu datangnya daripada hasil didikan ibu bapa kita sejak usia kita setahun jagung
lagi. Jikalau tiada ibu bapa kita yang melentur buluh dari rebungnya, tidaklah seseorang anak itu
berjaya sehingga sekarang.
[904 patah kata]

SOALAN 2
Sekolah turut berperanan dalam pemupukan amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid.
Huraikan peranan sekolah dalam pemupukan amalan tersebut dalam diri murid-murid.

Sedasawarsa ini, dek terlalu dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi, negara ini acap kali
tersentak dengan isu masyarakat yang semakin luntur kecintaannya terhadap alam sekitar yang
seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Isu ini bukan sahaja menular di media massa seperti akhbar,
5

televisyen dan Internet malahan, isu ini sering meniti dari bibir ke bibir seluruh masyarakat di negara
ini termasuklah di warung-warung kopi mahupun di dewan-dewan parlimen. Persoalannya, apakah
yang dimaksudkan dengan nilai kecintaan terhadap alam sekitar? Mengapakah nilai ini sewajarnya
dipupuk sejak usia masih kecil lagi? Nilai kecintaan terhadap alam sekitar ialah sikap cinta terhadap
alam sekitar sehingga melahirkan usaha untuk sentiasa memelihara dan memulihara keindahan alam
sekitar. Nilai ini sangat wajar untuk dipupuk kerana nilai ini sangat penting dalam melestarikan
keindahan alam di negara kita demi kebaikan bersama. Apabila nilai ini mulai disemai sejak kecil lagi,
isu pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing malah membimbangkan masyarakat dapat
ditangani dengan drastik dan dapat dikurangkan. Apalah gunanya jika negara makmur dengan
teknologi canggih tetapi muflis nilai kecintaan terhadap alam sekitar. Siapakah golongan sasaran yang
perlu memikul obligasi berat dalam melaksanakan uslub kudsi ini? Sudah tentulah murid-murid yang
masih berada di alma mater menjadi sasaran masyarakat bagi menjaga dan melestarikan alam sekitar
ini. Hal ini adalah kerana peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebung
seharusnya diaplikasikan demi kebaikan bersama. Oleh itu, peranan pelbagai pihak di sekolah dalam
memupuk amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid akan mewarnai fokus perbincangan
ini demi kemaslahatan bersama.

Antara peranan pihak sekolah adalah dengan menganjurkan program ataupun ‘Kempen
Mencintai Alam Sekitar’ setiap tahun dan menyuburkan sikap cinta terhadap alam sekitar. Dengan ini,
murid-murid akan semakin tinggi pengetahuan mereka tentang kebaikan dan kepentingan menjaga
keindahan alam sekitar. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh melaksanakan pelbagai aktiviti yang
lebih menarik supaya dapat menggamit minat murid-murid untuk menyertai aktiviti ataupun kempen
yang dijalankan. Seperti Kuiz Alam Sekitar yang boleh dianjurkan oleh Kelab Pencinta Alam Sekitar di
setiap sekolah. Kembara Alam Sekitar juga boleh dilaksanakan dengan melibatkan guru-guru dan
murid-murid supaya dapat memberikan pendedahan yang dapat membuka minda murid tentang peri
pentingnya alam sekitar pada masa ini. Dalam aktiviti tersebut, guru-guru seharusnya membimbing
murid-murid untuk lebih mengetahui spesies dan kehidupan alam sekitar supaya mereka dapat
mengetahui pelbagai prakarsa untuk melestarikan keindahan alam sekitar. Secara tidak langsung,
generasi akan datang juga dapat menikmati keindahan alam sekitar yang sentiasa terjaga ini. Dengan
pendekatan ini, nilai-nilai negatif dalam diri murid dapat dilunturkan supaya tidak menjadi bebaun
kepada negara pada masa akan datang. Apakah nilai-nilai negatif yang dimaksudkan itu? Nilai tersebut
adalah seperti nilai mementingkan diri yang hanya mengutamakan ganjaran material tetapi tidak
terhadap nilai kemanusiaan sehingga sanggup beraja di hati, bersultan di mata demi selaut ganjaran
yang dijanjikan. Oleh itu, guru-guru seharusnya bersikap prihatin dan sentiasa berusaha
menggembleng tenaga untuk melaksanakan kempen dan aktiviti tersebut supaya dapat menyemaikan
amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid.

