Anda di halaman 1dari 5

Contoh Karangan Usaha Melestarikan Warisan Seni Budaya Pendahuluan Mutakhir ini,

masyarakat kita lebih gemar menikmati hiburan daripada negara asing seperti Amerika dan
Korea Selatan. Hal ini kerana kuasa pemasaran dan gelombang peminat yang kuat telah
menyebabkan ramai di antara ahli masyarakat kita turut sama berkongsi minat melihat atau
menikmati hiburan daripada negara asing. Jika ditelusuri pada zaman nenek dan moyang kita,
cara hiburan mereka adalah dengan melihat persembahan tari-menari atau wayang kulit di
kawasan pantai timur khususnya. Semakin hari semakin ia dilupakan oleh generasi pada hari ini
kerana ia kelihatan tidak relevan dan ketinggalan zaman. Oleh itu, kita seharusnya mengubah
pandangan sarwa ini supaya peninggalan datuk dan nenek kita tidak tenggelam dek zaman.
Pihak-pihak berkuasa seperti pemimpin negara hendaklah mencai satu mekanisme sebagai
usaha mengekalkan seni budaya demi generasi masa hadapan negara.

Isi 1 Langkah pertama yang perlu dilaksanakan bagi melestarikan warisan seni dan budaya
dalam masyarakat pada hari ini adalah menggunakan platform media massa untuk membuka
kembali mata masyarakat yang hilang dibawa arus hiburan negara asing. Usaha ini dilihat sukar
kerana kebebasan sosial media yang menjadi asbab masyarakat kita mengeksplorasi hiburan
atau seni budaya asing untuk tontonan masing-masing. Maka, pihak berkuasa wajar mengambil
kesempatan yang sama untuk menyajikan filem, drama, sketsa malah iklan berkaitan dengan
seni dan budaya masyarakat kita di seluruh media massa. Stesen televisyen yang menjalankan
operasi mereka mengejar rating hendaklah diseimbangkan dengan usaha melestarikan seni
dan budaya yang kita miliki. Rancangan atau kandungan yang menyemai unsur-unsur budaya
seperti filem Puteri Gunung Ledang wajar diterbitkan dengan lebih banyak agar menyemai
minat masyarakat terhadap seni dan budaya. Bak kata pepatah, sehari selembar benang,
lama-lama menjadi kain.

Dalam masa yang sama, menjadikan warisan seni budaya sebagai salah satu subjek wajib
dalam pendidikan di peringkat sekolah rendah atau menengah pasti dapat melestarikannya.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Persis peribahasa Melayu tersebut, antara cara terbaik
untuk menyemai minat seseorang terhadap sesuatu perkara adalah melalui pendidikan di
peringkat awal. Umum sedia maklum mata pelajaran seni sudah pun dilaksanakan di sekolah
namun ia perlu ditambah baik dengan lebih banyak pengisian mengenai kesenian dan
persembahan masyarakat kita. Wujudkan satu bulan atau minggu penghargaan kesenian dan
budaya di peringkat kebangsaan agar pelajar dapat menyertai aktiviti-aktiviti yang berkaitan
untuk mempelajari dan memahaminya. Dengan pengalaman menyertai aktiviti kesenian atau
budaya, mereka akan lebih menghargai dan tersemat dalam hati mereka sifat cinta akan
warisan datuk dan nenek moyang mereka.

