Anda di halaman 1dari 2

Kebaikan Rumah Terbuka

            Pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita, amalan rumah terbuka
telah menjadi lumrah pada sambutan hari perayaan bagi masyarakat majmuk di negara Malaysia. Kerencaman citra budaya
dan keceriaan landskap sosial yang berwarna-warni dalam masyarakat Malaysia menjadikan Malaysia memiliki keunikan
yang tersendiri. Setelah bertahun lamanya kita menghirup udara yang sama, kita kini boleh hidup bersama tanpa sebarang
persengketaan. Malah, kita juga bersama-sama menyambut hari perayaan seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Raya
Aidilfitri dan lain-lain. Perayaan-perayaan ini selalu meniti dari bibir ke bibir masyarakat pada zaman pascakemerdekaan ini.
Rakyat Malaysia sentiasa meraikan hari perayaan tersebut kerana kita percayai bahawa biar mati anak, jangan mati adat.
Pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan sebanyak enam perayaan dianggap sebagai perayaan utama yang
diraikan julung-julung kalinya di peringkat kebangsaan. Dalam perkataan yang lain, rumah terbuka akan dianjurkan bersama
kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk berkongsi kegembiraan pada saat tersebut bersama-sama. Menyedari usaha
kerajaan yang gigih mengadakan rumah terbuka, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah
kebaikan-kebaikan amalan rumah terbuka?

Negara kita berbeza bangsa,


Berbeza pandangan perkara biasa.
Jangan dibiar menjadi bisa,
Hidup terancam sepanjang masa.

            Rangkap tersebut telah menunjukkan bahawa betapa berbeza agama serta bangsa anak watan Malaysia, kita tetap
perlu bersatu padu. Sebagaimana yang kita ketahui, amalan rumah terbuka dapat mengeratkan perpaduan dan tali
silaturahim pelbagai kaum. Realitinya, jika kita mengadakan rumah terbuka pelbagai kaum akan hadir ke majlis tersebut
seperti orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan dan sebagainya. Oleh itu, sudah pasti amalan ini
dapat mengeratkan hubungan silaturrahim seperti isi dengan kuku. Hal ini dinyatakan demikian kerana wujudnya interaksi
sosial antara kaum. Sebagai contohnya, pelancong dapat mencuba permainan tradisional seperti gasing, wau, catur Cina,
kabaddi dan lain-lain. Dalam proses bermain permainan tradisional tersebut, pastilah mereka akan memahami budaya yang
berlainan dan juga berkomunikasi dengan mereka. Kegiatan tersebut memainkan peranan yang amat signifikan
terutamanya dalam golongan belia Malaysia. Tonggak negara harus dipupuk sejak kecil lagi agar berinteraksi dengan kaum
lain kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Demi mengelakkan sejarah hitam, iaitu Peristiwa 13 Mei berulang
kembali dan pisang berbuah dua kali, kita hendaklah menjadikan majlis rumah terbuka sebagai medium untuk menyatukan
rakyat. Tambahan pula, rumah terbuka dapat mengukuhkan hubungan antara rakyat dan pemimpin. Hal ini dinyatakan
kerana pemimpin negara sanggup menunjukkan suri teladan dengan turun padang bagi meraikan hari perayaan dengan
rakyat. Bak kata slogan negara, Kempimpinan Melalui Teladan. Rakyat akan berasa terharu dengan kesungguhan beliau dan
menyokongnya. Sebagai tamsilannya, rakyat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga sanggup hadir ke
rumah terbuka di kediaman Perdana Menteri walaupun dari jauh. Selain itu, rumah terbuka dapat memupuk semangat
kejiranan dalam masyarakat untuk menjayakan rumah terbuka. Masyarakat seharusnya tidak mementingkan diri ibarat kata
mutiara yang berbunyi adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung iaitu dengan bekerjasama
bagai aur dengan tebing untuk mengadakan jamuan. Mereka akan berganding bahu menyediakan makanan tradisional,
menghias kawasan perumahan dan menjalankan aktiviti gotong-royong. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan
rumah terbuka dapat merapatkan hubungan antara pelbagai bangsa

