Anda di halaman 1dari 17

LANGKAH-LANGKAH

MENINGKATKAN MUTU SUKAN


NEGARA
Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam pertandingan
kelayakan Piala Dunia kepada pasukan Singapura serta tumbangnya
jagoan badminton negara Datuk Lee Chong Wei, dalam Kejohanan
Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa
mutu sukan Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi
mengambil kira prestasi sukan-sukan teras yang lain seperti hoki,
olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet
negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun
antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam
kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya
gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan
gelaranjaguh kampung, ataupun atlet kita kurang bermotivasi
apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa-apapun
pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh
perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar
kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan
negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan
merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah
persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan sukan di
Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan
seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki
Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara sebulat suara ini,
sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari
pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan
memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan
sukan dan atlet telah dianaktirikan. Kedangkalan pengetahuan tentang
bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku,
mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini,
mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah
menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka
dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya
ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya
barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan
laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang
bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan
negara, persis kata pujangga, hanya jauhari yang mengenal
manikam.

Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu


diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet
yang berdaya saing. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan
telah menyediakan peruntukan yang cukup untuk menyokong
program-program pembangunan sukan di negara ini seperti
penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara
(ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal
seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan
sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan,
Datuk Sabri Chik pernah menegur tentang cara pemakanan para
pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan
Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet.
Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih
menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan
menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu
sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang
berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992,
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya bergantung
kepada gandingan emas, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, serta
Datuk Lee Chong Wei. Misi pencarian pelapis baru masih lagi gagal.
Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk
kita terus berusaha. Dengan penggemblengan usaha dan iltizam semua
pihak, pastinyasinar di hujung terowong dapat dijelmakan untuk
mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan


kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih
kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha
memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri dalam situasi
pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak
mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan
menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain
sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang
berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai
kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka
seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian jaguh
badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu squasy negara,
Datuk Nicole Ann David sehingga membolehkan mereka berada pada
kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca
daripada penyertaan yang aktif dalam pertandingan peringkat
antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan
tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, ibarat
melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya, menuntut iltizam dan kerja
keras semua pihak sama ada dalam kalangan atlet, pihak-pihak
berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.
Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlulah
berperanan mencungkil bakat-bakat muda daripada peringkat
sekolah lagi. Kita sedia maklum bahawa para pelajar di seluruh
negara begitu ramai yang mempunyai bakat yang terpendam dalam
bidang sukan. Buktinya semasa kejohanan sukan di peringkat sekolah,
daerah, negeri dan kebangsaan, kita dapati ramai pelapis muda yang
berbakat dan berpotensi. Namun bakat mereka tenggelam begitu
sahaja setelah tamat zaman persekolahan. Oleh hal yang demikian
pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu berkerjasama dengan
Kementerian Belia dan Sukan serta badan-badan sukan untuk
menggilap bakat-bakat muda ini hingga mampu bersaing di peringkat
antarabangsa. Penubuhan sekolah-sekolah sukan seperti Sekolah
Sukan Sultan Abdul Jalil, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail
(SSTMI) Bandar Penawar dan merupakan satu alternatif bijak agar
kita tidak ketandusan pelapis dalam bidang sukan negara pada masa
akan datang.

Pengambilan jurulatih serta pemain import juga merupakan


suatu usaha yang positif ke arah meningkatkan mutu sukan
negara. Hal ini demikian kerana para atlet serta ahli sukan mendapat
bimbingan serta tunjuk ajar berterusan daripada jurulatih yang
berwibawa. Para pemain dapat didedahkan dengan teknik, serta
kemahiran bertaraf dunia agar pemain kita dapat duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain di peringkat
dunia. Selain itu, para pemain juga akan mendapat rakan pelatih
atau sparing partner yang bertaraf dunia. Dengan pendedahan serta
latihan intensif ini sudah pasti para atlet mampu bersaing atau
bertanding di peringkat antarabangsa. Tindakan FAM untuk
mengambil pemain-pemain import semula dalam Liga Bola Sepak
Malaysia merupakan usaha serampang dua mata, iaitu untuk
meningkatkan mutu sukan negara serta menyemarakkan sokongan
peminat sukan kepada pasukan pilihan mereka. Jelaslah bahawa
pengambilan jurulatih dan pemain import bukan sahaja meningkatkan
prestasi atlet atau ahli sukan, malahan dapat meningkatkan imej
negara di mata dunia.

