Anda di halaman 1dari 21

1.

TEMA : Rumah Terbuka Aidilfitri


TAJUK : Kebaikan Rumah Terbuka

Pendahuluan:

Amalan rumah terbuka sudah menjadi lumrah untuk sambutan perayaan di negara
ini termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Hari Krismas.
Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga pelbagai lapisan
masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang amat sinonim dalam kehidupan
mereka sejak turun-temurun. Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan
bahawa sebanyak enam perayaan kaum dianggap sebagai perayaan utama negara
yang diraikan pada peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan
kerajaan negeri. Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah
terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang
minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?

Isi 1
Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak
memberikan kemaslahatan terutamanya dalam mengeratkan
perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara
kita. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian
matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka
memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai
perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis
terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu
pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi,
perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada
pembangkang atau kerajaan. Keadaan ini persis peribahasa buang yang
keruh, ambil yang jernih. Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India,
Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka
kaum lain tanpa sebarang kekangan yang perlu dibimbangi. Kesannya,
perasaan muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan
yang lebih harmoni. Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat
dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.

Isi 2
Dari perspektif yang lain , amalan rumah terbuka dapat membantu
rakyat Malaysia memahami budaya kaum lain. Mereka akan
merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar
belakang, budaya dan agama. Amalan ini juga membolehkan setiap
kaum mengenali juadah kaum-kaum lain selain didedahkan kepada adat
resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. Maklumlah tak
kenal, maka tak cinta. Sebagai contoh, orang-orang India, Cina, Iban
dan Kadazan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama
dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat
membantu mereka mempelajari budaya kaum lain, malah budaya sihat
ini juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum
di negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai
dalam kalangan generasi sekarang. Tuntasnya, budaya dan adat resam
kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.

Isi 3
Dari kaca mata yang berbeza, penganjuran rumah terbuka juga
merupakan daya tarikan kepada pelancong asing yang melancong di
negara kita. Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong
dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami
dan menghayati sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di
negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. Keadaan
ini bertepatan dengan kata mutiara jauh perjalanan, luas
pemandangan. Dalam konteks ini, kerajaan melalui Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-
kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka
Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta
Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas. Pengalaman pelancong
asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan
menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka
sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat
merancakkan industri pelancongan negara. Izharnya, konsep rumah
terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata
pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum
dapat hidup di bawah payung keharmonian.

Isi 4
Selain itu, amalan rumah terbuka juga merupakan metodologi lain bagi
melihat serta merasai kepelbagaian masakan. Rumah terbuka yang
dianjurkan di negara kita telah memberikan kelebihan kepada
masyarakat peribuminya. Setiap perayaan mempunyai corak atau cara
sambutan yang berbeza-beza, maka heterogen adat dan tradisi mula
diketengahkan menyebabkan masyarakat kini mampu mengenalinya
secara dekat. Keunikan adat dan tradisi yang diamalkan telah menjadi
faktor penarik bagi masyarakat lain untuk mula menyesuaikan diri serta
merasai kepelbagaian juadah yang disajikan. Sebagai contoh, rumah
terbuka bagi masyarakat Iban biasanya menyajikan sagu, manakala
masyarakat India pula mementingkan manisan. Tetamu yang
menghadirinya pasti teruja apabila mereka dapat merasai juadah yang
berbeza dan pelbagai, justeru tradisi dapat terus dipertahankan, bak kata
aforisme Melayu, biar mati anak, jangan mati adat. Berakar umbi
daripada amalan inilah masyaralat dapat melihat serta merasai
kepelbagaian aneka masakan daripada latar masyarakat yang berbeza.
Hal ini menyebabkan tradisi bangsa terus kukuh.

Isi 5
Malahan, amalan ini juga dilihat telah menyumbang
kepada pembentukan identiti Malaysia melalui budaya bangsa
nasional. Sebenarnya, rumah terbuka berlandaskan konsep seruan
beragama dan adat budaya kaum masing-masing. Namun demikian,
perayaan masing-masing telah diasimilasikan sehingga melahirkan
budaya bangsa secara nasional. Senario ini bermakna perayaan negara
kita telah berkonsep ala- Malaysia. Pertembungan budaya antara dua
atau lebih budaya sebenarnya membawa kepentingan kepada semua
pihak. Tamsilnya, masyarakat Cina tidak menyediakan hidangan yang
tidak boleh dijamah oleh masyarakat Melayu dan begitu juga dengan
masyarakat India. Pertembungan budaya ini sebenarnya bertujuan
menjaga perasaan sahabat handai. Hal ini disebabkan penghormatan itu
merupakan asas keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan hidup.
Keindahan, keunikan dan kehalusan budaya ini akan menyebabkan
generasi baru berasa banggsa dengan warisan yang dimiliki selagi adat
ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Kebudayaan
kebangsaan Malaysia akan diwujudkan dan kebudayaan ini akan
menjadi identiti rakyat Malaysia.

Penutup :

Setelah menghalusi hujah-hujah di atas, bayang kian jelas bahawa amalan rumah
terbuka memang banyak membawa manfaat kepada masyarakat dan negara. Oleh itu,
konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya
konsep ini tidak difahami dan dihayati, kemungkinan amalan ini akan mendatangkan
keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu
menjadi seperti rumah sudah siap pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah
terbuka. Jika amalan murni ini dibudayakan, sudah pasti hasrat negara untuk
mencapai Gagasan 1Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat
Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil dalam peta dunia, namun
usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan
teladan kepada negara-negara di dunia.
2.
TEMA : Bandar Dalam Taman

TAJUK : Kepentingan konsep bandar dalam taman terhadap negara dan rakyat
Malaysia

Pendahuluan:

Kemajuan dalam aspek pembangunan dan perancangan bandar telah menemukan


satu formula baharu untuk mengekalkan kelestarian warisan alam. Konsep
mengutamakan pembangunan negara yang mesra alam telah menjadi satu unsur
penting dalam pembangunan negara. Lihat sahaja pembanggunan di Shah Alam dan
Putrajaya yang membuktikan kesungguhan negara ini dalam mengetengahkan konsep
bandar dalam taman tersebut. Sebenarnya, konsep bandar dalam taman ini membawa
banyak kepentingannya terhadap rakyat dan negara.

