Anda di halaman 1dari 12

Soalan

Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak
baik kepada generasi akan datang. Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam
membentuk sahsiah diri yang terpuji.


Karangan
Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara

Sebahagian daripada lirik lagu Remaja persembahan kumpulan nasyid Unic saya
petik untuk menggambarkan kemaslahatan peranan remaja pada masa ini. Lagu yang
menyuntik semanagat ini menyeru para remaja agar menggunakan masa dengan sebaiknya
dan mempunyai azam yang kuat demi memajukan diri masing-masing . Melalui usaha yang
gigih dan tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah
yang terpuji , remaja akan menjadi warga yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan
nusa. Hal ini demikian kerana menurut Menteri Belia dan Sukan, Dato Ahmad Shabery
Cheek, belakangan ini, remaja begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada
dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa
dan masyarakat ataupun konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin
mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh negara.Pergolakan antarabangsa yang
berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah remaja kita. Remaja yang rata-ratanya
mempunyai semangat inkuiri atau ingin tahu yang tinggi berserta perlakuan untuk mencuba
sedaya upaya sehingga berjaya bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai
ke pangkal lengan, perlu dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar baik melalui diri sendiri,
ibu bapa, guru-guru, masyarakat mahupun kerajaan memandangkan remajalah yang bakal
memegang tampuk pemerintahan negara ini lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara
yang unggul dan terbilang. Negara memerlukan remaja yang mempunyai nilai mandiri dan
jati diri yang utuh di samping berdaya saing serta berfikiran kreatif dan inovatif. Namun
demikian, amatlah malang kepada negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan
sentiasa mendukung panji Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara kini dikaitkan
dengan isu kenakalan. Perbuatan yang melanggar norma, aturan atau hukum dalam
masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan membawa petanda yang tidak baik
kepada generasi akan datang bak kata pepatah, air perabung mengalir ke cucur atap. Isu ini
begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga seorang insan yang bergelar remaja
justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar memiliki
ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.
Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan
mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan
diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah swt. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan
ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh
dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu
Albert Einstein (walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan bahawa agama
tanpa ilmu adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu
dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu
tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah
dikurniakan oleh Allah swt. Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan
memahami Al-Quran, mengkaji hadis-hadis dan menyelami sirah nabi serta para sahabat.
Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu
pastinya akan menjadi sumber primer saya bagi membina pemahaman yang kukuh tentang
kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan
dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti
memahami nilai yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari . Nilai-nilai seperti
ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri
saya membina peribadi mulia . Pengajaran daripada Al-Quran dan hadis mampu merobah
mana-mana perlakuan saya yang sebelum ini yang dianggap bejat atau kurang memuaskan
kepada perlakuan yang positif atau terpuji. Jikalau saya tidak memahami kandungan Al-
Quran ataupun hadis, saya akan berjumpa dengan ustaz atau ustazah yang mempunyai
pengetahuan yang luas berkaitan dengan agama yang suci ini. Saya akan meluangkan masa
untuk pergi ke perpustakaan bagi mendalami ilmu agama kerana di perpustakaan, suasananya
yang hening mampu menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa. Dengan mendalami ilmu
agama, saya yakin saya mampu membentuk sahsiah diri yang terpuji kerana saya akan
memperlihatkan kesopanan berbudi bahasa, kemanisan berkata-kata dan kemampuan
memberikan buah fikiran dengan penuh tertib serta matang berlandaskan akhlak Nabi
Muhammad saw. Jelasnya, saya akan terhalang daripada menjadi penyumbang petanda yang
tidak baik kepada generasi akan datang.
Selain itu, satu lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan
menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan
yang paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya
ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap
saya bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama sembilan
bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah
bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang
dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang atau
Si Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada
ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan
tangan yang terbuka dan hati yang lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak
akan memberontak dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan
berbincang dengan cara yang paling baik atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala
permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih.
Allah telah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak
berbuat baik kepada mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah
Al-Israk ayat 23 yang menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara
menyatakan bahawa remaja boleh membina peribadi mulia dengan mentaati ibu bapa melalui
perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka dan menjauhkan diri daripada perilaku
yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib
ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah
kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa
membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw. yang bermaksud : Sesiapa yang ingin
dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu
bapanya dan menyambung tali silaturahim." Jelaslah bahawa mentaati ibu bapa mampu
menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan terhalang daripada
melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.
Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah
dengan menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi
bergelar pelajar, saya akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada
mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan
berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang sebaiknya dan berguna. Guru telah banyak
berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula daripada mereka mengajar
kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang
saya lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata
cendekiawan Wellington iaitu, Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya
tetapi bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat,
bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya
menjadi insan berguna yang mampu mendaki menara gading . Bukan sahaja guru ialah ibu,
bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, penasihat dan pembimbing malahan guru adalah
segalanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-
anak muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu,
pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Dengan ilmulah
manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai
khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga
peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris
para nabi. Justeru dengan menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan
bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji.
Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan
taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama
rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain
keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan
dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya akan menjaga atau memelihara hubungan yang
baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna
kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu sensitif
terutama isu agama. Saya akan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang telah
mengorbankan banyak nyawa yang berpunca daripada rusuhan kaum. Saya akan memberikan
pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik
dan telah membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya
perlu berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang
berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan
meramaikannya seperti kata pepatah berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali
dicari. Saya akan menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat segi dorongan, nasihat,
ilmu dan sebagainya kepada orang lain. Rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok apabila
berkawan dengan saya sekiranya saya tidak bersikap bagai buntal kembung. Apabila saya
menjalinkan hubungan baik dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada
dalam kamus rutin hidup saya sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang
mempunyai sahsiah terpuji.
Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk
mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak
bermoral . Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan
perkara yang negatif yang mampu keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri,
keluarga, bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya oleh hasutan syaitan yang
membisikkan kata-kata bermadu kepada anak Adam agar melakukan dosa. Saya sentiasa
awas bahawa syaitan telah berjanji akan menyesatkan umat manusia dek sebab Allah swt.
telah mencampakkannya keluar dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam.
Kesombongan merajai hati syaitan dengan alasan dia diciptakan daripada api manakala Adam
daripada tanah. Kedegilan syaitan kian hari kian diwarisi manusia hingga pelbagai kebejatan
moral dan perlakuan hedonisme mewarnai kehidupan menjadikan nilai-nilai nurni jelas nyata
dikesampingkan. Saya tidak mahu terjebak dalam kancah yang serba menyesakkan nafas
dan boleh memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang Muslim yang cemerlang dan
memiiki sahsiah yang terpuji. Menteri Belia dan Sukan, Dato Ahmad Shabery Chee pernah
menyuarakan pendapat bahawa , Para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan
peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana
sahaja pada bila-bila masa. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada
pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas aurat dan menjaga
hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. First impression orang lain terhadap kita
amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar.
Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan
meningkatkan mutu akhlak dalam kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas
ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan
mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip yang saya
pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji.
Pemupukan sahsiah diri ini saya yakin akan membentuk saya menjadi seorang yang beriman
dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai kerohanian yang
amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah saw.Mutiara kata ulamak
tersohor Hamka akan saya jadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Katanya, Aku
hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya,
memperkemas dadanya teapi tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak
akalnya. Tidak akan saya lakukan perkara yang sia-sia yang bisa menyesatkan saya
daripada landasan yang benar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan
akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup saya. Semoga isu kenakalan remaja
akan lenyap agar tidak lagi menebarkan sayap negatif kepada generasi akan datang bak kata
peribahasa Sebab nila setitik rosak susu sebelanga



