Anda di halaman 1dari 6

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis makanan tradisional Melayu warisan

zaman berzaman yang begitu popular dan diminati ramai. Masyarakat Melayu
zaman dahulu sering menggunakan bahan masakan yang bersumberkan alam
semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan, daun-daun kayu, pucuk sayuran dan
sebagainya. Tanpa disedari, daripada bahan-bahan tersebut terciptalah makanan
tradisional Melayu yang kini menjadi kegemaran kita semua. Adakalanya, ia
juga diterapkan di dalam adat istiadat dimana makanan ini akan dihidangkan
khas hanya pada musim perayaan atau majlis tertentu sahaja.

Antara usaha untuk mempopularkan makanan tradisional negara


termasuklah mengadakan pertandingan masakan makanan tradisional.
Pertandingan sebegini dapat menarik minat orang ramai untuk mempelajari
cara-cara untuk menyediakan masakan tersebut. Hadiah lumayan yang
ditawarkan juga sudah pasti menambahkan lagi keinginan mereka untuk
menjadi juara. Pertandingan akan menjadi lebih meriah jika dijalankan di lokasi
tumpuan pelancong yang sememangnya ingin mengetahui adat dan tradisi
masyarakat kita. Tegasnya, pertandingan sebegini mampu untuk membantu
mempopularkan makanan tradisional kita.

Di samping itu, dengan mempromosikan makanan tradisional dalam


pelbagai saluran media juga kita mampu menaikkan lagi imej makanan
tradisional negara. Oleh sebab Internet merupakan medium yang paling murah,
mudah dan cepat untuk penyebaran maklumat, kita seharusnya
memanipulasikan kemudahan ini untuk mempromosikan makanan tradisional
melalui laman sesawang dan media sosial. Dalam pada itu, rancangan televisyen
berkaitan makanan tradisional seperti program masakan dan dokumentari juga
dapat memberi pendedahan yang positif tentang makanan tersebut dalam
kalangan penonton. Ternyata, medium inilah yang menjadi salah satu cara untuk
mempopularkan makanan tradisional dengan lebih berkesan.

Seterusnya, usaha untuk mempopularkan makanan tradisional negara


adalah dengan mengadakan jualan makanan tradisional di tempat-tempat
tumpuan ramai. Dengan cara ini, makanan tradisional akan menjadi tidak asing
lagi dalam kalangan mereka. Sebagai contoh, mengadakan gerai jualan nasi
lemak, roti canai dan otak-otak di kawasan peranginan. Inisiatif ini dapat
menarik para pengunjung untuk membeli dan merasa keenakan makanan
tersebut. Jadi jelaslah bahawa jualan makanan tradisional di tempat-tempat
tumpuan ramai akan meningkatkan populariti makanan tradisional dalam
kalangan masyarakat tempatan dan pelancong asing.

Selain itu,kita boleh memperluas pasaran makanan tradisional di dalam


dan di luar negara untuk mempopularkannya. Pada ketika ini telah banyak
produk-produk industri kecil dan sederhana yang telah dipasarkan ke luar
negara contohnya, produk sambal hijau dan cili merah berjenama Samza’s. Hal
ini bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negara malahan turut membuka
banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Pada masa yang sama pula,
masyarakat di luar negara dapat merasa makanan tersebut tanpa pergi ke
Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, makanan tradisional akan menjadi lebih
popular jika pasarannya diluaskan ke seantero dunia.

Seterusnya, usaha untuk mempopularkan makanan tradisional negara


termasuklah membuat penjenamaan semula. Cara ini mampu mendatangkan
impak positif dalam meningkatkan populariti makanan tersebut. Seperti yang
kita sedia maklum, generasi sekarang lebih gemar akan makanan dari barat
seperti pizza dan burger berbanding makanan tradisional. Namun demikian,
melalui penjenamaan semula, makanan tradisional negara mampu mewujudkan
persaingan . Antara contoh makanan tradisional yang dilakukan penjenamaan
semula ialah kuih bangkit keju, apam balik coklat dan pisang goreng keju.
Kesannya, makanan tersebut dapat menarik perhatian masyarakat terutamanya
golongan muda.