            Lanjutan daripada huraian yang dinyatakan di atas, ayuh kita capahkan lensa perbincangan kita kepada
kemaslahatan rumah terbuka seterusnya iaitu menjamin keamanan, kemakmuran dan kestabilan negara. Sudah terang lagi
bersuluh bahawa masyarakat berbilang kaum di negara kita sudah tentu mempunyai budaya dan agama yang berbeza.
Perbezaan ini dapat diatasi jika adanya sikap memahami dan menerima adat resam dan kepercayaan kaum lain. Misalnya,
perayaan yang berbeza seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak dan Pesta Keamatan dapat
diterima dengan tangan terbuka. Semasa majlis tersebut diadakan, setiap kaum akan menyediakan pelbagai juadah tradisi
kaum-kaum masing-masing. Lagipun, juadah yang dihidangkan dapat memberikan gambaran tradisi setiap kaum. Sebagai
contoh yang jelas, kaum Melayu akan menyajikan hidangan seperti rendang, ketupat dan lemang yang merupakan juadah
wajib semasa menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Bagi orang Cina, mereka akan menyajikan limau mandarin sebagai
juadah wajib kerana dapat membawa tuah kepada hidup mereka. Sekiranya kita menghormati variasi budaya tersebut, kita
dapat mengelakkan perselisihan faham antara rakyat pelbagai kaum dan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam
keadaan yang aman dan harmoni seperti bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.
Tambahan pula, para tetamu dapat beramah mesra dengan tetamu lain. Sebagai analoginya, mereka berbual mesra,
bertegur sapa dengan orang ramai semasa menghadiri rumah terbuka. Ketika kita memahami budaya kaum lain, kita dapat
melupakan pertentangan pendapat, perbezaan ideologi dan perbezaan konsep politik. Keadaan ini persis kata orang tua
buang yang keruh, ambil yang jernih. Oleh itu, kita dapat mengelakkan pergaduhan dan perbalahan dalam kalangan
masyarakat. Tegasnya, amalan rumah terbuka dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni tanpa perasaan syak
wasangka.

            Jika ditinjau daripada satu lagi perspektif, penganjuran majlis rumah terbuka dapat mengurangkan penglibatan
remaja dalam gejala sosial. Hal ini demikian kerana remaja akan melibatkan diri dalam persembahan seperti nyanyian,
lakonan dan sketsa. Mereka tidak membazirkan masa mereka dan terjebak dalam gejala sosial seperti vandalisme,
gengsterisme, membuli dan sebagainya. Presiden Soekarno pernah berkata, “Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya
akan saya gegarkan dunia ini”. Ungkapan tersebut telah menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu
pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan. Jadi, remaja patutlah menyertai persembahan ataupun
persediaan rumah terbuka. Sebagai analoginya, mereka akan membabitkan diri dalam aktiviti gotong-royong seperti
membersih, mengemas dan menyediakan atur cara majlis. Hal ini dapat mengalihkan perhatiannya daripada gejala sosial.
Lebih-lebih lagi, hal ini dapat menyemai nilai-nilai murni sejagat pada golongan muda. Cuba kita bayangkan bagaimana
keadaan sekiranya tiada bantuan dan kerjasama daripada orang lain, terutamanya golongan muda yang kuat dari segi
fizikal? Mungkinkah majlis rumah terbuka dapat dijalankan dengan jayanya? Dalam konteks ini, kebiasaannya remaja
dengan ahli keluarganya akan bergotong-royong, membanting tulang dan bekerjasama ibarat aforisme, yang berat sama
dipikul, yang ringan sama dijinjing. Oleh hal yang demikian, pemuda akan meluangkan lebih banyak masa bersama-sama
ahli keluarga dan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam hubungan kekeluargaan. Rumah
terbuka amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh bukannya semakin layu dan
pudar. Generasi muda dapat mengenali mereka yang tua dan meluahkan perasaan rindu kepada mereka. Senario ini dapat
mencerminkan yang tua dihormati, yang muda disayangi. Sementara itu, remaja lebih menghargai adat resam dan
kebudayaan di Malaysia. Tamsilnya, menziarahi saudara-mara dan bersalaman dengan mereka. Mereka juga gemar untuk
memakai pakaian tradisional pada setiap tahun. Pendek kata, rumah terbuka dapat mengurangkan risiko remaja terlibat
dalam kegiatan negatif.