Kasih Sayang Ibu Bapa Berkesan Mendidik Anak
Wujudkah ibu bapa yang tidak sayangkan anak ? Semestinya, semua ibu bapa sanggup
berkorban demi kebahagiaan anak mereka. Tetapi, persoalannya adakah semua ibu bapa hari
ini menyayangi anak dengan cara lebih tepat ? Dalam hal ini, ada ibu bapa sekarang
melakukan kesilapan. Ada menganggap cara ibu bapa dulu mendidik anak tidak betul dan
kolot, lalu terus menolak semua, sedangkan cara dulu tidak semua salah atau tidak sesuai
lagi.
Ada pula beranggapan cara didikan ibu bapa dulu adalah betul, lalu terus menggunakan
semua, sedangkan mungkin ada antaranya tidak sesuai dengan keadaan sekarang. Manakala,
ada pula disebabkan ingin mencari cara kontemporari, lalu dengan mudah mengguna pakai
cadangan dikemukakan buku atau penceramah, tanpa melakukan penelitian, tapisan atau
kefahaman yang mendalam. Kebanyakan isu keibubapaan timbul dalam konteks
hubungannya dengan anak yang berada pada usia remaja. Sesetengah remaja menunjukkan
perlakuan sukar difahami dan tidak pernah dibayangkan ibu bapanya. Ada ketikanya remaja
memilih pakaian dan muzik pelik, emosi berubah-ubah seperti keras dan pendiam, malah
mungkin kurang menghormati ibu bapa. Lazimnya, ibu bapa diingatkan mengenali dan
memahami psikologi anak remaja. Ibu bapa diberitahu bahawa remaja berada dalam zaman
transisi dan bergelut untuk berpaut pada zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan yang
bakal ditinggalkan sambil memasuki alam dewasa yang penuh tanda tanya. Orang tua
dimaklumkan bahawa anak remaja sedang berada dalam paradoks. Tetapi, ibu bapa jarang
diingatkan untuk mengenali dan memahami paradoks yang sedang berlaku dalam dirinya
sendiri. Bahawa mereka sendiri mencari keseimbangan antara memberikan kasih sayang dan
menetapkan sesuatu untuk anak remajanya.
Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang ideal ialah memberikan anak remajanya
keseimbangan antara kebebasan dan disiplin. Jika disiplin terlalu banyak dan ketat, remaja
akan memberontak. Sebaliknya, jika terlalu banyak kebebasan, remaja dahagakan struktur
tertentu dan mencarinya sendiri dengan cara belum tentu baik. Oleh itu, ibu bapa perlu
membuat pelbagai keputusan mengenai anaknya, misalnya, daripada boleh atau tidak
menonton televisyen, hinggalah kepada boleh atau tidak mempunyai teman lelaki atau
perempuan. Semakin anaknya menginjak dewasa, maka keputusan itu semakin besar dan
penting. Ada keputusan perlu dibuat setiap hari dan ada keputusan perlu dibuat pada tempoh
tertentu.
Selain perlu mengenali dan memahami anak remajanya, ibu bapa harus mengenali dan
memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya, ahli psikologi merumuskan ada dua
komponen utama dalam gaya keibubapaan. Yang pertama ialah responsif, iaitu sebanyak
mana kebebasan diberikan, manakala kedua ialah permintaan, iaitu sebanyak mana disiplin
atau hala tuju akan ditentukan. Dengan kata lain, ibu bapa berdepan dengan paradoks: antara
kasih sayang dan kepemimpinan. Kasih sayang ialah responsifnya terhadap kehendak anak
remajanya, manakala kepemimpinan pula ialah permintaannya terhadap keperluan masa
depan anak remajanya. Pertembungan, dinamika dan keseimbangan antara kedua-dua
komponen ini dapat menentukan gaya keibubapaan. Kebanyakan pengkaji membahagikan
gaya keibubapaan kepada empat kategori, iaitu: autoritarian, autoritatif, permisif dan tidak
terbabit. Ibu bapa yang autoritarian rendah responsifnya, tetapi amat tinggi permintaannya.
Walaupun mereka pengasih dan penyayang, anak remajanya tidak merasainya. Kebebasan
hampir tidak diberikan dan pendapat anak remaja jarang didengar. Sebaliknya, disiplin amat
ketat, malahan cita-cita anak remaja ditentukan ibu bapa.
Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritarian berkemungkinan besar berjaya dalam
peperiksaan dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki peribadi yang kaku, rendah harga diri
dan terlalu bergantung kepada arahan pihak berkuasa. Ibu bapa yang autoritatif pula
mempunyai keseimbangan antara responsif dan permintaan. Mereka akrab, komunikatif dan
anak remaja digalakkan bersuara. Kasih sayang diberikan, ditunjukkan dan dirasai. Disiplin
dan hala tuju ditentukan dan diterangkan rasionalnya. Remaja bebas menentukan cita-cita
dengan ibu bapa memberikan panduan dan bimbingan.
Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritatif berkemungkinan besar akan sama
kejayaannya, walaupun tidak lebih, dengan dibesarkan dalam suasana autoritarian. Bezanya
golongan ini akan memiliki peribadi bersepadu, yakin, berdikari dan kreatif. Ibu bapa
permisif mempunyai responsif amat tinggi, tetapi permintaan amat rendah. Mereka banyak
bertolak ansur, memberikan kebebasan dan hampir semua kehendak anak remajanya
diturutkan. Gaya tidak terbabit pula hampir tiada permintaan, disiplin dan hala tuju, serta
hampir memberikan kebebasan penuh. Malahan, ia lebih satu kecuaian keibubapaan.
Namun begitu, gaya keibubapaan boleh dirosakkan dengan amat mudah, sekiranya ibu bapa
tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi, ibu bapa perlu tahu cara menangani
kemarahannya. Dalam hal ini, ada tiga persoalan penting iaitu: bila marah itu wajar, bila
marah tidak diperlukan dan bila marah itu boleh menjadi masalah. Walaupun, mungkin sukar
melahirkan seorang kaunselor profesional atau pra kaunselor dalam setiap keluarga, program
Satu Keluarga Satu Kaunselor tetap mempunyai potensi untuk melahirkan ibu bapa berilmu,
berkemahiran dan seimbang dari segi memberikan kasih sayang dan kepemimpinan.