Isi 1
Faedah utama yang dibawa oleh konsep bandar dalam taman ini
melibatkan keupayaan negara menjaga keseimbangan alam dan
eskosistem dengan efektif. Keseimbangan ini berlaku kerana faktor kadar
penebangan hutan dengan kadar pertumbuhan hutan dijaga dengan baik
oleh mana-mana pihak yang membangunkan sesuatu projek
pembangunan itu. Situasi ini menjamin kewujudan kehijauan alam
sekitar untuk satu tempoh yang lama buat sesuatu kawasan yang
dibangunkan oleh kerajaan itu. Ringkasnya, pelan pembangunan sesuatu
kawasan dirancang dengan teliti kerana setiap pembangunan
mengutamakan alam sekitar.

Isi 2
Selain itu, pembangunan berteraskan konsep ini berupaya mengurangkan
pencemaran alam dengan begitu mudah. Semua pembangunan terutama
yang melibatkan sistem pengangkutan awam mengutamakan istilah
mesra alam itu. Penggunaan bahan api dikurangkan untuk menjaga
kualiti udara menerusi pembinaan sistem transit aliran ringan yang
berupaya menghubungkan mana-mana destinasi di sesuatu bandar itu
dalam tempoh yang pantas. Alam juga tidak tercemar kerana
pembangunan mesra alam turut mengutamakan pembinaan sistem
pembetungan yang berkualiti untuk memastikan sumber air terutama
untuk kegunaan penduduk tidak tercemar.

Isi 3
Tambahan pula, pembangunan berteraskan bandar dalam taman akan
menyediakan suasana kehidupan yang berkualiti buat penduduk
setempat. Semua aktiviti pembangunan dilakukan tanpa mengabaikan
keindahan alam sekitar yang sudah lama wujud tersebut. Landskap yang
menarik dihasilkan oleh pihak pemaju untuk menggantikan binaan hutan
batu yang menjadi amalan utama dalam pembangunan sebelum ini.
Akibatnya, rakyat dapat menikmati keindahan alam di depan mata
mereka tanoa perlu kembali ke kampung halaman untuk melihat
keindahan tersebut.
Isi 4
Kehidupan moden telah menyebabkan manusia semakin tertekan lalu
usaha menjadikan konsep bandar dalam taman satu realiti akan
membantu rakyat negara ini menenangkan fikiran dan menghilangkan
tekanan kehidupan tersebut. Pelbagai kawasan riadah dengan kemudahan
yang mesra pengguna dibina sehingga menarik minat rakyat untuk
beriadah sepanjang masa. Tindakan ini akan menjadikan kualiti kesihatan
diri dan mental rakyat menjadi bertambah baik untuk satu tempoh
tertentu. Lama-kelamaan, kehidupan masyarakat di negara ini akan
menjadi lebih tenang dan harmoni kerana negara mengutamakan
pembangunan yang seimbang dalam perancangan pemodenan itu.

Isi 5
Impak terakhir pelaksanaan konsep bandar dalam taman ialah negara ini
akan menarik lebih banyak pelancong terutama pelancong asing untuk
melawat Malaysia. Golongan pelancong ini pastinya akan mudah
terpesona dengan keindahan dan kekreatifan perancang bandar negara ini
dalam merancang sebarang pembangunan tersebut. Pelancong akan
memuji sikap rakyat negara ini yang begitu mengutamakan kemodenan
tetapi masih mengekalkan kehijauan dan keaslian alam sekitar yang sukar
untuk diperoleh di negara asal mereka itu. Sudah pasti apabila mereka
kembali ke negara asal pelbagai cerita tentang keindahan negara terutama
kesungguhan rakyat Malaysia mengekalkan keseimbangan pemodenan
dan alam sekitar akan menjadi buah mulut masyarakat di sana.

Penutup :

Kesimpulannya, konsep bandar dalam taman perlu diwujudkan di negara ini


dengan lebih banyak. Pelbagai faedah timbul sama ada daripada segi ekologi dan
ekonomi kepada rakyat serta negara ini secara tidak langsung. Pembangunan negara
ini hendaklah mengikut acuan kita sendiri kerana langkah sebegini beruoaya
menaikkan nama negara pada mata masyarakat dunia pula. Namun, sokongan rakyat
amat diperlukan untuk menjayakan pelaksanaan konsep sebegini bak kata pepatah
bersatu teguh bercerai roboh yang menekankan peri pentingnya kerjasama masyarakat
dalam kehidupan moden ini.
3.
TEMA : Kejayaan Negara dalam Perindustrian Tren Laju
TAJUK : Masalah Pengangkutan Awam Di Negara Kita

Pendahuluan:

Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai


untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini
turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan
masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan
awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit
Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang
dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh
lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita
harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.

Isi 1
Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap
sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak
mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT
adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan
rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem
pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah
pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak
menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan
pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke
pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh
kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun
menggunakan pengangkutan awam tersebut.

Isi 2
Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan
amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap
sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap
dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan
tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini
menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka
tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan
sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak
pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam,
LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang
mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh.
Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan
pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa
yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan
pengangkutan awam turut dirasai.

Isi 3
Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan
bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh.
Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan
tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat.
Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan
tambahan atau fider bus di kawasan itu. Kalau anda sering
menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi
masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara
stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan
tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu
kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki
pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang
mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap
merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang
bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi
semakin rumit untuk diselesaikan.

Isi 4
Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan
segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang
tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu
kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan
oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam
ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif
kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam
negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada
di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang
juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang
kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan
keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja
pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan
mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan
serta masyarakat awam yang lain.

