Anda di halaman 1dari 3

Kepentingan Makanan Tradisional dalam Pembangunan

Negara.
Malaysia terkenal dengan nama timangannya, yakni syurga
makanan di nusantara. Baik penduduk Malaysia mahupun
pelancong asing yang berdarmawisata ke Malaysia semestinya akan
rambang mata dengan kepelbagaian juadah khususnya makanan
tradisional yang ditawarkan di negara kita. Keunikan dan keenakan
makanan tradisional yang dapat kita nikmati sememangnya tiada
tolok bandingannya dengan makanan-makanan yang bertaraf
antarabangsa. Sebenarnya, makanan tradisional masyarakat
majmuk di negara kita seperti sate, mi rebus, masalode, kuetiau
goreng, roti canai, lemang, ketupat, nasi beriani dan sebagainya
berdaya upaya untuk memacukan pembangunan bangsa dan
negara.

Pertama-tama, industri makanan tradisional dapat melahirkan


modal insan yang berjati diri kebangsaan dan patriotik. Hal ini
sedemikian kerana makanan tradisional penting dalam meneruskan
adat serta warisan budaya yang diwarisi secara turun-temurun oleh
nenek moyang masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks
masyarakat Malaysia, makanan tradisional merupakan elemen yang
penting untuk melambangkan identiti dan keunikan sesuatu budaya
dan bangsa. Oleh itu, jikalau anak muda di Malaysia sedar akan
keunikan dan keistimewaan budaya masing-masing, maka tidak
akan berlakunya kehilangan dan kepupusan budaya serta adat
tradisi masyarakat berbilang kaum dalam kalangan anak muda yang
lebih dikenali sebagai Generasi Y bak kata peribahasa Melayu biar
mati anak, jangan mati adat.

Selain itu, makanan tradisional tempatan juga membantu untuk


memajukan industri pelancongan di dalam negara kita. Makanan
tradisional seperti sate, roti canai dan nasi ayam Hainan dapat
menggamit pelancong untuk datang berkunjung selain menghayati
keindahan landskap Malaysia kerana cita rasa Malaysia yang
istimewa dan berlainan daripada makanan-makanan di negara asing
semestinya dapat menarik perhatian dan membuka selera para
pelancong baik pelawat asing mahupun pelancong tempatan.
Malahan, terdapat sesetengah pelancong yang melawat ke Malaysia
semata-mata adalah untuk menikmati keenakan dan keunikan
makanan tradisional yang kaya dengan pelbagai resipi dan rempah-
ratus. Sudah terang lagi bersuluh, makanan tradisional
berperanan penting dalam usaha menarik pelancong untuk melawat
ke negara kita selain pelancaran Kempen Melawat Malaysia 2014
baru-baru ini.
Di samping itu, makanan tradisional juga mampu untuk
menaiktarafkan kehidupan masyarakat khususnya penduduk luar
bandar. Makanan tradisional seperti keropok lekor, budu dan
kerepek pisang memainkan peranan yang amat penting dalam
memajukan industri kecil-kecilan di perkampungan desa. Sebagai
contoh, pihak kerajaan telah memperkenalkan Industri Kecil dan
Sederhana(IKS) di beberapa negeri seperti Kelantan, Perak dan
Terengganu yang bertujuan untuk merancakkan hub industri
pemakanan tradisional sebagai input dan penjana ekonomi utama
penduduk kampung dan sekitarnya. Hasilnya, penduduk luar bandar
tidak semata-mata menjalankan ekonomi sara diri secara tradisional
seperti menanam padi dan menangkap ikan untuk menyara hidup
keluarga tetapi juga berkeupayaan untuk mendirikan kilang-kilang
pemprosesan makanan tradisional secara kecil-kecilan sebelum
dipasarkan atas bantuan modal dan teknologi oleh pihak kerajaan.

Seterusnya, infrastruktur dan prasarana di kawasan pinggir


bandar dapat dibangunkan atas penubuhan kilang-kilang
pemprosesan makanan tradisional yang kian berkembang bagai
cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini berlaku demikian kerana
pembukaan dan penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya
dan kemudahan-kemudahan awam yang lain dapat memangkin dan
menjana sumber pendapatan rakyat tempatan lebih-lebih lagi hasil
makanan tradisional di desa perkampungan dapat dipasarkan di
bandar-bandar besar di seluruh pelosok negara melalui kecekapan
sistem pengangkutan dan pemasaran. Tambahan pula, peluang
pekerjaan yang banyak dapat diwujudkan hasil daripada pembinaan
kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional sekali gus
menggalakkan penghijrahan penduduk bak kata peribahasa Melayu
di mana ada gula, di situ ada semutnya. Kesannya, desa akan
mengalami proses transformasi sehingga menjadi bandar-bandar
besar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti
kemudahan Internet dan perkhidmatan monorel, LRT dan ETS.

Industri makanan tradisional turut menjada pendapatan rakyat


dan negara. Hal ini sedemikian kerana makanan tradisional diproses
dan dibungkus sebelum dieksport ke luar negara. Usaha proaktif ini
dapat membawa pulangan yang lumayan sekali gus menambahkan
sumber pendapatan rakyat jelata. Makanan tradisional Malaysia
seperti dodol, kuih bahulu dan kuih kapit turut dapat dipromosikan
ke seluruh pelosok dunia dan mendapat sambutan yang
menggalakkan daripada masyarakat antarabangsa. Sambutan yang
hangat daripada masyarakat luar negara bukan sahaja akan
memajukan industri makanan tradisional tempatan bahkan juga
berdaya saing untuk menjana pendapatan yang lumayan kepada
rakyat dan negara.
Dari perspektif yang lain pula, industri makanan tradisional juga
berkemampuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan
masyarakat majmuk di negara kita yang terdiri daripada masyarakat
yang berbilang bangsa, agama dan keturunan. Hal ini demikian
kerana makanan tradisional suku kaum tertentu turut dapat diterima
dan dinikmati bersama-sama oleh bangsa-bangsa lain di negara
kita. Sebagai contoh, makanan tradisional seperti roti canai bukan
sahaja digemari oleh suku kaum tertentu tetapi juga diminati oleh
kaum-kaum yang lain di negara kita. Mereka dapat duduk semeja
untuk menikmati makanan tradisional tersebut bertemankan
secawan teh atau kopi sambil berbual-bual dalam suasana yang
muhibah. Hal yang sedemikian dapat membuka laluan kepada
usaha-usaha murni kerajaan untuk mengeratkan hubungan
silaturahim antara rakyat atau masyarakat berbilang kaum dan
agama di negara ini sekali gus memupuk dan mengukuhkan
perpaduan sejajar dengan slogan keramat, yakni perpaduan asas
kemajuan.

Tuntasnya, industri makanan tradisional memainkan peranan


yang penting dalam proses pembangunan bangsa dan negara selain
merupakan wahana yang efektif untuk mempromosikan
keistimewaan dan keunikan yang dimiliki masyarakat majmuk di
negara kita di pentas antarabangsa. Kata orang, tak kenal maka tak
cinta. Oleh sebab itu, semua pihak termasuklah rakyat jelata
haruslah berganding bahu untuk memajukan industri pemprosesan
makanan tradisional sehingga peringkat antarabangsa. Sudah tiba
masanya, rakyat berbilang ras dan agama mengambil tahu, belajar
memahami dan menghargai keunikan dan keistimewaan makanan
tradisional masyarakat Malaysia dalam proses pembangunan
bangsa dan negara sekali gus seiring sejalan dengan kerajaan untuk
merealisasikan Wawasan 2020

Anda mungkin juga menyukai