Selanjutnya, usaha untuk mempopularkan makanan tradisional negara


termasuklah memperkenalkan makanan tradisional negara di pelbagai institusi
dalam dan luar negara.Pengusaha industri ini haruslah berusaha mencari lebih
banyak peluang untuk mempromosikan atau mengkomersialkan produk mereka
di peringkat tempatan mahupun global. Sekiranya pengusaha mengaplikasikan
pendekatan global dalam mencari peluang perniagaan, maka tidak hairanlah
produk industri tradisional negara mampu duduk sebaris dengan makanan
tradisional antarabangsa. Dalam hal ini, mereka haruslah berinisiatif dan kreatif
dalam memanipulasikan teknologi ICT. Kesannya, makanan tradisional negara
akan dapat dikomersialkan di pelbagai institusi sehinggalah ke peringkat
antarabangsa.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam
menyokong usaha-usaha ini. Industri makanan tradisional perlu terus
dikomersilkan hingga ke arena yang lebih tinggi. Sejajar dengan itu, nama
negara Malaysia akan terus mekar. Oleh itu, industri makanan tradisional akan
terus berkembang seiring dengan kemajuan pembangunan negara. Nama dan
imej negara juga akan terus terjaga dan terpelihara.
HURAIKAN CIRI-CIRI PEMIMPN IDAMAN ANDA

Isi-isi penting
1. Mempunyai jati diri yang kuat dan berintegriti tinggi
2. Berketrampilan menarik dan kemas
3. Mempunyai kemahiran berkomunikasi yang tinggi
4. Mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan
5. Bijaksana dalam melakukan tugas
6. Jujur dalam memikul amanah

