Anda di halaman 1dari 1

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita.

Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi


sahabat dan orang yang akan membantu kita apabila ditimpa musibah. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa
jiran sepakat membawa berkat. Oleh itu, semangat kejiranan haruslah dipupuk sebagai amalan dalam kehidupan
kerana banyak manfaatnya.

Semangat kejiranan mampu memupuk perpaduan antara setiap ahli masyarakat di negara ini. Malaysia
merupakan negara yang unik kerana kita mempunyai rakyat yang berbilang bangsa, kaum dan agama. Namun,
mutakhir ini, timbul anasir-anasir yang ingin memecah belahkan perpaduan yang telah terjalin begitu lama oleh
masyarakat kita. Semangat kejiranan yang mantap dapat menjadi solusi bagi melawan polemik yang semakin
membarah dalam komuniti pada masa kini. Persis kata peribahasa Melayu, buang yang keruh, ambil yang jernih.
Natijahnya, perpaduan yang erat antara satu sama lain akan lahir apabila semangat kejiranan timbul di kawasan
yang didiami oleh kita dan menjadi suri teladan hidup berjiran.

Selain itu, semangat kejiranan yang teguh dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk.
Hubungan baik antara jiran penting dalam mewujudkan kehidupan komuniti yang harmoni dan bersatu padu bagai
aur dengan tebing. Semangat kejiranan dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, hari
sukan dan ziarah-menziarahi. Semasa melaksanakan aktiviti tersebut, penduduk saling bekerjasama,
berkomunikasi, dan bertanya khabar antara satu sama lain. Kita juga dapat menjimatkan masa yang terluang
dengan melakukan aktiviti bermanfaat yang lain seperti menganjurkan majlis rumah terbuka. Intihanya, masyarakat
yang memupuk semangat kejiranan dapat melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan lebih cekap dan menghasilkan
sesuatu yang berfaedah untuk semua.

Di samping itu, semangat kejiranan penting bagi menjamin keselamatan komuniti. Hal ini demikian kerana
kerjasama daripada jiran tetangga amat diperlukan dalam menjaga keselamatan tempat tinggal. Banyak kes yang
tidak diingini berlaku akhir-akhir ini seperti kejadian pecah rumah, ragut, culik, dan penderaan. Maka, dengan
adanya mata dan telinga oleh jiran tetangga, mereka bertanggungjawab untuk melaporkan kes tersebut kepada
pihak berkuasa. Rukun tetangga juga boleh bergilir-gilir membuat rondaan pada waktu malam agar kawasan
kediaman sentiasa selamat. Izharnya, kesepakatan masyarakat dalam membuat sesuatu perkara boleh
meningkatkan tahap keselamatan kawasan sekitar.

Seterusnya, semangat kejiranan yang ditunjukkan oleh komuniti setempat dapat menarik kedatangan para
pelancong asing untuk bercuti di negara ini. Pelancong dari negara luar semestinya tertarik untuk melihat sendiri
persefahaman dan perpaduan yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia, di samping keunikan budaya dan warisan
kesenian yang dimiliki. Hasil kehidupan yang berlatar belakangkan pelbagai kaum, agama dan bangsa, terdapat
diversiti kaum dan tradisi yang berpotensi untuk dipersembahkan kepada pelancong. Justeru itu, kedatangan
pelancong asing ke Malaysia akan meningkatkan ekonomi negara dan memperkenalkan Malaysia ke serata dunia.

Kesimpulannya, semangat kejiranan membawa kebaikan kepada diri, masyarakat, dan negara. Oleh itu,
semangat ini haruslah dipupuk sejak kecil demi mengecap kehidupan yang sejahtera, bak kata pepatah bersatu
teguh bercerai roboh.

Anda mungkin juga menyukai