Isi 5
Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar
mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak
kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya
perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan.
Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan
kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki
kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT
di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk
meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan
kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan
sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh
menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada
sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun
masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya,
rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani
dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi
indah khabar dari rupa.

Penutup :

Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil


berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan
tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan
pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan
terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam
menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya
apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin
sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan
bersikap sudah terhantuk baru terngadah.
4.
TEMA : Kejayaan Dalam Kerjaya
TAJUK : Tan Sri Lim Goh Tong

Pendahuluan:

Perkembangan mutakhir yang sarat dengan isu sejagat seperti ekonomi, politik
dan sebagainya mengungkap pelbagai persoalan yang menuntut kepada kekuatan
pemikiran dan intelektual serta disusuli dengan tindakan zahiriah dan keberanian
dalam menangani cabaran mencapai kejayaan dalam kerjaya seperti slogan Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama Tun Said Kota Belud tiada halangan hanya cabaran.
Individu kini perlu mempunyai mentaliti yang kritis dan analitikal terhadap
perkembangan semasa bagi memenuhi keperluan dan kehendak kerjaya. Saranan dan
tindakan individu haruslah strategik lagi efektif dan berdasarkan penceranaan yang
teliti seperti yang dikatakan oleh Tan Sri Lim Goh Tong iaitu usahawan peniaga yang
namanya masih lagi tersohor di negara ini mahupun di persada dunia dalam
kerjayanya iaitu berniaga yang mana beliau telah menyatakan kadangkala setiap
peluang itu datangnya dari menongkah taufan gelora yang membadai segala harapan
dan impian. Disebababkan itulah individu kini tidak seharusnya berfikiran singkat
yang hanya duduk diam di atas kerusi malas dan setiap individu tidak harus
mempunyai complacent thingking yang tidak mahu menerobos ke dalam alam
mentalitii yang lebih jitu dan drastic untuk berjaya mahupun menghasilkan kejayaan.

Isi 1
Di zaman serba canggih dan bermodenisasi ini, terdapat banyak wadah
dan alur yang boleh dijadikan inisiatif untuk berjaya dalam kerjaya
yang diceburi. Tetapi, mestilah sejajar dengan usaha yang gigih dan
begitu drastik. Hal ini demikian bermaksud untuk menjadi senang
dalam hidup, setiap individu tidak mempunyai pilihan selain bekerja
kuat atas usaha sendiri seperti yang dilakukan oleh Tan Sri Lim Goh
Tong yang mana beliau telah mengusahakan perniagaan beliau tanpa
berpaut di atas bahu orang lain. Beliau berusaha keras untuk
menjayakan pusat pelancongan yang terbesar di Malaysia iaitu Genting
Highlands Resort yang telah dibanjiri dengan titik peluh beliau. Beliau
ada menyatakan hasil yang keras tidak akan berhasil jika tidak
diusahakan dengan keras dan peribahasa melayu juga menunjangi
kata-kata beliau bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Mengikut
perkiraan Orang Cina, apabila mereka hidup dalam kemewahan, secara
sendirinya kebahagiaan itu akan hadir. Pemikiran Orang Cina dengan
bangsa lain adalah sangat berbeza. Orang Melayu contohnya hanya
berharap untuk berkhidmat dalam kerajaan selepas menamatkan
pengajian di universiti. Hal ini membuatkan mereka tidak berfikir di
luar kotak untuk mencuba sesuatu yang baru atau cuba untuk membaiki
taraf hidup yang lebih selesa. Pemikiran lama ini sering sahaja
menghantui hidup bangsa Melayu dan membuatkan golongan ini gagal
untuk berada pada kedudukan yang selesa setaraf juwatan Malaysia.
Rata-rata usahawan Cina yang berjaya bekerja 18 jam sehari. Mereka
hanya ada masa yang terhad untuk merehatkan diri. Sebab itulah
mereka menghargai masa sebaiknya. Jika kaum lain, cukuplah apabila
keluar bekerja pukul 8 pagi dan pulang dari tempat kerja pada pukul 5
petang.
Isi 2
Amalan merendah diri akan membuatkan ramai orang yang suka
berdamping dan suka berkawan dengan kita. Walaupun kita sudah
menjadi antara usahawan yang terkenal, nilai untuk menghormati orang
lain jangan dilupa kerana nilai ini menggambarkan sikap secara
keseluruhannya. Setiap manusia tidak boleh dibezakan taraf kerana
semuanya manusia yang hidup di dunia ini semuanya saling
berimansipasi dan duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Tan Sri Lim
Goh Tong juga tidak membezakan tarafnya dengan taraf orang lain
yang mana beliau ada menyatakan Ajaran orang tua tentang nilai
tradisional Cina, mengajarkan kepada saya untuk bersikap rendah hati,
sopan, dan menghormati orang lain. Saya bisa memeluk bahu para
tycoon dan pejabat besar, saya juga bisa bergaul akrab dengan
pedagang kaki lima dan pekerja kasar. Justeru, setiap individu perlulah
mempunyai sikap merendah diri agar tidak dipandang serong oleh
orang lain.

Isi 3
Bukan sahaja dengan bekerja keras seseorang itu boleh berjaya dalam
kerjaya yang ceburi, malah dari segi sikap juga termasuk dalam resepi
untuk menghasilkan kejayaan. Sikap yang perlu ada dalam resepi
untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya yang diceburi ialah sikap
merendah diri dan tidak bongkak dengan harta yang dimiliki. Hal ini
kerana, perasaan rendah diri dan tidak bongkak dengan kemewahan
yang dimiliki akan menjadikan diri seseorang lebih berwaspada dengan
usaha yang dilakukan seperti yang dikatakan oleh Tan Sri Lim Goh
Tong, sikap bongkak adalah penghalang seseorang daripada berjaya
serta tidak pernah lalai dengan wang yang banyak. Justeru, wang yang
dikumpul sentiasa menjanjikan pulangan modal yang dapat digunakan
pada masa depan dan wang itu juga boleh mula disimpan.

