Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Semangat Kejiranan

Semangat kejiranan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Ianya perlu
diterapkan dalam diri dan seluruh masyarakat. Jiran perlulah mempunyai semangat dalam
menjadikan sesebuah masyarakat yang lebih baik. Kita perlu memelihara semangat kejiranan
kerana ianya dapat mengukuhkan lagi ukhuwwah dalam sesebuah masyarakat. Bermula
daripada semangat kejiranan inilah terjalinnya perpaduan yang teguh. Perpaduan yang teguh
menjadi dasar pembangunan negara ke arah yang lebih baik serta mencapai status negara
maju. Jiran Sepakat Membawa Berkat, kata-kata ini menunjukkan bahawa kesepakatan dalam
masyarakat dapat menghasilkan sesuatu yang baik. Semangat kejiranan mempunyai banyak
kepentingan kepada masyarakat. Apakah kepentingan-kepentingan tersebut?

Semangat kejiranan dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.


Masyarakat yang mengamalkan sifat yang baik seperti tolong-menolong, saling bertegur sapa
dan menjaga keselamatan masyarakat dapat mewujudkan satu suasana yang tenang dan
aman. Masyarakat harus melakukan perkara yang baik mengekalkan keamanan yang
terpelihara. Tamsilan yang jelas dapat dilihat dalam aktiviti bergotong-royong, masyarakat
sentiasa menghulurkan bantuan antara satu sama lain dalam membersihkan kawasan
perumahan. Hubungan jiran bagai aur dengan tebing dapat meningkatkan lagi semangat
kejiranan dalam sesebuah masyarakat. Sejajar dengan hal ini, masyarakat dapat menjalani
kehidupan dalam suasana aman dan harmoni.

Selain itu, semangat kejiranan yang teguh dapat menjadikan sesebuah masyarakat itu
lebih cekap dalam melaksanakan sesebuah program. Hubungan mereka amat akrab dan boleh
meningkatkan ramai kenalan dalam sesebuah masyarakat. Sesuatu pekerjaan dapat
dilaksanakan dengan cepat dan lancar dengan bantuan ramai pihak. Jika masyarakat bertindak
bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, sesuatu pekerjaan atau program
tidak dapat dilaksanakan dengan cekap. Contohnya, jiran membantu jiran yang lain dalam
mengadakan kenduri dengan bersama-sama menyediakan makanan untuk tetamu dan
mendirikan khemah untuk para tetamu. Lantaran itu, pekerjaan dapat diselesaikan dengan
mudah. Bukan itu sahaja, hubungan yang erat dapat diwujudkan ketika melakukan pekerjaan
bersama-sama. Masyarakat yang memupuk semangat kejiranan dapat melaksanakan sesuatu
pekerjaan dengan lebih cekap dan menghasilkan sesuatu yang lebih baik.

Di samping itu, masyarakat juga boleh memupuk semangat perpaduan. Semangat


kejiranan yang mantap dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan perpaduan yang
teguh. Perpaduan juga sama pentingnya seperti semangat kejiranan. Kehidupan negara
Malaysia memerlukan perpaduan yang teguh. Hal yang demikian, Malaysia mempunyai
pelbagai kaum dan agama. Negara kita dikagumi seluruh dunia kerana mempunyai perpaduan
yang erat. Perkara ini dapat dibuktikan dengan kehadiran bangsa Melayu, Cina, India dan
bangsa lain dalam sesebuah masyarakat. Setiap kaum perlu mengetahui adat dan tradisi kaum
lain untuk mengelakkan daripada menimbulkan isu sensitif. Semangat kejiranan yang mantap
dapat mengelakkan situasi ini daripada berlaku kerana hubungan yang erat antara kaum. Oleh
itu, masyarakat perlu mempunyai semangat kejiranan yang tinggi supaya dapat mewujudkan
perpaduan yang teguh.
Seterusnya, semangat kejiranan dapat menjadikan sesebuah kawasan itu selamat.
Kawasan perumahan perlu ditingkatkan keselamatannya supaya keamanan dalam sesebuah
masyarakat terjamin. Kejadian seperti mencuri, merompak dan menculik sering berlaku dalam
kawasan perumahan. Masyarakat harus meningkatkan keselamatan kawasan tersebut untuk
mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Masyarakat boleh menubuhkan persatuan
jiran tetangga dengan membuat rondaan pada waktu malam. Dengan itu, keselamatan
penduduk terjamin. Ibu bapa akan berasa lebih senang melepaskan anak-anak bermain di
sekitar kawasan perumahan. Kejadian seperti mencuri, merompak dan menculik dapat
dielakkan dan dikurangkan. Kesimpulannya, kesepakatan masyarakat dalam membuat sesuatu
perkara dapat meningkatkan tahap keselamatan sesebuah masyarakat.

Semangat kejiranan dalam sesebuah masyarakat dapat menarik minat pelancong untuk
datang bercuti di Malaysia. Malaysia yang mempunyai perpaduan yang teguh akibat semangat
kejiranan masyarakat pelbagai kaum menarik minat warga asing untuk melihat sendiri
perpaduan kaum tersebut. Pelancong memerhati sikap masyarakat Malaysia yang baik dan
mempunyai hubungan yang erat antara kaum mengagumkan mereka. Semangat kejiranan
yang mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan aman sejahtera dapat meningkatkan
lagi ekonomi Malaysia dengan kedatangan pelancong. Oleh itu, semangat kejiranan bukan
sahaja bertumpu kepada sesebuah masyarakat tetapi ianya juga mendatangkan kebaikan
kepada negara.

Secara kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan yang diperoleh daripada semangat


kejiranan. Semangat kejiranan amat penting dalam melahirkan masyarakat harmoni, suasana
yang aman dan perpaduan yang teguh. Kepentingan semangat kejiranan membawa kebaikan
kepada diri masyarakat dan negara. Masyarakat yang maju dalam semua aspek seperti rohani,
intelektual dan adab dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju. Untuk
mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, kerjasama semua pihak amat digalakkan
supaya dapat merealisasikan perkara ini. Semangat kejiranan yang rapuh tidak menjamin
keamanan negara dan memerlukan kesepakatan rakyat Malaysia seperti Jiran Sepakat
Membawa Berkat. Oleh itu, semangat kejiranan amat penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Anda mungkin juga menyukai