Anda di halaman 1dari 1

Membaca itu jambatan ilmu,” merupakan satu kata-kata hikmat yang jelas menunjukkan kepentingan amalan

membaca dalam hidup kita. Kendatipun begitu, kata-kata hikmat ini sering dipandang enteng oleh sebahagian besar
masyarakat Malaysia terutamanya para remaja yang akan menjadi pemimpin negara pada suatu masa kelak.
Masyarakat Malaysia sering kali menganggap bahawa amalan membaca itu bukan sekadar untuk lulus peperiksaan
semata-mata tetapi juga untuk mengetahui keadaan semasa, meluaskan ilmu pengetahuan dan sebagainya. Oleh
hal yang demikian, setiap pihak haruslah melaksanakan obligasi masing-masing untuk memupuk tabiat suka
membaca dalam kalangan rakyat Malaysia
Selain itu, pihak kerajaan juga memainkan peranan untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan masyarakat
Malaysia. Dalam hal ini, pihak kerajaan bolehlah mengadakan kempen-kempen yang menggalakkan amalan
membaca. Pihak kerajaan seharusnya menggunakan sebahagian daripada pendapatan negara untuk memupuk
minat membaca dalam diri masyarakat Malaysia. Bagi golongan miskin pula, dalam menjayakan kempen memupuk
budaya membaca ini, pihak kerajaan bolehlah membantu warga miskin ini dengan memberikan buku-buku percuma
kepada mereka. Dengan adanya buku-buku mahupun bahan-bahan bacaan yang percuma, pasti kempen ini dapat
dijayakan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana tidak timbul lagi masalah ketiadaaan bahan bacaan dalam kalangan
masyarakat Malaysia. Pihak kerajaan juga seharusnya tidak memandang enteng terhadap usaha mengadakan
kempen untuk memupuk minat membaca dalam diri masyarakat kerana dengan adanya usaha yang bersungguh-
sungguh dan beristiqamah oleh pihak kerajaan, pasti matlamat kudsi kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang
minat membaca dapat diwujudkan. Pihak kerajaan seharusnya tidak takut akan kegagalan usaha mereka ini, seperti
kata-kata Phytagoras, “ kegagalan bukanlah bererti kemusnahan tetapi jadikanlah kegagalan itu sebagai lanjakan
untuk mencapai kejayaan”. Oleh itu, wajarlah pihak kerajaan mengadakan kempen untuk memupuk minat membaca
dalam diri masyarakat kerana “ belum cuba, belum tahu.”

Peranan penerbit buku itu sendiri penting untuk menarik minat para pembaca. Mereka seharusnya lebih peka dalam
menjadi kanak-kanak dan pelajar sekolah sebagai sasaran mereka. Penerbit-penerbit buku perlu bijak menggunakan
kecenderungan ataupun kegemaran generasi muda masa kini. Sebagai contoh, minda anak-anak akan lebih tertarik
dengan buku-buku yang mempunyai gambar dan berwarna-warni. Hal ini adalah kerana anak-anak mempunyai daya
imaginasi yang tinggi dan sudah pasti mereka mahukan sesuatu bahan bacaan yang berwarna-warni agar mereka
dapat berimaginasi. Selain itu, genre buku yang digemari para pelajar ataupun remaja pula perlu diambil berat.
Remaja masa kini gemar akan buku-buku dan novel-novel yang berbentuk seram dan mencabar minda mereka.
Saya berpendapat bahawa genre-genre buku yang baik mampu menarik minat masyarakat kita untuk membaca.
Oleh sebab itu, pihak penerbitan buku perlulah mengambil langkah dengan kadar segera untuk menjadikannya satu
realiti.
Media massa juga berperanan penting untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Media
massa seperti televisyen, internet, radio dan sebagainya penting dalam menghebahkan kepada masyarakat tentang
kepentingan tabiat membaca. Dalam hal ini, pihak-pihak yang terlibat seperti penerbit stesen televisyen haruslah
mengadakan satu dokumentasi yang memaparkan kepentingan membaca dalam kehidupan dan menayangkannya di
televisyen. Dengan ini, masyarakat yang cetek ilmu tentang kepentingan membaca akan lebih tahu mengapa
membaca itu penting dalam kehidupan mereka. Drama pendek yang berkaitan dengan kepentingan membaca juga
boleh dipertontonkan di televisyen kerana mesej yang disampaikan oleh drama-drama yang ditayangkan di
televisyen akan meresap dengan lebih mudah dalam jiwa masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana, jiwa
masyarakat selalunya lebih tertarik dengan dunia hiburan. Jadi, sebagai pihak media massa yang prihatin, mereka
seharusnya lebih kreatif dalam melaksanakan usaha untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan masyarakat
Malaysia agar Malaysia terus maju seiring dengan arus globalisasi.
Akhirulkalam, semua pihak haruslah berganding bahu untuk memupuk minat membaca dalam diri masyarakat dan
tidak melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak kerajaan semata-mata kerana “ muafakat membawa berkat.”
Semua pihak haruslah bersikap, “ bagai aur dengan tebing” dalam menjayakan usaha untuk memupuk minat
membaca dalam kalangan masyarakat. Sebagai rakyat Malaysia pula, kita seharusnya turut mempunyai inisiatif
dalam mengubah diri bagi memupuk minat membaca dlam diri kita sendiri kerana “ di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan.” Janganlah kita terlalu mengharapkan pihak lain dalam membentuk peribadi kita kerana segala-galanya
yang berlaku adalah pilihan kita sendiri.

Anda mungkin juga menyukai