Konklusinya, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya


dibiarkan berlanjutan kerana hal ini sedikit banyak berkaitan dengan
maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia
kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh empat
tahun, seharusnya telah mematangkan prestasi kita dalam bidang
sukan. Tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti
Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan
diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta
mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan
kerjasama erat semua pihak bagai aur dengan tebing, misi untuk
melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir
bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Peribahasa
Melayu ada menyatakan pengayuh sudah ada di tangan, perahu
sudah ada di air, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian
26 juta rakyat Malaysia. Semoga slogan, Majulah Sukan Untuk
Negara dapat diimplementasikan.
USAHA-USAHA INDIVIDU (ANDA)
MEMUPUK AMALAN MEMBACA
Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan
ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan
vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah
kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang
boleh mereka lakukan khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan menghubungkan antara
manusia dengan segala ilmu pengetahuan. Namun begitu, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua
buah buku setahun berbanding bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari
formula terbaik persis mutiara kata “yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan muafakat”
untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, sebagai seorang pelajar dan remaja, kita perlulah
mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan amalan membaca itu amalan hidup.

Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya perlulah rajin pergi ke
perpustakaan. Marcapada, Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai
jenis perpustakaan, tamsilnya perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di
perpustakaan yang dikunjungi, saya dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu
pengetahuan. Saya akan sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca walaupun memaklumi
bahawa perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat
diteroka. Walaupun sekadar membaca sebuah buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang diperoleh amat besar
nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau
perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri,
saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ bertepatan dengan kata peribahasa sambil
menyelam minum air. Ternyata pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa
terdorong untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, amat bersesuaian untuk
saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan membaca. Kata-kata hikmat di atas akan diperjelaskan serta
dibahaskan dari perspektif menyediakan sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa
perubahan diri sendiri merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan membaca sebagai
amalan dalam kehidupan. Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut
bacaan atau perpustakaan mini di rumah untuk kegunaan semua ahli keluarga. Situasi ini akan menggalakkan serta
mendorong kami sekeluarga supaya berjinak-jinak dengan bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan dalam
minda setiap anggota keluarga. Sementalahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul buku yang menarik dan
sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya “bed story” sebelum tidur. Neville Black, seorang ahli
falsafah Barat, berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah aset yang paling dominan sekiranya kita ingin
bersaing dengan pihak lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan
membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas pertama. Berdasarkan
perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan membaca dalam diri sekali gus menjadi suri
teladan kepada adik-adik saya.

Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal
ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui
program ini, saya perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya
direkodkan dalam buku NILAM. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan
bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili
sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam program ini juga
terdapat tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan seterusnya
berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya pelajar lain juga akan turut sama menjadikan amalan membaca sebagai
satu keperluan dalam hidup mereka. Apa yang pasti, segala keinginan untuk meningkatkan jumlah bahan bacaan
yang dibaca perlu lahir daripada diri saya tanpa wujud paksaan daripada pihak lain. Dalam hal ini, saya amat
berpegang kepada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, sekiranya
seseorang itu sendiri tidak mahu mengubahnya.

Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana, saya akan
mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam pameran-pameran seperti inilah saya dapat membeli buku
dengan harga yang murah dan berpatutan dan membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di
pameran tersebut. Terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di pameran atau ekspo
tersebut mengenai sinopsisi buku-buku yang dijual. Dengan ini, saya dapat membaca secara ringkas tentang buku-
buku tersebut sebelum membuat pilihan untuk membelinya. Justeru, saya bukan sahaja dapat membaca secara
percuma, malah dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga. Dengan mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau
kedai buku, saya akan mengenali lebih ramai rakan yang berkongsi minat yang sama iaitu membaca.
Peribahasajauh perjalanan luas pemandangan amat bersesuaian dengan perkara dan situasi yang saya bincangkan
di atas.