Sahabat anda menulis surat, ingin mengetahui masalah disiplin yang berlaku di sekolah
anda dan langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk
mengatasinya. Balas surat sahabat anda itu.

1661, Taman Perdana Indah,
73000 Tampin.

16 Oktober 2012
Ke hadapan sahabatku, saudara Zul yang berada di Brunei, diharapkan saudara sekeluarga
sihat walafiat hendaknya.

Saudara Zul,

Apa khabar saudara di Brunei? Sudah selesaikah peperiksaan akhir tahun di sekolah
saudara? Terima kasih kerana begitu cepat membalas surat saya. Penerangan Zul tentang
tempat-tempat pelancongan di Brunei dan gambar-gambar yang dikirim menerusi e-mel,
amat menarik. Baiklah, saya akan menceritakan kepada Zul serba sedikit masalah disiplin
yang berlaku di sekolah saya dan langkah-langkah yang telah dijalankan oleh pentadbir
sekolah saya untuk mengatasi masalah berkenaan.
Untuk pengetahuan saudara Zul, salah satu masalah disiplin yang berlaku di sekolah
saya ialah kes merokok yang kian meningkat saban minggu. Masalah merokok menjadi rutin
harian, terutamanya bagi pelajar-pelajar lelaki tingkatan tiga, tingkatan empat dan tingkatan
lima. Sikap segelintir pelajar ini sebenarnya mengundang padah kepada diri mereka sendiri,
kerana pelbagai hukuman menanti mereka, jika mereka ditangkap merokok di kawasan
sekolah. Sungguhpun para pelajar ini telah berkali-kali menerima hukuman rotan daripada
Encik Huhanesan, guru disiplin, namun usaha guru disiplin di sekolah saya
ibarat"menghitung bulu kambing." Tahukah saudara mengapa gejala merokok di sekolah
saya berterusan? Para pelajar di sekolah saya, begitu mudah terpengaruh dengan sikap negatif
rakan-rakan sebaya yang sering mengabaikan pelajaran. Sebaik sahaja guru keluar dari kelas
setelah tamat waktu sesuatu mata pelajaran, pelajar-pelajar yang gemar merokok turut keluar
dari kelas. Mereka akan ke tandas dan ke tempat-tempat strategik seperti di belakang Makmal
Multimedia, di belakang Kompleks Pertanian atau bersembunyi di sebalik Stor Perabot yang
terletak di hujung bangunan sekolah. Sekiranya tiada pihak yang berjaya mengesan tindakan
negatif mereka, pelajar-pelajar berkenaan akan melepak di luar kelas berjam-jam lamanya.
Sesungguhnya saudara, sikap segelintir pelajar yang ketagih rokok, memburukkan imej
sekolah saya, seterusnya menyukarkan pihak pentadbir menjadikan sekolah ini "bebas
masalah disiplin." Lebih menyedihkan, terdapat pelajar yang cuba memasukkan ganja ke
dalam puntung rokok dan kes berkenaan kini dalam perhatian pihak polis. Pada minggu lepas
sahaja, sebanyak sepuluh kotak rokok dan empat pemetik api berjaya dirampas daripada
pelajar-pelajar yang disyaki merokok. Tuan Haji Hanafis, guru penolong kanan hal ehwal
murid di sekolah saya, begitu marah dengan sikap pelajar-pelajar yang keras hati kerana
nasihat yang diberikan oleh para guru "seperti hujan jatuh ke pasir." Tegasnya saudara,
masalah pelajar merokok di sekolah saya, kian membimbangkan dan pihak sekolah sedang
merangka kerjasama dengan pihak polis untuk menyelesaikan permasalahan yang semakin
kronik ini.
Saudara Zul,
Pada era globalisasi yang kian mencabar, para remaja begitu mudah terjebak dengan
pelbagai anasir negatif. Sikap suka memberontak dan perasaan tidak puas hati terhadap
peraturan sekolah yang membosankan, mendorong segelintir pelajar di sekolah saya
melakukan vandalisme. Perbuatan merosakkan harta benda sekolah dan menconteng dinding
bangunan sekolah turut dilakukan kerana geram dengan sikap guru-guru yang bertindak tegas
menghukum atau mendenda pelajar. Saya terkilan dengan gejala vandalisme yang berlaku di
sekolah saya kerana pihak sekolah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan hampir lima belas
ribu ringgit tahun lepas, semata-mata untuk membaik pulih segala kerosakan yang berlaku.
Dinding pada bahagian tangga sekolah dan dinding tandas sekolah diconteng dengan pelbagai
lukisan dan perkataan yang tidak selaras dengan norma masyarakat yang bertatasusila.
Kepala paip di tandas, bukan sahaja dirosakkan, malah ada yang dicuri. Lubang tandas
pelajar lelaki disumbat dengan kayu, batu, pasir dan buku-buku latihan. Pada minggu lepas
ketika perhimpunan sekolah, pengetua sekolah saya melahirkan rasa kesal dan marah kerana
tiga buah tombol pintu di kelas tingkatan tiga, dicabut! Pada waktu petang, terdapat pelajar
yang sengaja merosakkan papan-papan kenyataan di kelas, mengoyakkan kertas bunga yang
telah rapi dibalut pada meja, mencuri buku-buku latihan yang ditinggalkan oleh pelajar dan
merosakkan kerusi meja di kelas. Mungkin saudara mengatakan saya mereka-reka segala
cerita ini, namun inilah realiti suasana sekolah pada era pascamerdeka. Terdetik di hati saya,
inikah caranya putera puteri harapan bangsa menghargai nikmat kemerdekaan? Untuk
pengetahuan saudara, apabila kes-kes vandalisme berlarutan, pelajar-pelajar sudah tawar hati
dan enggan menceriakan lagi, kelas masing-masing. Bayangkanlah saudara, berpuluh-puluh
ringgit sudah kami keluarkan untuk Program Keceriaan Kelas, tetapi segala keindahan yang
diusahakan bersama-sama oleh para pelajar, musnah sekelip mata angkara pelajar-pelajar
yang tidak berperikemanusiaan. Bukankah peribahasa ada menyebut,"kerana nila setitik,
rosak susu sebelanga?" Konklusinya, masalah vandalisme yang berterusan, boleh
menjejaskan imej sekolah dan wajar ditangani dengan berkesan.


