Anda di halaman 1dari 8

Rumah terbuka hidupkan budaya ziarah dalam masyarakat Sudah menjadi suatu tradisi yang lazim bagi umat

Islam di Malaysia mengadakan rumah terbuka meraikan kedatangan bulan Syawal sehingga penghujungnya. Tradisi silam di kampung-kampung berlakunya ziarah sahabat handai dan rakan taulan. Ia berlaku untuk beberapa hari saja. Proses perbandaran yang berlaku, semakin banyak penghijrahan bertumpu di pinggir bandar, bertambahnya kelompok kelas menengah dalam kalangan umat Islam menyebabkan hari terbuka tidak saja disambut di rumah tetapi juga di dewan orang ramai atau pun di hotel-hotel. Perubahan sosial yang membawa perubahan nilai dan budaya menjadikan rumah terbuka baik secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran berlaku. Mengadakan rumah terbuka memudahkan rakan taulan, para sahabat dan juga kenalan datang serentak. Datang yang sifatnya runcitan bagi yang sibuk dengan urusan kerja tidak akan mempunyai masa. Ziarah di rumah terbuka bukan sekadar ziarah. Kanak-kanak sangat suka hadir ke majlis ini kerana akan diberi angpau oleh tuan rumah. Tetapi orang muda dan dewasa harus melihat rumah terbuka ini sebagai peluang mengeratkan silaturrahim, berkenal-kenalan, meraikan jemputan dan membolehkan rasa persaudaraan dibina. Rumah terbuka dan undangan terbuka ini harus diterima dengan hati yang terbuka juga. Hati yang terbuka membolehkan sifat saling memaafkan terjadi di samping mengukuhkan hubungan mahabbah dan ukhuwah berlaku. Asas ini penting kerana kita memberi makna rumah terbuka bukan sekadar majlis makan-makan saja. Rumah terbuka harus diberikan makna yang lebih murni supaya ia jadi tempat berhimpun dan bertemu sahabat dan kawan lama dan dalam masa yang sama mengenang kembali kisah silam di samping memeriksa diri terhadap peristiwa yang lalu. Terdapat sahabat yang kita temui pada rumah terbuka tahun lalu telah kembali bertemu Penciptanya dan ini membawa kesedaran bahawa giliran kita akan sampai akhirnya. Darinya lahir cetusan bahawa kita tidak selamanya sihat dan muda tetapi akhirnya akan mengikuti jejak-jejak orang yang telah pergi. Hati yang terbuka bermaksud ziarah di rumah terbuka dengan hati yang ikhlas. Kesibukan harian sama ada bisnes dan bekerja pada hari selain bulan Syawal menyebabkan perhubungan berlaku dengan alat telekomunikasi saja. Hadir di rumah terbuka tidak saja kita raikan tuan rumah tetapi bertemu dengan orang lain dan menyebabkan silaturrahim terjadi . Pertemuan interaktif boleh berlaku, pertukaran alamat perhubungan mengambil tempat dan ia memanjangkan lagi silaturrahim. Semangat rumah terbuka dan saling merai ini harus berlaku juga di bulan-bulan lain bila kesempatan mengizinkan. Tradisi ziarah sahabat handai dan rakan taulan harus membudaya bukan hanya pada waktu Syawal saja. Dalam interaksi harian sepanjang hidup kita banyak perkara yang berlaku dan banyak kisah yang terjadi. Rasa ambil tahu yang positif terhadap orang lain dan sifatnnya saling membantu perlu subur dalam amalan. Darinya kita tidak hanya memikirkan diri kita tetapi memikirkan juga orang lain. Di sinilah amat perlu tradisi ziarah dan saling mengunjungi mengambil tempat tidak hanya tunggu diundang pada hari rumah terbuka. Sasaran ziarah tidak semestinya dalam kalangan kelompok kita

