Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Semangat Kejiranan kepada Masyarakat

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah
membuatkan kita terlalu sibuk bekerjaya sehingga melupakan aspek kehidupan yang penting iaitu
menjalinkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga. Jika diimbau pada masa dahulu, masyarakat
kita mempunyai hubungan yang baik antara jiran tetangga sehingga boleh menjalankan aktiviti
keramaian seperti bergotong-royong untuk menyambut sesuatu keraian atau adat resam. Gaya
hidup ibarat hidup segan mati tak mahu hendaklah dielakkan kerana terdapat pelbagai manfaat
sekiranya kita menjalinkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga sehingga mewujudkan
semangat kejiranan yang utuh. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan apakah kepentingan semangat
kejiranan kepada masyarakat-masyarakat setempat hari ini.

Isi 1
Antara kepentingan semangat kejiranan adalah memupuk perpaduan antara setiap ahli masyarakat
di negara ini. Malaysia merupakan negara yang unik kerana kita mempunyai rakyat yang berbilang
bangsa, kaum dan agama. Namun, disebalik perbezaan kita berjaya mencari persamaan dan
berbekalkan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati serta bertolak ansur sering menjadi
amalan masyarakat. Mutakhir ini, timbul anasir-anasir yang ingin memecah belahkan perpaduan
yang telah terjalin begitu lama oleh masyarakat kita. Semangat kejiranan yang mantap dapat
menjadi solusi bagi melawan polemik yang semakin membarah dalam komuniti pada masa kini.
Persis kata peribahasa Melayu, buang yang keruh, ambil yang jernih. Natijahnya, perpaduan yang
erat antara satu sama lain akan lahir apabila semangat kejiranan timbul di kawasan yang didiami
oleh kita dan menjadi suri teladan hidup berjiran. Bahawasanya sikap mengambil berat adalah
antara langkah-langkah untuk mengelakkan tidak kefahaman antara satu sama lain.

Isi 2
Jika dipandang pada sudut yang berlainan, semangat kejiranan dapat memudahkan penganjuran
program atau aktiviti yang berbentuk komuniti. Umum sedia maklum bahawa pihak kerajaan melalui
agensinya akan melakukan aktiviti di peringkat komuniti tempatan bagi menyampaikan bantuan dan
sebagainya. Seandainya, masyarakat setempat mempunyai semangat kejiranan yang baik, pastinya
objektif seperti penyampaian bantuan dapat diberikan kepada mereka yang berhak
mendapatkannya. Sesuatu pekerjaan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar apabila ramai
pihak menyumbangkan tenaga bagai aur dengan tebing. Selain itu, kita juga dapat menjimatkan
masa yang terluang dengan melakukan aktiviti bermanfaat yang lain seperti menganjurkan majlis
rumah terbuka. Intihannya, masayrakat yang memupuk semangat kejiranan dapat melaksanakan
sesuatu pekerjaan dengan lebih cekap dan menghasilkan sesuatu yang berfaedah untuk semua.

Isi 3
Pada masa yang sama, semangat kejiranan yang kukuh akan menjamin keselamatan diri dan ahli
masyarakat setempat. Keselamatan adalah perkara yang mustahak dalam menentukan seseorang
untuk memilih kawasan kediaman masing-masing. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab,
persatuan jiran tetangga boleh ditubuhkan bagi menjalankan tugas keslsematan seperti meronda
pada waktu malam. Langkah ini dapat menimbulkan rasa selamat dikalangan penduduk. Kejadian
seperti rompakan, ragut dan penculikan dapat dibanteras sekiranya terdapat mata-mata yang
mengawasi kawasan perumahan kita. Penjenayah juga tidak berani untuk melakukan jenayah dalam
kawasan yang mempunyai semangat kejiranan yang kukuh. Tambahan pula, ibu dan bapa akan
berasa selamat untuk membiarkan anak-anak bermain di taman permainan yang berdekatan kerana
ancaman jenayah telah dikurangkan. Izharnya, kesepakatan masyarakat dalam membuat sesuatu
perkara boleh meningkatkan tahap keselamatan kawasan sekitar.

Isi 4
Akhir sekali, semangat kejiranan yang utuh dapat menarik pelancong asing untuk berkunjung ke
negara kita. Keunikan kehidupan masyarakat majmuk merupakan antara tarikan pelancong asing di
samping keindahan pulau dan gunung-ganang yang dimiliki oleh tanah air ini.

Hasil kehidupan yang berlatar belakangkan pelbagai kaum, agama dan bangsa, terdapat diversiti
budaya dan tradisi yang berpotensi untuk dipersembahkan kepada pelancong. Tamsilnya,
penganjuran rumah terbuka pada hari perayaan menjadi medan perpaduan antara semua rakyat
Malaysia dan pelancong asing berasa kagum bagaimana kita mampu menyambut perayaan bersama-
sama. Kita sebenarnya mampu menjadi egen penyatuan masyarakat antarabangsa kerana
kemampuan kita tinggal di bawah satu negara yang sama sejak dahulu lagi. Kesannya, semangat
kejiranan bukan sahaja memberikan imej yang baik kepada negara malah semangat kejiranan dapat
meningkatkan ekonomi dengan kedatangan pelancong asing ke pusat-pusat pelancongan dalam
negara.

Sebagai menutup ruang perbincangan di atas, kita dapat simpulkan bahawa pelbagai kepentingan
yang terkandung dalam semangat kejiranan sekiranya kita berjaya menyemarakkannya. Bahkan ia
merupakan tradisi turun-temurun yang diamalkan oleh nenek moyang kita ketika dahulu. Ibarat
petikan daripada lagu hasil artis tempatan, ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bikin muafakat.
Ibu dan bapa perlu memainkan peranan dalam menjaga kepentingan semangat kejiranan.
Tuntasnya, semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan dasar kepada pembinaan
negara Malaysia malah sumbangannya adalah mustahak bagi memastikan Malaysia kekal berdaya
saing dan mencapai kemajuan yang disasarkan secara tidak langsung. Semoga rakyat kita bersatu
padu dalam menghadapi segala kemungkinan di masa hadapan dan seterusnya menjadi imej
perpaduan kepada masyarakat dunia demi kebaikan manusia sejagat.

Anda mungkin juga menyukai