Anda di halaman 1dari 2

Contoh Teks Pidato Pidato Peringkat Daerah Tawau REMAJA BERWAWASAN ASPIRASI NEGARA Bismillahirahmanirahim....

.. Cuba kita fikir sejenak, Nik Nurmadimah melakar sejarah apabila mancapai 20A dalam keputusan SPM. Datuk Seri Najib, menyerlahkan karisma kepemimpinan semasa remaja sehingga menjadi menteri kabinet termuda dalam menerajui negara. Seterusnya, keunikan zaman remaja Rasulullah menjadikan baginda layak digelar suri teladan sejati. Fikir-fikirkan.

Teraju pimpinan majlis nan budiman, panel juri penjunjung kesaksamaan, penjaga masa penghitung detik perjalanan, dan warga dewan yang dimuliakan. Assalamualaikum, salam ukhwah bersulam kemesraan. Remaja Berwawasan Aspirasi Negara. Begitulah indahnya tajuk pidato yang saya sampaikan pada pagi ini. Sebelum saya melangkah lebih jauh, izinkan saya mendefinisikan beberapa kata kunci. Secara konseptualnya, Remaja Berwawasan, ditakrifkan sebagai golongan muda yang berpandangan jauh tentang kemajuan atau perkembangan masa depan sesuatu institusi. Aspirasi Negara pula diertikan sebagai keinginan yang kuat sesebuah pentadbiran. Secara holistiknya, Remaja Berwawasan Aspirasi Negara merupakan hasrat Negara untuk melahirkan golongan muda yang berpandangan jauh. Sidang saksi bermisi, Tirai pidato ini saya singkap dengan mengutarakan hujah pertama di bawah frasa remaja cemerlang, negara gemilang. Adik Norul Aina buktinya, yang hanya berusia 15 tahun telah dilantik sebagai peyelidik Mesir Kuno oleh Persatuan Pelancongan Angkasa Antarabangsa berkaitan penciptaan bekas makanan untuk para angkasawan dunia. Beliau menjadi contoh remaja cemerlang yang menjulang nama negara. Remaja berwawasan juga menjadi generasi pelapis menerajui kepemimpinan negara pada masa depan. Slogan pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa menunjukkan di tangan remaja terletak nasib rakyat dan di dalam keperwiraan mereka terletak survival bangsa. Sesuai dengan apa yang diungkapkan oleh Saidina Umar Al-Khattab Barangsiapa yang menggenggam nasib sesuatu bangsa, maka gengamlah para pemudanya. Kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh membuka Kota Konstantinopel pada umur 20-an jelas membuktikan remaja juga mampu memimpin Negara, walaupun baru berusia setahun jagung, darah setampuk pinang. Tidak dapat disangkal lagi, kepemimpinan negara akan terus terpelihara di tangan remaja berwawasan demi menjana pembangunan negara. Sidang penonton yang penuh santun, Hujah kedua menyusul tiba di bawah premis remaja dinamik bersemangat patriotik. Remaja Berwawasan dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi perlulah mempunyai kefahaman yang

mendalam tentang maruah, identiti bangsa dan kedaulatan negara. Rasulullah s.a.w bersabda cintakan negara sebahagian daripada iman. Menurut sejarah, kebangkitan sesebuah bangsa bermula dengan hamasah as-syabab iaitu semangat kepemudaan. Kebangkitan ini wujud kerana pemuda merupakan agen perubah. Sebagai contoh, di Indonesia sumpah pemuda merupakan manifestasi generasi muda yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama bagi menjulang prestasi bangsa dalam menentang kolonialisme Belanda. Hal ini menjadi landasan utama dalam pembentukan Republik Indonesia. Sehubungan itu, sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dapat kikis dengan semangat kekitaan. Sebagai iktibar daripada peristiwa tersebut, kita memerlukan remaja yang bersifat patriotik agar negara akan terus terjamin dari diganggu-gugat oleh anasir luar. Warga dewan yang dikasihi sekalian, Kita teruskan dengan hujah ketiga. Remaja bestari pencipta teknologi. Professor Emiratus Datuk Dr. Khoo Kay Kim pernah berkata, pelajar perlu bijak mengemukakan idea-idea baru, bukannya mengulangi idea yang sedia ada. Aspirasi ini sesuai dengan hasrat PIPP bagi melahirkan modal insan berilmu serta menguasai bidang sains dan teknologi agar mampu berdaya saing di persada dunia. Najmil Faiz buktinya, berjaya mencipta teknologi nano yang membolehkan sektor perkilangan dan pembuatan di seluruh dunia menjimatkan kos berbilion ringgit. Kejayaan beliau merupakan titik permulaan untuk meletakkan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan Negara-negara maju yang lain menjelang tahun 2020. Sidang dewan kluster ilmuan, Hujah keempat, bertunjangkan premis remaja berkeperibadian mulia, pemimpin berwibawa. Cabaran Wawasan 2020 ingin mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh ibarat kapal tanpa nakhoda. Oleh itu, remaja perlu memiliki nilai moral yang tinggi, berdisiplin dan berakhlak mulia bagi melahirkan pemimpin yang membawa kecemerlangan bangsa. Kita tidak mahu mewujudkan negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi rakyatnya muflis nilai murni, kerana manusia bukanlah haiwan robotik, sebaliknya perlu dipupuk dengan nilai keagamaan dan kerohanian serta didukung oleh nilai etika yang tinggi melalui peranan pemimpin yang berwibawa. Buktinya, Perdana Menteri Malaysia ke-4 melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni bagi melahirkan generasi berkeperibadian mulia tanpa dilemahkan dengan cara hidup moden, sesuai dengan resmi padi, lagi berisi lagi runduk, kerana sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa. Sidang dewan penggerak wawasan, Demi merealisasikan visi Wawasan 2020, marilah menghayati pesanan Tun Dr. Mahathir Mohamad, masa depan sesebuah negara ditunjangi melalui sifat-sifat yang ditunjukkan oleh remaja yang tinggal di sesebuah negara. Konklusinya, berdasarkan hujah-hujah yang telah saya utarakan, jelaslah bahawa, remaja berwawasan merupakan hasrat negara dan menjadi satu elemen penting untuk sesebuah negara dalam meraih kemajuan hingga ke peringkat global. Jadilah Remaja Berwawasan Aspirasi Negara. Sekian, mohon permisi.

Anda mungkin juga menyukai