Selain itu, guru-guru juga sewajarnya menjalankan pelbagai uslub seperti mengadakan Sudut
Info Alam Sekitar supaya dapat memberikan dan menambahkan pengetahuan murid-murid tentang
alam sekitar yang semakin ditelan kerakusan manusia dek pembangunan sehingga mengorbankan
keindahan dan kesucian alam sekitar. Contoh yang boleh diketengahkan adalah dengan mengadakan
pameran tentang informati dasi alam sekitar di papan kenyataan sekolah sama ada di kantin, di lobi
mahupun di dinding-dinding sekolah yang memaparkan ilustrasi yang menarik supaya dapat memikat
minat murid untuk membaca, menghayati dan mengaplikasikan sikap mencintai alam sekitar dalam
kehidupan seharian mereka sehinggalah ke usia tua nanti. Hal ini adalah kerana apabila murid-murid
sering dikelilingi dengan pelbagai informasi yang bermanfaat, maka akan lahirlah individu yang
berpengetahuan luas, berimformasi yang sering menjadi visi dan misi setiap sekolah. Oleh itu, dengan
golongan sasaran inilah yang akan menjadi cerucuk utama dan pencetus kemajuan negara dalam
pelbagai aspek termasuklah maju pemikirannya sehingga mampu untuk memikirkan akibat dan
padahnya jika hanya mengikut hati dalam setiap tindakan. Dengan ini, tangan dan kaki mereka tidak
akan teradaya untuk memusnahkan alam sekitar yang penting untuk dilestari supaya mereka tidak
tergolong dalam kalangan yang rakus memuaskan hati mereka semata-mata mengaut segunung
keuntungan. Jadi, guru-guru seharusnya tidak mengamalkan sikap bagai enau dalam belukar
6

melepaskan pucuk masing-masing ataupun melepaskan batuk di tangga dalam memupuk nilai
kecintaan murid terhadap alam sekitar.

Pena ini akan terus membicarakanbaik di hadapan murid-murid malahan guru-guru juga
seharusnya menjadi suri teladan yang perlu dicontohi oleh setiap murid dalam pelbagai aspek. Oleh itu,
guru-guru adalah antara golongan yang sering bersama dengan murid selain ibu bapa mereka. Justeru,
guru-guru mahupun semua pihak di sekolah juga seharusnya menunjukkan sikap yang baik seperti
membuang sampah di tempat yang sepatutnya dan bersama-sama membersihkan halaman sekolah
mahupun kelas supaya mereka dapat bekerjasama sekali gus mengeratkan silaturahim sesama mereka.
Tiada gunanya guru-guru sekadar menasihati tetapi tidak berusaha mendekati murid-murid untuk
melakukan setiap pekerjaan yang digalakkan itu. Jika guru-guru mengamalkan sikap sedemikian,
mereka akan berasa malas dan alpa dengan hanya bersembang dan berbual-bual kosong semasa
menjayakan aktiviti membersihkan sesuatu kawasan tersebut. Melalui pemantauan guru-guru, murid-
murid akan lebih fokus dan bekerjasama menjayakan setiap aktiviti yang dirancang. Izharlah bawaha
pihak sekolah seharusnya berusaha bersama-sama murid-murid bagi setiap aktiviti yang dijalankan
supaya akan terpaparlah nilai kecintaan terhadap alam sekitar dalam diri murid-murid.

Sebagai kesimpulannya, semua pihak terutamanya pihak guru-guru di alma mater seharusnya
bersatu untuk memupuk amalan men-murid cintai alam sekitar dalam diri murid supaya golongan ini
dapat menjadi pembangun kepada keindahanan alam sekitar di negara kita. Jika tidak dipecahkan
ruyung manakan dapat sagunya. Oleh itu, pihak sekolah seharusnya berusaha untuk menganjurkan dan
melaksanakan uslub-uslub tersebut supaya amalan mencintai alam sekitar dapat disuburkan dalam diri
murid-murid sejak di bangku sekolah lagi. Mereka seharusnya didedahkan dengan pelbagai informasi
dan maklumat supaya mereka tidak seperti di bawah tempurung kerana sekiranya kita maju dalam
pelbagai bidang dan cabang di peringkat antarabangsa tetapi tidak ada nilai mencintai alam sekitar,
tiada gunanya. Oleh itu, murid-murid juga perlu sedar bahawa alam sekitar sangat penting kepada
negara. Persis kata-kata Allahyarham Profesor Hamka, “kecantikan bukanlah pada wajah semata-mata
tetapi pada akhlaknya.” Jadi, kita perlulah melestarikan dan mencintai alam sekitar demi kebaikan
sejagat.
[984 patah kata]

SOALAN 3

Sebagai negara yang subur dan kaya dengan pelbagai sumber, Malaysia seharusnya menuju ke arah
negara yang membekalkan makanan yang cukup kepada rakyatnya di samping mengurangkan
kebergantungan kepada makanan yang diimport.
Jelaskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang
menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatnya.