Saudara Zul,
Setiap masalah yang berlaku, pasti ada jalan penyelesaiannya."Di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan." Sebenarnya saudara, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh
pihak sekolah bagi menangani masalah disiplin yang kian meningkat. Pada awal semester
kedua, pihak sekolah telah bekerjasama dengan pihak polis daerah untuk melaksanakan
Program Ops Disiplin. Program Ops Disiplin merupakan program motivasi khas yang
dijalankan oleh pihak polis di daerah saya, bagi membantu mengatasi masalah disiplin pelajar
di sekolah menengah. Pihak polis telah meminta guru disiplin menyenaraikan nama pelajar
yang pernah melakukan kesalahan disiplin melebihi tiga kali. Kesalahan disiplin yang
diambil kira ialah merokok, ponteng kelas, ponteng sekolah, buli, gangsterisme, bergaduh
dan melawan guru. Semua pelajar yang disenaraikan namanya diwajibkan pergi ke Balai
Polis Tampin untuk menghadiri sesi motivasi. Pegawai-pegawai polis yang mengendalikan
sesi ceramah motivasi merupakan pegawai polis yang bertugas di Jabatan Narkotik dan
Jabatan Siasatan Jenayah. Setelah sehari suntuk didedahkan dengan sesi ceramah,
keesokannya pula, pelajar-pelajar berkenaan dibawa ke Kem Biro Tatanegara, Kuala Pilah
selama dua hari. Remaja-remaja yang bermasalah disiplin ini dikerah menjalani pelbagai
aktiviti lasak, yang mencabar ketahanan fizikal dan mental. Untuk pengetahuan saudara,
aktiviti di Kem Biro Tatanegara bermula seawal 4.30 pagi dan berakhir selewat 1.30 pagi
keesokan harinya. Aktiviti yang ditempuhi oleh semua peserta benar-benar mencabar
kemahiran minda, ketahanan diri dan amat memenatkan. Kerjasama erat antara pihak sekolah
dan pihak polis menjayakan Program Ops Disiplin ternyata menunjukkan hasil yang
positif. "Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu." Pihak polis
sendiri telah datang ke sekolah saya pada waktu perhimpunan pagi dan menyampaikan sijil
penyertaan kepada para pelajar yang terpilih menyertai ProgramOps Disiplin. Empat bulan
selanjutnya, guru disiplin di sekolah saya menarik nafas lega kerana semua pelajar begitu
bersemangat menuntut ilmu, belajar di kelas masing-masing tanpa suasana bising.
Kesimpulannya saudara, kerjasama erat antara pihak sekolah dan pihak polis perlu diteruskan
pada tahun-tahun yang akan datang, agar disiplin para pelajar pada alaf baharu ini dapat
dimantapkan.
Selain menjalinkan kerjasama dengan pihak polis, pihak pentadbir sekolah telah
melaksanakan Program Keceriaan Sekolah bersama-sama guru-guru, pekerja sekolah, ahli
keluarga pelajar dan pelajar-pelajar sekolah saya. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk
menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat bekerjasama, cinta akan harta benda sekolah
dan cinta akan kebersihan alam sekitar dalam kalangan anak-anak didik di Sekolah
Menengah Kebangsaan Taman Murni. Program ini telah berlangsung pada hari Sabtu mulai
8.00 pagi sehingga 1.00 petang. Sepanjang tempoh tersebut, segala kerosakan yang dilakukan
oleh para pelajar akibat kegiatan vandalisme, dibaik pulih dan persekitaran sekolah
diceriakan kembali. Para pelajar bersama-sama ibu bapa, abang dan kakak mereka
bekerjasama "bagai aur dengan tebing",mengecat semula dinding kelas, dinding tangga dan
dinding tandas yang diconteng. Papan-papan kenyataan yang berlubang-lubang diganti
dengan papan kenyataan baharu. Kerusi dan meja yang patah turut dibaiki. Semua kelas telah
dihias dan diceriakan dengan sumbangan langsir, sumbangan alas meja dan pokok hiasan
daripada keluarga pelajar. Kata-kata hikmat digantung semula pada laluan ke makmal, laluan
ke kantin dan laluan ke pejabat sekolah. Beberapa kumpulan pelajar yang mahir dalam
pendidikan seni, menyiapkan mural pada dinding sekolah. Untuk makluman saudara, setelah
Program Keceriaan Sekolah tamat pada 1.00 petang, persekitaran sekolah saya lebih indah
dan lebih ceria berbanding dahulu. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menyediakan
jamuan makan tengah hari dan sesi cabutan nombor bertuah untuk ibu bapa dan pelajar-
pelajar yang hadir. Secara tidak langsung, program ini berjaya menyuntik rasa keinsafan
dalam diri para pelajar agar menghargai usaha ibu bapa dan ahli keluarga mereka yang
bersusah-payah membantu pihak sekolah membaik pulih segala kerosakan yang berlaku
angkara vandalisme. Bukankah peribahasa ada menukilkan, "ke bukit sama didaki, ke lurah
sama dituruni?"Intihanya, kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa pelajar, berjaya
mengurangkan masalah vandalisme yang sebelum ini begitu berleluasa.

