Anda di halaman 1dari 4

ESEI BERFORMAT CERAMAH

3. CERAMAH

(a) Format ceramah

Esei berformat ceramah mestilah mengandungi aspek yang berikut:

(i) Kata alu-aluan

(ii) Kata sapaan

(iii) Penutup

(b) Contoh soalan

Anda sebagai pegawai kanan di Kementerian Belia dan Sukan diminta untuk menyampaikan ceramah
kepada sekumpulan belia dalam satu majlis Perhimpunan Hari Belia Peringkat Negeri. Fokus ceramah
anda tentang fungsi sukan dalam pembangunan negara. Sediakan teks ceramah tersebut selengkapnya.

(c) Contoh skema jawapan

Esei hendaklah ditulis berdasarkan format ceramah, yang mengandungi kata alu-aluan, kata sapaan, dan
penutup yang sesuai. Perenggan 1 mengandungi kata alu-aluan dan tajuk sahaja, manakala perenggan 2
mengandungi pendahuluan karangan.

Pendahuluan

 Pengenalan tajuk

 Kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan infrastruktur sukan.

 Sukan mendatangkan manfaat kepada individu dan negara.

Isi (Fungsi sukan dalam pembangunan


negara)
Membantu peningkatan produktiviti dan
IS1 seterusnya membantu pembangunan negara

IS2 Melahirkan golongan remaja yang berkualiti


yang dapat memberikan sumbangan
terhadap pembangunan negara

IS3 Memupuk persahabatan dan perpaduan


dalam kalangan rakyat di sesebuah negara

IS4 Memajukan industri pelancongan di negara


yang berkenaan

IS5 Meningkatkan imej negara

Kesimpulan

 Aktiviti sukan penting bukan sahaja untuk melahirkan anggota masyarakat yang berkualiti tetapi juga
dapat membantu pembangunan negara.

 Setiap anggota masyarakat seharusnya menjinakkan diri dengan sukan yang sesuai dengan minat,
kebolehan, dan keupayaan masing-masing.

 Usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai agar bersukan hendaklah dilaksanakan dari semasa
ke semasa.

Contoh esei
Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan. Yang Berbahagia, Tuan Haji Abu bin Bakar,
Pengarah Belia dan Sukan Negeri Perak; Yang Berusaha Encik Kamal bin Arifin, Pengerusi Perhimpunan
Hari Belia Peringkat Negeri Perak; dif-dif kehormat; para atlet; dan hadirin yang dihormati. Pada
kesempatan ini, saya akan memperkatakan fungsi sukan dalam pembangunan negara.

Kebanyakan anggota masyarakat di negara ini meminati sukan. Menyedari hakikat inilah kerajaan
telah membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan infrastruktur sukan kepada orang ramai.
Kini, padang permainan, dewan badminton, gelanggang olahraga, dan kemudahan sukan yang lain
dibina di kawasan tertentu. Kesediaan pihak kerajaan berbuat demikian adalah atas kesedaran bahawa
sukan bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada individu tetapi juga memberikan sumbangan ke
arah pembangunan negara.

Pakar-pakar kesihatan mengakui bahawa aktiviti sukan penting untuk kesihatan. Hal ini dikatakan
demikian kerana semasa bermain bola sepak, badminton, dan olahraga misalnya, semua organ dalam
badan seseorang menjadi aktif. Jantung akan berfungsi dengan baik. Pembakaran lemak juga berlaku
dan badan akan mengeluarkan peluh. Dengan demikian, masalah lebihan lemak dalam badan dapat
dielakkan dan badan menjadi sihat. Kesihatan fizikal akan mempengaruhi kesihatan mental individu.
Masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental dapat menjalankan tugas dengan baik dan seterusnya
membantu pembangunan negara.

Hadirin yang dimuliakan,

Masa lapang seseorang dapat dimanfaatkan dengan bersukan kerana aktiviti ini lazimnya dijalankan
pada waktu yang terluang. Dengan cara demikian, anggota masyarakat tidak membuang masa pada
perkara yang tidak berfaedah. Golongan remaja tiada kesempatan untuk melepak, menganggotai
kumpulan gangster, dan melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah. Tegasnya, aktiviti sukan dapat
mengurangkan gejala sosial dalam kalangan anak muda, seterusnya dapat melahirkan golongan remaja
yang berkualiti yang dapat memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara.

Sukan juga dapat memupuk persahabatan dan perpaduan dalam kalangan rakyat di sesebuah negara.
Apabila sesuatu jenis sukan diwakili oleh peserta daripada pelbagai kaum, mereka sudah tentu akan
bekerjasama dan saling membantu untuk mencapai satu matlamat, iaitu kejayaan. Semasa berada
dalam satu kumpulan, timbul perasaan kekitaan atau espirit de corp dalam kalangan mereka. Semangat
ini amat penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara kita. Selain itu, perpaduan turut dapat
disemai dalam kalangan penonton apabila mereka menyokong pasukan yang sama. Nilai perpaduan ini
menjadi landasan untuk rakyat membangunkan negara.

Hadirin yang dimuliakan,

Apabila sesebuah negara terpilih menjadi tuan rumah bagi acara sukan yang bertaraf antarabangsa,
negara yang berkenaan akan dikunjungi oleh pemain, pegawai, wartawan, dan penyokong dari pelbagai
negara. Mereka sudah tentu akan berbelanja sepanjang berada di negara yang berkenaan. Pengaliran
wang asing yang berlaku tentu sekali menguntungkan negara. Apabila pulang, mereka akan
mempromosikan tempat-tempat yang menarik di negara tuan rumah kepada rakan-rakan. Dalam jangka
panjang, situasi ini dapat memajukan industri pelancongan di negara yang berkenaan.

Selain itu, imej negara dapat ditingkatkan melalui sukan. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila
sesebuah negara mengambil bahagian dalam sukan yang bertaraf dunia, nama negara yang berkenaan
akan dikenali, apatah lagi sekiranya negara yang berkenaan mengungguli sesuatu permainan. Sebagai
contoh, negara Brazil sinonim dengan bola sepak dan Malaysia pula dikaitkan dengan kehebatan dalam
sukan badminton. Kejayaan sesebuah negara menganjurkan sukan yang bertaraf dunia turut
mengharumkan nama negara. Contohnya, keupayaan Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 1998
secara tidak langsung mencelikkan mata masyarakat antarabangsa tentang keupayaan negara kerdil ini
menganjurkan sukan yang bertaraf dunia.

Kesimpulannya, aktiviti sukan penting bukan sahaja untuk melahirkan anggota masyarakat yang
berkualiti tetapi juga dapat membantu pembangunan negara, seterusnya meningkatkan imej negara.
Menyedari kepentingan inilah, setiap anggota masyarakat seharusnya menjinakkan diri dengan sukan
yang sesuai dengan minat, kebolehan, dan keupayaan masing-masing. Sehubungan dengan itu, usaha
untuk meningkatkan kesedaran orang ramai agar bersukan hendaklah dilaksanakan dari semasa ke
semasa. Matlamat ini akan tercapai seandainya kita menghayati cogan kata “Majulah Sukan untuk
Negara.”

Sekadar inilah ceramah saya pada pagi ini. Seandainya terkasar bahasa, maaf saya pinta. Sekian, terima
kasih.

Anda mungkin juga menyukai