Pada era langit terbuka ini, kita sering diuar-uarkan dengan hasil pertanian Negara yang tidak
mencukupi untuk membekalkan makanan kepada rakyat sehingga terpaksa diimport dari negara luar.
Sebagai contoh, beras diimport dari negara Thailand walaupun Malaysia mempunyai tanah yang subur
untuk menanam padi. Antara tanah yang subur untuk menanam padi di Malaysia adalah di Kedah, di
Kelantan dan di Sabah. Hal ini dikatakan demikian kerana kurangnya kesedaran rakyat dan pihak
berwajib berkaitan makann di Malaysia. Jika Malaysia berselisihan faham dengan negara-negara
mengimport barang ke Malaysia maka negara kita akan terputus sumber makanan. Oleh itu, jelaslah
bahawa Malaysia sebagai negara yang kaya dengan pelbagai sumber seharusnya mampu membekalkan
makanan yang cukup kepada rakyatnya di samping mengurangkan kebergantungan terhadap makanan
yang diimport. Dengan hal yang demikian, pelbagai langkah yang perlu diambil untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara yang menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatnya.
7

Langkah yang perlu diambil oleh pihak berwajib adalah dengan menggalakkan pembukaan
tanah-tanah pertanian yang baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan pembukaan tanah-tanah
pertanian yang baharu ini, semakin banyak sumber makanan yang dapat ditanam dan diusahakan oleh
petani khususnya petani yang berkemahiran ataupun graduan-graduan mengganggur yang tidak
mampu untuk membeli tanah untuk bertani. Pembukaan tanah-tanah pertanian yang baharu ini boleh
diletakkan di bawah rancangan FELDA atau FELCRA. Kesannya, petani yang berkemahiran ataupun
mahasiswa mengganggur ini dapat memanfaatkan tanah pertanian tersebut sebaik-baik mungkin di
samping dapat menghasilkan produk pertanian yang berkualiti tinggi. Hasil pertanian ini dapat
dibekalkan kepada rakyat sebagai sumber makanan secara berterusan. Dengan ini, kebergantungan
Malaysia terhadap makanan yang diimport dari negara luar dapat dikurangkan. Jelaslah bahawa dengan
membuka tanah-tanah pertanian yang baharu dapat menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar
makanan yang cukup kepada rakyatnya.

Selain itu, kerajaan juga boleh memberikan galakan kepada rakyat dengan mengadakan kempen
dan menyediakan modal dari segi kewangan kepada rakyat. Kerajaan boleh mengadakan pameran
pertanian di tempat-tempat yang berpotensi untuk membuka tanah pertanian seperti di Kedah, di
Sarawak dan di Terengganu. Pameran yang diadakan ini dapat memberikan pengetahuan kepada
rakyat berkaitan pertanian di samping dapat menarik minat rakyat untuk bertani. Dari segi penyediaan
modal, kerajaan boleh menyediakan peruntukan kewangan kepada petani atau rakyat yang berminat
untuk bertani dan mempunyai tanah pertanian untuk membeli anak pokok, biji benih dan baja. Dengan
ilmu yang diperoleh daripada pameran pertanian dan modal yang disediakan, sudah tentu rakyat
berminat untuk bertani sekali gus dapat menghasilkan sumber makanan yang baik kepada Malaysia.
Hal ini dikatakan demikian kerana dengan ilmu pengetahuan berkaitan pertanian, petani-petani dapat
menghasilkan produk pertanian yang berkuali tinggi dan dapat dijadikan sumber makanan negara.
Namun, ilmu pengetahuan sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang itu petani. Sumber
kewangan dan modal juga penting untuk menjadi petani. Sebagai contoh, jika seseorang itu
berpengetahuan tinggi dalam bidang pertanian tetapi tidak mempunyai sebarang modal untuk
memulakan pertanian tidak berguna, begitu juga sebaliknya. Jika seseorang itu mempunyai modal yang
banyak tetapi tidak berilmu dalam bidang pertanian juga tidak berguna. Oleh itu, jelaslah bahawa
dengan mengadakan kempen dan menyediakan modal dapat menjadikan Malaysia sebagai negara yang
mampu menyediakan makanan yang cukup kepada rakyatnya.

Di samping itu, rakyat juga haruslah prihatin dengan menyahut segala kempen yang diadakan
oleh pihak kerajaan agar hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negera yang mampu menyediakan
makanan yang cukup kepada rakyatnya. Hal ini dikatakan demikian kerana usaha rakyat dan kerajaan
haruslah bergerak seiring agar hasrat tersebut dapat dicapai. Rakyat yang prihatin akan menghadirkan
diri ke pameran-pameran pertanian yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka untuk
mendapatkan maklumat berkaitan dengan pertanian. Rakyat juga boleh membaca risalah pertanian
yang diedarkan untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berkaitan pertanian. Rakyat juga
boleh memohon untuk membuka tanah pertanian yang baharu di samping boleh memohon pinjaman
modal untuk membeli anak-anak pokok, baja dan jentera pembajak. Kesannya, rakyat dapat
memanfaatkan kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam bidang pertanian sebaik-baik
mungkin dan dapat menghasilkan sumber makanan yang berkualiti tinggi untuk mencapai hasrat
menjadikan negara yang mampu menyediakan makanan yang cukup kepada rakyatnya. Persefahaman
dan permuafakatan yang terjalin antara pihak kerajaan dengan rakyat membawa pelbagai kebaikan
kepada Negara bak kata pujangga muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaskah bahawa jika rakyat
menyahut segala kempen yang diadakan oleh kerajaan maka Malaysia dapat menjadi negara yang
menghasilkan makanan yang cukup kepada rakyatnya.

