Anda di halaman 1dari 4

Di sini lahirnya sebuah cinta

Yang murni abadi sejati


Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan

Ku ingin kotakan seribu janji


Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan

Rangkap pertama dan terakhir lirik lagu Warisan yang dinyanyikan oleh penyayi
tersohor negara, Allahyarham Sudiman bin Haji Arshad telah mempotretkan kita
sebagai penyambung warisan negara. Malaysia merupakan sebuah nagara tercinta
dikenali dengan tiga kaum utama iaitu, Melayu, Cina, India dan etnik-etnik yang kecil
bilangannya seperti Kadazandusun, Bidayuh dan Melanau yang kebanyakannya
tinggal di Sabah dan Sarawak. Keadaan ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara
ditinggal oleh masyarakat yang bersikap toleransi kerana negara kita yang unik
dengan diversitinya dari segi agama, budaya, bangsa, tradisi, adat resam, cara hidup
dan sebagainya. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang di gawang minda
saya adalah berapa ramaikah orang yang mengenali dan menghargai budaya warisan
kaum mereka? Tepuk dada tanya selera. Warisan bangsa Malaysia seolah-olah telah
dianaktirikan oleh penduduknya sendiri. Budaya warisan kaum melambangkan identiti
negara, amalan budaya pula melambangkan sifat majmuk masyarakat. Sebagai
rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita telah mengalir deras warisan daripada
nenek moyang kita. Generasi kini pula telah diamanahkan untuk menyumbang tenaga
dalam mengekalkan budaya warisan kaum agar terus subur meredah zaman. Menteri
Pelancongan dan Kebudayaan malaysia, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz juga menyeru
anak-anak belasan tahun agar menyedari kepentingan mengekalkan budaya warisan
kaum tersendiri untuk pengetahuan generasi seterusnya. Maka, persoalan yang
menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci sehingga
ke arah umbi demi kebaikan kita bersama. Marilah kita lapangkan jiwa dan minda
untuk mengetahui kepentingan melestarikan budaya warisan kaum di Malaysia.

Umum mengetahui bahawa pengekalan budaya warisan kaum merupakan


kesinambungan tamadun. Tamadun bangsa dilihat pada warisan seni budaya dan
harus dikekalkan sebagai identiti kaum. Contohnya seperti keunikan pakaian pelbagai
kaum yang mempunyai pelbagai bentuk dan cara pemakaian yang berwarna-warni.
Pemuda-pemudi wajib mengetahui asal usul dan tidak melupakan daratan nenek
moyang. Generasi muda sekarang patutlah mengamalkan nilai kerajinan dengan
berusaha mengekalkan budaya dan adat resam kaum sendiri. Ketekunan dan
dedikasi amat diperlukan oleh golongan belia dalam mewarisi budaya dan adat resam
supaya tidak menghilangkan identiti diri. Kita wajar mengambil iktibar daripada tarian
Portugis yang mengimbas silam tentang kedatangan orang Portugis yang menjajah
tanah air kita. Kejatuhan Sultan Melaka pula memberi pengajaran kepada kita agar
menjadikan budaya sendiri sebagai benteng agar tidak hanyut dengan budaya Barat
dan tidak terikut-ikut. Masyarakat kini berperanan penting dalam membentuk jati diri
bangsa malaysia dengan mengamalkan warisan kaum ini dalam kehidupan seharian.
Misalnya, amalan tersebut boleh dilihat semasa perayaan agama, perkahwinan dan
budaya setiap kaum. Perayaan Tahun Baru Cina mengumpulkan setiap ahli keluarga
untuk makan bersama-sama sehari sebelum perayaan tersebut untuk mengeratkan
hubungan antara anggota keluarga. Hari Deepavali pula mengalu-alukan kedatangan
Dewi Lakshmi dengan menghia kolam di remah masyarakat India masing-masing.
Perayaan sebegini disambut dengan meriah dan gembira sekali oleh kaum tersendiri
dan menggambarkan keperibadian utuh mereka. Yang ada pada hari ini, kesemuanya
berpunca daripada yang silam, oleh hal yang demikian, pemuda-pemudi
bertanggungjawab mengenali asal usul kaum untuk membentuk jati diri yang kukuh.
Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa budaya warisan
kaum penting dikekalkan untuk kesinambungan tamadun pelbagai kaum.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa senario tersebut dapat juga dikaitkan
dengan kelebihan seterusnya, iaitu memelihara dan memulihara budaya warisan
kaum. Pengekalan monumen, arca dan bangunan bersejarah tinggalan penjajah telah
menggarap hati para pelancong. Ukiran seni yang bertemakan flora dan fauna atau
bentuk geometri telah menyerlahkan kecantikan dan keunikan bangunan usang yang
telah wujud berdekad-dekad tahun dahulu. Dalam konteks memelihara dan
memulihara warisan kaum, pengisytiharan yang pertama pernah diadakan di parlimen
dengan mengisytiharkan 50 butiran warisan yang diangkat menjadi Warisan
Kebangsaan pada tahun 2007 bersempena dengan 50 tahun kemerdekaan Malaysia.
Senarai tersebut terdiri daripada butiran yang disebut dalam Akta Warisan
Kebangsaan 2005. Kewujudan daftar berkenaan membuktikan negara kita
memberikan penekanan terhadap setiap warisan kaum. Dengan kepimpinan Agensi
Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW)
iaitu Jabatan Warisan Negara (JWN) berfungsi secara dinamiknya menggembleng
kudrat ke arah memartabatkan warisan kebudayaan negara. Dari segi pengiktirafan
Warisan Antarabangsa, Malaysia berjaya menyenaraikan dua tapak warisan dunia di
bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu (UNESCO) melalui Bandar Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang.
Pelbagai jenis makanan kegemaran rakyat Malaysia juga dapat diketengahkan. Hal
ini demikian kerana setiap kaum mewarisi makanan tradisi secara turun-temurun dan
perlu subur walaupun terdedah kepada makanan barat. Sebanyak 100 makanan
tradisional pelbagai kaum turut tercatat sebagai Masakan Warisan Kebangsaan pada
tahun 2009 yang merangkumi nasi dagang, roti canai, nasi kerabu dan sebagainya.
Masyarakat haruslah mempraktikkan nilai bertanggungjawab dalam melestarikan
budaya dan adat resam negara kita. Semua rakyat patutlah memikul kewajipan serta
melaksanakannya dengan tidak melakukan perbuatan yang akan memusnahkan atau
mengotorkan bangunan warisan budaya negara dan meluangkan masa dalam
mempelajari budaya dan adat resam yang diwarisi sejak lama dahulu. Dengan berbuat
demikian, ternyatalah bahawa mengekalkan budaya warisan kaum amat vital dalam
memelihara dan memulihara budaya warisan kaum.

Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa kepentingan lain yang agak jelas adalah
menjana ekonomi negara. Keadaan ini dapat dibuktikan dengan kemasukan
pelancong asing yang meningkat dari setahun ke setahun. Hal ini demikian kerana
daya tarikan keistimewaan negara yang dapat memaut hati para pelancong. Sebagai
analoginya, persembahan teater tradisional seperti Mak Yong, Tarian Kuda kepang
dan Tarian Gawai mendapat kunjungan para pelancong yang ingin mendekati corak
hidup masyarakat kita. Sebahagian daripada mereka pula tinggal bersama-sama
dengan orang kampung untuk merasai kehidupan dan menghayati kekayaan warisan
kaum. Pengamalan ini amat istimewa bagi merek kerana jauh berbeza dari kehidupan
mereka di metropolis yang serba moden. Tempat-tempat beribadat negara juga
membuka mata dan minda para pelancong dengan bangunan yang berwarna-warni
dan berskala besar. Perayaan agama yang disambut dengan meriah sekali
melibatkan para pelancong untuk turut serta. Program Rumah Terbuka yang dilakukan
secara tahunan melalui perayaan utama kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan
India pula memberi peluang kepada pelancong asing untuk menyambut perayaan
bersama-sama dan merasai keenakan makanan tempatan setiap kaum yang dimasak
dengan kerjasama semua penduduk. Mereka menlahirkan rasa kagum dengan
program tersebut yang tidak dapat diperoleh di negara lain. Para pelancong juga akan
membeli kraftangan tempatan sebagai cenderamata untuk dibawa pulang. Bertitik
tolak daripada itu, mereka membantu mempromosikan negara kita kepada mata dunia
untuk menarik kedatangan pelancong lain. Masyarakat sepatutnya menerapkan nilai
rasional untuk mengekalkan budaya dan adat resam negara Malaysia. Rakyat boleh
berfikir tentang kesan positif yang tidak dapat dikira kerana terlalu banyak kepentingan
yang dapat kita perolehi melalui berbagai-bagai budaya dan adat resam kaum negara
kita. Kita hendak bertindak wajar dengan berusaha mengawal keadaan dengan
memperkenalkan budaya dan adat resam kaum supaya budaya negara kita tidak akan
semakin diabaikan dan dilupakan. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta.
Hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa budaya warisan kaum amat penting
dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan kelebihan
seterusnya, iaitu memperkenalkan dan mewariskan budaya kepada generasi akan
datang. Warisan kaum yang diwariskan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi
merupakan khazanah yang tidak ternilai. Sekiranya warisan tersebut pupus, maka
generasi yang akan datang hanya mampu melihatnya di muzium sahaja, bak kata
pepatah “biar mati anak, jangan mati adat”. Masyarakat berperanan penting dalam
memperkenalkan warisan kaum kepada generasi muda sejak dari rebungnya lagi. Ibu
bapa boleh mengajar anak-anak tentang pakaian tradisi, makanan, permainan
tradisional, adat resam, pantang larang supaya mereka mendisiplinkan diri dan
mengenali asal usul. Anak-anak harus memartabatkan warisan yang melambangkan
keperibadian mereka dengan mengamalkan nilai megekalkan tradisi kekeluargaan.
Generasi muda haruslah menerima, menghormati serta rajin melaksanakan budaya,
adat atau kepercayaan yang diwarisi turun-menurun supaya golongan pada masa
akan datang dapat menikmati, mempelajari dan mewariskan adat atau budaya
tersebut. Misalnya, generasi muda dapat memahami betapa tingginya nilai hati budi
dan tahap pemikiran nenek moyang dalam penciptaan permainan tradisional yang
pelbagai seperti congkak, batu seremban, selambut, galah panjang dan sebagainya.
Pakaian tradisional pula menyerlahkan kehalusan seni jahitan yang berwarna-warni.
Pantang larang yang dikemukakan pula menjadi tunjang kehidupan dan pedoman
agar mempunyai jati diri yang teguh dan menyumbang idea dalam menangkis anasir
jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga. Generasi muda juga
mampu menghayati seni gerak kreatif seperti wayang kulit, zapin dan kompang kadaro
yang dijalankan melalui Rakan Seni Budaya, Semarak Budaya dan Program Kembara
Budaya. Permainan tradisional seperti sepak raga juga telah diketengahkan menjadi
salah satu acara yang dipertandingkan dalam sukan antarabangsa. Melalui
pemahaman dan penghayatan keunikan budaya warisan kaum ini, generasi muda
dapat didedahkan dan memikul tanggungjawab dalam mengekalkan warisan kaum.