Isi 3 Usaha lain yang wajar untuk diaksanakan adalah dengan memelihara kesenian dan
budaya yang masih ada ketika ini. Sebagai contoh, pementasan wayang kulit dan tarian-tarian
semakin kurang mendapat undangan atau sambutan. Pihak berkuasa yang banyak
menganjurkan aktiviti kemasyarakatan wajar memberi peluang kepada penggiat kesenian tanah
air untuk mempersembahkan seni mereka kepada orang ramai. Selain itu, penubuhan institusi
seperti Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Sekolah Seni di
seluruh negara pasti dapat menghasilkan generasi muda yang bakal menyambung legasi
penggiat terdahulu. Usaha ini mustahak kerana kebanyakan penggiat yang duduk di luar
bandar tidak mempunyai pengganti akibat kurang minat atau tekanan ekonomi. Sekiranya pihak
berkuasa mempunyai kehendak untuk membela penggiat seni ini pasti isu legasi tidak menjadi
masalah kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Isi 4 Akhir sekali, cara yang paling berkesan untuk mengekalkan sesuatu perkara daripada
kemusnahan adalah dengan memberikan insentif yang secukupnya kepada penggiat warisan
seni dan budaya. Polemik ini telah lama berlaku dalam kalangan masyarakat kita tetapi tiada
pihak yang jujur untuk berusaha menyelesaikannya. Jika kita lihat, setiap tahun pasti ada
bajet-bajet besar yang disalurkan untuk pembangunan negara. Kita tidak akan berasa rugi
sekiranya peruntukkan tersebut disalurkan kepada penggiat seni dan budaya dalam corak yang
konsisten. Perkara ini bukan sahaja dapat memastikan kebajikan mereka terjamin malah
memberikan mereka ruang untuk mengekspresi persembahan dan seni kreatif mereka dengan
lebih baik. Contohnya, dengan bantuan kewangan yang banyak, penggiat seni dapat menyertai
konvensyen kebudayaan dan kesenian di peringkat antarabangsa untuk mempersembahkan
warisan yang kita miliki. Intihannya, dengan insentif dan pengurusan yang baik, pasti seni dan
budaya kita dapat dilestarika semula.

Penutup
Konklusinya, pelbagai usaha melestarikan seni dan budaya dapat dijayakan sekiranya setiap
pihak bersepakat mencapai objektif yang sama. Dengan iltizam dan matlamat yang betul, usaha
ini pasti dapat melestarikan semula apa yang semakin pupus dalam jati diri rakyat di Malaysia.
Elakkanlah daripada melaukan perkara sekerat jalan ibarat hangat-hangat tahi ayam. Kelak
yang rugi adalah kita dan generasi akan datang yang tidak mengenal asal dan usul mereka
kerana telah dikaburi dengan elemen kebudayaan dari negara asing. Kesannya generasi akan
datang tidak menghargai apa yang mereka lihat di negara mereka sebaiknya mengagungkan
budaya asing dan bakal memusnahkan identiti bangsa dan negara kita. Semoga berbekalkan
semangat patriotisme yang kita miliki pada hari ini dapat menjadi pegangan untuk kita
mengekalkan seni dan budaya masyarakat kita.

kepentingan warisan budaya

Kini, warisan budaya tradisional menghadapi ancaman kepupusan. Budaya tradisional


mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian,
makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat
pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti
tersendiri.

Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita


melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, pakaian tradisional pelbagai kaum
yang unik dan berwarna-warni. Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi da pekerti
masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan mengadakan
rumah terbuka pada hari kebesaran menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap
mesra. Banyak orang asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada
hari kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran
menunjukkan kemesraan sesama kaum. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh dunia luar
dan identiti ini perlu dikekalkan.

Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara. Rakyat majmuk kita kaya dengan
nilai tradisional yang murni. Misalnya, kunjung- mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka
pada hari kebesaran. Rakyat kita tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam turut
merayakan bersama-sama. Jiran tetangga dan sahabat handai saling mengunjungi. Kuih- muih
bertukar pinggan. Kita saling menerima dan memberi. Ucapan “Selamat Hari Raya”, “Gong Xi
Fa Cai” dan “Selamat Deepavali” keluar dari jiwa yang penuh keikhlasan. Semangat kekitaan ini
akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan.

