Perpaduan merupakan antara elemen terpenting dalam pembentukan sesebuah negara yang harmoni.
Perpaduan ini dapat dipupuk dengan semangat kejiranan yang utuh. Sememangnya tidak dapat disangkal bahawa
masyarakat yang bersatu padu bermula dengan adanya semangat kejiranan yang tersemai dalam jiwa. Oleh itu,
setiap individu haruslah memiliki semangat kejiranan yang tinggi demi mengekalkan keharmonian dan kemakmuran
negara yang berbilang kaum. Namun begitu, semangat kejiranan semakin luntur dalam kalangan masyarakat kini.
Justeru, senario ini haruslah disusuli dengan langkah yang efektif supaya dapat dibendung sebelum masalah
seumpama ini terus menular menjadi barah yang akan menjejaskan keharmonian negara.
Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha memupuk semangat kejiranan termasuklah mengamalkan
amalan ziarah-menziarahi. Amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran. Malah,amalan ziarah-
menziarahi ini sangat digalakkan dalam Islam. Misalnya, apabila jiran bertandang ke rumah, sudah semestinya kita
akan menyambut baik kedatangan mereka dan melayan mereka dengan penuh adab sopan. Hal ini seterusnya akan
melahirkan rasa hormat dan kasih sayang sesama individu. Oleh itu, amalan ziarah-menziarahi wajar dibudayakan
dalam masyarakat.
Selain itu, semangat kejiranan dapat turut dipupuk melalui amalan gotong-royong. Amalan gotong-royong
sememangnya membawa banyak manfaat kepada masyarakat. Hal ini kerana apabila segolongan masyarakat
bersatu menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, mereka bukan sahaja dapat
memelihara kebersihan tempat kediaman mereka malah dapat mengeratkan hubungan sekaligus memupuk
semangat kerjasama. Di samping itu, nilai kerjasama dan masyarakat yang prihatin juga dapat diwujudkan. Justeru,
masyarakat mestilah melibatkan diri dalam aktiviti seumpama ini untuk kebaikan bersama.
Tambahan pula, rumah-rumah terbuka yang lazimnya diadakan ketika musim perayaan wajar dilihat
sebagai satu langkah yang efektif dalam usaha memupuk semangat kejiranan. Negara kita yang mempunyai
masyarakat yang berbilang kaum membolehkan kita melihat pelbagai jenis adat dan budaya. Apabila rumah terbuka
diadakan, masyarakat akan dapat mengenali adat dan budaya kaum lain. Hal ini akan dapat mewujudkan
persefahaman dan sekaligus mengelakkan perselisihan faham yang boleh menjejaskan perpaduan kaum. Oleh itu,
dianggap sebagai satu perkara yang sangat penting dalam masyarakat. Kerajaan haruslah terus melakukan usaha-
usaha yang boleh mengukuhkan lagi perpaduan dalam masyarakat di negara kita. Sebesar rumah bermula dengan
seketul bata. Oleh itu, perpaduan kaum haruslah bermula semangat kejiranan yang utuh.