Suatu hakikat yang wajar diterima ialah budaya warisan kaum mampu memupuk
semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Setiap kaum mempunyai warisan dan
kepercayaan yang amat berbeza. Hal ini mampu mendatangkan pertelingkahan dan
perselisihan faham yang tidak diingini. Masyarakat dapat memprakitikkan nilai
toleransi apabila ingin mengekalkan budaya dan adat resam kaum yang berpelbagai.
Oleh sebab itulah, masyarakat perlulah bersifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan
menghormati antara satu sama lain agar dapat menjamin keharmonian dan
kesejahteraan sejagat. Perpaduan dapat dicapai semasa perayaan kaum yang
membolehkan masyarakat meraikannya bersama-sama, bertukar kuih-muih dan
mengucap selamat antara satu sama lain. Jiran tetangga yang mengunjungi dapat
mengetahui cara hidup, budaya, tradisi dan adat resam semasa perayaan sedang
dijalankan dan sejarah di sebaliknya. Permainan tradisional seperti wau, congkak dan
gasing juga mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat kerana bersaing
dengan sihat. Pihak sekolah juga boleh mengambil inisiatif dengan mengadakan Hari
Warisan yang menghendaki para pelajar untuk memakai pakaian tradisional
sepanjang aktiviti tersebut dijalankan dan jamuan makanan tradisional disediakan.
Persembahan tarian tradisional boleh dilakukan untuk hiburan dan memperkenalkan
tarian kaum masing-masing. Sebelum tiram memuntahkan mutiaranya, moleklah
digilap dan dijaga dengan baik agar dapat sinar dengan cahaya bergemerlapan.
Oleh sebab itu, anak-anak muda yang masih berumur setahun jagung dan darah
setampuk pinang mampu memupuk melalui budaya warisan kaum. Seperti yang kita
sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa budaya warisan kaum penting
dalam memupuk semangat patriotik masyarakat.

Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, sememangnya diakui bahawa saya


sedar bahawa terdapat banyak kepentingan mengekalkan budaya warisan kaum di
Malaysia. Sebelum tiram memuntahkan mutiaranya, moleklah digilap dan dijaga
dengan baik agar dapat sinar dengan cahaya bergemerlapan. Dengan berbuat
demikian, Malaysia dapat melahirkan benih yang baik dan modal insan yang berguna
pada masa hadapan yang menghargai budaya warisan kaum masing-masing. Tokoh
pujangga ada menyatakan bahawa jika benih yang baik dilantar ke udara menjadi
kejora, dibaling ke laut menjadi pulau dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Oleh sebab itu, janganlah kita sesekali menjadi seperti kacang yang lupakan
kulit kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kita
perlulah insaf akan perbuatan kita yang mengabaikan budaya dan adat resam kaum
negara kita pada masa yang lalu. Pihak kerajaan juga mendapat iktibar bahawa
merekalah memainkan peranan yang penting dalam melestarikan budaya warisan
kaum dengan memperoleh simpanan dan memelihara khazanah warisan negara;
mengawasi, memelihara dan memulihara pelbagai jenis warisan; mementaskan seni
persembahan; membangunkan industri perfileman negara; serta merancang,
mengendali dan menyelenggara pameran tetap dan sementara untuk menyebarkan
ilmu pengetahuan tentang warisan sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi Negara.
Setiap individu juga perlulah mengubah sikap sendiri supaya bergiat secara proaktif
dengan melibatkan diri dalam aktiviti warisan budaya dan mempromosikan, melatih,
membangunkan dan mengekalkan budaya warisan kaum ini. Justeru, biarlah matahari
terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gemilang
dengan masyarakat yang berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam
mengekalkan budaya warisan kaum kita yang amat istimewa ini.

Anda mungkin juga menyukai