Saudara Zul,
Natijahnya, permasalahan disiplin dapat diatasi dengan berkesan seandainya pelajar
pada era globalisasi berupaya menghayati tanggungjawabnya sebagai anak yang soleh, murid
yang berakhlak mulia dan warga negara yang budiman. Diharapkan pihak sekolah akan terus
menjana kerjasama erat antara ibu bapa demi memastikan kecemerlangan sahsiah anak-anak.
Malah, kerjasama dengan pihak polis juga wajar diteruskan kerana pihak polis berupaya
memantau masalah sosial pelajar di luar sekolah. "Bulat air kerana pembetung, bulat kata
kerana muafakat." Anjakan paradigma yang berkesan oleh pentadbir sekolah merupakan
inspirasi dan pencetus semangat kepada pelajar untuk terus berusaha menimba ilmu dan
berjaya dengan cemerlang. Saya amat bersyukur kerana pihak sekolah telah mengambil
pelbagai langkah untuk mengatasi masalah disiplin pelajar. Kini, saya dan rakan-rakan boleh
menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
yang bakal tiba tidak lama lagi. Semoga kita sama-sama dapat meneruskan perjuangan murni
kita di medan ilmu ini, meneruskan perjuangan menjejaki istana kejayaan.

Sekianlah sahaja coretan saya buat kali ini. Semoga penerangan saya tentang masalah
disiplin yang berlaku di sekolah saya dan langkah-langkah mengatasinya, berjaya meluaskan
horizon pemikiran saudara. "Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan
sempadan." Semoga saudara berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang akan
ditempuhi pada akhir semester nanti.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Ameerul
Peribahasa Syurga itu di bawah telapak kaki ibu mengambarkan keagungan seorang
ibu dan kewajipan seorang anak untuk berbakti kepada ibu atas jasa memelihara dan
membesarkan kita.Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah menghargai jasa
ibu berdasarkan peribahasa di atas.
Ibu Ibu Engkaulah ratu hatiku.
Lirik lagu di atas sering kali kita dengar terutama sekali ketika menjelangnya Hari Ibu
sedunia pada hari Ahad minggu kedua setiap tahun. Namun, fahamkah kita maksudnya atau
kita sekadar mengikut orang lain yang menyanyikannya ibarat lembu dicucuk hidung?
Peribahasa Syurga itu di bawah telapak kaki ibu jelas memanifestasikan keagungan seorang
ibu dan kewajipan seorang anak untuk berbakti kepada ibu atas pengorbanan yang telah
dicurahkan kepada kita. Sayangnya, ramai daripada kita yang tidak sedar dek terlalu hanyut
dengan pemikiran barat yang membanjiri minda kecil kita bahawa seorang ibu itu juga
merupakan salah satu nikmat Allah yang tidak terhingga. Entah bagaimana kita terlepas
pandang, layanan anak-anak muda kini terhadap ibu mereka semakin endah tak endah dan
angkuh. Oleh itu, marilah kita bersama-sama membuat anjakan paradigma dalam
memperkasakan langkah-langkah menghargai jasa ibu.
Isi perbincangan yang pertama, saya sebagai seorang pelajar wajib belajar
bersungguh-sungguh kerana secara tidak langsung, itu merupakan amanah yang saya pikul di
bahu yang diberikan oleh ibu. Seperti yang saya ketahui, ibu membayar yuran sekolah
dengan titik peluhnya semata-mata untuk melihat saya menggenggam segulung ijazah.
Maka, penat lelah ibu sewajarnya saya balas dengan belajar sebaik-baik mungkin agar dapat
menamatkan bebanan ibu. Sebagai contoh, sekiranya saya belajar bersungguh-sungguh dan
mendapat keputusan yang cemerlang, saya mampu memohon biasiswa untuk melanjutkan
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bijak pandai ada mengatakan bahawa belajarlah
walau ke negara China sekalipun. Dengan biasiswa yang saya peroleh, ibu tidak perlu
membiayai yuran dan keperluan saya lagi. Jelaslah bahawa belajar dengan bersungguh-
sungguh merupakan salah satu cara untuk menghargai jasa ibu.
Lanjutan daripada huraian di atas, langkah lain untuk menghargai jasa ibu adalah
dengan menjaga hatinya. Sering kali saya lihat di dada-dada akhbar menyiarkan rintihan-
rintihan ibu di Rumah Kebajikan Orang Tua yang dibuang keluarga. Sebagai contoh yang