Seterusnya, saya juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-buku atau majalah yang dilanggan
bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga bercorak santai seperti Dewan Siswa, majalah i-sihat dan
Solusi. Di manakah saya boleh mendapatkan buku atau majalah tersebut? Saya boleh melanggannya melalui
internet atau meminta bantuan guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya, saya akan sentiasa membaca pada
setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap
bulan. Dalam hal ini, saya akan menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku
sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary
Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis novel tersohor, Sharifah Abu Salem. Apabila saya menjadikan
mereka sebagai idola, saya akan sentiasa terdorong untuk melanggan pelagai buku di pasaran sekali gus
menjadikan membaca sebagai rutin hidup saya.

Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi perkembangan dan kemajuan dengan
menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian, untuk
meneruskan perjuangan kita merealisasikan hasrat membentuk ”negara pembaca teras negara maju’. Saya juga
berperanan penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang minat membaca. Pada
dasarnya, media massa sebagai arus perdana yang berpengaruh sama ada media cetak atau media elektronik
sentiasa mengadakan pertandingan atau aktiviti malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok negara untuk
memupuk minat membaca dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, saya perlu menyertai aktiviti seperti
sayembara, menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya
dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli keluarga untuk menyertai kempen ”Amalan Membaca Nadi Ilmu
Pengetahuan” bersama-sama. Hal ini diibaratkan sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana
dapat menjalinkan hubungan silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.

Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja
adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana bertepatan dengan kata-
kata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah dibiarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara yang
sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca.
Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan ’Membaca Jambatan Ilmu’ dan ’Rakyat Membaca, Bangsa
Berjaya’ seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak. Generasi
berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju
dalam tempoh lapan tahun mendatang.

PERANAN IBU BAPA MEMUPUK


SEMANGAT CINTA AKAN NEGARA
DALAM KALANGAN ANAK-ANAK

Pada era pascaperindustrian dan globalisasi yang serba mencabar akal


dan minda, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang sedang
membangun di mata dunia selepas kemerdekaan yang disambut pada
tanggal 31 Ogos 1957. Kini, Malaysia duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi dengan negara gergasi di pentas antarabangsa. Bertitik
tolak daripada itu, semangat cinta akan negara perlu ada dalam diri
setiap masyarakat bagi menghargai jasa tokoh-tokoh pejuang
kemerdekaan yang bertungkus lumus dalam mempertahankan negara
yang berdaulat ini. Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan yang
sangat signifikan dalam memupuk semangat cinta akan negara dalam
diri anak-anak mereka.

Pada realiti, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu perlu


mengambil inisiatif utama dengan membawa anak-anak mereka ke
tempat bersejarah seperti muzium. Di Malaysia, terdapat sebuah
muzium iaitu Muzium Negara yang mempunyai pelbagai khazanah
orang pada zaman dahulu, pakaian istana, keris-keris yang digunakan
oleh tokoh terdahulu untuk menentang penjajah luar. Anak-anak
bukan sahaja dapat mengenali tokoh-tokoh terdahulu malah
menerapkan semangat keberanian perwira-perwira negara yang
mengamalkan peribahasa biar putih tulang, jangan putih mata dalam
mempertahankan negara suatu ketika dulu. Salah satu tempat
bersejarah yang tersohor ialah Melaka yang lebih dikenali sebagai
Negeri Bersejarah. Di Melaka, ibu bapa boleh menunjukkan tempat
atau bangunan yang dibina oleh negara luar yang pernah menjajah
negara kita seperti bangunan Stadhyus. Oleh itu, bolehlah kita akui
bahawa semangat cinta akan negara dapat disemai melalui lawatan ke
tempat-tempat bersejarah yang banyak terdapat di Malaysia.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang


seterusnya ialah
ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Berdasarkan
peribahasa, Bapa Borek, Anak Rintik, ibu bapa perlu menjadi ikon
kepada anak-anak dalam menerapkan semangat cinta akan negara.
Dalam konteks ini, ibu bapa tidak sewajarnya menunjukkan etika
yang bertentangan dengan semangat patriotisme itu sendiri. Kita
boleh ambil contoh perlakuan yang pernah menjadi isu suatu ketika
dahulu iaitu seorang warga Malaysia yang mempersendakan lagu
Negaraku malah ada yang berani memijak bendera Jalur Gemilang.
Ibu bapa perlu menunjukkan semangat cinta akan negara melalui
kibaran Jalur Gemilang dengan bangga untuk diteladani oleh anak-
anak. Secara tidak langsung, perbuatan ini akan menjadi ikutan
kerana mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dengan cara ini
juga, anak-anak akan sedar betapa pentingnya semangat patriotisme
ini. Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang perjuangan
tokoh-tokoh tanah air yang berjuang hingga titisan darah yang terakhir
demi mempertahankan negara yang tercinta daripada ancaman
penjajah. Tegasnya, peribahasa melentur buluh biarlah dari
rebungnya perlu dijadikan azimat oleh ibu bapa untuk melentur anak-
anak mereka menjadi seorang yang mempunyai semangat patriotisme
sejak kecil lagi.