Pendahuluan
Menentukan dan memilih pemimpin adalah perkara penting dan
menjadi kewajipan. Sejarah Islam membuktikan apabila wafatnya
Rasulullah SAW, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin
bagi menggantikan baginda. Menurut pengkaji sains politik, kepemimpinan
yang berwibawa dianggap paling berkesan kerana mampu membuat
perubahan dan pembaharuan kepada rakyat. Dengan demikian,
sebahagian besar tanggungjawab pemimpin untuk membawa perubahan
dan pembaharuan positif kepada rakyat. Sabda Nabi SAW yang
bermaksud: “Sesiapa yang diamanahkan oleh ALLAH SWT untuk
memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia
menipu rakyatnya, maka ALLAH telah mengharamkan syurga
untuknya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Isi 1
Ciri pertama yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin idaman
saya adalah mempunyai jati diri yang kuat dan berintegriti tinggi. Seperti
mana yang kita ketahui, sesebuah organisasi bergantung kepada prestasi
pentadbirannya yang diketuai oleh seorang pemimpin. Sekiranya pemimpin
tersebut mempunyai jati diri yang kuat dan jelas, pasti organisasi di
bawahnya dapat bekerja atau melaksanakan tugas dengan baik dan
memenuhi aspirasi yang ingin dicapai.Sebagai contoh, seorang pemimpin
itu telah menetapkan satu sasaran pada tempoh masa tertentu dan
bekerjasama dengan setiap ahli yang terlibat untuk mencapai sasaran
tersebut. Tetapi apabila berlaku satu halangan, sasaran tersebut kekal dan
tidak berubah seperti lalang yang ditiup angin. Dalam erti kata lain,
pemimpin yang mematuhi undang-undang seperti tidak mengambil rasuah,
mereka akan patuh dan kekal pendirian untuk menjalankan amanah di atas
kepercayaan yang diberikan bukan sogokan pihak tertentu. Persis kata
peribahasa, bumi dipijak, langit dijunjung. Jelasnya, pemimpin yang
berintergriti tinggi dan jati dirinya kuat adalah ciri pemimpin yang menjadi
idaman saya.
Isi 2
Berketrampilan menarik dan kemas juga adalah salah satu ciri
pemimpin idaman saya. Imej merupakan satu perkara penting dalam aspek
kehidupan kita kerana fitrah manusia suka melihat kepada sesuatu yang
cantik dan menarik. Lebih-lebih lagi dalam zaman media sosial di mana
pemimpin perlu sentiasa kelihatan segak dan bersedia jika disapa oleh ahli
masyarakat. Ketrampilan tinggi juga dapat menunjukkan keyakinan diri
pemimpin tersebut kepada kakitangan atau ahli di bawah pimpinannya. Hal
ini kerana, individu yang tidak berkeyakinan tidak suka menanggung risiko
dan lemah apabila membuat keputusan. Pemimpin yang berkeyakinan
tinggi mampu membuatkan orang sekelilingnya menaruh harapan atau
kepercayaan terhadap kemampuanya. Tuntasnya, berketrampilan tinggi
juga adalah ciri pemimpin idaman saya.
Isi 3
Di samping itu, pemimpin idaman saya seharusnya mempunyai
kemahiran berkomunikasi yang tinggi. Berbalik kepada peranan sebagai
seorang pemimpin adalah untuk memimpin ahli di bawahnya untuk
melakukan sesuatu dengan baik. Oleh itu, kemahiran komunikasi yang baik
dapat membantu satu arahan, penjelasan dan teguran disampaikan
dengan baik serta diterima juga dengan baik. Dari sudut pemimpin negara
pula, kemahiran berkomunikasi adalah penting dalam menyampaikan
hujahan supaya difahami oleh rakyat apabila sesuatu isu dibincangkan.
Bayangkan jika seorang pemimpin perlu berunding dengan delegasi
daripada negara asing tetapi tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang
baik, negara kita mungkin akan menanggung akibatnya. Dengan
kemudahan yang kita nikmati hari ini, golongan pemimpin seharusnya
menguasai bahasa yang lazim digunakan di peringkat global seperti
Bahasa Inggeris. Bak kata pepatah, yang elok itu budi, yang indah itu
bahasa. Kemahiran komunikasi yang baik menunjukkan seorang pemimpin
itu baik dan berwibawa.
Isi 4
Akhir sekali, ciri yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin idaman
saya adalah mengamalkan nilai-nilai murni dalam setiap aspek kehidupan.
Sebagai seorang individu, kita sebenarnya mempunyai pengaruh untuk
mengajak orang sekeliling kita melakukan perkara yang baik. Apatah lagi
seorang pemimpin yang menjadi sanjungan dan diperhatikan oleh ramai
orang seperti ahli keluarga dan ahli organisasi. Apabila pemimpin
menunjukkan tauladan yang baik secara tidak langsung akan memberi
aspirasi kepada pengikutnya untuk melakukan perkara yang sama. Persis
kata mutiara, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sebagai
contoh, seorang pemimpin membiasakan diri menerima rasuah dan hadiah
atas pengaruh dan kuasanya. Apabila pekerja di bawah pemimpin tersebut
melihat perilaku yang salah dibiasakan maka mereka akan turut melakukan
perkara yang sama. Kesannya, kerja tidak semenggah tetapi gaya hidup
mewah. Intihannya, pemimpin yang mengamalkan nilai murni dalam
kehidupannya merupakan ciri penting sebagai seorang pemimpin yang
berwibawa dan baik.
Penutup
Secara kesimpulan, kepimpinan memerlukan seorang individu itu
berfikir, bertindak dan membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan
organisasi mereka. Pelbagai aspek yang perlu dipertimbangkan dan kesan
daripada keputusan yang diambil perlu ditanggung. Hanya dengan latihan
memikul tanggungjawab dan amanah dari hari ke hari yang mampu
mengajar seseorang untuk menjadi pemimpin yang baik. Pengalaman dan
tunjuk ajar daripada golongan pemimpin terdahulu juga penting dalam
memberikan idea kepada pemimpin masa kini untuk membuat keputusan
terbaik berdasarkan kesesuaian zaman ini. Seorang pemimpin yang baik
bukan sahaja bergantung kepada jawatan dan pencapaiannya tetapi juga
keupayaannya mengendalikan peranan-peranan dalam organisasi dengan
berkesan serta kaya dengan ciri-ciri kewibawaaan.

Anda mungkin juga menyukai