Kesimpulannya, dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu
menghasilkan makanan yang cukup kepada rakyatnya, pihak kerajaan dan rakyat haruslah bekerjasama
mengambil langkah yang bersesuaian dan pragmatik agar dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara yang mampu menyediakan makanan yang cukup untuk rakyatnya. Pertanian merupakan
8

sumber makanan utama negara di samping mengimport makan dari negara luar. Hal ini akan dapat
menjimatkan perbelanjaan ke luar Negara dalam sektor pertanian.
[756 patah kata]

SOALAN 4
Anda ingin menulis sebuah rencana dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana anda ialah ‘Kebaikan-
kebaikan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi kepada Masyarakat Antarabangsa’.
Tulis rencana itu selengkapnya.

Kebaikan-kebaikan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)


Oleh Nur Sakeena binti Azhar

Pada era globalisasi ini, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) digunakan oleh masyarakat
serata dunia. Teknologi ini digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan
bangsa. Tambahan pula, dengan kecanggihan peranti elektronik yang membolehkan mereka mengakses
teknologi ini dengan mudah dan pantas di mana-mana sahaja mereka berada. Dengan kemudahan yang
ada, tidak hairanlan pengguna teknologi maklumat dan komunikasi semakin meningkat dari masa ke
masa. Persoalannya, apakah kebaikan-kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi kepada
masyarakat antarabangsa sehinggakan penggunanya semakin meningkat?

Antara kebaikan teknologi ini ialah kita dapat berhubung antara satu sama lain dengan pantas.
Media-media sosial seperti ‘Facebook’, ‘Twitter’, ‘Kik’ dan ‘Instagram’ membolehkan kita mengikuti
perkembangan rakan-rakan kita terutamanya yang bermastautin di luar Negara. Dengan kemudahan
ini, kita dapat bersembang dengan mereka di atas talian untuk bertanyakan khabar. Lebih-lebih lagi,
kita juga boleh membuat panggilan video dengan mereka yang sudah semestinya lebih efisien untuk
melepaskan rindu. Disebabkan kewujudan teknologi ini, kita tidak perlu lagi mengutus surat semata-
mata untuk berhubung dengan orang yang jauh di mata seperti keadaan pada zaman dahulu kala.
Pengeposan surat mengambil masa berhari-hari ataupun berbulan-bulan berbeza dengan bersembang
di laman media sosial yang dapat dilakukan sekelip mata sahaja asalkan ada akses Internet. Kita tidak
perlu lagi membazirkan duit untuk membeli setem ataupun membeli kad prabayar terutamanya pelajar-
pelajar yang bergantung pada wang saku yang diberikan oleh ibu bapa. Duit lebihan wang saku boleh
disimpan ke dalam tabung untuk sediakan payung sebelum hujan kerana kita tidak tahu kesempitan
wang yang akan kita hadapi kelak. Lebih-lebih lagi, kita hidup pada zaman atom iaitu kos sara hidup
semakin melambung tinggi. Jadi, menabung untuk masa depan adalah salah satu langkah yang bijak
perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat.

Tambahan pula, kita juga dapat belajar bahasa asing dengan teknologi terkini ini. Kemudahan
Internet membolehkan kita belajar bahasa-bahasa asing yang digunakan secara meluas di seluruh dunia
seperti bahasa Korea, Bahasa Jepun mahupun Bahasa Sepanyol. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa
banyak kelebihan yang kita akan dapat apabila kita dapat bertutur dalam bahasa asing. Sebagai
contohnya, pengembara atau pelancong dari jepun lebih berpotensi untuk mendapatkan harga yang
murah apabila berada di Mexico kerana berkebolehan bertutur dalam Bahasa ibunda negara Mexico
yang mengagumkan penduduk di sana. Selain itu, kemudahan komunikasi juga mengelakkan pelancong
sesat jalan kerana kebolehan untuk bertanyakan penduduk tempatan arah jalan. Tambahan lagi,
peluang juga akan terbuka luas apabila kita dapat bertutur dalam bahasa asing seperti bahasa Mandarin.
Majikan lebih cenderung akan mengambil orang yang dapat berbahasa Mandarin untuk dihantar ke
China untuk berbincang tentang perniagaan. Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi
9

memberikan peluang kepada kita untuk belajar bahasa asing tanpa perlu menghadiri kelas bahasa asing
secara formal yang pasti memerlukan kos yang mahal.

