Anda di halaman 1dari 6

Usaha Melestarikan Warisan Seni Budaya

Mutakhir ini, masyarakat kita lebih gemar menikmati hiburan daripada negara asing
seperti Amerika dan Korea Selatan. Hal ini kerana kuasa pemasaran dan gelombang
peminat yang kuat telah menyebabkan ramai di antara ahli masyarakat kita turut
sama berkongsi minat melihat atau menikmati hiburan daripada negara asing. Jika
ditelusuri pada zaman nenek dan moyang kita, cara hiburan mereka adalah dengan
melihat persembahan tari-menari atau wayang kulit di kawasan pantai timur
khususnya. Semakin hari semakin ia dilupakan oleh generasi pada hari ini kerana ia
kelihatan tidak relevan dan ketinggalan zaman. Oleh itu, kita seharusnya mengubah
pandangan sarwa ini supaya peninggalan datuk dan nenek kita tidak tenggelam dek
zaman. Pihak-pihak berkuasa seperti pemimpin negara hendaklah mencai satu
mekanisme sebagai usaha mengekalkan seni budaya demi generasi masa hadapan
negara.

Langkah pertama yang perlu dilaksanakan bagi melestarikan warisan seni dan
budaya dalam masyarakat pada hari ini adalah menggunakan platform media massa
untuk membuka kembali mata masyarakat yang hilang dibawa arus hiburan negara
asing. Usaha ini dilihat sukar kerana kebebasan sosial media yang menjadi asbab
masyarakat kita mengeksplorasi hiburan atau seni budaya asing untuk tontonan
masing-masing. Maka, pihak berkuasa wajar mengambil kesempatan yang sama
untuk menyajikan filem, drama, sketsa malah iklan berkaitan dengan seni dan
budaya masyarakat kita di seluruh media massa. Stesen televisyen yang
menjalankan operasi mereka mengejar rating hendaklah diseimbangkan dengan
usaha melestarikan seni dan budaya yang kita miliki. Rancangan atau kandungan
yang menyemai unsur-unsur budaya seperti filem Puteri Gunung Ledang wajar
diterbitkan dengan lebih banyak agar menyemai minat masyarakat terhadap seni
dan budaya. Bak kata pepatah, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.

Dalam masa yang sama, menjadikan warisan seni budaya sebagai salah satu
subjek wajib dalam pendidikan di peringkat sekolah rendah atau menengah pasti
dapat melestarikannya. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Persis peribahasa
Melayu tersebut, antara cara terbaik untuk menyemai minat seseorang terhadap
sesuatu perkara adalah melalui pendidikan di peringkat awal. Umum sedia maklum
mata pelajaran seni sudah pun dilaksanakan di sekolah namun ia perlu ditambah
baik dengan lebih banyak pengisian mengenai kesenian dan persembahan
masyarakat kita. Wujudkan satu bulan atau minggu penghargaan kesenian dan
budaya di peringkat kebangsaan agar pelajar dapat menyertai aktiviti-aktiviti yang
berkaitan untuk mempelajari dan memahaminya. Dengan pengalaman menyertai
aktiviti kesenian atau budaya, mereka akan lebih menghargai dan tersemat dalam
hati mereka sifat cinta akan warisan datuk dan nenek moyang mereka.

Usaha lain yang wajar untuk diaksanakan adalah dengan memelihara kesenian dan
budaya yang masih ada ketika ini. Sebagai contoh, pementasan wayang kulit dan
tarian-tarian semakin kurang mendapat undangan atau sambutan. Pihak berkuasa
yang banyak menganjurkan aktiviti kemasyarakatan wajar memberi peluang kepada
penggiat kesenian tanah air untuk mempersembahkan seni mereka kepada orang
ramai. Selain itu, penubuhan institusi seperti Akademi Seni Budaya Dan Warisan
Kebangsaan (ASWARA) dan Sekolah Seni di seluruh negara pasti dapat
menghasilkan generasi muda yang bakal menyambung legasi penggiat terdahulu.
Usaha ini mustahak kerana kebanyakan penggiat yang duduk di luar bandar tidak
mempunyai pengganti akibat kurang minat atau tekanan ekonomi. Sekiranya pihak
berkuasa mempunyai kehendak untuk membela penggiat seni ini pasti isu legasi
tidak menjadi masalah kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Akhir sekali, cara yang paling berkesan untuk mengekalkan sesuatu perkara
daripada kemusnahan adalah dengan memberikan insentif yang secukupnya
kepada penggiat warisan seni dan budaya. Polemik ini telah lama berlaku dalam
kalangan masyarakat kita tetapi tiada pihak yang jujur untuk berusaha
menyelesaikannya. Jika kita lihat, setiap tahun pasti ada bajet-bajet besar yang
disalurkan untuk pembangunan negara. Kita tidak akan berasa rugi sekiranya
peruntukkan tersebut disalurkan kepada penggiat seni dan budaya dalam corak
yang konsisten. Perkara ini bukan sahaja dapat memastikan kebajikan mereka
terjamin malah memberikan mereka ruang untuk mengekspresi persembahan dan
seni kreatif mereka dengan lebih baik. Contohnya, dengan bantuan kewangan yang
banyak, penggiat seni dapat menyertai konvensyen kebudayaan dan kesenian di
peringkat antarabangsa untuk mempersembahkan warisan yang kita miliki.
Intihannya, dengan insentif dan pengurusan yang baik, pasti seni dan budaya kita
dapat dilestarika semula.