ketara, baru-baru ini media massa menceritakan kisah ibu tua yang dibuang keluarga hanya
kerana dia sudah lumpuh. Ke manakah sebenarnya hilang nilai kemanusiaan yang sepatutnya
masyarakat kita miliki? Oleh itu saya sebagai seorang anak sewajarnya tidak menghiris
perasaan ibu kerana setitis air mata ibu kita yang jatuh, selangkah kaki saya menuju ke
neraka. Masyarakat Arab ada mengatakan bahawa walau dengan perkataan Ah! sekalipun,
kita dianggap derhaka terhadap ibu. Apatah lagi sekiranya saya melukakan perasaan ibu.
Tidak terbayang azab yang menanti saya di akhirat kelak. Tegaslah bahawa dengan menjaga
hati ibu, saya dapat menghargai jasa ibu selama ini.
Seharusnya saya tidak memandang enteng tentang penjagaan ibu pada hari tuanya.
Sejak umur saya setahun jagung lagi ibu telah menjaga saya bagai menatang minyak yang
penuh. Ibu juga sanggup berjaga malam semata-mata untuk menjaga saya yang sering kali
sakit. Tidak dimintanya wang berjuta sebagai balasan, hanya secebis kasih sayang pada hari
tuanya kelak. Masakan saya mengetepikan ibu ketika dia memerlukan seseorang untuk
bergantung harap? Menjaga ibu pada hari tuanya merupakan kewajipan bagi saya dan sebagai
cara untuk menghargai jasa ibu kepada saya. Sebagai analogi, saya mengajak ibu tinggal
bersama-sama saya sekiranya dia sudah tidak mampu mengurus dirinya dengan baik. Dengan
berbuat demikian, saya dapat melihat keadaan ibu setiap masa dan lebih mudah untuk
menguruskannya. Izharlah bahawa dengan menjaga kebajikannya pada hari tua merupakan
salah satu cara untuk saya menghargai jasa ibu.
Hadis ada menyebut bahawa doa itu senjata orang mukmin. Dengan berdoalah
menunjukkan saya berserah kepada Allah atas segala urusan yang telah diusahakan. Begitu
juga bagi menghargai jasa ibu. Tiada apa-apa yang lebih bermakna selain doa anak soleh
untuk ibunya. Sebagai contoh, setiap kali selepas solat, saya akan mendoakan kesejahteraan
ibu di dunia dan di akhirat. Tidak sewajarnya kita merendah-rendahkan peranan doa dalam
hidup kerana apabila matinya seorang mukmin itu, terputuslah segala amalannya kecuali tiga
perkara dan salah satunya ialah doa anak yang soleh. Oleh itu, sekiranya Allah memakbulkan
doa saya, sudah pasti ibu saya akan berasa tenang dan tenteram. Tegaslah bahawa dengan
berdoa, saya dapat menghargai jasa ibu ke atas saya selama ini.
Langkah lain untuk menghargai jasa ibu adalah dengan mendengar nasihat dan kata-
kata ibu. Tiada ibu yang menginginkan perkara yang tidak baik untuk anaknya. Ibu juga lebih
banyak makan garam daripada saya justeru setiap nasihat yang diberikan oleh ibu seharusnya
saya manfaatkan. Asam garam kehidupan telah pun dirasai terlebih dahulu oleh ibu. Sebagai
analoginya, sekiranya ibu menyuruh saya memilih bidang sains, saya akan menurutnya
dengan hati yang tebuka. Minat itu boleh dipupuk, tetapi perasaan ibu? Saya hanya
mempunyai seorang ibu di dunia ini dan saya seharusnya menghargai setiap perbuatan dan
keputusan yang dilakukan untuk kebaikan saya. Apabila saya mendengar nasihat ibu, ibu
akan berasa senang hati dan gembira sekali gus menunjukkan betapa saya menghargai usaha
ibu untuk menjadikan saya insan yang berguna untuk masyarakat dan negara. Jelaslah
bahawa dengan mendengar nasihat dan kata-kata ibu, saya dapat menghargai jasa ibu selama
ini.
Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagikan bersuluh bahawa terdapat
banyak cara untuk saya menghargai jasa ibu. Ibu merupakan buah hati pengarang jantung
saya. Tidak dapat dibandingkan dengan nilai materialistik yang kian dibanggakan pada
zaman ini. Peribahasa lain dulang lain kaki, lain orang lain hati menunjukkan manusia yang
terdiri daripada pelbagai ragam dan cara untuk memacu hidup mereka. Oleh hal yang
demikian, masyarakat kini seharusnya bersikap seperti habis kapak berganti beliung dalam
menghargai jasa ibu. Sebelum nasi menjadi bubur, jasa ibu wajib kita hargai agar kita tidak
tergolong dalam golongan orang yang mendapat kemurkaan-Nya.