            Namun demikian, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah rumah terbuka dapat meningkatkan imej
negara di persada dunia. Dalam majlis tersebut, rakyat Malaysia yang bersikap ramah mesra, berbudi Bahasa, saling
membantu dan bertolak ansur dalam kalangan rakyat telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang beradab. Al-
Ghazali Bayruni, seorang ilmuwanan Islam pernah berkata “hidup biar beradab, bukan hidup untuk biadap”. Ungkapan
tersebut telah membuktikan bahawa masyarakat Malaysia berjaya bertoleransi antara satu sama lain kerana kita
merupakan orang yang beradab. Sikap tersebut dapat dicontohi oleh pelancong asing sekali gus meningkatkan imej negara.
Tambahan pula, pelancong asing memang gemar sesuatu yang baharu. Maka, sikap toleransi dan persefahaman multietnik
yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sudah menjadi salah satu daya tarikan yang kuat dalam kalangan pelancong asing.
Hal ini disebabkan oleh konsep ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni telah lama sebati dan menjadi pegangan utuh
masyarakat kita. Hakikatnya, rumah terbuka dapat mengangkat nama negara ke peringkat antarabangsa. Pelancong juga
teringin melihat kebudayaan unik ini yang dipersembahkan dalam bentuk yang asli. Sebagai contoh, tuan rumah memakai
pakaian tradisional masing-masing. Hal ini dapat memajukan industri pelancongan kerana pelawat asing akan teruja dengan
cara-cara masyarakat majmuk menyambut perayaan melalui rumah terbuka. Pengalaman pelancong asing meraikan
pelbagai perayaan di Malaysia akan menyebabkan nama Malaysia menjadi buah mulut di segenap empat penjuru dunia ini.
Jadi, tuan rumah patutlah memastikan kawasan di sekitar rumah terbuka bersih setelah majlis berakhir. Selain itu,
prasarana yang cekap dan cepat patutlah disediakan bagi menyambut kedatangan pengunjung. Pihak kerajaan hendaklah
meningkatkan kemudahan pengangkutan seperti jalan raya, pengangkutan udara dan penginapan seperti hotel untuk
keselesaan para pelancong. Intihanya, konsep rumah terbuka dapat meningkatkan reputasi Malaysia di persada
antarabangsa.

            Dari kaca mata yang berbeza, menganjurkan rumah terbuka dapat memupuk semangat patriotik dan jati diri
masyarakat Malaysia. Hal ini disebabkan kerana rakyat akan berasa bangga akan negara apabila kita meraikan setiap
perayaan bersama-sama walaupun berbeza daripada tradisi perayaan sendiri. Kepelbagaian adat budaya yang datang
daripada variasi perkauman di negara ini kesan daripada penjajahan berates-ratus tahun lamanya. Dasawarsa ini, rakyat
Malaysia telah gigih menjamin keharmonian di negara kita serta memelihara warisan budaya tersebut. Kita sayang akan
tanah air ini kerana kita bersyukur bahawa kita dapat menghadiri rumah terbuka tanpa mengira warna kulit, bangsa, kaum,
agama dan sebagainya. Sikap perpaduan ibarat kata mutiara, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Segala keistimewaan
ini telah menimbulkan rasa cinta akan negara terhadap rakyat Malaysia. Di samping itu, para tetamu menggunakan Bahasa
Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dalam setiap majlis rumah terbuka. Setiap kaum di
Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan semasa berinteraksi antara satu dengan yang lain.
Tambahan pula, rumah terbuka bukan sahaja menjadi landasan dan titik pertemuan antara pemimpin dengan rakyat tanpa
mengira bangsa dan agama dalam setiap majlis. Semasa menteri-menteri dan rakyat saling bermesra, pemimpin dapat
menyelami permasalahan rakyat dan memahami kehendak rakyat dengan lebih telus. Izharlah bahawa semangat patriotik
dan jati diri akan dipupuk kerana tidak terpengaruh daripada anasir budaya asing.

            Bulan kian terang, bayang kian jelas, ternyatalah bahawa rumah terbuka yang diadakan telah membawa pelbagai
manfaat dari pelbagai sudut dan aspek yang telah diketengahkan. Sesungguhnya, ikatan yang terjalin antara kaum di
Malaysia adalah pengikat kepada keharmonian sejagat. Sebagai tuan rumah dalam majlis rumah terbuka, kita hendaklah
sentiasa berlapang dada dan mengalu-alukan tetamu yang hadir tanpa mengira kaum dan kedudukan sosialnya. Persis kata
peribahasa, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Di samping itu, setiap kaum haruslah meneruskan pelaksanaan majlis
rumah terbuka pada musim perayaan, terutamanya pihak kerajaan. Pihak kerajaan patutlah menggalakkan penganjuran
rumah terbuka dan tidak melaksanakan tugas seperti melepaskan batuk di tangga. Bak kata orang tua, pengayuh sayang
dibasahkan, sampan tidak akan sampai seberang, yang bermakna tanpa usaha tidak tercapailah tujuannya. Oleh itu, jika
tidak berusaha mempromosikan amalan rumah terbuka, kita tidak akan mengetahui manfaatnya kepada kita. Sahutlah
cabaran dan hadapilah dengan semangat biar putih tulang, jangan putih mata untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke
arah sebuah negara yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang!

Anda mungkin juga menyukai