Isi 4 Selain itu, dalam permulaan memburu sang kejayaan perlulah ada
unsur keberanian untuk menanggung risiko. Hal ini demikian kerana,
Sebarang kemungkinan untuk jatuh mesti bersedia untuk terima dengan
tabah dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk terus membina
masa depan yang cerah. Jika tidak berani, hasrat untuk memulakan
perniagaan harus dilupakan. Sesuatu idea yang ada dalam otak adalah
sia-sia jika tidak diluahkan untuk dijadikan satu natijah yang
memberansangkan seperti pepatah Tan Sri Limm Goh Tong,
Pengalaman mengajarkan kepada saya, bahwa idea sebagus apapun ,
adalah sia-sia bila tidak dilaksanakan. Kemunculan pusat
perlancongan bertaraf dunia itu adalah hasil idea seorang lelaki Cina
yang pernah dilabel sebagai gila suatu ketika dahulu. Ejekan yang
diterima dijadikan pembakar semangat untuk maju. Orang pernah
mengatakan bahawa idea itu tidak akan kemana seperti peribahasa
melayu kemana tumpahnya kuah kalau tidak kenasi dan
pelaburannya tidak menjanjikan pulangan modal berikutan tiada siapa
yang berminat dengan perniagaan seperti itu. Beliau telah menyahut
cabaran itu dengan bekerja 2 syif sepanjang minggu bagi menjimatkan
kos. Beliau dan kawan-kawannya terpaksa tinggal di dalam hutan dan
gua bedekatan. Beliau merupakan orang pertama yang bekerja
mengikut syif 24 jam sehari sepanjang minggu untuk memastikan cita-
cita itu tercapai kerana beliau menyatakan, hargailah masa walau
sedetik pun. Beliau juga akan menjadi orang yang pertama sampai ke
tempat kerja dan menjadi orang yang terakhir untuk pulang dari tempat
kerja. Beliau sentiasa menjaga pekerja-pekerjanya dan beranggapan
bahawa semua pekerjanya adalah aset yang paling berharga. Kini, First
World Hotel merupakan antara hotel terbesar di dunia.

Isi 5
Tambahan lagi, sifat tidak menggunakan jalan pintas untuk menuju
kejayaan perlulah diterapkan dalam diri agar tidak deselubungi
kepahitan penyesalan seperti pepatah melayu sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak beguna. Hal ini kerana, beliau sentiasa berpesan
jangan bermain kotor dalam menuju kejayaan iaitu sama dengan
jangan mengambil jalan pintas jika mahu kerjaya yang diusahakan
bertahan lama sehingga boleh diwariskan kepada generasi yang
berikutnya. Beliau sentiasa mengingatkan Orang Cina dan semua orang
yang mahu terjun ke dunia perniagaan agar tidak membuat helah
kerana tiada jalan pintas untuk berjaya selain dengan usaha diri sendiri.
Minat yang mendalam akan menjadi pendorong dan pembakar
semangat dalam kerjaya yang dilakukan. Minat merupakan ubat yang
paling berkesan untuk merealisasikan kejayaan yang diimpikan. Para
pemburu kejayaan harus sentiasa sedar diri dan percaya kepada kawan
sekeliling dan juga percaya kepada Tuhan dan memohon berkat
daripada-Nya. Hendak memulakan pemburuan kejayaan bukan suatu
perkara yang mudah, malah diselusuri dengan arus yang kuat dan
tahan dalam menghadapi segala ujian.

Penutup :

Secara holistiknya, semua orang mempunyai hak untuk berjaya seperti pepatah
melayu, dimana ada kemahuan disitu ada jalan dan mereka wajar diberi peluang
untuk mencuba nasib kerana semua manusia itu mempunyai cita-cita. Manusia yang
tidak mempunyai cita-cita, adalah orang yang tidak mempunyai apa-apa seperti
pepatah inggeris, people who have no ambition is like a bird without wings. Setiap
individu boleh menjadikan mana-mana tokoh sebagai inspirasi untuk berjaya. Usaha
keras akan membuahkan hasil dalam setiap kerjaya yang hendak dikerjayakan.
Sesungguhnya setiap cita-cita dan impian menagih sepenuh perhatian dan
pengorbanan yang paling tinggi. Justeru, setiap individu perlulah ada matlamat yang
telah dimuktamadkan dan mengetahui hala tuju matlamat untuk mencapai kejayaan
seperti kata-kata pujangga, apabila anda mengetahui hala tuju anda, sebenarnya anda
telah mencapai separuh daripada matalamat hidup anda.
5.
TEMA : Cabaran Pendidikan Industri
TAJUK : Cabaran-Cabaran yang dihadapi Pendidikan di Malaysia dan Inisiatif
bagi Mengatasi Cabaran Tersebut

Pendahuluan:

Impak globalisasi dan pengantarabangsaan pendidikan ketika ini sudah mulai


difahami dan pelan tindakan telah pun digubal untuk menangani isu dan cabaran yang
bakal timbul. Perubahan corak dalam pendidikan dalam masa terdekat akibat daripada
globalisasi, pengantarabangsaan dan perubahan dalam teknologi maklumat dan
komunikasi ini cukup mencabar bagi pendidikan di Malaysia. Persoalannya,apakah
cabaran-cabaran, peranan pendidikan serta persekitaran yang perlu dihadapi oleh
pendidikan di Malaysia?

Isi 1
Dunia tanpa sempadan menyebabkan Malaysia menghadapi
kemelutan sosial. Kebanjiran maklumat, akses yang mudah keadaan
dunia hiburan,layaran mudah bahan-bahan porno melalui Internet
dan melayari alam siber yang menjadi trend masyarakat
menyebabkan berlakunya gejala negatif di masyarakat kini.
Perasaan kebimbangan terhadap generasi pelajar masa ini telah
tercetus akibat fenomena negatif ini. Perkembangan tersebut telah
mendorong para perancang kurikulum Malaysia terpaksa menyemak
semula keberkesanan kurikulum sekolah untuk menghadapi pelbagai
perubahan akibat pengaruh globalisasi tersebut. Penyemakan
terhadap kekuatan dan kelemahan sistem pendidikan di Malaysia
perlu dilakukan dari semasa ke semasa oleh perancang kurikulum
untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan
tertentu bagi menghadapi daya saing persekitaran global yang
semakin sengit dan mencabar.