Seterusnya, kita dapat mengetahui perkembangan semasa di seluruh dunia. Apabila kita
mengikuti perkembangan semasa di seluruh dunia, kita tidak akan menjadi seperti katak di bawah
tempurung. Pada masa ini, dunia dihangatkan dengan isu penindasan etnik minority Rohingnya di
Myanmar. Perilaku penduduk Myammar yang menyalahi hak asasi manusia terhadap etnik Rohingnya
sangat menyayat hati. Hal ini menyebabkan etnik Rohingnya bertungkus lumus untuk mendapatkan
perlindungan. Walaupun ramai yang sudah Berjaya untuk ke luar negara sebagai pelarian, masih ramai
antara mereka yang terkandas di Myanmar. Ada yang dirogol, ada yang diseksa, ada juga yang dibunuh
secara kejam. Atas dasar kemanusiaan, pihak sukarelawan sedang berusaha untuk mengumpulkan
dana agar hak asasi manusia etnik Rohingnya dapat diperjuangkan.

Di samping itu, kita dapat menjana pendapatan secara atas talian. Kita tidak memerlukan kedai
untuk menjalankan perniagaan. Sebaliknya, kita hanya perlu ada kemudahan Internet. Barang-barang
atau produk-produk tempatan dapat dipasarkan di laman sesawang antarabangsa ‘Ebay’. Hal ini akan
menguntungkan penjual kerana barang dipasarkan berpotensi untuk laku seperti pisang goreng panas
kerana pengguna ‘Ebay’ mencecah jutaan pengguna. Tambahan pula, apabila barangan kita dibeli oleh
penduduk Eropah, kita akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda kerana nilai mata wang
mereka yang tinggi. Jelaslah bahawa kita dapat menjalankan perniagaan dari rumah dengan
menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi.

Akhir sekali, kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan melalui teknologi maklumat dan
komunikasi. Semua perkara dapat diketahui menerusi kemudahan Internet. Penggemar Sejarah dunia
dapat mengetahui kisah Gengkhis Khan yang merupakan seorang pemeringah yang berpengaruah pada
suatu ketika dahulu iaitu semasa Dinasti Chang. Pengetahuan sejarah ini sangatlah unik kerana
Gengkhis Khan sangat mahir dalam menyusun strategi kerana keturunannya dapat menakluki dunia pda
jangka masa yang panjang. Mengikut kajian yang dilakukan oleh tiga orang daripada 10 orang lelaki di
Asia Tengah merupakan keturunan Gengkhis Khan. Rupa paras keturunan pemerintah berpengaruh ini
sangat unitk kerana mempunyai paras rupa mirip orang berbangsa Cina. Keturusan Gengkhis Khan
mempunyai darah campuran bangsa Mongolia, Arab dan Kaukasia. Rupa paras mereka sangat menarik
kerana mereka berkulit putih, mata bercelak, hidung mancung dan tinggi.

Konklusinya, teknologi maklumat dan komunikasi banyak memberikan kebaikan kepada


masyarakat antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia, kita wajarlah memanfaatkan teknologi ini supaya
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi sejajar dengan negara maju yang lain di peringkat
antarabangsa.
[796 patah kata]

CONTOH KARANGAN CEMERLANG (3 isi)


BAHAGIAN B

Soalan SPM 2015


Aktiviti rekreasi seperti aktiviti melancong, berkelah dan bersenam membawa pelbagai manfaat
kepada masyarakat.
Ulas pernyataan tersebut.

Arus globalisasi yang menerjah dan melanda negara kita telah menyaksikan pelbagai amalan
yang sering dilakukan pada zaman dahulu semakin dilupakan. Manusia pada zaman mencabar ini lebih
banyak menghabiskan masa dengan bekerja dan sibuk mengejar arus pemodenan yang bersifat
materialistik. Ada kalanya, sikap mereka membawa padah kepada diri sendiri. Hari demi hari, sikap
10

manusia berubah seiring dengan peredaran zaman. Antara amalan yang semakin dilupakan pada masa
ini ialah amalan melibatkan diri dalam aktiviti rekreasi. Secara analoginya, aktiviti rekreasi boleh
ditakrifkan sebagai apa-apa aktiviti yang dilakukan di luar rumah untuk mengisi masa lapang. Antara
aktiviti rekreasi yang popular adalah dengan melancong, berkelah dan bersenam. Secara izharnya,
ramai orang sama ada golongan tua mahupun golongan muda tidak melakukan aktiviti sebegini lagi.
Adakah mereka berasakan bahawa aktiviti rekreasi ini tidak membawa faedah dan hanya membuang
masa? Sesungguhnya, masih ramai yang tidak tahu akan manfaat aktiviti rekreasi kepada masyarakat.
Sekiranya manfaatnya kita tahu sehingga ke akar umbi, maka sudah pasti aktiviti rekreasi ini tidak akan
dilupakan.