Konklusinya, pelbagai usaha melestarikan seni dan budaya dapat dijayakan


sekiranya setiap pihak bersepakat mencapai objektif yang sama. Dengan iltizam dan
matlamat yang betul, usaha ini pasti dapat melestarikan semula apa yang semakin
pupus dalam jati diri rakyat di Malaysia. Elakkanlah daripada melaukan perkara
sekerat jalan ibarat hangat-hangat tahi ayam. Kelak yang rugi adalah kita dan
generasi akan datang yang tidak mengenal asal dan usul mereka kerana telah
dikaburi dengan elemen kebudayaan dari negara asing. Kesannya generasi akan
datang tidak menghargai apa yang mereka lihat di negara mereka sebaiknya
mengagungkan budaya asing dan bakal memusnahkan identiti bangsa dan negara
kita. Semoga berbekalkan semangat patriotisme yang kita miliki pada hari ini dapat
menjadi pegangan untuk kita mengekalkan seni dan budaya masyarakat kita.
Kepentingan Makanan Tradisional dalam Pembangunan Negara.
Malaysia terkenal dengan nama timangannya, yakni ‘syurga makanan’ di nusantara. Baik
penduduk Malaysia mahupun pelancong asing yang berdarmawisata ke Malaysia
semestinya akan rambang mata dengan kepelbagaian juadah khususnya makanan
tradisional yang ditawarkan di negara kita. Keunikan dan keenakan makanan tradisional
yang dapat kita nikmati sememangnya tiada tolok bandingannya dengan makanan-makanan
yang bertaraf antarabangsa. Sebenarnya, makanan tradisional masyarakat majmuk di
negara kita seperti sate, mi rebus, masalode, kuetiau goreng, roti canai, lemang, ketupat,
nasi beriani dan sebagainya berdaya upaya untuk memacukan pembangunan bangsa dan
negara.

Pertama-tama, industri makanan tradisional dapat melahirkan modal insan yang


berjati diri kebangsaan dan patriotik. Hal ini sedemikian kerana makanan tradisional penting
dalam meneruskan adat serta warisan budaya yang diwarisi secara turun-temurun oleh
nenek moyang masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks masyarakat Malaysia,
makanan tradisional merupakan elemen yang penting untuk melambangkan identiti dan
keunikan sesuatu budaya dan bangsa. Oleh itu, jikalau anak muda di Malaysia sedar akan
keunikan dan keistimewaan budaya masing-masing, maka tidak akan berlakunya kehilangan
dan kepupusan budaya serta adat tradisi masyarakat berbilang kaum dalam kalangan anak
muda yang lebih dikenali sebagai ‘Generasi Y’ bak kata peribahasa Melayu “biar mati anak,
jangan mati adat”.

Selain itu, makanan tradisional tempatan juga membantu untuk memajukan industri
pelancongan di dalam negara kita. Makanan tradisional seperti sate, roti canai dan nasi
ayam Hainan dapat menggamit pelancong untuk datang berkunjung selain menghayati
keindahan landskap Malaysia kerana cita rasa Malaysia yang istimewa dan berlainan
daripada makanan-makanan di negara asing semestinya dapat menarik perhatian dan
membuka selera para pelancong baik pelawat asing mahupun pelancong tempatan.
Malahan, terdapat sesetengah pelancong yang melawat ke Malaysia semata-mata adalah
untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan tradisional yang kaya dengan pelbagai
resipi dan rempah-ratus. “Sudah terang lagi bersuluh”, makanan tradisional berperanan
penting dalam usaha menarik pelancong untuk melawat ke negara kita selain pelancaran
Kempen Melawat Malaysia 2014 baru-baru ini.