Isi 2
Hussien Ahmad memberi penegasan bahawa proses globalisasi telah
membawa perubahan yang mendadak kepada perlakuan hidup dan
norma kehidupan manusia. Masyarakat Malaysia sedang berdepan
dengan pelbagai budaya yang bertentangan dengan budaya setempat.
Jati diri anak-anak remaja yang masih di bangku sekolah kini
menjadi pertanyaan kerana terdapat petunjuk dimana asas-asas
budaya, agama dan bangsa mulai longgar. Mereka semakin liar dan
terikut-ikut akan gaya hidup dan amalan negatif kehidupan barat
seperti pergaulan bebas dan berseronok-seronok sehingga lewat
malam menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian
dalam kelas keesokan hari. Semua institusi pendidikan menghadapi
cabaran untuk meletakkan anak-anak remaja di landasan moral yang
betul melalui pelaksanaan program-program pendidikan nilai di
sekolah.Aspek yang diteliti adalah aspek berkaitan keperibadian
guru. Guru perlu menampilkan perwatakan yang positif terutama
ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Antara watak yang perlu
diterampilkan supaya menjadi contohan pelajar ialah amanah,
bersopan santun, berdedikasi serta taat kepada tuhan. Aktiviti
kokurikulum seperti badan beruniform, persatuan, kelab, dan
kegiatan sukan dapat memberi input penting kepada pembentukan
sahsiah pelajar. Aktiviti yang dijalankan melalui pemantauan guru
akan menyuburkan sikap positif terhadap semangat kerjasama,
berdikari dan semangat cinta akan negara serta membantu dalam
pembentukan jati diri dan moral pelajar.

Isi 3
Dalam usaha menangani cabaran globalisasi dalam sektor
pendidikan, Malaysia perlu menyediakan segala sumber manusia dan
kelengkapan sosialnya agar dapat membentuk satu daya ketahanan
budaya yang membolehkannya berinteraksi dan bertindak secara
autonomous dalam persekitaran baru ini.Pada abad ini, adalah amat
penting untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih produktif dalam
persekitaran ekonomi baru.

Isi 4
Globalisasi yang asaskan perkembangan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT), pembangunan pendidikan mementingkan budaya
dan penguasaan ICT di kalangan pelajar. Perubahan harus berlaku
dalam system mengajar dan belajar di bilik-bilik darjah yang mana
pendekatan konstruktivisme adalah digalakkan kerana ia dapat
memupuk minat serta menggalakkan pelajar lebih bertanggungjawab
terhadap pembelajaran di samping menerapkan amalan pembelajaran
sepanjang hayat. Penyelidikan yang menyeluruh dan berterusan juga
perlu dibuat terhadap keberkesanan pendekatan konstruktivisme agar
kesan pembudayaan ICT di kalangan generasi muda berlaku secara
berkesan dan berpanjangan.

Isi 5
Ibu bapa merupakan contoh terbaik untuk pembentukan sahsiah diri
anak-anak. Ia bertujuan untuk mencorakkan perwatakan atau
personaliti anak-anak supaya ciri-ciri tingkah laku yang
ditunjukkannya adalah baik dan sesuai dengan kehendak ibu bapa,
keluarga, masyarakat dan negara. Keindahan tingkah laku dalam diri
anak-anak menjamin masa depan yang cerah bagi belia untuk
menjadi seorang pemimpin yang berwibawa kelak. Oleh yang
demikian, peranan ibu bapa dalam cabaran globalisasi masa kini
terutama di Malaysia semakin mencabar. Ibu bapa haruslah menjadi
contoh yang terbaik dalam mengorak langkah bagi membimbing
anak-anak mereka ini. Seawal dalam kandungan lagi, ibu bapa
haruslah cuba untuk menjaga permakanan dan kesihatan agar dapat
melahirkan anak yang baik.

Penutup :
Kesimpulannya, dunia tanpa sempadan ini memaksa industri pendidikan di
Malaysia untuk melalui era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Selain
itu, perkembangan pendidikan di Malaysia yang semakin pesat ini adalah hasil
daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan pendidikan dan
persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat pra sekolah, pendidikan rendah,
menengah dan juga di institusi pengajian tinggi. Kesedaran tersebut adalah implikasi
daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi memajukan diri dalam
menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit. Oleh itu, peranan-peranan
daripada pihak pendidik, ibubapa, dan pelajar itu sendiri amatlah penting bagi
menghadapi transformasi dunia tanpa sempadan ini. Akhir sekali, pihak perancang
pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan
komprehensif. Menyelesaikan masalah secara runcitan dan memberi tumpuan kepada
aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada aspek lain akan menghalang
pelaksanaan pendidikan kita terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan
Kebangsaan itu sendiri.
6.
TEMA : Perkembangan dan Kejayaan Pertanian
TAJUK :

Pendahuluan:

Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, negara kita telah


mengalami pembangunan yang pesat, terutamanya dalam sektor perindustrian.
Rentetan daripada itu, sektor pertanian telah dikesisikan dalam arus pembangunan
sejak 1980-an. Bagaimanapun di bawah Misi Nasional, kerajaan telah meningkatkan
kedudukan sektor ini semula dalam pelan pembangunan negara kita iaitu Rancangan
Malaysia Kesembilan. Hal ini demikian kerana ketika dilanda kegawatan ekonomi
pada tahun 1997 dan1998, minyak kelapa sawit bertindak sebagai penyelamat
ekonomi negara kita. Selain itu kerajaan juga mendapati bahawa negara kita
memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk mengimport makanan sehingga
meningkatkan defisit ekonomi negara kita. Sesungguhnya, banyak makanan dapat
dihasilkan di negara kita melalui sektor pertanian. Persoalan, bagaimanakah kita dapat
meningkatkan sektor pertanian? Kata orang tua-tua, genggam bara api biarlah
sampai jadi arang, semua pihak yang terbabit perlu menggembleng tenaga untuk
menjanakan sektor pertanian di tanah air.