Salah satu tarikan pelancongan ialah budaya kita. Sebenarnya, keindahan pantai, landskap dan
hutan Malaysia juga dapat ditemukan di kebanyakan tempat, misalnya di Indonesia dan di
Negara Thai. Yang unik ialah budaya tradisional kita, misalnya persembahan teater tradisional
seperti bangsawan dan makyung dan tarian seperti kuda kepang dan gawai. Banyak pelancong
mengunjungi Malaysia kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan kita. Ada yang
tinggal bersama-sama kita dikampung untuk merasai kehidupan kita. Tidak kurang pula yang
merakamkan perkahwinan mereka mengikut adat resam Melayu. Jadi, budaya penting untuk
mengembangkan pelancongan.

Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita
mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar
tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar. Misalnya,
tarian Portugis mengingatkan kita tentang kedatangan Portugis. Bangsawan yang banyak
menceritakan tentang Kesultanan Melaka dan kejatuhannya juga mendatangkan pengajaran.
Budaya kita yang murni juga merupakan benteng budaya. Dengan ini, rakyat kita tidak
dihanyutkan oleh budaya Barat. Yang ada pada hari ini berpunca daripada yang silam. Jadi
generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.

Untuk mengembangkan budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan
budaya negara. Kita boleh menganjurkan kempen, ceramah, wawancara serta pameran untuk
menghidupkan warisan budaya. Dengan ini, rakyat kita akan lebih memahami budaya sendiri.
Usaha kita menerapkan seni bina Melayu pada bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC), Muzium Negara, Bank Muamalat, dan bangunan lain perlu diperluas. Kemasukan
budaya asing yang mampu menggugat kedudukan tradisi dan identiti negara juga perlu disekat.
Tempat dan bangunan bersejarah perlulah dikekalkan dan dipulihkan. Dengan ini, warisan
budaya dapat diikuti dan dilihat sepanjang masa.

Warisan tradisional kita boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan
makyung, wayang kulit, zapin, dan sebagainya boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya.
Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan budaya tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di
sekolah. Pertandingan berbalas pantun clan tarian tradisional akan mengembangkan budaya
ini. Usaha ini memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan
ini, budaya kita akan terus berkembang. Persembahan ini juga akan membolehkan orang ramai
mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, seni jiwa bangsa dapat dihayati kerana “tak
kenaI maka tak cinta”.

Di samping itu, pameran artifak atau sejarah kebudayaan warisan pelbagai kaum di Malaysia
haruslah digalakkan. Kini pengaruh media massa menyebabkan budaya tradisional kita kian
dilupai. Sehubungan dengan itu, media massa tempatan perlu menyiarkan budaya kita dengan
lebih kerap dan meluas. Misalnya, pameran kebudayaan tradisional boleh diadakan melalui
Pesta Malaysia, Pesta Negeri, Muzium Negeri, dan sebagainya. Pihak media massa juga
digalakkan mengadakan sudut seni budaya. Akhbar Berita Harian, yang merencanakan sudut
budaya tentang masakan, pakaian, hiasan, kepercayaan, petua kesihatan, dan sebagainya,
harus dipuji. Sudut budaya juga boleh dimasukkan dalam rancangan khas televisyen seperti
“Malaysia Hari lni” dan “Selamat Pagi Malaysia”.

Kesimpulannya, janganlah kita biarkan kebudayaan kita hanya dapat ditonton di muzium, bak
pepatah yang berbunyi “biar mati anak,jangan mati adat”. Oleh itu, usaha memupuk dan
memelihara budaya ini tidak seharusnya dipandang enteng. Marilah kita bersama-sama
memeliharanya supaya terus subur meredah zaman, tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek
hujan.

Langkah-Langkah untuk Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Pada era “dotcom” pasca-2020, pembangunan fizikal menjadi penanda aras kemajuan
sesebuah negara. Kegilaan membina bangunan tertinggi menjadi matlamat sesebuah negara
agar nama negara gah di persada dunia. Namun, semua kegilaan tersebut telah menyebabkan
bangunan bersejarah tersembunyi di sebalik bangunan yang gah. Oleh itu, kerajaan telah
mengorak langkah untuk mengekalkan bangunan bersejarah ini demi memastikan bangunan
tersebut dapat dilihat oleh generasi akan datang. Persoalan yang bermain di benak fikiran dan
di dalam hati ini ialah apakah langkah yang dapat diambil untuk mengekalkan bangunan
bersejarah tersebut?

