Anda di halaman 1dari 5

PEMBENTUKAN MASYARAKAT PENYAYANG KE ARAH

MASYARAKAT YANG SELAMAT

Pengenalan
Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang (caring
society) dan budaya penyayang. Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh Y.A.B. Tun Dr Mahathir
Bin Mohamad mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang sebagai sistem sosial
yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar
pada negara atau orang perseorangan tetapi sekeliling keluarga yang kukuh. Pendek kata,
masyarakat penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat dengan anggota-anggotanya
dalam suasana mesra dan bertimbang rasa.

Pembentukan masyarakat penyayang ke arah masyarakat yang selamat.

Menjelang tahun 2020 Malaysia berhasrat untuk menjadi negara maju mengikut cita rasa
sendiri bukan mengikut acuan negara maju yang sedia ada. Oleh itu, matlamat Wawasan 2020
ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segala aspek iaitu
ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Setiap orang hendaklah saling
faham-memahami dan hormat menghormati iaitu generasi muda menghormati golongan tua dan
golongan tua yang mengasihi generasi muda. Hal ini kerana tanpa jiwa penyayang masyarakat
akan mengulangi kesalahan negara maju yang mengalami keruntuhan moral.

Kewujudan sebuah masyarakat yang selamat, sejahtera dan makmur bukan sesuatu yang
mustahil untuk direalisasikan dalam dunia masa kini. Sifat penyayang tidak boleh diwarisi, tetapi
boleh dipupuk dan dibaja dalam jiwa seseorang sejak kecil lagi. Kesejahteraan sesebuah
masyarakat dapat dibentuk dengan lebih mudah dan berkesan melalui suasana yang sarat dengan
nilai insani dan kekeluargaan. Kasih sayang dan sikap saling menyayangi antara satu sama lain
menjadi titik permulaan sebuah negara aman tanpa peperangan, penindasan dan kekejaman.

Masyarakat Malaysia memang sudah lama terkenal dengan amalan nilai-nilai murni masyarakat
timur seperti tolong-menolong, peramah, hormat-menghormati, bertimbang rasa serta
bekerjasama. Apabila kedatangan kuasa barat ke negara ini, mereka telah memperkenalkan nilai
dari barat seperti sifat angkuh, materialistik, individualistik dan penindas sehinggakan nilai-nilai
murni yang sedia ada telah terhakis dan dilupai. Oleh itu, pengenalan konsep masyarakat
penyayang diharapkan akan dapat memupuk kembali nilai-nilai ketimuran yang semakin
ditinggalkan dan setiap rakyat perlu sedar akan kewajipan mengutamakan nilai-nilai murni dalam
kehidupan seharian.

Pada pendapat saya, setiap insan hendaklah bersifat lebih terbuka dan tidak hanya mementikan
diri sendiri sahaja dalam menunjukkan perasaan sayang terhadap orang lain. Budaya penyayang
tidak semestinya mementingkan benda-benda materialistik malah ia lebih pada sifat penyayang
ataupun perasaan dalaman seseorang insan. Setiap individu perlu belajar menunjukkan rasa sayang
dan hormat pada insan-insan terdekat dahulu sebelum mula mencintai masyarakat sekeliling dan
negara tercinta. Memang tidak dapat dinafikan budaya penyayang bermula dari institusi keluarga
dan setiap insan yang lahir di dunia ini berhak merasai kasih sayang daripada masyarakat
sekeliling.

Di Malaysia terdapat pelbagai gejala sosial yang melanda masyarakat masa kini. Gejala-gejala
sosial seperti penagihan dadah, melepak, bohsia, ponteng sekolah ,jenayah remaja dan merosakkan
harta benda awam semakin berleluasa terutamanya dalam kalangan remaja. Setiap masalah
tersebut perlu diatasi segera dengan adanya usaha bersepadu daipada pelbagai lapisan masyarakat.
Hal ini kerana gejala sosial yang semakin menular boleh menggagalkan cita-cita Wawasan 2020.
Apabila seseorang itu mula mencintai ahli keluarga, kawan-kawan, masyarakat setempat secara
tidak tidak langsung mereka tidak akan melakukan sebarang tingkah laku atau kegiatan yang
merisaukan semua pihak. Lebih-lebih lagi, Ibu bapa perlu memainkan peranan yang amat penting
dalam usaha mewujudkan masyarakat penyayang ke arah pembangunan masyarakat yang selamat.
Ibu bapa perlu menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak kerana bak kata pepatah bapa borek
anak rintik. Pepatah ini membuktikkan bahawa ibu bapa sendiri perlu bersifat penyayang dan
menjadi teladan baik supaya jejak langkah mereka akan diikuti oleh anak mereka.

Di samping itu, setiap rakyat juga perlu menyedari kepentingan menyayangi jiran sebelah dan
juga masyarakat di kawasan perumahannya. Kata-kata hikmat 'Jiran sepakat membawa berkat'
jelas menunjukkan kepentingan semangat kejiranan dalam usaha pembangunan masyarakat
selamat. Masyarakat yang mengamalkan sifat yang baik seperti tolong-menolong, saling bertegur
sapa dan menjaga keselamatan masyarakat dapat mewujudkan satu suasana yang tenang dan aman.
Pada pendapat saya, masyarakat penyayang dapat diwujudkan secara bersama-sama oleh semua
individu dalam sesebuah komuniti. Masyarakat setempat harus melakukan perkara dan kegiatan
yang baik bagi menjamin pembentukan masyarakat selamat. Misalnya semasa aktiviti bergotong-
royong, masyarakat sentiasa menghulurkan bantuan antara satu sama lain dalam membersihkan
kawasan perumahan.

Hubungan jiran bagai aur dengan tebing dapat meningkatkan lagi semangat kejiranan dalam
sesebuah masyarakat. Tambahan pula, semangat kejiranan dapat menjadikan sesebuah kawasan
perumahan itu selamat dan sejahtera. Keselamatan kawasan perumahan perlu ditingkatkan
keselamatannya supaya keamanan dalam sesebuah masyarakat sentiasa terjamin. Pada masa kini
kejadian seperti mencuri, merompak dan menculik sering berlaku dalam kawasan perumahan.
Sebagai langakah proaktif bagi mengatasi kemelut tersebut masyarakat setempat boleh
menubuhkan persatuan jiran tetangga dengan membuat rondaan terutamanya pada waktu malam.
Secara tidak langsung keselamatan kawasan dan penduduk akan terjamin. Ibu bapa pula akan
berasa lebih senang melepaskan anak-anak bermain di sekitar kawasan perumahan.

Walaupun kegiatan jenayah tidak dapat dihapuskan sepenuhnya bilangan kes-kes jenayah
seperti mencuri, merompak dan menculik dapat dielakkan dan dikurangkan mengikut peredaran
masa. Masyarakat juga perlu lebih peka terhadap isu-isu semasa dalam usaha melahirkan
masyarakat selamat berteraskan budaya penyayang. Oleh itu, setiap rakyat perlu berkerjasama
dengan pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah dan sebarang masalah yang menggugat
keamanan rakyat dan negara. Jalinan yang jujur dan sihat antara pihak polis dan anggota
masyarakat, amat diperlukan dalam usaha membanteras dan mengurangkan kes-kes jenayah.
Sehubungan itu, kerjasama yang erat antara pihak polis dan masyarakat setempat perlu terus
diperkasakan demi mewujudkan negara yang aman dan sejahtera.

Kesepakatan masyarakat dalam membuat sesuatu perkara jelas dapat meningkatkan tahap
keselamatan sesebuah masyarakat. Selain itu, hidup berjiran dan budaya penyayang juga penting
kepada pembangunan masyarakat selamat di negara ini. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat
menunjukkan apabila masyarakat hidup aman dan damai maka pelbagai rancangan pembangunan
dapat diatur dan dilaksanakan secara sistematik tanpa sebarang kekangan. Contohnya, pihak
kerajaan berupaya membina pelbagai kemudahan infrastuktur di kawasan perumahan seperti
dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak, pusat komuniti atas inisiatif
semangat kejiranan dan budaya penyayang yang terdapat dalam diri kalangan masyarakat tersebut.
Rumusan.

Kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan yang diperoleh apabila seseorang itu


mengamalkan budaya penyayang dalam kehidupan sehariannya. Semangat kejiranan juga amat
penting dalam melahirkan masyarakat yang harmoni. Masyarakat penyayang memberi makna
besar dalam usaha memastikan kehidupan yang aman dan selamat. Rakyat Malaysia wajar
berusaha menjadi seorang penyayang bertersakan semangat perpaduan dan kasih sayang yang
teguh ke arah pembangunan negara secara holistik menjelang tahun 2020. Kepentingan semangat
menyayangi satu sama lain membawa kebaikan kepada diri, masyarakat dan negara. Masyarakat
yang maju dalam semua aspek seperti rohani, intelektual dan adab dapat menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang maju. Masyarakat yang terus mengamalkan budaya penyayang akan
sentiasa menjamin keamanan negara.
RUJUKAN

Nordin, K. (n.d.). Retrieved from https://www.bharian.com.my/node/40610

Nordin, K. (2015, March 13). Memupuk sifat penyayang dalam masyarakat. Malaysia. Retrieved

from https://www.bharian.com.my/node/40610

Suhaimi, H. ( Februari 2016). Dewan Siswa . Masyarakat Penyayang Membentuk Negara

Sejahtera.

Thye, L. L. (2012, Jun 3). m.star. Retrieved from http://www.mstar.com.my/berita/berita-

semasa/2012/06/03/konsep-masyarakat-selamat-perlu-diperkenalkan--lee-lam-thye/

Anda mungkin juga menyukai