semata tetapi lanjutkan tradisi ziarah ke rumah anak yatim, pusat perlindungan orang tua dan juga rumah sakit supaya kita menjadi manusia yang lebih memahami dan mengerti. Kalau tidak kita akan menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Beri masa dalam rutin hidup kita ini melakukan ziarah. Perhubungan cara berkomunikasi dengan teknologi tidak sama bila berhadapan satu sama lain. Ada masanya dalam kehidupan kita disebabkan terlalu sibuk, kita tidak bersedia untuk melakukan ziarah kerana perbezaan pendapat dan fahaman. Ia juga berlaku kerana perbezaan kedudukan dan darjat. Ia juga boleh berlaku kerana kita berada di kota atau pinggir kota sedangkan saudara mara dan sahabat taulan berada di ceruk-ceruk desa. Aidilfitri dengan rumah terbuka seharusnya juga dikembangkan ziarah yang berterusan sebagai budaya kehidupan masyarakat Islam supaya ziarah menjadi penghubung yang bermakna sesama warga umat supaya ikatan persaudaraan dan persahabatan tetap menjadi teguh dan utuh sepanjang masa. Rumah terbuka suburkan silaturrahim, lambang keindahan agama Islam DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. SARANAN agar diberikan potongan cukai pendapatan atas perbelanjaan mengadakan rumah terbuka sempena sesuatu perayaan merupakan pendekatan terbaik dalam memupuk nilai-nilai penyatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Misalnya, sempena rumah terbuka Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet yang diadakan pada hari pertama Aidilfitri dikunjungi hampir 100, 000 orang daripada pelbagai kaum termasuk pemimpin politik, rakyat biasa dan pelancong asing. Bagi pelancong asing, konsep rumah terbuka yang diamalkan di negara ini adalah unik dan tidak pernah berlaku dalam persekitaran kepimpinan politik di negara mereka. Di Malaysia setiap kali rumah terbuka diadakan oleh pemimpin, kehadiran masyarakat melebihi jangkaan dan ini menjadikan amalan itu sebagai peluang untuk menjalinkan silaturrahim sesama manusia. Konsep rumah terbuka sempena perayaan Aidilfitri memberikan pengertian betapa Islam itu indah dan tidak mengehadkan kepada penganutnya sahaja untuk meraikannya. Meraikan Aidilfitri dengan mengadakan rumah terbuka bukanlah konsep baru dalam usaha menjalin persefahaman antara agama. Masyarakat Malaysia sudah menerimanya sebagai satu kaedah mengeratkan hubungan sosial yang lebih luas sehingga melampaui sempadan kaum, agama dan budaya. Meskipun demikian, kerana adanya desakan dalam kepentingan tertentu, tradisi sedemikian kadangkadang bertukar menjadi medan politik yang akhirnya boleh membunuh semangat keintiman antara kelompok. Ada pihak menggunakan rumah terbuka untuk memperkuatkan semangat politik sempit sehingga sanggup mengkritik dengan beranggapan apa yang dilaksanakan kerajaan semuanya tidak betul. Sepatutnya dengan semangat rumah terbuka ia dapat menjadi forum yang sangat efektif untuk memulai hubungan baik atau memperbaharui hubungan yang retak. Konsep rumah terbuka di Aidilfitri sebenarnya melambangkan keindahan agama Islam itu sendiri, di samping dapat menarik rahmat dan keberkatan yang datang bersama dengan kunjungan tetamu, jiran tetangga (sekalipun bukan seagama). Kemuliaan dan kesuciannya tidak boleh dicemari dengan motif dan tujuan lain yang boleh menggugatkan keamanan dan kedamaian.