Langkah awal yang telah diambil oleh kerajaan adalah dengan mewartakan bangunan
bersejarah sebagai satu warisan negara yang perlu dipelihara. Hal ini dikatakan demikian
kerana kebanyakan bangunan bersejarah tidak diurus dengan baik lalu menyebabkan
bangunan bersejarah mengalami kerosakan teruk dan sukar dibaiki. Hanya beberapa bangunan
sahaja yang mendapat perhatian kerajaan seperti bangunan Sultan Abdul Samad. Keadaan ini
menyebabkan bangunan bersejarah yang berada di kawasan pedalaman telah mengalami
kerosakan yang semakin sukar untuk dipulihara. Oleh itu, kerajaan hendaklah membuat
pemantauan dan pemeriksaan berkala pada setiap bangunan bersejarah agar bangunan
tersebut utuh dan teguh untuk tatapan generasi akan datang.
Langkah seterusnya yang wajar diberi perhatian oleh kerajaan adalah dengan memberi
peruntukan khas bagi memelihara dan memulihara bangunan bersejarah. Sebagai contoh,
kerajaan telah mengeluarkan peruntukan untuk membaik pulih bangunan bersejarah yang
terdapat di seluruh negara. Malah kerajaan juga boleh menawarkan kerja-kerja baik pulih
kepada syarikat korporat atau syarikat konglomerat yang sudi melakukan Tanggungjawab
Sosial Korporat. Dengan cara ini kerajaan dapat menjimatkan wang seterusnya memberi
tanggungjawab kepada pihak swasta membantu kerajaan mengekalkan bangunan bersejarah.
Jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja kerajaan malah pihak swasta turut bertanggungjawab
dalam usaha murni ini.

Pada masa yang sama, kerja-kerja pengindahan kawasan persekitaran bangunan bersejarah
akan menjadikan bangunan bersejarah lebih segar, ceria dan hidup. Malah penyediaan
kemudahan asas di bangunan bersejarah akan memudahkan lagi pengunjung yang datang ke
bangunan tersebut. Tindakan ini akan menyebabkan bangunan bersejarah sentiasa dikunjungi
pelancong. Dengan cara itu, bangunan bersejarah tidaklah hanya menjadi bangunan yang sepi
tanpa kunjungan pelancong. Secara tidak langsung, bangunan bersejarah akan mendapat
perhatian daripada peminat sejarah negara. Tegasnya, pembaharuan dalam bangunan
bersejarah akan dapat mengekalkan bangunan bersejarah.

Tidak dinafikan bahawa bangunan bersejarah dapat dikekalkan dengan penglibatan daripada
semua agensi kerajaan terutama yang berkaitan dengan kerja penyelidikan dan pembangunan.
Usaha ini dilihat dengan kerjasama daripada Jabatan Arkitek Malaysia dan Jabatan Kerja Raya
yang sentiasa memantau usaha-usaha mengekalkan bangunan bersejarah. Hal ini bertujuan
agar bangunan bersejarah sentiasa dipelihara dan dipulihara demi mengekalkan bangunan
bersejarah. Bukan itu sahaja, kerjasama erat antara universiti yang menjalankan penyelidikan
dan kajian akan dapat mendokumentasikan semua maklumat bangunan bersejarah sebagai
sebuah dokumen rasmi yang akan menjadi rujukan kepada ahli sejarah. Secara tidak langsung
usaha ini akan dapat menjadi bukti tentang sejarah negara.

Secara intihanya, kewujudan bangunan bersejarah menjadi satu monumen yang dapat menjadi
bukti kepada generasi masa ini tentang sejarah masa lalu. Oleh itu, kerajaan hendaklah terus
memastikan bangunan bersejarah terus kekal menjadi bukti yang menjadi kebanggaan rakyat
Malaysia sebagai sebuah monumen agung yang melambangkan identiti negara.

Anda mungkin juga menyukai