Selain itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak
mereka dalam menguasai subjek Sejarah. Bagi segelintir pelajar,
subjek Sejarah amat sukar dikuasai kerana banyak fakta yang perlu
dihafal dan diingati. Tambahan pula, mereka tidak pernah merasai
keperitan tokoh-tokoh terdahulu yang bermati-matian
memperjuangkan tanah air yang bertuah ini. Oleh itu, ibu bapa tidak
boleh memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa dan
memarahi mereka jika gagal dalam subjek sejarah. Hal ini kerana,
anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang perlu
mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta akan negara.
Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyokong anak-anak
mereka agar mereka tidak berasa tertekan malah semangat
bersemangat dalam mempelajari subjek Sejarah. Selain itu, ibu bapa
boleh menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen untuk
menguasai subjek Sejarah demi meningkatkan prestasi anak dalam
subjek tersebut. Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini akan
membibitkan rasa cinta terhadap subjek Sejarah seterusnya
melahirkan kecintaan terhadap negara.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam

memupuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air. Pepohon pokok tidak akan

berliuk lentuk jikalau tiada angin yang meniupnya oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab memupuk

semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak. Sebenarnya, anak-anak merupakan tonggak utama

dalam menjayakan visi kudsi Wawasan 2020 pada masa hadapan. Kita mengakui hakikat bahawa uslub

ini perlu dilakukan dan boleh dimulakan dengan langkah-langkah yang telah disarankan di atas. Dengan

berbuat demikian, anak-anak dapat memupuk malah menguatkan semangat cinta akan tanah air dalam

diri mereka. Nescaya, semangat patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat

melahirkan generasi muda yang mantap jati diri.


PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK
MASYARAKAT PENYAYANG
Dewasa ini, semakin hari, semangat sayang-menyayangi dalam
masyarakat semakin terhakis ditelan arus pemodenan dan kemajuan
negara. Hal ini terbukti apabila saban hari kita dihidangkan dengan
pelbagai kejadian jenayah seperti kes pembunuhan, ragut, rogol serta
kes pembuangan bayi yang tidak berdosa. Kejadian-kejadian tersebut
sekali gus memadamkan semangat sayang-menyayangi dalam
masyarakat antaranya sikap mengambil berat, prihatin dan saling-
menghormati dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat
penyayang hanya dapat dibentuk melalui persaan saling-menyayangi
dan menghormati sesama ahli keluarga yang merupakan asas kepada
pembentukan masyarakat. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam
melahirkan individu yang penyayang sekali gus mewujudkan
masyarakat yang penyayang di nusa tercinta ini.

Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya


kepada anak-anak. Kehidupan anak-anak harus diisi dengan kasih
sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap penyayang dalam diri
anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil
akan lebih mudah terlaksana malah akan terus sebati dalam diri anak-
anak apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat
penting dalam tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa
harus sentiasa berada di samping anak-anak semasa mereka dalam
kekecewaan seperti gagal dalam peperiksaan untuk menenangkan
hati dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan perhatian oleh
ibu bapa maka anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang
mereka alami akan dapat diselesaikan melalui pertolongan ahli
keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk
mencurahkan kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa merupakan
insan terhampir dengan diri anak-anak.

Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan masyarakat


yang penyayang di negara kita. Hal ini demikian kerana tidak ada
agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengajar penganutnya
bersikap kasar dan ganas kepada individu lain apatah lagi dalam
kalangan ahli keluarga sendiri. Sehubungan dengan itu, ibu bapa
seharusnya mengajar anak-anak mereka mendalami ilmu agama dan
mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar
kepada anak-anak adalah menunaikan solat fardhu, membaca Al-
Quran dan berzikir. Bagi penganut-penganut agama lain, ibu bapa
perlu selalu mengajak anak-anak mereka ke rumah ibadat. Ibu bapa
juga boleh menceritakan pada anak-anak, kisah teladan akan kebaikan
mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan hatta bersikap
kasih sayang kepada binatang. Amalan-amalan ini akan melembutkan
hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang
bersahsiah mulia. Sifat ini akan menjadi darah daging dalam diri
anak-anak dan mendorong mereka untuk berperi laku baik seterusnya
sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi
didikan agama yang secukupnya amat penting dalam melahirkan
individu penyayang.

Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang


baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah menjadi suri
teladan kepada anak-anak mereka dan tidak bersikap seperti ketam
mengajar anaknya berjalan betul. Hal ini demikian menunjukkan
keperibadian anak-anak mencerminkan perwatakan ibu bapa mereka.
Banyak nilai baik yang boleh ditunjukkan kepada anak-anak. Sebagai
contohnya, ibu bapa mengamalkan semangat kejiranan yang tinggi.
Antaranya, mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti gotong-
royong, menziarahi jiran yang sakit serta dilanda musibah. Ibu bapa
janganlah sekali-kali menunjukkkan sikap zalim dan menindas atau
menipu orang lain khususnya di hadapan anak-anak. Nilai-nilai baik
ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak. Jelas bahawa, semangat
hormat-menghormati, bekerjasama dan saling-membantu dalam
masyarakat akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri anak-
anak yang juga merupakan ahli masyarakat.

Seterusnya, keadaan keluarga yang stabil dari segi fizikal dan


rohani juga amat perlu bagi melahirkan individu dan masyarakat
yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam
membentuk keluarga yang stabil. Keluarga yang stabil dari segi
fizikal ialah keluarga cukup dari segi kewangan serta mampu
menyediakan segala kemudahan dan keperluan hidup berumah
tangga. Manakala keluarga yang stabil dari segi rohani ialah keluarga
yang saling-menyayangi , hormat-menghormati serta saling-
membantu. Sekiranya kedua-duanya dapat dipenuhi oleh ibu bapa
maka anak-anak akan hidup dalam keadaan tenang dan harmonis
tanpa mengalami sebarang tekanan. Mereka akan lebih terpaut hati
untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa berbanding menceritakan
masalah yang dihadapi dengan rakan yang kurang dikenali hati
budinya. Di samping itu juga, ibu bapa harus memastikan hubungan
kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga
yang penyayang. Hubungan yang renggang dalam kalangan ahli
keluarga menyebabkan anak-anak akan mencari ‘kasih sayang’ di luar
rumah yang akhirnya akan menjahanam dan memusnahkan kehidupan
mereka.

Masyarakat penyayang juga dapat dilahirkan melalui hubungan


baik dengan masyarakat sekeliling. Ibu bapa harus mendekatkan
anak-anak dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan
baik dengan masyarakat. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak
anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal
atau solat berjemaah di surau atau masjid. Ibu bapa juga perlu
memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka akan peri
pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan khususnya semasa
berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum. Dengan menjadikan
negara-negara lain sebagai contoh dan teladan seperti perang saudara
yang berlaku di Somalia ditambah lagi dengan kebuluran yang
berlaku, anak-anak dapat diajar tentang kepentingan amalan kasih
sayang. Melalui kasih sayanglah pelbagai bantuan dihulurkan oleh
masyarakat antarabangsa kepada negara-negara yang ditimpa bencana
seperti bencana Tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Jelas
bahawa, hubungan silaturahim yang erat dapat melahirkan individu
dan masyarakat yang penyayang.

Konklusinya, ibu bapa berperanan besar dalam melahirkan individu


dan sekali gus masyarakat yang penyayang di negara kita. Oleh itu,
ibu bapa harus meningkatkan peranan mereka semaksimum mungkin,
namun dalam masa yang sama tidak mengamalkan sikap pilih
bulu antara anak-anak. Apa yang diharapkan oleh semua orang ialah
amalan kasih sayang yang berjaya dipraktikkkan akan mampu
mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah!, individu yang
penyayang akan mewujudkan keluarga cemerlang seterusnya
melahirkan masyarakat serta bangsa yang terbilang.

Anda mungkin juga menyukai