Sesungguhnya kejahatan dan kepalsuan itu pada dasarnya bertentangan dengan fitrah manusia. Oleh kerana Islam itu agama fitrah yang mudah, samhaa' (harmoni), terbuka dan toleransi maka kita menerima gelagat-gelagat tidak sopan itu dengan penuh kesabaran. Satu hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Bukhari, Tarmizi, Ahmad dan Ibnu Majah. "Seseorang mukmin yang bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahankan suka duka dalam masyarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak hidup bergaul dalam masyarakat umum dan tidak pula pernah menunjukkan kesabaran atas suka dukanya masyarakat itu." Di negara kita, agama menjadi faktor penyatuan kaum iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa. Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama diredakan oleh semangat tolak ansur, setia kawan ketika menyambut hari raya melalui rumah terbuka. Agama yang kita warisi sebagai agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu mula digugat peranannya oleh ketandusan ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Islam. Kita hendaklah menjalinkan silaturrahim sekalipun dengan mereka yang berlainan agama kerana mereka juga ada beberapa haknya seperti hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaan. Emosi melampau mengenai keunggulan sesuatu kaum, atau dalam istilah sosiologi dikenali sebagai ethnocentrisme banyak membawa kemudaratan dalam hubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk. Emosi itu membawa kepada pergaduhan dan konflik antara agama sedangkan Islam mementingkan semangat tolak ansur, yakni tidak menghina agama dan kepercayaan orang lain. Sebagai agama yang membawa mesej perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu adalah perkara utama. Tetapi, kehendak tersebut semakin tergugat oleh kerana kejanggalan ilmu yang hanya bersandarkan risikan ilmiah secara terpisah dalam tradisi rasionaliti barat, menyebabkan masyarakat Islam semakin melihat dirinya terlalu berpihak dan berkelompok. Melalui silaturahim, hubungan antara manusia semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain silaturrahim dan tiada kejahatan yang lebih cepat mendatangkan azab Allah selain memutuskan silaturrahim. Begitu juga, tiada yang dapat mengubah takdir selain doa dan tiada yang dapat menambah umur selain kebaikan menjalinkan hubungan silaturrahim. Di sinilah silaturrahim perlu dibudayakan. Dalam kemeriahan kita mengadakan rumah terbuka Aidilfitri ini adalah sesuatu yang besar ertinya jika kita boleh menjadikan detik sejarah hitam negara sebagai iktibar. Kita jadikan ia sebagai sempadan nilai budaya yang bakal membangunkan semula semangat penyatuan antara masyarakat, kerana nilai budaya yang terkandung melalui perayaan Aidilfitri ialah kemenangan setiap Muslim dalam mengekang hawa nafsu. Dengan menolak pentafsiran semula sejarah negara berdasarkan pertimbangan hawa nafsu (nafsu politik sempit) itu bermakna kita telah berupaya membebaskan pemikiran kita dari segala bentuk penjajahan minda dan unsur-unsur taghut. Kita boleh jadikan ia sebagai teladan berguna, bagaimana hawa nafsu telah menyebabkan manusia sanggup membunuh, berlaku kejam dan seterusnya bertindak sesuka hati demi sebuah tujuan yang bertentangan dengan etika dan moral kemanusiaan.

Dalam suasana kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri kita seharusnya dapat membuka pintu silaturahim dengan penuh keakraban, kita jadikan momen-momen sejarah silam sebagai panduan dan bukannya cuba menghidupkan kembali budaya ganas dalam masyarakat sebagaimana dilakukan oleh pendokong ideologi komunis. Sistem komunis yang pernah dipraktikkan di banyak negara sudah lama berubah dan dihapuskan, bahkan China yang dikatakan sebagai pusat komunisme sudah membebaskan peraturan "tertutup menjadi lebih terbuka", maka tidak ada sebab kita harus menghidupkan kembali ideologi yang telah banyak menderitakan kehidupan manusia. Suasana kemeriahan rumah terbuka dan dalam semangat patriotisme yang turut ada dalam diri kita hendaklah dikekalkan sebagai momentum untuk menjayakan dasar dan cita-cita murni negara. Jangan kita biarkan diri kita menjadi perosak, kerana kita akan dinilai nanti sumbangan sepanjang hidup untuk kepentingan pembangunan kemasyarakatan, keagamaan dan kesejahteraan negara. Dengan memperbanyakkan rumah terbuka sempena menyambut perayaan Aidilfitri, tentunya akan membantu menghapuskan nilai-nilai negatif yang selama ini disandarkan kepada orang Islam. Bukan Islam akan dapat melihat dan merasai sendiri bahawa Islam sebenarnya sebuah agama yang mementingkan kesejahteraan dan keharmonian setiap manusia, maka di sinilah peluang yang sentiasa terbuka asalkan platform itu tidak digunakan untuk menyuburkan dakyah dan menanamkan rasa kebencian terhadap 'musuh politik'.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/rencana/20120824/re_05/rumah#ixzz2rSKFenvn Utusan Melayu (M) Bhd