Umum mengetahui bahawa antara manfaat melakukan aktiviti rekreasi ialah aktiviti ini dapat
merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat. Sejak dahulu lagi, perpaduan bangsa amat
dititikberatkan untuk membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni. Dalam konteks ini, semua
rakyat sudah tahu dan maklum akan kepayahan pemimpin negara untuk membentuk perpaduan dalam
kalangan rakyat yang berbilang bangsa di negara kita. Oleh itu, kita perlu mengekalkan perpaduan yang
ada pada zaman sekarang. Melalui aktiviti rekreasi, hubungan dapat dieratkan kerana masyarakat
dapat berinteraksi dan saling mengenali antara satu sama lain. Aktiviti seperti melancong dan berkelah
boleh dilakukan bersama-sama tanpa mengira bangsa dan keturunan. Melalui aktiviti ini, masyarakat
akan dapat mengenal hati budi masing-masing. Hal ini dapat menjadikan perasaan sangsi dan persepsi
buruk terhadap orang lain dilenyapkan dalam diri individu. Aktiviti rekreasi juga merupakan medium
untuk masyarakat berbual-bual dan bertanya khabar tentang perkembangan diri masing-masing.
Sebagai akibatnya, masyarakat akan dapat mengeratkan hubungan dan meluangkan masa bersama
tanpa ada batasan dari aspek warna kulit mahupan agama yang dianuti. Malahan, hubungan yang akrab
bagai dakwat dan kertas juga dapat diwujudkan.

Memang tidak dapat dinafikan bahwa aktiviti rekreasi juga dapat membantu masyarakat untuk
melepaskan tekanan. Pada zaman pascamerdeka ini, kebanyakan individu mempunyai pekerjaan yang
menuntut mereka untuk bekerja siang dan malam. Pada masa yang sama, kerja yang perlu disiapkan
juga banyak dan menyebabkan tekanan kepada setiap individu. Dalam hal ini, aktiviti rekreasi dapat
membantu masyarakat melepaskan tekanan kerana aktiviti ini boleh menyebabkan masyarakat
melupakan masalah buat sementara waktu dan bergembira. Sehubungan dengan itu, aktiviti seperti
melancong dan bersenam boleh dilakukan pada hari cuti bersama-sama keluarga atau rakan.
Kebanyakan orang hanya memikirkan masalah yang dihadapi sehingga memberikan kesan kepada
kesihatan mental dan fizikal mereka. Melalui aktiviti rekreasi, masyarakat dapat merasai keseronokan
meluangkan masa bersama dengan orang tersayang. Implikasinya, masyarakat yang sihat dari segi
mental dan fizikal dapat dilahirkan dan masyarakat seperti ini juga dapat membantu negara mencapai
status negara maju.

Lontaran idea terakhir, aktiviti rekreasi sememangnya dapat melahirkan masyarakat yang
cerdas dan cergas. Pada zaman perkembangan teknologi IT ini, kebanyakan daripada masyarakat lebih
gemar menghabiskan masa melayari Internet daripada duduk di dalam rumah. Mereka jarang
melakukan aktiviti-aktiviti luar untuk mengisi masa lapang. Sekiranya masa mereka banyak dihabiskan
dengan gajet-gajet sahaja, minda mereka sudah tentu tidak akan berkembang dan membawa
kemudaratan kepada tubuh badan mereka. Melalui aktiviti rekreasi seperti bersenam, masyarakat
dapat mengekalkan kesihatan tubuh badan di samping mengisi masa lapang. Situasi ini dapat
disamakan dengan peribahasa sambil menyelam minum air. Masyarakat boleh melakukan senaman
seperti joging untuk mengeluarkan peluh. Sekiranya aktiviti rekreasi seperti ini kembali menjadi
amalan, maka slogan badan cergas dan minda cerdas dapat dihidupkan semula. Demi mewujudkan
masyarakat yang cergas dan cerdas, setiap individu perlu meluangkan masa untuk melakukan aktiviti
rekreasi tanpa alasan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Sudah terang lagikan bersuluh, jelaslah bahawa aktiviti rekreasi membawa banyak faedah
kepada masyarakat. Setiap lapisan masyarakat perlu meluangkan masa untuk melakukan aktiviti
rekreasi walaupun sibuk dengan urusan harian. Sekiranya aktiviti rekreasi ini kembali menjadi amalan,
11

maka faedahnya akan dapat dinikmati oleh masyarakat dan juga negara. Negara bukan sahaja dapat
melahirkan masyarakat yang sihat mentalnya, bahkan fizikalnya juga. Negara juga akan dapat
membentuk masyarakat yang harmoni dan keamanan yang selama ini dikecapi oleh negara akan dapat
dikekalkan. Sesungguhnya, rakyat merupakan tunjang utama kepada pembangunan negara. Dalam
usaha memajukan negara, rakyat juga tidak harus lupa akan diri sendiri. Oleh itu, aktiviti rekreasi ini
perlu dijadikan amalan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
[723 patah kata]

CONTOH KARANGAN A+ [SPM 2010]

Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat
menjaga seorang ibu.

Situasi seperti di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat.


Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi
bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa
telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini
seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian
Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke
dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam
memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca
daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu
menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah
yang perlu dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah
kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang
cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu
dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu
menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera
yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang
bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk


membahagiakan ibu bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan
kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan
Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah
mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air
mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka?
Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan
mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh
itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang
telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga
kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang
manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi
dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya
menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya,
12

sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu
tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga
merupakan salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka.
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali
ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan
bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu
bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa
anak merupakan tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama
bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep
melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan
yang berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang
berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka
mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga
akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana imej dan
maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci
kebahagiaan buat ibu bapa mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati
mereka. Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub
dalam Falsafah Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-
anak membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh
dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk
perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua
pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke
mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan
orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka
dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati
peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah,
anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang
diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek
intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi
membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus
membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk
telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang
anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering
berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam
mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan
membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan
urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang
tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan
oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak
daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat
menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan
persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan
malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut.
Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti
statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007
hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai
setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu
13

meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk
mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah
dengan mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat
menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan
anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa
atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali
peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9
anak membuang ibu mereka yang sudah tua’. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian
rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak
mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang
mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur
senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah
air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga.
Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka
perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.

Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang
boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari
dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika
mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka
meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai
budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada
ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa.
Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian
kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan
kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal
ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan
membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya
berasa bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh.
Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan
utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh
anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha
membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam
mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan
kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan
yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang
cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah sederap dengan
pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga
sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam
institusi kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi
kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka
sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.
[1415 patah kata]
14

Bahagian B (Karangan MATANG) ~ SPM 2016

1. Remaja kini terdedah kepada pelbagai cabaran hidup akibat pengaruh rakan sebaya, media massa dan
budaya Barat.
Huraikan peranan ahli keluarga dalam membantu para remaja menghadapi cabaran-cabaran tersebut.

Dalam mendepani arus modenisasi tanpa limitasi ini, pelbagai cabaran hidup yang perlu
diharungi oleh setiap strata masyarakat. Golongan remaja pastinya difokuskan kerana mereka
merupakan golongan majoriti yang mendiami planet Bumi ini. ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara’, begitulah slogan yang kini menjadi tunjang utama kepada kemajuan peradaban negara. Hal ini
jelas merujuk kepada golongan remaja kerana mereka memainkan peranan yang amat besar dalam
memastikan kejayaan Malaysia terus memacu ke hadapan. Namun, apa yang menyayat hati adalah
apabila golongan remaja diperhatikan amat mudah tewas dengan cabaran dunia. Kebobrokan akhlak
golongan remaja yang kian jelas semakin memuncakkan kerisauan semua pihak. Oleh itu, ahli keluarga
perlulah sedar dan membuka mata bahawa terdapat satu tanggungjawab yang besar di pundak mereka
dalam membantu para remaja yang kian terjerumus dalam lembah kegelapan.

Peranan pertama yang utama ialah ahli keluarga perlulah memastikan para remaja berkawan
dengan mereka yang mantap akhlak dan sahsiahnya. Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib,
“Manusia yang lemah imannya adalah mereka yang tidak mampu mencari sahabat, dan yang lebih lemah
dari itu ialah mereka yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari”. Kata-kata tokoh Islam yang
masyhur ini jelas membuktikan bahawa sahabat merupakan insan yang penting dalam mencerminkan
diri kita yang sebenar. Tamsilnya, ibu bapa berperanan untuk mengetahui maklumat yang terperinci
tentang rakan anak emas mereka. Tindakan pantas yang pragmatik ini amatlah signifikan kerana para
remaja majoritinya amat mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Ibu bapa juga perlulah tahu setiap
tindak-tanduk para remaja bersama dengan rakan-rakan mereka di luar rumah. Oleh itu, mereka
pastinya berasa takut untuk melakukan perkara yang berunsurkan negatif dan menurut hawa nafsu
semata-mata bak kata peribahasa Melayu, beraja di hati, bersultan di mata. Hal ini jelas menunjukkan
peranan ahli keluarga terutamanya ibu bapa dalam mengawasi para remaja agar tidak mudah
terpengaruh dengan rakan sebaya.

Seperkara yang tidak kurang penting juga, media massa kini semakin rancak berkembang dan
maju ke hadapan. Media sosial terutamanya merupakan medium canggih yang majoritinya digunakan
oleh golongan remaja. Hal ini kerana mereka telah pintar dan bijak dalam mengakses aplikasi-aplikasi
seperti ini. Sebagai tamsilan, remaja pastinya mempunyai aplikasi media sosial seperti ‘Facebook’,
‘Twitter’, ‘Instagram’ dan ‘Whatsapp’ di dalam telefon pintar mereka. Oleh itu, banyak masa yang telah
dihabiskan oleh mereka dengan menatap skrin bercahaya dari pagi hingga ke petang. Masyarakat
15

Melayu lazim dengan peribahasa masa itu emas. Bertitik tolak daripada itu, ahli keluarga perlulah
memainkan peranan masing-masing dalam menasihati remaja agar tidak mensia-siakan waktu yang
ada. Ahli keluarga seperti abang dan kakak sewajarnya berusaha bagai air mencari jenisnya bagi
memastikan adik-beradik mereka agar tidak lalai dan leka dengan media massa. Mereka seharusnya
mengaplikasikan peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih. Media massa hakikatnya
menyediakan kita dengan pelbagai maslahat. Namun, jika tersilap langkah media tersebut juga berupaya
menyajikan kita dengan seribu mafsadah. Oleh itu, ahli keluarga mestilah tidak mengambil enteng
dalam tugas mereka menasihati para remaja agar tidak terpengaruh dengan media massa.

Disingkap dari aspek yang lain pula, ahli keluarga perlulah bahu-membahu dalam membantu
para remaja agar tidak rosak akibat budaya Barat. Hal ini kerana, budaya Barat yang merupakan budaya
hedonistik ini kian menular dalam sukma setiap remaja. Sebagai uswah, para remaja gemar melayan
drama-drama artis dari Korea. Hal ini menyebabkan mereka mengikut jejak langkah setiap artis pujaan
mereka dari aspek penggayaan rambut, pemakaian baju sehinggalah gaya pertuturan mereka. Para
remaja berasa hidung tinggi dan berbangga apabila mereka dimiripkan dengan artis-artis luar negara.
Rentetan itu, ahli keluarga perlulah mengambil langkah sederap untuk menghalangkan penerapan
budaya asing dalam diri para remaja. Hal ini kerana, peribahasa Melayu sering mengingatkan, biar mati
anak, jangan mati adat. Peribahasa ini jelas menunjukkan peri pentingnya adat dan budaya resam kaum
kita agar dipelihara sehingga ke generasi yang seterusnya. Oleh itu, ahli keluarga perlulah menghalang
para remaja daripada menyaksikan drama-drama luar negara, membeli majalah-majalah yang tidak
berfaedah serta pertuturan loghat asing. Oleh itu, para remaja akan terpelihara daripada unsur budaya
Barat. Ahli keluarga juga terutamanya ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai agama dan unsur-unsur
kerohanian dalam diri remaja. Oleh itu, atma para remaja akan bersih dan mereka mampu membezakan
antara intan dan kaca.

Jika ditelusuri, remaja juga perlu dipadatkan dengan aktiviti seharian bersama-sama ahli
keluarga. Hal ini kerana golongan remaja mudah lupa tentang asal usul keturunan mereka. Oleh itu, ahli
keluarga wajarlah menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk dilakukan bersama-sama remaja.
Sebagai contoh, aktiviti mengemas rumah, menonton televisyen, beriadah di taman dan melancong ke
luar negara. Ahli keluarga berperanan memastikan para remaja sentiasa berada di sisi mereka. Oleh itu,
remaja akan terjaga daripada terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti menghisap
rokok, menagih dadah dan ponteng kelas. Ahli keluarga tidak sewajarnya memainkan peranan masing-
masing bagai melepaskan batuk di tangga. Para remaja pastinya akan berasa terabai lantas memberikan
seribu alasan untuk melakukan perkara-perkara yang negatif. Ibu bapa perlulah menjaga anak mereka
bagai menatang minyak yang penuh kerana sesungguhnya anak-anak terutamanya yang sedang meniti
usia remaja amatlah menagih kasih sayang ibu bapa. Jelaslah bahawa, aktiviti yang membawa kepada
pelbagai maslahat sesama keluarga amatlah signifikan dalam memastikan para remaja tidak tewas
dengan cabaran hidup.

Natijahnya, terdapat pelbagai peranan yang perlu digalas oleh ahli keluarga dalam memastikan
para remaja mempunyai kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran hidup yang
mendatang. Ingatlah bahawa kemajuan negara pada masa hadapan ditentukan oleh golongan remaja
pada masa ini. Inspirasi daripada kata-kata George Washington Carver, “99 peratus kegagalan
datangnya daripada mereka yang suka memberi alasan”. Kata-kata beliau jelas mengingatkan bahawa
tiada alasan yang wajar diberi oleh masyarakat terutamanya ahli keluarga dalam membantu golongan
remaja mengatasi rintangan-rintangan dalam kehidupan mereka. Pada saat getir seperti ini, ahli
keluarga tidak wajar bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Golongan
remaja tidak kuat dan mudah goyah untuk mengorah langkah dalam kehidupan mereka. Ahli keluarga
yang merupakan darah daging mereka sendiri merupakan insan yang paling penting untuk berada di
sisi mereka dalam membantu mereka membuat keputusan yang tepat yang menjanjikan kecemerlangan
hidup mereka.

[962 patah kata]

Anda mungkin juga menyukai