Anda di halaman 1dari 3

Peranan Pelbagai Pihak Untuk Memupuk Minat Bersukan Dalam

Kalangan Remaja

Soalan : Minat bersukan dalam kalangan remaja pada hari ini semakin
berkurangan. Huraikan peranan pelbagai pihak untuk memupuk minat
bersukan dalam kalangan remaja.

“Berikan saya sepuluh remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,”
begitulah lontaran suara Presiden Indonesia, Soekarno tentang kepentingan remaja
yang merupakan tiang sandaran konkrit untuk memacu kemajuan negara pada masa
hadapan. Malaysia amat memerlukan remaja berwawasan menelusuri arus
pemodenan untuk melangkah dengan seribu kekuatan menerusi aktiviti sukan.
Usaha murni Kementerian Pelajaran mewajibkan Program 1Murid 1Sukan menuntut
setiap anak watan mengotakan aspirasi ke arah menjulang negara ke puncak jagat
untuk membentuk generasi muda yang sihat, proaktif, dan berdaya saing. Namun
sayang seribu kali sayang, minat bersukan dalam kalangan remaja pada hari ini
semakin berkurangan. Aspirasi yang diwara-warakan oleh kerajaan tidak mampu
direalisasikan sekiranya semua pihak memandang enteng dengan sekadar
membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap permasalahan ini dalam
mengharungi masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan. Memetik
ungkapan badan sihat, otak cerdas, semua pihak perlu mengorak langkah mengatur
langkah sederap berasaskan rasa tanggungjawab bersama bagai aur dengan
tebing untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan remaja.Persoalannya,
apakah peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak untuk
mengembalikan minat remaja untuk bersukan?

Dunia semakin canggih, taraf hidup masyarakat semakin meningkat dan hal ini
menuntut rakyat saling bersaing bagi membuktikan keunggulan masing-masing
setelah lima dekad menghirup udara kemerdekaan demi mengharumkan nama
negara tercinta. Remaja memainkan peranan utama bagi membuktikan
keupayaan mereka mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan
berkembang dalam mengetengahkan semangat kesukanan sebagai asas
pembentukan masyarakat sakinah dan membenam budaya hedonistik yang tidak
berfaedah. Kesedaran remaja amat diperlukan agar dapat menyerlahkan potensi dan
bakat mereka dalam bidang sukan yang mampu membina kekuatan dan sahsiah diri.
Dunia memandang tinggi terhadap pencapaian generasi muda yang aktif bersukan
menerusi penganjuran Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan SEA yang cukup
berprestij bagi melahirkan atlet pelapis yang berwibawa. Remaja tidak harus
menafikan bahawa mereka memikul peranan yang cukup besar untuk meningkatkan
imej negara di mata dunia. Lihatlah hari ini Malaysia cukup berbangga dengan
lahirnya permata negara seperti Datuk Lee Chong Wei, jaguh badminton negara dan
Pandalela Rinong, perenang wanita negara yang seharusnya dijadikan ikon oleh para
remaja untuk berkecimpung dalam lapangan sukan yang ternyata banyak

1
manfaatnya. Negara juga bertuah memiliki sebutir bintang bernama Datuk Nicol
Ann David yang kini gah merangkul gelaran Ratu Skuasy Dunia. Rekod kejayaan
cemerlang para atlet negara perlu dijadikan sebagai motivasi dan pembakar
semangat remaja agar lebih meminati aktiviti sukan di samping usaha kental yang
mungkin dapat menjadikannya laluan kerjaya suatu hari nanti kerana kalau
tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Ibu bapa menjadi cerucuk utama pembangunan keluarga dalam


melahirkan remaja yang minat bersukan. Ibu bapa merupakan guru pertama dalam
kehidupan anak-anak yang usianya masih setampuk pinang dan tidak mampu
membezakan antara intan dengan kaca. Sebagai suri teladan, ibu bapa sewajarnya
menunjukkan minat bersukan yang mendalam agar tidak dikatakan seperti
aforisme seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Ibu bapa seharusnya
mempengaruhi minda generasi muda untuk menjadikan aktiviti sukan sebagai rutin
harian sejak kecil seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tamsilnya, anak-
anak seharusnya dibawa oleh ibu bapa untuk bersama-sama ke kompleks sukan
untuk bermain badminton, berenang, dan sebagainya bagi memantapkan nilai-nilai
kesukanan dalam jiwa remaja dan mengeratkan wasilah kekeluargaan. Nasihat yang
berguna tentang maslahat aktiviti sukan haruslah ditekankan oleh para ibu bapa
agar persepsi negatif anak-anak terhadap bidang tersebut dapat dikikis. Sebaliknya
sukan bukan sahaja menjanjikan kemantapan fizikal malah membina keyakinan
mental yang positif dalam kalangan remaja. Dengan kata lain, ibu bapa memainkan
peranan penting dalam menampilkan wajah baru anak-anak yang disulami tekad
untuk bersukan demi keseimbangan jasmani dan rohani diri.

