Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan Kebaikan Amalan Rumah Terbuka

Pendahuluan
Sejak negara menikmati arus kemerdekaan, penganjuran rumah terbuka telah menjadi amalan
sejak zaman datuk dan nenek moyang kita. Rumah terbuka adalah acara tidak kira kecil atau besar
untuk menyambut hari perayaan dan semua lapisan masyarakat dijemput untuk hadir. Malaysia
yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan perayaan yang banyak sudah sinonim dengan aktiviti
rumah terbuka. Perayaan utama di Malaysia seperti hari raya, tahun baru Cina dan Deepavali akan
disemarakkan dengan aktiviti kunjung mengunjung rumah terbuka dan menjadi antara acara yang
ditunggu-tunggu oleh rakyat di Malaysia amnya. Keseronokan dan kebaikan yang diperoleh semua
golongan menjadikan amalan rumah terbuka tidak pernah lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Isi 1
Antara kebaikan amalan rumah terbuka adalah ia membantu mengeratkan perpaduan antara kaum
dan hubungan sesama masyarakat. Hal ini kerana, semua ahli masyarakat bebas untuk menyertai
rumah terbuka tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan etnik. Selain di sekolah, aktiviti rumah
terbuka ini dapat mengumpulkan semua golongan dalam satu acara di mana kita dapat mengenali
antara satu sama lain dan bersama-sama bergembira menyambut perayaan yang dirai. Lebih-lebih
lagi dalam era kepantasan penyebaran berita palsu yang sering menggunakan polemik kaum dan
bangsa untuk menjatuhkan sesetengah pihak tetapi kesannya melibatkan satu negara tanpa
disedari. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh yang bermaksud kita seharusnya bermuafakat
dalam masyarakat agar visi dan misi negara dapat dilaksanakan seterusnya menjadikan negara kita
konsisten dan berdaya saing dalam kemajuan sejagat.

Isi 2
Selain itu, amalan rumah terbuka merupakan satu medium untuk kita mengenali dan memahami
budaya kaum-kaum di dalam Malaysia. Apabila kita menghadiri rumah terbuka kita dapat lihat
pelbagai jenis juadah dan adat yang diamalkan dalam perayaan kaum tersebut. Sebagai contoh,
penganut Hindu yang meraikan Deepavali akan menghiasi rumah mereka dengan sebuah “Kolam”.
Ia dibuat daripada tepung beras yang tidak diwarnakan sebagai makanan untuk semut dan
serangga lain kerana agama Hindu percaya bahawa Tuhan atau Atman wujud di dalam setiap
ciptaan Tuhan di dunia ini. Maka, aspek mendalam ialah “kolam” merupakan cara termudah untuk
memberi sedekah atau pun dilihat sebagai cara berkongsi sumber alam dengan benda hidup yang
lain. Pengenalan dan pemahaman sesuatu adat itu penting kerana ia membuka mata mereka yang
tidak tahu dan akan merasa lebih rapat serta gembira untuk hidup dalam masyarakat yang aman
majmuk.
Isi 3
Amalan rumah terbuka juga mampu menjadi produk pelancongan negara yang unggul kerana
keunikan dan keindahan amalan rumah terbuka wajar dikongsikan dan dipaparkan ke mata dunia.
Selain menikmati keindahan alam semula jadi di Malaysia, para pelancong asing hendaklah di
perkenalkan budaya dan keunikan adat setiap kaum dan etnik di negara kita. Penyertaan pelancong
asing dalam rumah terbuka memebolehkan mereka mencuba juadah perayaan yang disambut serta
meraikan keharmonian masyarakat kita yang bersama-sama menikmati keseronokan beraya di
rumah terbuka. Misalnya, rumah terbuka bersempena Hari Gawai oleh kaum dayak yang
menyambut pengakhiran musim menuai dimana pelancong dapat melihat semua adat dan
kepercayaan yang dilakukan oleh mereka. Izharnya, penganjuran rumah terbuka dapat memberikan
persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum
menyertainya di bawah payung keharmonian.

Isi 4
Di samping itu, amalan rumah terbuka membolehkan kita untuk menikmati pelbagai jenis juadah
dari pelbagai kaum. Rumah terbuka merupakan peluang emas bagi kita untuk merasai hidangan
perayaan yang disambut mengikut kaum masing-masing. Daripada kampung hingga ke peringkat
negeri malah kebangsaan penganjuran rumah terbuka dijalankan saban tahun bagi menjamu
juadah perayaan. Rendang dan ketupat diwaktu hari raya aidilifitri, buah limau dan yee sang pada
perayaan hari raya Cina serta muruku pada perayaan Depaavali. Juadah ini akan dihidangkan dan
mereka akan memasak dengan cara dan bahan yang halal supaya orang yang beragama Islam
juga dapat menikmati juadah ini bersama-sama. Bak kata peribahasa Melayu, biar mati anak,
jangan mati adat. Berakar umbi daripada amalan inilah masyarakat dapat melihat serta merasai
kepelbagaian aneka masakan daripada latar masyarakat yang berbeza. Hal ini menyebabkan tradisi
bangsa terus kukuh dan harmoni.

Penutup
Kesimpulannya terdapat banyak manfaat dan kebaikan yang kita akan peroleh sekiranya
menganjurkan amalan rumah terbuka ini. Tidak peliklah amalan ini kekal segar dalam masyarakat
kita kerana ia adalah punca ataupun akar yang menyokong kesepaduan rakyat kita yang berbilang
kaum. Semua pihak terutamanya kerajaan hendaklah sentiasa peka dan bertindak dalam
menambah baik dan mengekalkan amalan rumah terbuka di setiap perayaan yang disambut oleh
rakyat di Malaysia agar tiada pembaziran dan ketidak adilan berlaku dalam amalan mulia ini. Ikan
dilaut, asam di darat, dalam periuk bikin muafakat. Muafakat antara ahli masyarakat akan menjamin
kebolehan negara dalam mencapai kemajuan dan wawasan yang ingin dikecapi.

Anda mungkin juga menyukai