PERANAN IBU BAPA MENJAYAKAN KEMPEN BELILAH BARANGAN BUATAN
MALAYSIA
Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia tidak akan berjaya jika tiada usaha
untuk memupuk budaya mengutamakan barangan tempatan sejak awal lagi. Oleh itu,
ibu bapa sewajarnya memainkan peranan bagi menjayakan kempen tersebut.
Berdasarkan pernyataan di atas, bincangkan peranan ibu bapa dalam menggalakkan
anak-anak membeli barangan buatan Malaysia.
Angin perubahan pemodenan telah bertiup, semakin hari kita semakin menghampiri
ambang 2020. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, media massa
sering menguar-uarkan kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia. Umum mengetahui
bahawa ibu bapa merupakan orang yang terdekat dengan anak-anak dan mereka diberi
tanggungjawab bagi menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan Malaysia. Contoh
yang boleh kita ketengahkan ialah ibu bapa boleh melakukan pelbagai cara dan prakarsa agar
anak-anak mereka tidak akan memilih barangan selain buatan tempatan. Apakah inisiatif
yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam hal ini? Persoalannya, bagaimanakah cara yang
efektif dan berkesan untuk menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan Malaysia
tanpa membebankan fikiran ibu bapa untuk memajukan barangan buatan negara sendiri?
Oleh itu, peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan
Malaysia yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan secara terperinci bagi
kepentingan semua pihak.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa membeli barangan buatan
Malaysia dapat mengelakkan daripada pengaliran mata wang asing negara kita ke luar
negara. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dalam hal ini? Dalam konteks
ini, ibu bapa perlu mengatur kewangan anak-anak mereka sejak mereka kecil lagi. Sekiranya
ibu bapa tidak mengamalkan perkara sebegini sejak mereka kecil lagi maka anak-anak akan
menjadi manja akibat sudah terbiasa dengan tabiat dahulu. Daripada realiti ini, dapatlah kita
katakan bahawa ibu bapa dapat membendung inflasi kerana mata wang negara kita tidak
mengalir ke luar negara. Tambahan pula, dana negara akan meningkat. Bertitik tolak daripada
itu, bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa menjadi penyelamat negara ini daripada mengalami
kerugian dengan mengatur kewangan anak-anak. Sebagai analoginya, ibu bapa memberikan
wang saku sekurang-kurangnya RM20 sebulan kepada anak-anak dan sekiranya anak-anak
ingin meminta lebih, anak-anak perlulah memberikan alasan yang munasabah kepada ibu
bapa. Jelaslah bahawa anak-anak tidak akan dapat membeli barangan import yang lebih
mahal daripada barangan buatan Malaysia.
Lontaran idea yang kedua ialah ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak dengan
membandingkan perbezaan harga barangan import dengan barangan buatan Malaysia.
Mengapakah isu ini dibangkitkan? Hal ini demikian adalah kerana apabila ibu bapa mengajar
anak-anak dengan perkara sedemikian jadi mereka dapat menjimatkan pembelian dengan
memilih barangan buatan Malaysia. Dalam hal ini, ibu bapa dapat mengelakkan anak-anak
daripada bersikap biar papa asal bergaya juga alah membeli menang memakai. Hakikatnya,
sikap negatif ini harus dibendung daripada sanbari anak-anak. Sebenarnya, ibu bapa
seharusnya membezakan sesuatu barangan itu berdasarkan kualitinya. Anak-anak mungkin
tidak menyedari akan hakikat ini kerana mereka lebih bersikap rambang mata daripada
kebiasaannya. Contoh yang boleh kita ambil ialah ibu bapa memberitahu anak-anak bahawa
walaupun barangan buatan Malaysia kelihatan murah tetapi kualiti produknya kadangkala
dapat bertahan lebih lama. Izharlah bahawa, perbandingan harga yang dilakukan oleh ibu
bapa dapat menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan Malaysia.

Sesungguhnya, setiap penyakit ada nurbisanya, setiap masalah pasti ada jalan
penyelesaiannya. Kita juruskan skop perbincangan kita kepada isi yang seterusnya iaitu ibu
bapa seyogianya membawa anak-anak melihat sendiri barangan buatan Malaysia di tempat-
tempat yang sedia ada seperti di Kuala Lumpur. Mengapakah hal ini dibangkitkan? Dalam
konteks ini, ibu bapa perlu mengambil cuti bersama-sama anak supaya anak-anak dapat
melihat sendiri kecantikan dan keunikan barangan buatan Malaysia berbanding barang
import. Impaknya, anak-anak akan sedar bahawa rakyat Malaysia mampu berdiri di atas kaki
sendiri. Tamsilannya seperti, anak-anak akan dapat melihat kereta-kereta nasional seperti
Myvi, Viva dan sebagainya di depan mata mereka. Bertitik tolak daripada itu, enjin berkuasa
tinggi yang digunakan bagi kegunaan Kereta Formula Satu (F1) dapat membuka mata anak-
anak bahawa negara Malaysia dapat berdiri setanding negara-negara gergasi di peringkat
antarabangsa. Bukankah hal ini dapat menguntungkan ibu bapa supaya anak-anak tidak akan
boros membeli barangan bukan buatan Malaysia. Tegasnya, ibu bapa perlu meluangkan
sedikit masa dengan membawa anak-anak menikmati keunikan barangan buatan Malaysia.
Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah ibu bapa membelikan atau
menghadiahkan anak-anak barangan buatan Malaysia. Sesungguhnya, ibu bapa boleh
menjadi suri teladan kepada anak-anak. Sebagai tamsilannya, ibu bapa membelikan
barangan buatan Malaysia seperti kraf tangan kepada anak-anak semasa menyambut hari
kelahiran anak-anak. Bukankah anak-anak akan menghargai pemberian ibu bapa?
Implikasinya, mungkin anak-anak pula akan membeli barangan buatan Malaysia dan
menghadiahkannya kepada ibu bapa. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia dapat membantu
anak bangsa mereka sendiri. Maka, keperluan harian akan dapat dipenuhi walaupun
menggunakan barangan buatan Malaysia. Oleh itu, ibu bapa menjadi suri teladan kepada
anak-anak dengan membelikan mereka barangan buatan Malaysia.
Sebagai merumus, sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, semua
pihak hendaklah bersikap ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni agar kempen
Barangan Buatan Malaysia dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu, rakyat Malaysia
haruslah memberikan sokongan dengan membeli produk dan barangan buatan Malaysia bagi
mencapai visi 2020. Janganlah apabila nasi sudah menjadi bubur barulah kita hendak
membeli barangan buatan Malaysia. Oleh itu, langkah mutakhir perlu dilakukan seperti kata-
kata pujangga iaitu genggan bara api, biar sampai jadi arang.