Isi 1
Untuk memajukan sektor pertanian, kaum petani kita perlu
memiliki prakarsa untuk membuat perubahan atau sedia membuat
reformasi terhadap sektor pertanian. Jika kaum petani masih
mengekalkan cara tradisional untuk mengusahakan petanian, nescaya
hasil tanaman atau ternakan mereka hanya sekadar sara diri. Mereka
akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Untuk mengikut rentak
perkembangan sektor industri, petani moden kita perlu
menggunakan ilmu sains dan teknologi yang canggih demi
meningkatkan produktiviti, iaitu menjimatkan penggunaan tenaga
dan meninggikan hasil tanaman yang berkualiti dan berkuantiti.
Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari baka
benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti
padi hibird dapat menjamin penghasilan padi yang banyak dan
berkualiti. Secara holistiknya, kaum petani perlu disuntik semangat
transformasi untuk menggunakan bioteknologi dalam sektor
pertanian.

Isi 2
Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Pertanian dan sektor
swasta perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D)
terhadap sektor pertanian kita. Jurusan Pertanian di Pusat Pengajian
Tinggi (IPT) dan pakar pertanian perlu berkomitmen untuk mengkaji
penggunaan ilmu sains dan teknologi dalam sektor pertanian dan
penternakan. Mereka hendak memastikan bahawa industri hilir dalam
pertanian dapat dimajukan untuk meningkatkan pendapatan kaum
petani seperti lada dapat dijadikan sos cili, ubat pelangsing dan ubat
kesakitan sendi. Sengkuang telah diproses sebagai bahan kosmetik
dan sebagainya. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu, di mana
ada kemahuan, di situ ada jalan. Pegawai Kementerian Pertanian
terutamanya MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia ) sewajarnya menawarkan bengkel atau kursus untuk
memberikan khidmat nasihat serta membekalkan baka benih yang
bermutu kepada petani kita untuk menggunakan bioteknologi yang
canggih.

Isi 3
Untuk menjalankan pertanian secara besar-besaran dan komersial,
skim pinjaman yang berkadar faedah rendah perlu disediakan oleh
bank, terutamanya Bank Agro untuk pekebun kecil . Dengan modal
yang mencukupi, pekebun kita baru dapat membeli mesin yang
canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia untuk
menjalankan pertanian mereka. Sebagai contoh, Bank Agro telah
menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk
mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berasaskan
pertanian. Bak kata peribahasa, ada padi semua kerja jadi; ada beras
semua kerja deras, oleh itu, dengan pinjaman skim mikro, pekebun
kecil kita dapat mengusahakankan pertanian atau penternakan secara
komersial dan saintifik malah berupaya menjalankan IKS.
Walhasilnya, kaum petani tidak akan digelar sebagai golongan
miskin tetapi akan berperanan sebagai usahawan.

Isi 4
Selain itu, sistem pengagihan yang kamil perlu disediakan oleh pihak
berkuasa supaya kaum petani kita tidak lagi dianiayai oleh orang
tengah yang bersikap tamak haloba. Penubuhan koperasi peladang
digalakkan untuk memainkan peranan sebagai pemborong dan
pembekal kepada kaum petani. Petani kita juga digalakkan menyertai
Pasar Tani untuk meningkatkan pendapatan mereka. Sehubungan
dengan itu, pengguna juga dapat membeli hasil tanaman dan
ternakan yang segar dengan harga yang berpatutan. Tindakan ini
dapat memberikan manfaat kepada pihak petani dan pengguna,
seperti peribahasa serampang dua mata. Rentetan daripada itu,
pihak FAMA(Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) harus
mengaturkan strategi yang bersepadu dan bijaksana bagai menarik
rambut dalam tepung untuk menjamin pemasaran produk pertanian
kita. Sistem pengagihan yang teratur dapat memantapkan harga
produk pertanian. Antaranya Kementerian Kebudayaan telah
mengadakan laman web tentang harga borong produk pertanian
supaya kaum petani tidak lagi ditipu oleh pemborong yang tidak
bertanggungjawab.

Isi 5
Sementelahan, agropelancongan merupakan bidang yang patut
dikembangkan dalam sektor pertanian. Kaum petani seyogianya
memperkasakan kemudahan yang tersedia dalam ladang mereka
untuk memajukan sektor pelancongan. Tindakan dapat menjamin
pendapatan yang lumayan. Penginapan yang lengkap seperti bilik
yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari bandar.
Selain menghayati penghidupan kaum petani, pelancong dapat
menikmati buah-buahan tempatan yang lazat, memancing ikan dalam
kolam ikan ternakan, menikmati lauk ala kampung serta berpeluang
untuk mencucuk tanah di samping melegakan fikiran yang kusut. Hal
ini bagai menyelam sambil minum air. Bagaimanapun, pakej
agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada Kementerian
Pelancongan Malaysia, seperti menyeranaikan pengusaha
agropelancongan yang beramanah dalam laman web kementerian
berkenaan. Secara realitinya, inap desa semakin menarik perhatian
pelancong domestik dan luar negara.

Penutup :

Natijahnya, sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya sektor ini


berprestij kepada generasi muda. Pembangunan sektor dapat mengurangkan import
makanan dari luar negeri dan dapat mengelakkan penduduk kampung berhijrah ke
bandar. Tampaknya, perkembangan pertanian mengundang seribu satu kebaikan
kepada negara kita. Masyarakat kita juga perlu menyedari sumbangan, jasa dan
pengorbanan kaum petani kita. Sebaliknya kaum petani kita perlu mengalami
transformasi untuk menjanakan 1 Malaysia.
7.
TEMA : Amalan Pemakanan Seimbang
TAJUK : KEPENTINGAN PEMAKANAN SEIMBANG

Pendahuluan:

Sejak kita mentah lagi dan darah hanya setampuk pinang, kita telahpun dididik
dan diingatkan berulang-ulang kali oleh ibu bapa dan guru tentang kepentingan
pemakanan seimbang. Satu senario yang tidak asing kepada seseorang kanak-kanak
adalah apabila ditegur oleh ibu bapa kerana enggan makan sayur-sayuran dan hanya
ingin menjamah makanan ringan. Terdapat sesetengah pihak yang berpendapat
bahawa pemakanan seimbang tidak begitu vital kepada kesihatan seseorang individu.
Menurut persepsi mereka, kehidupan manusia di muka bumi hanyalah sementara dan
harus dinikmati sepenuhnya. Oleh itu, mereka memandang enteng terhadap
kepentingan pemakanan seimbang. Pandangan ini dapat disangkal dengan mudah
kerana impak pemakanan seimbang terhadap kesihatan dan kebahagiaan seseorang
amat ketara dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia. Namun demikian,
mengapakah masalah obesiti kian bertambah kritikal jikalau kebanyakan komuniti
sedar tentang kepentingan pemakanan seimbang? Kajian terkini mendapati bahawa
33% daripada semua penghuni dunia ini menghadapi masalah obesiti. Statistik ini
amat meruncing kerana hal ini bermaksud terdapat kira-kira 2 bilion orang di seluruh
pelosok dunia yang tergolong dalam kategori obes! Apakah kepentingan pemakanan
seimbang yang harus dikupas dan dibugar secara terperinci hingga ke akar umbi, bagi
menyedarkan dan menginsafkan masyarakat agar lebih peka terhadap diet mereka dan
tidak bersikap bena tak bena terhadap kesihatan dan kebajikan peribadi mereka?

Isi 1
Sebagai pembuka tirai pembincangan ini, salah satu kepentingan atau
faedah pemakanan seimbang yang jelas dan nyata adalah untuk
menjadikan tumbesaran manusia lebih sempurna dari aspek fizikal dan
fisiologi. Tubuh badan akan menerima semua zat yang diperlukan untuk
menjalani aktiviti seharian tanpa menjadi lesu. Oleh itu, seseorang yang
menjaga dan mengawal pemakanannya akan memiliki keadaan fizikal
yang jauh lebih baik berbanding seseorang yang kurang prihatin
terhadap diet dan cara pemakanannya. Zat dan mineral seperti kalsium,
magnesium dan fosforus penting dalam proses pembentukan gigi dan
tulang yang kuat. Kanak-kanak khususnya yang harus mengambil zat-
zat ini dalam kuantiti yang optimum supaya dapat membesar sebaik-
baiknya. Di samping itu, mineral seperti zat besi penting untuk
memastikan sistem peredaran darah seseorang itu efisien dan berfungsi
secara lancar. Kanak-kanak dan remaja memerlukan tenaga dan bahan
mineral secukupnya untuk membesar, bukan sahaja dari aspek lahiriah
seperti ketinggian dan berat badan, malah juga dari segi kelancaran
fungsi organ dalaman dan kecekapan sistem-sistem badan. Sekiranya
pemakanan mereka tidak seimbang, mereka akan mengalami
pertumbuhan yang terbantut serta tidak sempurna. Hal ini akan
memudaratkan kesihatan mereka secara keseluruhannya dan akan
mengakibatkan mereka kurang berkemampuan untuk menghadapi
cabaran dan dugaan hidup. Satu tamsilan yang amat menyayat hati ialah
kanak-kanak yang berada di negara-negara Dunia Ketiga seperti
Ethiopia dan Afrika Selatan yang tidak mempunyai akses kepada
makanan berkhasiat. Oleh sebab tidak berpeluang mengamalkan
pemakanan yang seimbang, kanak-kanak ini tidak dapat membesar
dengan sempurna dan kebanyakannya mereka mempunyai jangka hayat
yang amat pendek, seperti 7 hingga 12 tahun sahaja. Ironinya, ramai
individu di negara yang maju berupaya mengamalkan diet yang sihat
dan berkhasiat, namun mereka enggan bertindak sedemikian.

Isi 2
Bertitik tolak daripada huraian sebelum ini, manfaat lain yang diperoleh
daripada pemakanan seimbang ialah menjamin perkembangan mental
seseorang yang lebih cekap dan berkesan. Kekurangan zat makanan
yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas
atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang
dialami semasa meneroka liku-liku kehidupan. Situasi ini menjadikan
seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan
lebih efektif dan rasional berbanding dengan individu yang seimbang
aspek pemakanannya. Dr Andrew McCulloch dari Mental Health
Foundation telah menjalankan penyelidikan yang mendapati bahawa
pelbagai penyakit mental seperti depresi ( kemurungan ), schizofrenia,
penyakit Alzheimer dan ADHD ( Attention Deficit Hyperactivity
Disorder ) dapat dihindari sekiranya mengambil makanan dan minuman
yang seimbang dan berkhasiat. Menurut beliau, otak manusia sebagai
pusat kawalan seluruh sistem badan juga dipengaruh oleh nutrien-
nutrien yang terdapat dalam diet kita. Kajian saintifik terkini juga
mengeluarkan laporan bahawa mineral seperti kalsium dan sodium
terlibat dalam proses penghantaran impuls dalam sistem saraf badan
kita. Dr McCulloch telah mengutarakan evidens bahawa pemakanan
seimbang dapat mengurangkan tekanan emosi serta meningkatkan
keupayaan seseorang individu untuk menangani dan mengatasi sesuatu
masalah atau pancaroba dengan minda yang tenang dan waras.

Isi 3
Sebagai rentetan daripada perbincangan di atas, pemakanan seimbang
telah terbukti dapat mengurangkan risiko untuk menghidapi pelbagai
penyakit yang berbahaya. Malnutrisi didefinisikan sebagai mempunyai
diet yang tidak seimbang, seperti mengambil nutrien-nutrien dalam
kadar yang terlalu banyak ataupun terlalu sedikit. Makanan ringan yang
digemari ramai mempunyai kandungan kolesterol, garam, gula dan
lemak yang terlalu tinggi. Sekiranya kita terlalu kerap makan makanan
ringan, kita akan mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi penyakit
obesiti, diabetes, hipertensi dan juga strok. Sebaliknya sekiranya kita
kekurangan kalsium, fosforus dan vitamin D dalam diet harian, kita
akan menghidapi penyakit osteoporosis dan osteomalacia, iaitu tulang
dan gigi menjadi lemah dan mudah retak. Seperti yang berlaku kepada
kanak-kanak di negara-negara daif, kekurangan protein akan
menyebabkan penyakit kwashiorkor dan marasmus. Penyakit kanser
juga terbukti dapat dielakkan dengan mengamalkan pemakanan yang
seimbang, terutamanya kanser payu dara, kanser buah pinggang dan
kanser hati. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa jikalau kita
mengambil semua nutrien, bahan mineral dan zat yang diperlukan oleh
tubuh badan dalam kuantiti yang tepat, kita akan mengurangkan risiko
diri untuk dijangkiti berbagai-bagai penyakit yang bukan sahaja
menderitakan malah juga berpotensi membawa maut. Janganlah sampai
nasi menjadi bubur, barulah kita bertindak dan mengambil berat
kepentingan pemakanan seimbang kerana sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tiada gunanya.

Isi 4
Kepentingan pemakanan seimbang yang terakhir namun tidak kurang
signifikannya berbanding kepentingan yang dihuraikan sebelum ini
ialah pemakanan seimbang dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan
perubatan seseorang, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.
Suatu soal selidik yang dijalankan iaitu Consumer Expenditure Survey
2009 telah menganggarkan bahawa setiap individu membelanjakan kira-
kira 6.37% daripada pendapatan bulanan mereka untuk membiayai
perbelanjaan perubatan. Secara amnya, seseorang itu akan
membelanjakan sebanyak US$3,126 (RM9,975) setiap tahun semata-
mata untuk menjelaskan kos perubatan. Pada tahun 2009, kerajaan
Malaysia telah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM13.8 bilion
untuk menampuang segala keperluan dan kemudahan perubatan rakyat
Malaysia. Senario ini tidak harus berlaku, kerana kita sewajarnya
berusaha menjaga kesihatan diri dan tidak bergantung kepada kerajaan
untuk menyelesaikan masalah-masalah kita. Jikalau kita mengamalkan
pemakanan yang seimbang, kita mampu menjimatkan perbelanjaan
perubatan sebanyak beribu-ribu ringgit dan wang tersebut dapat
disimpan untuk masa kecemasan yang lain. Dari aspek ekonomi negara
pula, berbilion-bilion ringgit dapat difokuskan bagi menjana
pembangunan dan perkembangan dalam industri lain seperti industri
pelancongan dan penyelidikan. Sesetengah pihak akan mengemukakan
hujah bahawa pemakanan seimbang tidak begitu penting, kerana sains
dan teknologi moden dalam bidang perubatan menjelang era
pascaglobalisasi ini mampu mengubati hampir setiap penyakit. Memang
benar, bidang perubatan kini semakin canggih hasil daripada daya
intelek golongan saintis dan pakar perubatan. Namun demikian, persis
madah pujangga Melayu ada berbunyi, mencegah lebih baik daripada
mengubati. Dalam konteks ini, peribahasa ini menegaskan bahawa lebih
baik kita menghindari diri daripada menghidapi sesuatu penyakit
daripada mengubati penyakit tersebut selepas dijangkiti. Hal ini juga
dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan kita. Membeli makanan
berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran jauh lebih murah
daripada membeli ubat-ubatan daripada farmasi.

Isi 5
Kita mengakui hakikat bahawa, pemakanan seimbang juga dapat
membekalkan vitamin yang cukup kepada badan seseorang. Keperluan
vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih sihat dan
cergas. Sebagai contoh, vitamin c amat diperlukan untuk kesihatan kulit.
Vitamin ini sangat mustahak untuk tulang dan gigi, untuk pembuluh
darah, dan penyembuhan luka. Vitamin C juga membantu dalam proses
metabolisme beberapa jenis asid amino dan hormon. Keseimbangan
vitamin ini turut mengandungi antioksida, dengan membantu badan
mengeluarkan kumuhan karcinogenik hasil dari proses metabolisme
yang digelar sebagai radikal bebas. Antara pemakanan seimbang yang
terdapat dalam piramid makanan ialah buah-buahan, sayur-sayuran dan
bijirin. Oleh itu, keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan manusia
lebih sihat.

Penutup :

Tuntasnya, kepentingan pemakanan seimbang amat jelas dan ketara dalam


kehidupan seharian setiap manusia di permukaan bumi ini. Sebelum meletakkan mata
pena dan menulis noktah terakhir, seruan saya ialah kita mestilah sedar bahawa tabiat
pemakanan kita bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap kesihatan fizikal kita,
malah akan meninggalkan implikasi terhadap kesihatan kita secara holistik. Pepatah
ada mengatakan, Diri Anda ialah Apa yang Anda Makan dan kenyataan ini benar
dalam soal kesihatan. Memang tidak payah untuk mengamalkan diet yang sihat dan
seimbang. Kita perlulah membina jadual pemakanan yang terancang berdasarkan
Piramid Makanan serta mematuhi arahan doktor. Andai kata semua warganegara
Malaysia berganding bahu dan bersama-sama mempraktikkan diet dan pemakanan
yang seimbang, bukan sahaja individu malah masyarakat dan negara yang akan
menerima kesan positif daripada usaha kolaboratif ini. Akhir kata, marilah kita semua
mengamalkan pemakanan seimbang supaya negara dan juga dunia kita ini akan lebih
sihat dan cergas, sekali gus melahirkan masyarakat yang cemerlang dan berakal tajam,
kerana badan sihat, otak cerdas.

Anda mungkin juga menyukai