Manfaat Mengadakan Rumah Terbuka Dalam Kalangan Masyarakat AMALAN RUMAH TERBUKA (TEMA) Rumah terbuka atau open house sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari Raya Aidilfitri. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dalam kehidupan mereka. (ISU) Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. (ARAHAN) Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka? (ISI 1) Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kepentingan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita.(MENGAPA) Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai erti perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan.(BAGAIMANA) Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang halangan dan kekangan yang perlu dibimbangi.(KESAN) Sehubungan dengan itu, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni.(PENEGAS) Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka. (ISI 2) Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat serta pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum memahami budaya kaumkaum lain. (MENGAPA) Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. (BAGAIMANA) Sebagai contoh, orang-orang India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. (KESAN) Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang sihat juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. (PENEGAS) Pendek kata, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini. (ISI 3) Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri, penganjuran rumah-rumah terbuka juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong di negara kita. (MENGAPA) Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. (BAGAIMANA) Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas. (KESAN) Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka sekembalinya mereka ke

negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri pelancongan negara. (PENEGAS) Izharlah bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian. (ISI) Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam hubungan kekeluargaan. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan rumah terbuka ialah amalan ini merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan hilang kepada generasi akan datang yang semakin tidak mengenali sanak-saudara mereka. (BAGAIMANA) Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan di samping mendapat perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini. (PENEGAS) Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan.

(PENUTUP) Bayangan yang samar kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak membawa kebaikan kepada negara dan masyarakat. (CADANGAN) Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap baru pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. (HARAPAN) Jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta dunia namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada mata dunia.

Contoh Karangan Banjir Kilat. Banjir kilat sering berlaku apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba. Banjir kilat kerap berlaku di negara kita. Banjir kilat boleh menyusahkan manusia. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kesesakan jalan raya. Terdapat beberapa punca terjadinya banjir kilat. Banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Masyarakat suka membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai. Sampah yang dibuang boleh menyebabkan longkang tersumbat. Apabila hujan secara tiba-tiba, aliran air dalam longkang, parit dan sungai akan tersekat. Contohnya seperti yang berlaku di Jalan Skudai dan Jalan Air Molek di Johor Bahru. Oleh itu, jelaslah bahawa banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Di samping itu juga, faktor penguatkuasaan yang terlalu longgar merupakan punca banjir kilat. Hal ini kerana tiada tindakan undang-undang terhadap orang yang membuang sampah di merata-rata tempat. Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak memantau kawasan pembuangan sampah. Apabila hujan, kawasan pembuangan sampah menakung air dan banjir kilat berlaku. Contoh peniaga pasar malam sesuka hati membuang sampah berhampiran parit atau longkang tanpa dikenakan hukuman. Oleh itu, jelaslah bahawa penguatkuasaan yang longgar merupakan punca terjadinya banjir kilat. Selain itu, banjir kilat berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna. Parit dan longkang yang dibina di bandar adalah sempit. Parit juga tersumbat disebabkan oleh longgokan sampah. Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan lebat berlaku. Pengaliran air akan tersekat dan melimpah di jalan raya. Contohnya banjir kilat yang berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Jelaslah bahawa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca banjir kilat. Faktor iklim juga menjadi punca banjir kilat. Iklim yang tidak menentu iaitu kadang-kadang hujan dan kadang-kadang panas boleh menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini semakin buruk dengan fenomena El-Nino yang menyebabkan hujan lebat berterusan. Dengan ini, jelaslah bahawa faktor iklim menjadi punca kepada banjir kilat. Kejadian banjir kilat juga berkaitan dengan aktiviti pemaju projek perumahan. Syarikat perumahan mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar. Pemaju-pemaju perumahan tidak memantau projek pembinaan. Mereka juga membiarkan sisa-sisa binaan terbiar selepas sesuatu projek siap djalankan. Contohnya longkang dibiarkan tertimbus dengan pasir dan sisa binaan. Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan turun dengan lebatnya. Terdapat banyak punca yang menyebabkan banjir kilat. Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi mengatasi masalah ini. Hal ini penting agar masalah banjir kilat dapat diatasi. Dengan ini, segala kerugian yang dialami kerana banjir kilat dapat dikurangkan.

Anda mungkin juga menyukai