Di samping itu, makanan tradisional juga mampu untuk menaiktarafkan kehidupan


masyarakat khususnya penduduk luar bandar. Makanan tradisional seperti keropok lekor,
budu dan kerepek pisang memainkan peranan yang amat penting dalam memajukan
industri kecil-kecilan di perkampungan desa. Sebagai contoh, pihak kerajaan telah
memperkenalkan “Industri Kecil dan Sederhana”(IKS) di beberapa negeri seperti Kelantan,
Perak dan Terengganu yang bertujuan untuk merancakkan hub industri pemakanan
tradisional sebagai input dan penjana ekonomi utama penduduk kampung dan sekitarnya.
Hasilnya, penduduk luar bandar tidak semata-mata menjalankan ekonomi sara diri secara
tradisional seperti menanam padi dan menangkap ikan untuk menyara hidup keluarga
tetapi juga berkeupayaan untuk mendirikan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional
secara kecil-kecilan sebelum dipasarkan atas bantuan modal dan teknologi oleh pihak
kerajaan.

Seterusnya, infrastruktur dan prasarana di kawasan pinggir bandar dapat


dibangunkan atas penubuhan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional yang kian
berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini berlaku demikian kerana
pembukaan dan penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya dan kemudahan-
kemudahan awam yang lain dapat memangkin dan menjana sumber pendapatan rakyat
tempatan lebih-lebih lagi hasil makanan tradisional di desa perkampungan dapat
dipasarkan di bandar-bandar besar di seluruh pelosok negara melalui kecekapan sistem
pengangkutan dan pemasaran. Tambahan pula, peluang pekerjaan yang banyak dapat
diwujudkan hasil daripada pembinaan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional sekali
gus menggalakkan penghijrahan penduduk bak kata peribahasa Melayu “di mana ada gula,
di situ ada semutnya”. Kesannya, desa akan mengalami proses transformasi sehingga
menjadi bandar-bandar besar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti
kemudahan Internet dan perkhidmatan monorel, LRT dan ETS.

Industri makanan tradisional turut menjada pendapatan rakyat dan negara. Hal ini
sedemikian kerana makanan tradisional diproses dan dibungkus sebelum dieksport ke luar
negara. Usaha proaktif ini dapat membawa pulangan yang lumayan sekali gus
menambahkan sumber pendapatan rakyat jelata. Makanan tradisional Malaysia seperti
dodol, kuih bahulu dan kuih kapit turut dapat dipromosikan ke seluruh pelosok dunia dan
mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat antarabangsa. Sambutan
yang hangat daripada masyarakat luar negara bukan sahaja akan memajukan industri
makanan tradisional tempatan bahkan juga berdaya saing untuk menjana pendapatan yang
lumayan kepada rakyat dan negara.

Dari perspektif yang lain pula, industri makanan tradisional juga berkemampuan
untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita yang terdiri
daripada masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan keturunan. Hal ini demikian kerana
makanan tradisional suku kaum tertentu turut dapat diterima dan dinikmati bersama-sama
oleh bangsa-bangsa lain di negara kita. Sebagai contoh, makanan tradisional seperti roti
canai bukan sahaja digemari oleh suku kaum tertentu tetapi juga diminati oleh kaum-kaum
yang lain di negara kita. Mereka dapat duduk semeja untuk menikmati makanan tradisional
tersebut bertemankan secawan teh atau kopi sambil berbual-bual dalam suasana yang
muhibah. Hal yang sedemikian dapat membuka laluan kepada usaha-usaha murni kerajaan
untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat atau masyarakat berbilang kaum
dan agama di negara ini sekali gus memupuk dan mengukuhkan perpaduan sejajar dengan
slogan keramat, yakni perpaduan asas kemajuan.

Tuntasnya, industri makanan tradisional memainkan peranan yang penting dalam


proses pembangunan bangsa dan negara selain merupakan wahana yang efektif untuk
mempromosikan keistimewaan dan keunikan yang dimiliki masyarakat majmuk di negara
kita di pentas antarabangsa. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh sebab itu, semua
pihak termasuklah rakyat jelata haruslah berganding bahu untuk memajukan industri
pemprosesan makanan tradisional sehingga peringkat antarabangsa. Sudah tiba masanya,
rakyat berbilang ras dan agama mengambil tahu, belajar memahami dan menghargai
keunikan dan keistimewaan makanan tradisional masyarakat Malaysia dalam proses
pembangunan.

Anda mungkin juga menyukai