Peranan seterusnya dalam memupuk remaja meminati sukan digalas oleh


pihak sekolah yang seyogianya memastikan semua pelajar menyertai aktiviti
sukan dan kokurikulum di sekolah. Meskipun dasar 1Murid 1Sukan diwajibkan di
semua sekolah, namun pihak Sekolah harus membimbing pelajar-pelajar memenuhi
impian agar tiada pelajar yang tidak melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Pihak
sekolah harus membetulkan tanggapan pelajar yang masih terbelenggu dengan cara
berfikir yang sempit bahawa aktiviti sukan kononnya hanya untuk atlet sekolah dan
mereka yang bercita-cita untuk menceburi bidang sukan sahaja serta mengganggu
tumpuan pembelajaran. Guru-guru juga sewajarnya menjalankan obligasi dengan
mendedahkan kepentingan bersukan seperti menyertai Kelab Hoki, Kelab Olahraga
dan sebagainya bagi keperluan 10 peratus markah kemasukan pelajar ke universiti.
Pelajar-pelajar harus diterapkan hakikat bahawa kelulusan akademik semata-mata
bukanlah tiket jaminan untuk mereka berjaya menempatkan diri di menara gading
jika tidak diseimbangkan dengan kecemerlangan dalam arena sukan. Tindakan tegas
juga haruslah diambil oleh guru-guru penasihat sekiranya para pelajar gagal
menghadirkan diri dalam aktiviti kokurikulum di sekolah tanpa mengemukakan
alasan yang munasabah. Oleh yang demikian, kesedaran terhadap kepentingan

2
penglibatan para pelajar perlu dibajai kembali oleh pihak sekolah demi
membangunkan generasi yang berketrampilan, bersahsiah mulia, dan berilmu.

Seorang cendekiawan Barat pernah memfasiqkan, “Pokok utama kemajuan


seseuatu bangsa ialah jiwa yang hidup”. Berlandaskan kata-kata tersebut maka
kerajaan harus menjalankan peranan dengan membina lebih banyak infrastruktur
seperti pusat sukan dan taman rekreasi secara percuma bagi membolehkan rakyat
terutamanya remaja berpeluang melakukan pelbagai aktiviti sukan untuk
menghidupkan semula budaya sukan dalam atma mereka. Keprihatinan kerajaan
dengan menubuhkan sekolah-sekolah sukan di seluruh negara menjadi landasan
terbaik untuk menyuburkan minat bersukan dalam kalangan anak-anak muda
memaksimumkan kemampuan mereka. Kerajaan juga sewajarnya menumpukan
usaha dengan mencari jurulatih berpengalaman untuk membentuk ahli sukan
bertaraf dunia. Biasiswa sukan juga wajar diperluas kepada lebih ramai pelajar yang
mempunyai pencapaian cemerlang dalam bidang sukan di samping peluang untuk
berkhidmat dalam bidang tersebut bagi menggalakkan remaja lebih serius meminati
sukan. Oleh itu, kerajaan dapat memajukan taraf bangsa dengan menyediakan
prasarana sukan mencukupi agar dijadikan sumber inspirasi remaja agar dapat
menggapai cita yang luhur.

Akhirulkalam, hulurkan tanganmu, bukalah hatimu dan lapangkanlah


mindamu untuk bersama-sama menyokong hasrat murni ke arah hidup sihat
sejahtera kerana sukan memajukan masyarakat dan negara. Generasi pelapis yang
memiliki minda kelas pertama dan jati diri unggul akan sentiasa mengutamakan
kesejagatan dalam hidup dengan menjadikan sukan sebagai amalan hidup agar nilai
keinsanan yang syumul dapat dipupuk kerana pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara. Manhaj-manhaj yang istiqamah, proaktif, pragmatik, dan jitu mestilah
digerakkan mulai sekarang kerana perjalanan beribu batu bermula dari
langkah yang pertama.

Peranan pelbagai pihak. Siapa????


1) Remaja sendiri
2) Ibu bapa
3) Pihak sekolah
4) Kerajaan

Anda mungkin juga menyukai