FAEDAH-FAEDAH KOPERASI DI SEKOLAH
Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari menjelang ambang 2020, keadaan ini
menandakan titik permulaan zaman yang serba mencabar minda kita. Dalam meniti ranjau
kehidupan yang penuh pancaroba ini, pihak sekolah telah menubuhkan koperasi di sekolah.
Koperasi merupakan pertubuhan ditubuhkan oleh pihak sekolah untuk kemudahan warga
sekolah, khususnya pelajar dan guru. Dengan adanya koperasi di sekolah, kita dapat
memperoleh banyak kebaikan yang tidak dapat dikira dengan hujung jari kita. Persoalannya
kini, apakah kebaikan penubuhan koperasi sekolah kepada warga sekolah itu sendiri? Oleh
hal yang demikian, faedah-faedah koperasi sekolah yang akan menjadi fokus perbincangan
saya pada hari ini akan dikupas dan dihuraikan secara terperinci demi kebaikan bersama.
Sebagai mukadimah pembicara, saya ingin melontarkan idea saya tentang faedah
koperasi terhadap warga sekolah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pelajar atau guru
dapat membeli barangan dengan harga yang lebih murah. Mereka dapat menikmati barangan
yang harganya berpatutan dan barangan yang berkualiti. Umum mengetahui bahawa koperasi
menjual pelbagai barangan dan makanan seperti alat tulis, minuman, kertas kajang, buku
latihan dan sebagainya. Kesemua ini telah memenuhi kehendak dan keperluan guru dan
pelajar. Sebagai analogi, pelajar dapat membeli sebatang pen di koperasi dengan harga yang
rendah berbanding membeli sebatang pen di pasar raya. Tambahan pula, barangan di pasar
raya mahal-mahal belaka. Hal ini secara tidak langsung, pelajar dapat menjimatkan wang
untuk membeli alat-alat tulis dan buku-buku rujukan bagi meningkatkan prestasi
pembelajaran. Tegasnya, koperasi menawarkan barangan yang harganya berpatutan dan
berkualiti kepada warga sekolah.
Lanjutan daripada huraian di atas, warga sekolah yang menjadi ahli koperasi berhak
mendapat keuntungan dalam bentuk dividen dan bonus melalui pembelian barangan oleh
warga sekolah. Keuntungan tersebut datangnya daripada jual beli yang dijalankan. Selain itu,
sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh oleh koperasi juga dapat dikeluarkan untuk
membantu pihak sekolah dalam menangani masalah prasarana sekolah. Wang tersebut boleh
digunakan untuk menyediakan dan menaik taraf prasarana di sesebuah sekolah. Contoh yang
boleh diketengahkan ialah koperasi SMK Hamzah Berhad yang berpegang teguh pada prinsip
koperasi kita dari kita untuk kita dengan membahagikan sebahagian keuntugan koperasi
untuk membeli buku rujukan dan buku cerita koleksi terbaru untuk perpustakaan sekolah
demi kemudahan murid yang dahaga akan ilmu pengetahuan. Jelaslah bahawa koperasi
mendapat keuntungan yang berkali ganda melalui aktiviti jual beli.
Bukan setakat itu sahaja, koperasi membolehkan anak-anak muridnya mengetahui
asas perniagaan. Apabila pelajar mengendalikan urus niaga di koperasi, mereka dapat
memahami dan menguasai asas perniagaan. Pengalaman baru ini tidak dapat dipelajari dalam
silibus sekolah dan merupakan satu pendekatan yang baik untuk mempraktikkan apa-apa
yang dipelajari di dalam bilik darjah. Pelajar yang belajar subjek-subjek seperti Prinsip
Perakaunan, subjek Perniagaan dan Perdagangan dapat memahami apa-apa yang dipelajari
dengan lebih lebih lanjut dan efektif dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh,
pelajar dapat berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat dengan pelajar yang lain dan guru
tentang selok-belok dalam urus niaga. Rentetan daripada situasi tersebut, hubungan
silaturahim bagai isi dengan kuku dapat dipupuk antara guru dan pelajar. Malah, mereka
dapat menambah ilmu pengetahuan mereka supaya mereka tidak menjadi seperti katak di
bawah tempurung. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa asas perniagaan dapat dimantapkan
dalam sanubari anak-anak didik melalui penglibatan mereka dalam koperasi sekolah.
Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, koperasi mendatangkan
banyak faedah kepada warga sekolah mahupun pihak sekolah. Oleh hal yang demikian kita
perlu bersyukur dan menghargai ahli jawatankuasa koperasi yang begitu bersungguh-
sungguh mengendalikan dan mengurus hal ehwal koperasi. Tanpa usaha gigih mereka,
koperasi sekolah sudah pasti bagai sebutir batu berlian yang tidak berguna. Marilah kita
bersama-sama bagai aur dengan tebing meneruskan usaha kita dalam menjayakan koperasi
sekolah demi mengecapi visi kudsi wawasan 2020 yang diimpikan dan diwara-warakan oleh
mantan Perdana Menteri yang keempat dan semua lapisan masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai