Anda di halaman 1dari 45

SET 1

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara mengamalkan
gaya hidup sihat dan halangan-halangan yang dihadapi dalam menjayakannya. Panjangnya
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Gaya hidup sihat bermaksud seseorang individu yang mempunyai badan yang sihat dan selalu
menjalani aktiviti yang berfaedah. Pada masa sekarang, sewajarnya masyarakat mengetahui
kepentingan amalan gaya hidup sihat. Waima begitu, pada era globalisasi yang penuh dengan
pancaroba ini, sesetengah ahli masyarakat tidak mengamalkan gaya hidup sihat dengan memberikan
pelbagai alasan. Sebenarnya, mengamalkan gaya hidup yang sihat akan membawa banyak manfaat.
Salah satu kaedah untuk kekal sihat ialah melakukan aktiviti sukan sekurang-kurangnya tiga kali
seminggu. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti sukan kita dapat mengeluarkan peluh, iaitu dengan
mengeluarkan toksin yang terhasil dalam badan kita selain memastikan jantung kita berfungsi dengan
baik.

Kehidupan yang sihat juga diperoleh apabila kita dapat mengurus tekanan dengan cara yang baik.
Hasilnya, seseorang individu akan seimbang dari segi rohani, intelek, emosi dan jasmani. Selain itu,
pengambilan makanan yang seimbang juga penting dalam kehidupan seharian seseorang.
Pengambilam makanan yang seimbang mestilah berpandukan jadual piramid makanan yang disyorkan
oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh itu, ibu bapa disarankan agar menyediakan makanan yang
seimbang dan berkhasiat untuk anak-anak. Seterusnya mengadakan aktiviti rekreasi bersama-sama
keluarga. Pada ketika itu, ibu bapa akan memimpin anak-anak melakukan aktiviti-aktiviti yang
berfaedah di samping anak-anak mendapat pengajaran dan pendidikan secara langsung daripada
kedua-dua ibu bapa mereka.

Kita disarankan menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat agar dapat
membentuk persekitaran sosial yang sihat. Apabila setiap masyarakat dapat mengamalkannya maka
akan lahirlah rakyat yang sihat. Kita juga seharusnya bijak mengelakkan diri daripada terlibat dengan
sebarang gejala sosial yang boleh merosakkan diri dan masa depan. Dalam konteks ini, ibu bapa
haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak supaya mereka tidak terpengaruh dengan gejala-
gejala negatif.

Rehat yang mencukupi juga dapat memberikan kelegaan kepada otak untuk berehat. Menurut
kajian, seseorang individu perlu tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Dalam tempoh rehat ini,
sel-sel otak yang rosak dapat dipulihkan dengan sempurna. Hal ini dapat menyediakan seseorang
individu untuk meneruskan aktiviti kehidupan pada keesokan hari. Pemeriksaan kesihatan secara
berkala sangat perlu untuk mengetahui tahap kesihatan seseorang. Sehubungan dengan itu, kakitangan
kerajaan telah disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan agar dapat menjamin kualiti
kehidupan yang sihat secara berterusan.

Kesimpulannya, setiap individu tidak haruslah menjadikan kesibukan aktiviti seharian sebagai
alasan untuk tidak mengamalkan gaya hidup sihat, bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak
seribu dalih. Amalan gaya hidup sihat dapat menjamin badan yang sihat dan otak yang cerdas.
Seterusnya, keadaan ini dapat melahirkan rakyat yang inovatif bagi menggerakkan negara menuju
Wawasan 2020.

(Dipetik dan diubah suai daripadaCara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat oleh
Soo Kai Huan, Dewan Siswa, Mac 2013)

1
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Apakah maksud rangkai kata penuh dengan pancaroba? [2 markah]

(ii) Ibu bapa memainkan peranan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam
kalangan anak mereka.

Nyatakan dua peranan tersebut. [3 markah]

(iii) Sejak belakangan ini, ramai individu yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada pendapat anda, jelaskan tiga kesan terhadap individu yang tidak mengamalkan gaya
hidup sihat.

[4 markah]

2
SET 2

Baca petikan brikut dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk
memartabatkan batik Malaysia serta kekangan untuk melaksanakannya. Panjang rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Seni batik merupakan merupakan salah satu akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia
dan bidang kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejak dulu lagi, fungsi batik tidak pernah berubah
sebagai busana kaum Hawa. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri telah berusaha menghidupkan
seni batik ini semula dengan mengarahkan kakitangan awam memakai baju batik pada setiap hari
Khamis. Arahan pemakaian batik selaras dengan usaha kerajaan menyokong usaha untuk
mengembangkan industri batik di negara ini, sekali gus mempopularkan semula pakaian yang semakin
dilupakan itu. Sesungguhnya, langkah mewajibkan pemakaian batik telah memberi nafas baru kepada
perkembangan industri batik negara untuk terus berkembang maju.

Industri batik kini semakin berkembang pesat dan generasi Malaysia telah mula mencintai batik.
Golongan remaja juga sudah tidak berasa segan mengenakan batik dengan gaya kasual. Selain itu, batik
juga telah mendapat penghargaan sebagai budaya seni yang begitu tinggi nilainya dan boleh dijadikan
cenderamata kepada sesiapa sahaja sama ada di dalam mahupun di luar negara. Kita harus berterima
kasih kepada Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang telah mengilhamkan serta melancarkan
Batik Malaysia: Ciptaan Untuk Dunia. Sejak dilancarkan, program tersebut telah mendapat sambutan
hebat, walaupun pada mulanya hanya bertujuan untuk menimbulkan kesedaran orang ramai untuk
mempertahankan seni batik. Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Budi Penyayang
Malaysia telah berusaha mengadakan Minggu Batik Malaysia 2005 bertujuan untuk berkongsi
kegemilangan dan keistimewaan batik Malaysia bersama-sama masyarakat tempatan dan dunia.

Buat julung-julung kalinya juga, Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 2005 telah
diadakan di negara ini. Konvensyen tersebut telah menampilkan 14 orang pembentang kertas kerja
dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Indonesia, Jepun dan Australia
telah menyentuh pelbagai aspek perkembangan batik seperti sejarah batik, rekaan batik, pemasaran
batik serta kejayaan industri itu. Perdana Menteri juga telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan
terus memberi komitmen dalam menggerakkan industri batik negara. Komitmen kerajaan ini
disebabkan industri batik berpotensi menarik kedatangan pelancong ke Malaysia sekali gus
menyumbang kepada kemajuan industri pelancongan negara. Oleh itu, pihak Perbadanan Kemajuan
Kraftangan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia perlulah bekerja keras
untuk mempromosikan batik agar produk ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan
dan pelancong asing.

Bagi memastikan industri batik terus berkembang, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
telah berusaha meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) merangkumi pelbagai
aspek batik seperti penggunaan kain baru, penggunaan warna asli, ketahanan basuhan dan lain-lain.
Melalui Program Pembangunan Usahawan pula, latihan kemahiran tenaga kerja dilaksanakan dengan
matlamat untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri batik ini. Di samping itu juga, teknologi
baru seperti penggunaan mesin dan bantuan komputer untuk menghasilkan batik yang lebih menarik
dan berkualiti diperkenalkan. Selain usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan, para pengusaha batik
tempatan juga perlu memainkan peranan mereka untuk meningkatkan kemajuan industri batik di
negara ini. Mereka perlu lebih kreatif dalam menghasilkan batik yang lebih menarik dan lebih bermutu
bagi memastikan batik tempatan mampu bersaing dengan batik dari negara-negara lain. Mereka juga
perlulah bersedia untuk melabur untuk meningkatkan pasaran batik ke peringkat global.

Secara tuntas, apa-apa yang selama ini menjadi identiti bangsa sebagai warisan tradisi yang wajar
dipertahankan terutama yang membabitkan seni budaya tempatan seperti seni batik ini. Sudah tiba

3
masanya seni batik Malaysia yang diusahakan secara turun-temurun, kembali berdaya maju seperti
yang pernah dilaluinya sebelum ini dan terus bertapak di hati generasi demi generasi sebagai khazanah
bangsa yang dibanggakan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Memartabatkan Batik


Malaysia oleh Haji Samat Buang, Dewan
Siswa, April 2006)

Soalan 2 (a) Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata warisan tradisi yang wajar dipertahankan.

[2 markah]

(ii) Nyatakan tiga kesan langkah kerajaan mewajibkan kakitangan awam memakai baju batik
setiap Khamis.

[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, selain melalui industri batik, apakah bidang lain yang boleh
diketengahkan untuk memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing?

Kemukakan tiga pendapat.


[4 markah]

4
SET 3

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah
mengekalkan gaya hidup sihat dan halangan mengekalkannya. Panjang rumusan anda hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.

Dewasa ini, pembangunan arus globalisasi merupakan perkara yang kian pesat berkembang di negara
kita. Namun begitu, dalam mengejar arus modenisasi, kita seharusnya menitikberatkan perihal
kesihatan. Tanpa kehidupan yang sihat nescaya kita terdedah dengan penyakit yang berbahaya. Oleh
itu, mengamalkan gaya hidup sihat merupakan langkah yang wajar dijadikan amalan. Antara amalan
gaya hidup sihat ialah menjaga pemakanan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mengamalkan pemakanan
seimbang. Pemakanan seimbang membolehkan badan kita sihat dan tidak terlalu gemuk. Pemakanan
yang tidak seimbang akan menyebabkan badan kita mendapat pelbagai penyakit seperti darah tinggi,
sakit jantung, dan kencing manis.

Selain itu, kita juga hendaklah rajin bersenam atau beriadah. Dengan melakukan aktiviti senaman,
jantung akan menjadi sihat dan kuat. Sisa toksin dalam badan pula akan keluar melalui peluh semasa
kita bersenam. Senaman yang kita lakukan akan membolehkan darah mengalir dengan baik dan
menguatkan lagi otot-otot badan. Pada waktu yang sama, kita perlu menjaga kebersihan rumah dan
persekitaran. Tempat-tempat yang membolehkan nyamuk membiak mestilah dihapuskan. Jangan
sesekali membuang sampah sarap ke dalam sungai atau dibiarkan di luar rumah kerana akan
menyebabkan pencemaran alam sekitar. Di samping itu, kita juga hendaklah membuat pemeriksaan
kesihatan. Apabila mengetahui tahap kesihatan kita, kita boleh mengambil langkah tertentu bagi
memastikan kesihatan kita terus berada dalam keadaan baik. Jika tidak membuat pemeriksaan, tanpa
kita jangka, tiba-tiba sahaja kita rebah.

Kita juga mesti menjauhi perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan. Antaranya, menghisap
rokok, minum arak, dan menagih dadah. Tabiat menghisap rokok menyebabkan seseorang mendapat
penyakit paru-paru dan jantung. Kebaikan utama gaya hidup sihat ialah amalan yang membina ini
sentiasa memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan yang baik. Sebagai contoh, gaya hidup
sihat juga menjamin kestabilan kesihatan mental serta sentiasa mengawal ataupun mengurangkan
tekanan. Oleh itu, amalan berehat dan tidur dengan kadar yang mencukupi dapat mengurangkan
tekanan dan menenangkan tubuh serta minda.

Kita juga perlu mempunyai pemikiran positif yang mampu memberikan jalan penyelesaian bagi
kemelut yang serius tanpa menghadapi tekanan yang berlebihan. Gaya hidup yang sihat juga
melahirkan insan yang berdisiplin dan sihat dari segi fizikal dan persekitarannya. Sehubungan itu, kita
hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri. Malah, kita hendaklah sentiasa berbaik-baik dengan jiran.
Jiran yang baik bukan sahaja dapat mengukuhkan ikatan silaturahim, malahan melahirkan jiwa yang
tenang. Akhir sekali, kita hendaklah sentiasa peka dengan keadaan persekitaran kerana persekitaran
yang baik dapat mengekalkan keharmonian hidup kita.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana


Mengamalkan Gaya Hidup Sihat,

oleh Lyisronney Dulasik, Dewan Siswa, Januari 2013)

5
Soalan 2(a) Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata mengekalkan keharmonian. [ 2 markah ]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kelebihan apabila memiliki tubuh yang sihat.

Nyatakan kelebihan tersebut.


[ 3 markah ]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah rakyat Malaysia rata-rata mengalami obesiti.

Kemukakan tiga pendapat anda.


[ 4 markah ]

6
SET 4

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah kerajaan
meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan kesan-kesan pemulihan
ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010. Bagi meringankan
beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan Skim
Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Langkah ini juga akan
memastikan agenda masyarakat penyayang terus diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang
tidak menentu.

Kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat telah memperkenalkan pakej rangsangan
ekonomi pertama khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat. Oleh itu, bagi merangsang
sektor perumahan, kerajaan mencadangkan supaya pembeli diberikan pelepasan cukai atas faedah
pinjaman. Kerajaan juga telah membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam
hal ini, kerajaan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik
infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, penyelenggaraan, dan
membaik pulih pelbagai kemudahan serta prasarana awam. Selain itu, Bon Simpanan Kerajaan telah
diterbitkan untuk menjanakan pendapatan rakyat. Bon ini bertujuan memberikan peluang kepada
rakyat untuk memperoleh pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun
ke atas dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1000.

Di samping itu, kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar seperti bekalan
elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak. Usaha ini akan meningkatkan ekonomi rakyat melalui
pengambilan kontraktor kecil dan pekerja tempatan di kawasan luar bandar. Justeru, pelbagai program
dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti
pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran Elektrik Kota Kinabalu,
Sabah.

Kini, terdapat beberapa program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh pelbagai pihak
seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, Agrobank dan TEKUN. Program ini bertujuan untuk membantu
peniaga kecil di bandar dan di luar bandar. Kaedah lain yang dilaksanakan adalah dengan memberi
bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti warga emas, golongan kurang upaya, dan
ibu tunggal. Bantuan yang diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan
kewangan dan bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua,
memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita, dan menambahkan kemudahan pusat asuhan
kanak-kanak.

Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai
yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Langkah ini diambil bertujuan untuk
menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan. Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank
untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.

Kesimpulannya, kerajaan yakin usaha yang dirangka dan dilaksanakan adalah komprehensif dan
menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara daripada terjerumus dalam kancah kemelesetan

7
yang mendalam sehingga memberi kesan kepada rakyatnya. Dengan landasan kukuh yang telah dibina,
kerajaan yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar.

(Dipetik dan diubah suai daripada,

Pakej RM60b Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global,

Berita Harian, 11 Mac 2009)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Apakah maksud rangkai kata kemiskinan tegar? [2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan bahawa peruntukan tambahan telah disediakan oleh

kerajaan untuk meringankan beban rakyat.

Nyatakan dua cara peruntukan tambahan tersebut dibelanjakan. [3 markah]

(iii) Rakyat juga berperanan dalam menangani krisis ekonomi negara.

Huraikan pendapat anda tentang tiga cara rakyat dapat menangani krisis ekonomi negara.

[4 markah]

8
SET 5

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan kaunselor dan
langkah-langkah untuk menggalakkan murid mendapatkan khidmat kaunselor. Panjangnya
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Murid-murid pasti sudah biasa mendengar perkataan kaunselor, tetapi sejauh manakah pengetahuan
mereka tentang fungsi kaunselor? Ramai murid yang masih kabur tentang dan kriteria sebenar
kaunselor dan kriteria individu yang memerlukan khidmatnya. Sebagai orang yang terlatih, kaunselor
melaksanakan tugas berlandaskan pengetahuannya dalam bimbingan dan kaunseling yang mampu
menangani sebahagian masalah di sekolah. Antara masalah yang dialami oleh murid ialah tekanan
emosi. Dalam hal ini, fungsi kaunselor adalah untuk menolong murid mengenal pasti punca tekanan
emosi tersebut, di samping memberikan bimbingan tentang cara menangani masalah yang dihadapi.

Walau bagaimanapun, kaunselor bukanlah berperanan untuk menyelesaikan masalah seperti


tanggapan sesetengah pihak. Perkara ini perlu difahami oleh setiap murid yang mahu mendapatkan
bantuan atau khidmat daripada kaunselor. Kaunselor sebenarnya berperanan untuk memandu murid
memahami serta menerima keadaan diri sendiri supaya mereka dapat meningkatkan perlakuan yang
baik dan mengurangkan perlakuan yang sebaliknya. Sehubungan dengan itu, murid tidak seharusnya
menganggap bahawa mereka yang berjumpa dengan kaunselor merupakan individu yang bermasalah
semata-mata. Tanggapan ini tidak benar sama sekali. Hakikatnya, apabila bertemu dengan kaunselor,
murid akan dibantu untuk menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupannya seperti
panduan memilih jurusan atau kerjaya yang sesuai dan bukan memberikan tumpuan terhadap masalah
tertentu sahaja.

Kaunselor juga dapat membantu murid mengesan dan mengembangkan bakat dan minatnya. Hal
ini penting supaya segala tindakan yang bakal dilakukan oleh murid selaras dengan apa-apa yang
diingini agar mereka berpeluang membuat perancangan masa depan untuk mencapai matlamat hidup.
Dalam masa yang sama, kaunselor bertanggungjawab untuk membimbing murid memanfaatkan
peluang bagi penyempurnaan kendiri. Pelaksanaan pelbagai program bimbingan dan kaunseling
seperti ceramah, kursus dan kem motivasi akan membolehkan kaunselor memahamkan murid tentang
hubungan mereka dengan masyarakat sekitar. Dalam hal ini, mereka akan dapat menyesuaikan diri dan
berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya dan jiran-jiran. Selain itu , kaunselor juga dapat
memupuk nilai-nilai dalam diri murid melalui sesi kaunseling yang dijalankan. Penyemaian nilai-nilai
murni ini akan meningkatkan mutu disiplin murid-murid di sekolah.

Sesungguhnya, usaha-usaha penambahbaikan perkhidmatan kaunseling wajar dilaksanakan agar


khidmat yang diberikan oleh kaunselor mendapat kepercayaan murid. Sikap profesional kaunselor
dalam melaksanakan tugas hendaklah menjadi keutamaan demi menaikkan imej perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling di sekolah.

(Dipetik dan diubah suai daripada

Memanfaatkan Khidmat Kaunselor,

oleh Nadiah Naufal, Dewan Siswa, April 2012)

9
Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata mendapat kepercayaan.


[2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa tanggapan yang salah tentang khidmat kaunselor di
sekolah.

Nyatakan tanggapan-tanggapan yang salah tersebut. [ 3 markah]

(iii)Pada pendapat anda, selain mendapatkan khidmat kaunselor, apakah

tindakan-tindakan yang wajar dilakukan oleh murid untuk menangani masalah yang dihadapi
oleh mereka?

[4 markah]

10
SET 6

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah
menangani masalah emosi murid  dan  kebaikan mengatasinya. Panjangnya rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tragedi seorang murid mati akibat terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah memang menyayat hati.
Kejadian ini walaupun boleh dikategorikan sebagai kes terpencil namun tidak boleh diambil mudah
kerana berkait rapat dengan masalah emosi murid. Sakit yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar
kebiasaannya melibatkan mental. Oleh sebab itu, satu mekanisme mengenal pasti masalah depresi
mental dari peringkat awal perlu diwujudkan oleh pihak sekolah agar dapat ditangani seawal mungkin
sebelum menjadi serius.

Sebagai permulaan, kaunselor di sekolah perlu memainkan peranannya supaya masalah berkaitan
emosi murid ini tidak melarat sehingga menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Seharusnya
kaunselor perlu menganjurkan program yang boleh mewujudkan kesedaran ke arah mengenal pasti
punca, simptom dan kaedah menangani masalah berkaitan emosi. Manakala pentadbir sekolah dan
guru kelas pula perlulah sentiasa peka dengan sebarang perubahan sikap dan tingkah laku murid.
Mereka perlu mengambil tindakan segera jika terdapat tingkah laku murid yang mencurigakan malah
jangan mengambil mudah sebarang ugutan atau ancaman khususnya yang dinyatakan di laman sosial
seperti Facebook dan Twitter.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan


memperkenalkan Modul Kesihatan Mental di sekolah menengah pada tahun 2011 untuk menangani
masalah emosi murid. Pada masa yang sama, pentadbir sekolah dan guru juga perlu memahami
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yag mahu melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani
dan intelek (JERI). Justeru, berikan ruang dan peluang kepada murid untuk beriadah bagi
mengurangkan tekanan dengan melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum khususnya untuk murid
yang tidak terlibat dengan peperiksaan. Penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum boleh
menyihatkan badan, menambahkan kemahiran dan membentuk semangat berpasukan. Malah aktiviti
kokurikulum juga memberi kelebihan kepada murid untuk memasuki universiti awam.

Pelbagai pendekatan juga perlu difikirkan oleh pihak sekolah. Kerjasama ibu bapa dan pihak
sekolah amat membantu dalam menangani permasalahan emosi murid. Paling mudah, ibu bapa
segera memberitahu pihak sekolah sekiranya anak-anak mereka menghadapi masalah selain tidak
menyerahkan bulat-bulat kepada sekolah menangani masalah tersebut. Persatuan Ibu Bapa dan Guru
menganjurkan Kursus Kemahiran Keibubapaan sebagai kaedah penyelesaian terbaik kepada
masyarakat agar masalah emosi murid ini dapat diatasi. Segalanya terpulang kepada kebijaksanaan
pentadbir sekolah dan guru untuk menjadualkan aktiviti murid supaya dapat melahirkan modal insan
yang holistik, bijak, sihat dan berpersonaliti unggul.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana 


Menangani Masalah Emosi  Pelajar, 
oleh Azmy Mohamed, Utusan Malaysia, 14 Februari 2011)

11
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata berpersonaliti unggul. 


[2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kebaikan sekiranya murid menyertai aktiviti


kokurikulum di sekolah.

Berikan dua kebaikan tersebut. [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan murid-murid menghadapi


masalah emosi?

Kemukakan tiga punca. [4 markah]

12
SET 7

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah bersenam
kepada orang ramai dan masalah-masalah untuk melakukan senaman. Panjang rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kebolehan melakukan tugas harian menyebabkan ramai orang menyangka bahawa mereka cergas.
Sesetengah orang menyatakan bahawa mereka jarang-jarang sakit dan tidak kerap mendapatkan
rawatan perubatan tetapi hal ini tidak bermakna keadaan fizikal mereka itu baik. Dari segi kesihatan,
strategi yang berkesan untuk seseorang berada kekal dalam keadaan cergas dan sihat adalah dengan
bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Walaupun fakta ini diketahui umum, namun aktiviti
yang berkait dengan kesihatan masih berada di tangga terbawah dalam senarai keutamaan yang perlu
dilakukan pada setiap minggu.

“Tubuh yang sihat membawa kepada akal yang sihat.” Bagaimanakah senaman menyumbang
kepada akal yang sihat? Senaman dalam jangka panjang akan melancarkan perjalanan darah ke otak.
Peningkatan tekanan darah akan menyalurkan darah ke otak yang kurang mendapat darah, seterusnya
meningkatkan keperluan oksigen kepada otak. Hal ini menyebabkan kita akan menjadi lebih segar dan
tidak mengantuk. Senaman aerobik pula mampu meningkatkan proses pembelajaran walaupun kepada
golongan dewasa. Kita juga akan kelihatan hebat dan berkeyakinan setelah melakukan senaman kerana
wujudnya kepercayaan dalam diri. Selain itu, senaman juga mampu menangani masalah kemurungan.

Dari segi teori perubatan apabila seseorang bersenam, hormon adrenalin akan dibebaskan dan
menyebabkan salur darah mengecil. Dengan itu tekanan darah akan meningkat dan darah sampai
kepada organ dalam masa yang singkat. Sebagai kesannya, salur darah di otot pula dilebarkan untuk
memenuhi keperluan oksigen kepada bahagian otot berkenaan. Senaman menjadikan jantung
berfungsi dengan lebih baik kerana darah perlu dipam cepat untuk memenuhi badan yang
bermetabolisme tinggi. Hasilnya, seseorang akan sentiasa gembira dan tenang.

Bersenam secara konsisten dan mengamalkan diet seimbang membantu mengawal berat badan
yang berlebihan. Obesiti meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, penyakit
jantung dan batu karang. Satu fakta menarik faedah bersenam ialah jangka hayat lebih panjang dalam
kalangan orang yang dikategorikan mempunyai kecergasan sederhana berbanding dengan mereka
yang tidak cergas. Hal ini terbukti melalui satu kajian yang mendapati kadar kematian kumpulan orang
yang tidak cergas adalah sekali ganda lebih tinggi berbanding dengan mereka dalam kumpulan
sederhana cergas. Tuntasnya, jadikanlah bersenam sebagai satu budaya hidup kita supaya kita kekal
sihat sepanjang masa.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada

Faedah-faedah Senaman,

oleh Ziauddin Sharuddin, dalam Berita Minggu, 12 Mac 2010)

13
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata strategi yang berkesan. [2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa ciri yang menunjukkan seseorang itu mempunyai fizikal
yang cergas.

Nyatakan dua ciri tersebut. [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk menggalakkan seseorang
bersenam?

[4 markah]

14
SET 8

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah pengurusan
masa dengan berkesan dan kekangan untuk menguruskan masa bagi seseorang pelajar.
Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan masa yang berkesan? Pengurusan masa bermaksud
pembahagian masa dengan betul supaya aktiviti harian seseorang dapat dijalankan dengan baik dan
tidak terganggu atau boleh dimaksudkan sebagai pembahagian masa yang cekap. Dewasa ini, kita
sering mendengar berita tentang pelajar yang terjerumus dalam kancah kemaksiatan ataupun
penyalahgunaan dadah. Mengapakah hal ini boleh berlaku dalam kalangan pelajar? Hal ini berlaku
disebabkan pelajar itu mudah terpengaruh oleh anasir-anasir buruk. Pelajar yang terlibat dalam
kegiatan ini tidak dapat mengurus masa dengan cekap. Justeru, mereka sering membuang masa
dengan sia-sia sahaja. Oleh itu, pengurusan masa amat penting dalam kehidupan seseorang pelajar.

Langkah pertama untuk mengendalikan masa secara berkesan ialah pelajar digalakkan
menyediakan jadual pelajar masing-masing. Jadual waktu belajar dapat membantu pelajar mengurus
masa dengan berkesan. Pelajar dapat memanfaatkan masa untuk mengulang kaji pelajaran secara
menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Hal ini dapat mengelakkan pelajar
daripada kesuntukan masa untuk mengulang kaji pelajaran apabila peperiksaan sudah hampir. Pelajar
yang berjaya biasanya terdiri daripada mereka yang membuat persediaan awal. Bagi pelajar yang tidak
membuat persediaan awal kerana sibuk membuang masa tentulah tidak dapat menghabiskan semua
tajuk sebelum peperiksaan. Di samping itu, masa yang terluang dapat digunakan untuk aktiviti yang
berfaedah seperti membaca bahan ilmiah dan melayari Internet untuk mencari maklumat tentang
pelajaran. Masa jangan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Seperti yang kita ketahui bahawa masa itu
amat berharga bak kata pepatah 'masa itu emas'. Pelajar bukan sahaja dapat menggunakan masa
dengan berfaedah, tetapi juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

Tambahan pula, pelajar dapat memanfaatkan masa dengan keluarga tersayang bagi memupuk
sikap kasih sayang dalam keluarga. Hal ini dilihat apabila masa diperuntukkan bersama-sama keluarga
melakukan aktiviti sampingan seperti bersenam, bersiar-siar, menonton televisyen, beribadat dan
sebagainya. Kebaikan menguruskan masa sebaik mungkin ialah pelajar dapat menjalankan kegiatan
riadah supaya mempunyai badan yang sihat dan otak yang cerdas. Keadaan ini dapat menanamkan
sifat bertanggungjawab dan berdisiplin dalam diri pelajar. Melalui cara ini, pelajar dapat mengamalkan
hidup yang berdisiplin dan bermakna. Faedah menguruskan masa ialah para pelajar berupaya
menggunakan masa senggang pada hari cuti sekolah untuk membaiki kelemahan diri dalam pelajaran.
Hal ini boleh dilakukan dengan membuat latihan, mencari maklumat di perpustakaan, dan menghadiri
kelas tambahan. Selain itu, masa cuti sekolah bertujuan untuk memberi pelajar peluang bagi
menenangkan fikiran setelah bertungkus-lumus sepanjang tahun. Para pelajar boleh membuat kerja
kebajikan seperti melibatkan diri dalam kerja gotong-royong, aktiviti membersihkan kawasan
perumahan dan membantu orang yang perlu pertolongan. Malah mereka juga boleh mencari kerja
sambilan untuk mendapatkan kemahiran dan wang. Wang yang diperoleh dapat menampung
perbelanjaan sekolah.

Kesimpulannya, sebagai pelajar kita bukan sahaja perlu berjaya dalam pelajaran tetapi juga perlu
berjaya dalam bidang sukan, aktiviti kokurikulum, agama dan aktiviti kemasyarakatan. Oleh itu, kita
perlu mengurus masa dengan betul supaya aktiviti harian dapat dijalankan dengan berkesan,

15
seterusnya melahirkan modal insan yang bermoral selaras dengan Wawasan 2020. Pelajar yang pandai
mengurus masa biasanya akan berjaya dalam kehidupan dan berani menghadapi rintangan hidup. Hal
ini akan menjamin kehidupan yang bahagia pada masa hadapan.

(Dipetik dan diubah suai daripada

Pengurusan Masa Yang Berkesan

oleh Sham al-Johori, Minda Pelajar, Januari 2008)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata melahirkan modal insan. 


[2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kejayaan yang harus dicapai oleh seorang pelajar selain
pelajaran.

Nyatakan dua kejayaan tersebut. [3 markah]

(iii) Jadual belajar amat penting untuk membantu pelajar menguruskan masa dengan berkesan bagi
mencapai kejayaan yang cemerlang.

Pada pendapat anda, bagaimanakah penyediaan jadual belajar dapat membantu


kecemerlangan seseorang pelajar?
 [4 markah]

16
SET 9

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan penganjuran
pesta buku dan cara-cara menarik minat pengunjung ke pesta buku. Panjang rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.

Saban tahun banyak pihak termasuk agensi-agensi kerajaan yang telah menganjurkan pesta buku.
Contoh terbaharu ialah penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Sepanjang pesta itu
diadakan, kita melihat semangat kecintaan terhadap buku yang luar biasa. Mungkin yang kita lihat itu
gambaran luaran semata-mata, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat melihat manusia dari semua
peringkat datang berbondong-bondong ke tempat pesta itu diadakan. Dianggarkan lebih daripada
sejuta pengunjung telah membanjiri premis pesta berkenaan. Hal ini memberi petunjuk kejayaan dan
kepentingan penganjurannya.

Dalam pesta buku, pengunjung berpeluang memilih pelbagai judul buku dalam pelbagai jenis
bidang dan sub bidang ilmu. Namun sebaik sahaja pesta buku berakhir, peluang tersebut tidak muncul
lagi, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar tetapi bagi mereka yang tinggal di
bandar besar mereka boleh memilih ke kedai buku mega di gedung-gedung membeli belah
untukmendapatkan buku. Oleh itu, wajar sekali pesta buku dalam skala tertentu terus diadakan dari
semasa ke semasa, bergerak dari sebuah bandar kecil ke sebuah bandar kecil yang lain. Tempoh
pusingan setahun, sehingga munculnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan datang
mempu meningkat dan mengekalkan momentum minat membeli dan membaca dalam kalangan
masyarakat kita.

Pesta buku biasanya turut menawarkan potongan harga yang luar biasa bagi menarik minat orang
ramai membeli buku dan membacanya. Pelbagai acara yang dianjurkan dalam pesta buku juga secara
tidak lansung akan memperkenalkan penulis, penerbit, pengkritik dan personel lain yang terlibat
dalam bidang ini. Acara-acara ini mendekatkan dunia industri pembukuan, kepengarangan dan
apresiasi karya kepada khalayak. Malang selepas pesta, jarang-jarang kita mendengar adanya acara-
acara seperti ini. Penganjuran acara-acara ini dari semasa ke semasa di pelbagai tempat yang strategik
akan membantu menyuburkan dunia pembukuan dan yang lebih penting daya intelektual masyarakat
dapat ditingkatkan Industri penerbitan yang merupakan tunjang kepada kejayaan penganjuran sesuatu
pesta buku bukanlah semata-mata berfokus kepada keuntungan material, tetapi kepada cara ilmu
pengetahuan dapat disebarkan, dihidupkan dan dimanfaatkan oleh anggota masyarakat.

Akhir sekali, pesta buku akan memberi lebih banyak peluang kepada anggota masyarakat kita
untuk mendapatkan bahan bacaan yang terkini dan bermutu sama dari dalam luar negara. Penyertaan
penerbit atau pempamer dari lua negara akan turut mengangkat prestij Pesta Buku Antarabangsa Kula
Lumpur dan seterusnya mengekalkan momentum perkembangan minat membeli dan membaca dalam
kalangan masyarakat.

(Dipetik dan diubah suai daripada, Pesta Buku Galak Minat

Membaca Masyarakat, oleh Dr. Anwar Ridhwan,

dalam Berita Minggu, 20 Mei 2014)

17
Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata membanjiri premis. [2 markah]

(ii) Apakah matlamat industri penerbitan yang merupakan tunjang kepada kejayaan penganjuran
sesuatu pesta buku?
[ 3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah ibu bapa mampu memupuk budaya membaca dalam
kalangan anak-anak?
[ 4 markah]

18
SET 10

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah remaja
menyertai persatuan dan langkah-langkah menggalakkan penyertaannya. Panjang rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Golongan remaja sering mendapat perhatian ramai. Banyak kes yang dicetuskan oleh golongan remaja
sehingga mereka dipandang serong akibat perbuatan yang tidak bermoral dan bertentangan dengan
hukum agama. Bagi remaja yang telah menamatkan persekolahan dan masih belum bekerja, mereka
banyak mempunyai masa terluang.

Untuk mengatasi rasa bosan dan mengisi masa terluang, remaja mengambil peluang untuk
berkumpul bersama dengan rakan sebaya. Apabila berkumpul, sikap remaja biasanya menjadi lebih
agresif dan mudah terdorong untuk melakukan perbuatan yang mendatangkan keseronokan tanpa
memikirkan baik dan buruknya. Perkara buruk mudah mendapat perhatian remaja tanpa disedari
kerana perkara itu biasanya lain daripada yang lain. Selain itu, melakukan perbuatan tersebut
merupakan kemegahan dan kepuasan.

19
Untuk mengisi masa terluang dan mengelakkan remaja daripada dipengaruhi anasir buruk,
penyertaaan dalam persatuan merupakan jalan yang baik. Dengan menyertai persatuan, remaja dapat
melakukan pelbagai aktiviti yang mendatangkan kebaikan. Ruang masa disalurkan dengan aktiviti
persatuan yang mendedahkan mereka kepada banyak pengalaman dan mendidik jati diri ke arah
perkara yang positif.

Terdapat banyak persatuan yang sesuai disertai oleh golongan remaja. Mereka boleh memilih untuk
menyertai persatuan bergantung pada minat dan kebolehan masing-masing. Terdapat persatuan yang
beroperasi pada peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri, daerah dan tunggal. Bentuk persatuan
pula termasuklah bersifat sukarelawan, keagamaan, sukan, dan hobi. Semua persatuan adalah baik
untuk disertai oleh remaja memandangkan matlamat penubuhannya berasaskan pada tujuan yang
murni.

Menyertai persatuan memberikan peluang untuk setiap ahli yang mempunyai minat dan
kebolehan yang sama mengembangkan bakat yang dimiliki. Mereka dapat bertukar-tukar pengalaman
dan pengetahuan demi membaiki dan meningkatkan kebolehan masing-masing. Amat penting bagi ahli
baharu untuk menimba pengalaman dengan ahli lama. Ada persatuan melatih ahli tentang kepakaran
tertentu termasuklah pertolongan cemas, kawad, dan pengembaraan hutan, Aktiviti ini merupakan
sebahagian proses pembelajaran dan pengumpulan pengalaman.

Remaja yang menyertai persatuan dapat membentuk hubungan kemanusiaan yang lebih baik,
bersatu padu, saling menghormati, tidak mementingkan diri dan terbentuknya sifat-sifat murni lain.
Pergaulan sesama ahli persatuan akan mendewasakan remaja. Pemikiran mereka lebih terbuka dan
dapat menerima perubahan yang membawa kepada kebaikan. Remaja sendiri dapat menyatakan
pendapat dan memberikan sumbangan bermakna kepada kemajuan persatuan. Keadaan sedemikian
menjadikan remaja lebih memahami kehidupan alam masyarakat yang kompleks.

Persatuan juga memberikan pendedahan kepada remaja tentang kepimpinan. Biasanya,


remaja diberi tugas untuk menjadi ahli jawatankuasa kepada persatuan yang disertai. Jawatan dalam
persatuan merupakan satu penghormatan kepada remaja. Pendedahan awal pengalaman memimpin
persatuan merupakan asas terbaik untuk mendidik dan membentuk remaja menjadi pemimpin.
Lambat-laun remaja akan menggantikan pemimpin yang lama. Mereka memerlukan pendedahan awal
agar dapat mengambil alih tugas berat itu dengan persediaan yang cukup. Seorang pemimpin bukannya
dilahirkan, tetapi terbentuk melalui asuhan dan pengalaman yang berterusan.

Pemimpin mempunyai tanggungjawab yang berat dan hanya mereka yang terdidik melalui
proses kepimpinan sahaja mampu melakukannya. Sememangnya, sesiapa sahaja berpotensi untuk
menjadi pemimpin jika bersedia memikul tanggungjawab mencabar, sesuai dengan pengalaman yang
telah dilaluinya sebelum ini.

(Dipetik dan diubah suai daripada


Remaja Perlu Menyertai Persatuan

oleh Lokman Ismail, dalam Dewan Siswa, September 2015)

20
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata mengembangkan bakat yang dimiliki.

[2 markah]

(ii) Pengarang telah mengemukakan pendapat tentang keseronokan remaja melakukan perkara
yang buruk.

Nyatakan dua sebab remaja berbuat demikian.

[3 markah]

(iii) Masih terdapat golongan remaja yang tidak suka berpersatuan atas beberapa faktor.

Huraikan pendapat anda tentang faktor-faktor yang menyebabkan golongan remaja tidak
meminati aktiviti berpersatuan.

[4 markah]

SET 11

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan-kepentingan
menabung bagi golongan remaja dan cara-cara untuk menarik minat golongan remaja
menabung. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kebanyakan ibu bapa pada zaman ini mempunyai masa yang amat terhad dengan keluarga
terutamanya dengan anak-anak. Oleh sebab itu, tidak hairanlah rata-rata ibu bapa pada hari ini

21
memanjakan anak-anak remaja mereka dengan wang ringgit. Mereka menganggap bahawa cara itu
sebagai tanda kasih sayang mereka terhadap anak-anak. Walau bagaimanapun, tindakan ini lama-
kelamaan akan menyebabkan golongan remaja ini lupa diri. Walaupun ibu bapanya mempunyai harta
yang banyak dan dapat digunakan pada bila-bila masa tanpa had, perkara itu bukan alasan bagi remaja
untuk bersikap boros dan tidak mengendahkan amalan menabung yang dapat dijadikan sebagai
simpanan masa depan.

Amalan menabung ini juga dapat mendidik golongan remaja agar berjimat cermat tatkala tangan
mereka memegang wang dengan banyak. Selain itu, amalan ini juga dapat mendidik golongan remaja
untuk merancang perbelanjaan dengan bijak. Sikap beringat-ingat semasa senang mampu mengelakkan
golongan remaja daripada menghadapi masalah kewangan. Hal ini dikatakan demikian kerana duit
simpanan amat penting terutamanya untuk digunakan pada masa-masa kecemasan, misalnya untuk
menggantikan barang-barang keperluan yang rosak atau hilang terutamanya bagi remaja yang
menuntut di kolej atau tinggal di asrama yang jauh daripada keluarga.

Remaja yang gemar menabung dapat meringankan beban ibu bapa kerana duit simpanan mereka
dapat digunakan untuk melanjutkan pelajaran. Dengan cara ini, remaja dapat berdikari dan tidak
terlalu bergantung pada ibu bapa. Hal ini dikatakan demikan kerana kos belajar di institusi pengajian
tinggi agak mahal. Walaupun kerajaan menyediakan bantuan pinjaman atau biasiswa, remaja tetap
perlu menyediakan sejumlah wang yang mencecah beberapa ribu ringgit semasa pendaftaran dan
sepanjang tempoh pengajian. Sekiranya seseorang itu mempunyai wang tabungan, mereka dapat
mengurangkan beban hutang pendidikan yang terpaksa ditanggung selepas mereka menamatkan
pengajian kelak.

Amalan menabung dalam kalangan remaja dapat membentuk golongan remaja yang berdisiplin dan
bermaruah. Mereka dapat menilai keperluan hidup dengan bijak supaya tidak melepasi batas
keperluan sehingga berlaku pembaziran. Remaja yang terdidik dengan sikap berjimat cermat dan suka
menabung pula akan memperoleh pulangan yang lumayan sekiranya mereka memilih untuk menabung
dengan institusi perbankan konvensional yang mengamalkan kadar faedah tetap ataupun sistem
perbankan Islam berdasarkan kaedah perkongsian untung dan beberapa syarat lain mengikut syariat
Islam. Mereka juga boleh melabur wang dalam saham amanah yang banyak terdapat di negara kita.
Pengurusan kredit secara berhemah ini membantu golongan remaja mencapai ketenangan minda.

(Dipetik dan diubah suai daripada

Budaya Menabung Masih Rendah,

oleh Mohd. Khairul Mohd. Ali,Utusan Malaysia, 22 April 2015)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata lupa diri. [2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kaedah menabung yang menguntungkan remaja.

Nyatakan dua kaedah tersebut.

22
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, selain memberikan alasan bergaji kecil, apakah alasan-alasan lain yang
biasanya dinyatakan oleh seseorang yang tidak mahu menabung?

[4 markah]

23
SET 12

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah- langkah untuk
memperkasakan penglibatan wanita dalam bidang ekonomi dan kekangannya. Panjang rumusan
anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kaum wanita pada zaman dahulu sering dikaitkan dengan peranan mereka sebagai suri rumah, tetapi
kini pencapaian wanita sudah memasuki fasa yang lebih luas dan cemerlang serta berjaya memecahkan
dominasi lelaki, sama ada dalam bidang kepimpinan, pentadbiran, mahupun keusahawanan. Oleh
sebab golongan wanita di negara ini mewakili separuh daripada jumlah penduduk negara, penglibatan
mereka dalam pembangunan ekonomi sangat penting untuk meningkatkan pendapatan negara dan
sekali gus membantu meningkatkan status sosioekonomi keluarga.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, menyeru supaya sektor swasta turut
meningkatkan penyertaan wanita di Malaysia dalam jawatan peringkat tertinggi seperti Ketua Pegawai
Eksekutif dan anggota lembaga pengarah. Beliau juga menyarankan syarikat korporat membuka mata
untuk menilai kebolehan wanita dari sudut yang lebih signifikan. Dalam memperkasakan kuasa wanita
sebagai antara agen pembangunan ekonomi negara, pada tahun 1989, kerajaan mengambil inisiatif
untuk menggubal Dasar Wanita Negara. Penggubalan dasar ini memperlihatkan komitmen kerajaan
yang bertujuan untuk mengintegrasikan sumbangan wanita dalam proses pembangunan negara, di
samping menjaga kepentingan dan penyertaan wanita supaya tidak diketepikan.

Selain itu, usaha ke arah menjamin perkongsian yang saksama antara lelaki dan wanita dalam
pemilikan sumber dan maklumat juga dilaksanakan. Usahawan wanita hendaklah meneroka peluang
dan faedah yang wujud daripada pembangunan. Bagi memastikan golongan wanita dapat terus
memacu pendapatan syarikat, usahawan wanita negara ini diseru untuk mendaftar dengan mana-mana
persatuan usahawan. Hal ini bagi membolehkan mereka mendapat lebih banyak maklumat, khususnya
tentang peluang untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan pengetahuan dalam bidang
keusahawanan, di samping membina rangkaian kerja yang lebih kukuh. Usahawan wanita perlu
mendekatkan diri dengan jaringan yang sesuai dan menjalinkan rangkaian yang lebih luas untuk

24
menjana pendapatan perniagaan masingmasing. Mereka juga perlu berusaha untuk merebut peluang
atau peruntukan yang boleh dimanfaatkan.

Jabatan Pembangunan Wanita juga wajar meningkatkan kerjasama dengan institusi lain seperti
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) agar dapat memperkasakan kegiatan keusahawanan. Hal ini dapat
dijadikan landasan yang baik untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan di
negara ini. Pada masa yang sama, langkah peningkatan kerjasama yang diambil sekurang-kurangnya
membolehkan usahawan wanita terus membangun dan meningkatkan kemahiran, di samping
berupaya mengenal pasti kelemahan mereka.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada

Kedudukan Wanita dalam Pembangunan Ekonomi

Oleh Mahathir Mahazar Dewan Ekonomi, Ogos, 2015)

Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata meningkatkan status.


[ 2 markah]

(ii) Usahawan wanita akan mendapat maklumat jika mereka berdaftar dengan persatuan usahawan.

Nyatakan maklumat-maklumat tersebut.

[3 markah]

(iii) Wanita perlu memiliki ilmu yang tinggi dan kemahiran untuk berjaya dalam

bidang keusahawanan.

Pada pendapat anda, apakah kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh usahawan
wanita agar mereka lebih cemerlang dalam bidang keusahawanan?

[4 markah]

25
SET 13

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan generasi muda
dalam mengisi kemerdekaan dan langkah-langkah meningkatkan kesedaran tentang semangat
cinta akan negara dalam kalangan generasi muda. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi
120 patah perkataan.

26
Tahun ini Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-60 tahun. Diam tidak diam sudah hampir
separuh abad negara kita terlepas daripada cengkaman penjajah. Menjadi rutin tahunan, menjelang
sahaja bulan Ogos atau juga dikenali bulan kemerdekaan, agensi atau kementerian yang berkenaan
akan mula menjalankan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang. Namun begitu, perkara yang menjadi
kebimbangan banyak pihak ialah generasi muda tidak mengambil endah tentang hari kemerdekaan.
Mereka sewajarnya menghayati erti kemerdekaan dengan mendalam.

Banyak kemajuan yang telah dicapai oleh generasi muda melalui usaha keras mereka sendiri dan
pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Walau bagaimanapun, generasi muda juga menghadapi pelbagai
masalah. Jika hal ini tidak diatasi secara menyeluruh akan memberi kesan kepada usaha pembangunan.
Pelbagai permasalahan sosial dalam kalangan generasi muda kerap diperkatakan. Hal ini terbukti
menerusi kes jenayah dan salah laku membabitkan mereka di negara kita kian serius dan bertambah
kronik. Penyalahgunaan dadah pula masih lagi memberi petunjuk bahawa kedudukan masalah ini
masih pada peringkat yang membimbangkan. Kesan penyalahgunaan dadah kepada negara boleh
membantutkan usaha untuk menjayakan dasar-dasar yang diwujudkan. Oleh itu, generasi muda perlu
mengelakkan diri daripada dadah kerana mereka merupakan aset yang bernilai bagi negara.

Mereka juga kurang mempunyai semangat patriotisme kerana dikatakan tidak dapat merasai
detik-detik kepayahan dalam menuntut kemerdekaan di samping hidup pada zaman yang selesa.
Mereka sepatutnya bertanggungjawab membina kejayaan negara iaitu sanggup bekerja keras untuk
negara. Generasi muda juga perlu mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan. Hal ini demikian
kerana pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang
mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan
berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju menjelang 2020.

Generasi muda perlu membantu pihak kerajaan bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan
negara. Hal ini demikian kerana keamanan dapat mengelakkan negara daripada serangan musuh sama
ada berbentuk fizikal atau psikologi. Tambahan pula, tugas generasi muda adalah untuk memastikan
Malaysia akan terus berpegang pada konsep keadilan dan kesaksamaan. Dengan ini, semua rakyat
dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan bersama-sama. Selain itu, generasi muda yang akan
mengisi perjuangan kemerdekaan hendaklah memastikan prinsip demokrasi akan terus diamalkan di
samping dapat mengurus negara dengan bijak. Sesungguhnya kejayaan negara dalam fasa kedua 58
tahun kemerdekaan memerlukan komitmen semua pihak terutama generasi muda.

(Dipetik dan diubah suai daripada

Di manakah Semangat Patriotisme Kita,

oleh Dewan Siswa, Ogos 2015)

Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata membantutkan usaha.


[2 markah]

(ii) Pengarang ada mengemukakan beberapa permasalahan sosial dalam kalangan generasi
muda.

Nyatakan permasalahan-permasalahan tersebut.


[3 markah]

27
(iii) Sambutan Bulan Kemerdekaan sering dilaksanakan pada peringkat sekolah.

Pada pendapat anda, apakah faedah-faedah yang anda peroleh daripada Sambutan Bulan
Kemerdekaan tersebut?

[4 markah]

28
SET 14

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kaedah-kaedah menjaga
kesihatan sepanjang hayat dan punca-punca kebanyakan individu tidak sihat. Panjangnya
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kesihatan merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Sudah semestinya setiap individu
menginginkan tahap kesihatan yang baik buat diri masing-masing. Namun begitu, pelbagai jenis
penyakit kini semakin berleluasa malah ada yang menyebabkan kematian. Keadaan ini tidak
seharusnya dipandang remeh, sebaliknya perlulah dianggap serius dan disusuli dengan langkah yang
efektif untuk mengekalkan tahap kesihatan.

Setiap orang perlu mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat berdasarkan piramid
makanan. Tanpa pengambilan makanan secara sihat, mudahlah seseorang itu diserang penyakit. Hal ini
ada kaitannya dengan tubuh badan manusia yang memerlukan nutrien dan komponennya. Untuk kekal
sihat, seelok-eloknya seseorang itu mengurangkan pengambilan makanan yang berlemak. Pengurangan
makanan yang berlemak dapat mencegah penyakit berbahaya seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan
penyakit jantung. Perkara ini membuktikan bahawa gaya pemakanan sangat penting dalam kehidupan
seseorang.

Setiap individu juga sepatutnya menikmati pelbagai jenis makanan dengan kadar yang sederhana.
Di samping itu, lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet harian agar tubuh badan
mendapat bekalan vitamin yang secukupnya. Aspek lain yang tidak wajar diabaikan tentang
pengambilan makanan apabila berhadapan dengan sajian ialah seseorang itu hendaklah bijak
mengawal nafsu makan apatah lagi ketika makan di luar.Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat
sebilangan individu yang berusaha sedaya upaya untuk menghabiskan makanan yang dihidangkan
akibat kemahuan menjamah makanan sukar dikekang.

Amalan pemakanan yang kurang sihat turut mengundang musibah kerana perut merupakan ibu
segala penyakit. Oleh sebab itu, molek benar sesiapa sahaja mengamalkan diet sihat dalam amalan
pemakanan agar tidak menderita pelbagai jenis penyakit walaupun usia masih muda. Sehubungan
dengan itu, setiap individu perlu mendisiplinkan diri tentang amalan mengawal kesihatan dengan
harapan dapat menikmati hidup yang sihat sepanjang hayat. Untuk memastikan seseorang itu kekal
sihat, kegiatan atau bersenam dan mematuhi nasihat pakar tidak wajar diabaikan supaya amalan yang

29
dapat menjejaskan kesihatan dan kehidupan dapat dihindari. Sebenarnya, untuk kekal sihat bukanlah
sesuatu yang sukar kerana pilihannya terletak dalam tangan kita sendiri.

Selain itu, setiap orang perlu mengambil tindakan yang positif dengan menjalani ujian saringan
kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya setiap dua kali setahun supaya tindakan awal dapat
diambil jika mengalami masalah kesihatan. Kita harus sedar bahawa kita sendirilah yang menentukan
sama ada kita mahu terus hidup secara sihat atau tidak mengendahkan amalan gaya hidup sihat.

(Dipetik dan diubah suai daripada

Cara Pemakanan Berkhasiat, Elak Penyakit,

Berita Harian, 2 Januari 2016)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata pilihannya terletak dalam tangan kita sendiri.

[2 markah]

(ii) Pengarang menyenaraikan beberapa jenis penyakit yang berkaitan dengan pengambilan
makanan yang berlemak.

Nyatakan penyakit-penyakit tersebut. [3 markah]

(iii) Kebanyakan penyakit berbahaya berlaku disebabkan amalan gaya hidup tidak sihat sejak
kecil lagi.

Pada pendapat anda, apakah kesan yang terpaksa ditanggung oleh seseorang yang tidak
mengendahkan amalan gaya hidup sihat?

[4 markah]

30
SET 15

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara ibu bapa
memperkasakan sifat positif remaja dan kepentingannya kepada negara. Panjang rumusan anda
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Remaja sentiasa dilihat dengan prejudis. Bertemu dengan teman dilabelkan sebagai melepak, apabila
menyuarakan perasaan, dikatakan kurang ajar, menunggang motor dikatakan ‘merempit’ dan
berambut panjang terus dikatakan muka penjenayah. Rasa ingin cepat mendapat status dewasa
menyebabkan remaja suka bertanya, mengkaji, menyiasat, membuat pertimbangan tentang benar dan
salah, mencuba, dan mengambil berbagi-bagai tindakan yang dilihat aktif. Masa inilah sebenarnya amat
genting bagi remaja untuk membentuk identiti diti. Kesilapan dalam tindakan dan membuat keputusan
memberikan kesan buruk yang sering dikaitkan dengan kehidupan remaja.

31
Dalam hal ini, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk mendampingi dan membimbing remaja
dengan menjawab pertanyaan, berkongsi pengalaman atau maklumat, menyokong aktiviti, dan
memberikan kata semangat. Bantuan ibu bapa dapat memberikan remaja data dan fakta yang berguna
untuk membuat kesimpulan terhadap sesuatu yang berlaku atau dilakukan. Dalam hal ini, ibu bapa
perlu memberikan kebebasan atau pilihan kepada remaa untuk melakukan apa-apa yang diingini,
asalkan mendatangkan kebaikan.

Rasa ingin tahu yang diisi dengan maklumat, ilmu, dan pengalaman yang benar dan betul dapat
meningkatkan kefahaman remaja terhadap sesuatu perkara. Ibu bapa perlu menyokong dan menjadi
pemangkin kuasa yang amat bertenaga yang memberikan kekuatan untuk remaja melonjak lebih cepat
berbanding dengan rakan sebaya dalam meniti perjalanan menuju alam dewasa. Sebenarnya dewasa
itu bukan diukur pada usia, tetapi kematangan berfikir, bertindak dan berdikari.

Rasa ingin tahu yang diikuti pengajaran dan pembelajaran yang betul menjadikan remaja lebih
faham, bijak, yakin, dan aktif untuk mencapai perkara lebih baik. Namun begitu, kegagalan mencapai
apa-apa yang diingini jika tidak dipantau akan menyebabkan remaja semakin tersasar daripada
matlamat asal. Oleh itu, ibu bapa jangan mudah menghukum remaja dengan apa-apa yang berlaku
sebaliknya ibu bapa perlu memberikan keyakinan baharu kepada mereka untuk memperbaikinya.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu memahami hasrat remaja dengan memberikan bimbingan yang
sewajarnya. Misalnya, remaja merupakan golongan yang suka berhibur maka berikanlah peluang itu
dengan batasan dan bimbingan yang bijaksana. Sebenarnya, keinginan berhibur merupakan fitrah yang
bukan sahaja diingini golongan remaja, bahkan semua peringkat umur. Bezanya, hiburan dalam
kalangan remaja sering dikaitkan dengan hiburan melampau dan merosakkan. Inilah sebab remaja
perlu bimbingan dan penjelasan mengenai batasan serta baik buruk sesuatu tindakan. Sikap ibu bapa
yang terlalu mengongkong remaja daripada berhibur memberikan kesan buruk dari segi fizikal dan
mental. Oleh itu, ibu bapa jangan terlampau mengongkong anak-anak selagi tindakan yang dilakukan
oleh mereka tidak melanggar norma dan nilai masyarakat. Dalam erti kata yang sebenar, ibu bapa perlu
bermuhasabah tentang punca sebenar berlakunya isu itu.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana
Membina dan Memperkasakan Sifat Positif Remaja,
oleh Lokman Ismail, Dewan Siswa, Mac 2016)

Soalan 2(a) Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata membentuk identiti. [ 2 markah ]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa cara untuk ibu bapa mendampingi dan membimbing
remaja.

Nyatakan cara-cara tersebut. [ 3 markah ]

(iii) Remaja merupakan modal insan yang amat berharga kepada negara pada masa akan datang.

Huraikan pendapat anda tentang peranan pelbagai pihak dalam memperkasakan remaja di
negara ini.
[ 4 markah ]

32
SET 16

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca
kemerosotan nilai kejiranan dan cara-cara mengatasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.

33
Jiran ialah orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita sama ada di kanan, di kiri, di depan atau
di belakang, di tingkat atas atau di tingkat bawah hingga 40 buah rumah dari setiap penjuru sesebuah
kawasan kediaman termasuklah di taman perumahan, kampung, dan pangsapuri. Orang tua-tua pernah
berkata, jiran tetangga yang baik umpama adik-beradik yang dapat bekerjasama dalam kalangan
masyarakat serta membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh. Jiran yang baik juga dapat membentuk
semangat kekitaan bagi melahirkan semangat bersatu padu serta membolehkan semua anggota
masyarakat memahami antara satu sama lain sehingga tercetusnya slogan “Jiran Sepakat Membawa
Berkat”. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang asing kerana jiran ialah orang yang paling hampir dengan
kita dan menjadi orang yang pertama datang untuk menghulurkan bantuan sebelum ketibaan adik-
beradik dan saudara-mara kerana jarang-jarang kedapatan adik-beradik duduk berjiran terutamanya
di bandar.

Namun begitu, kini keakraban terhakis dek perubahan dalam kehidupan masyarakat akibat
tuntutan hidup yang semakin mencabar dari semasa ke semasa. Kesibukan bekerja memaksa
masyarakat keluar pada awal pagi dan balik pada lewat malam menyebabkan mereka tidak mempunyai
masa untuk diluangkan bersama-sama jiran. Hujung minggu pula dipenuhi dengan aktiviti bersama-
sama keluarga atau masa untuk berehat dan bersantai di rumah selepas seminggu memerah keringat
dan minda untuk menyelesaikan pekerjaan. Jurang status sosioekonomi masyarakat juga menjadi
penghalang untuk mengeratkan semangat kejiranan apabila ada dalam kalangan mereka yang terlalu
bersifat merendah diri dan berasa tidak selesa untuk bergaul dengan jiran yang berpangkat besar.
Sebaliknya, memang ada golongan berstatus yang tidak mahu bergaul dengan mereka disebabkan latar
belakang sosioekonomi yang berbeza.

Kemerosotan nilai kejiranan juga berlaku kerana sikap mengutamakan perkauman. Sikap saling
tidak mengenali antara jiran yang berlainan kaum dan agama memang selalu wujud malah sesama
bangsa dan agama juga berlaku sikap tidak mempedulikan antara satu sama lain kerana masing-masing
sibuk dengan hal sendiri. Keadaan akan menjadi semakin teruk apabila ditambah dengan sikap dengki
atau benci-membenci dalam kalangan penduduk setempat. Selain faktor yang wujud dalam kalangan
masyarakat, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menjadikan masyarakat semakin
kurang berkomunikasi secara langsung. Dengan pelbagai gajet dan aplikasi terkini, masyarakat lebih
taasub untuk berkomunikasi secara dalam talian. Tambuahan pula, struktur reka bentuk perumahan
moden yang berhalangan dengan pagar, tembok, dan pengawal keselamatan menambahkan sikap
individualistik yang sememangnya sudah tersemai dalam diri.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana


Kemerosotan Nilai Kejiranan,
oleh Samat Buang, Dewan Siswa, Mac 2016)

Soalan 2(a) Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata keakraban terhakis.


[ 2 markah ]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kepentingan mengamalkan semangat kejiranan


dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.

Nyatakan kepentingan-kepentingan tersebut.


[ 3 markah ]

(iii) Jiran sepakat membawa berkat; jiran keparat membawa mudarat.


Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan sikap tidak beradab terhadap jiran?

[ 4 markah ]

34
35
SET 17

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan berfikiran
positif dalam kalangan remaja dan kekangan untuk mengamalkannya. Panjang rumusan anda
mestilahtidak melebih 120 perkataan.

Remaja hebat merupakan golongan muda yang sentiasa fokus terhadap apa-apa yang terbaik bagi
diri mereka, keluarga, masyarakat dan negara. Remaja yang hebat ialah remaja yang bersikap positif dan
menjadi aset penting dalam proses pembangunan negara. Berfikiran positif merupakan tindak balas
seseorang terhadap sesuatu perkara yang berlaku kepada diri atau persekitaran sekitar mereka.. Hal ini
berkaitan dengan cara seseorang mengurus minda mereka. Orang yang berfikiran positif biasanya
cenderung untuk memberikan tindak balas yang terbaik terhadap sesuatu yang berlaku. Sikap yang
terbaik itu menjadi perkara yang akan berlaku secara spontan jika seseorang sering berfikiran positif.

Dalam konteks remaja,. pemikiran positif ini mampu untuk menjadi perisai kepada remaja
daripada ancaman penjajahan minda yang boleh merosakkan diri mereka. Perkara ini penting kerana
remaja merupakan kumpulan pewaris negara yang sedang mengalami proses perubahan daripada
tempoh zaman kanak-kanak orang dewasa. Dalam proses perubahan tersebut, remaja yang berfikiran
positif akan menjadikan seseorang itu lebih tenang dan mudah untuk membuat keputusan yang
rasional. Di sini, pentingnya remaja itu melihat sesuatu perkara yang berlaku dengan pemikiran yang
rasional agar dapat dijadikan sebagai penangkis dalam melakukan perbuatan di luar batasan. Dengan
pemikiran yang positif itu, remaja dapat menilai keadaan yang berlaku di sekitar mereka dan bersedia
untuk menghadapi kehidupan yang sebenar.

Tokoh motivasi terkenal, Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, sering menegaskan kepentingan
berfikiran positif dalam apa-apa juga keadaan dan cabaran. Setiap manusia pasti akan menghadapi
kesukaran dan kepayahan dalam usaha mencapai nikmat kehidupan di dunia. Perbezaannya ialah cara
setiap individu mengendalikan cabaran tersebut. Jika melihat cabaran dari sudut yang positif, mereka
akan menghadapi masalah sebagai perkara yang mencabar diri mereka. Pemikiran positif juga dapat
dibentuk melalui pendekatan melihat sesuatu perkara dari perspektif agama. Dengan adanya pemikiran
yang waras yang disemai dengan benih ilmu keagamaan, remaja tidak akan mudah melatah dan
emosional. Sementara itu, remaja haruslah sentiasa merenung konsep kehidupan yang sebenarnya
sedalam-dalamnya. Remaja harus ingat bahawa setiap perkara yang berlaku itu sesuai untuk kita. Dalam
konteks ini, berfikiran positif mewajarkan seseorang menerima bahawa sesuatu yang berlaku adalah
sesuai dengan kemampuan diri mereka. Dengan kata lain, remaja yang berfikiran positif ialah modal
insan yang berguna kepada negara, agama dan bangsa dan pencetus kejayaan dalam pelbagai aspek
kehidupan.

(Dipetik dan diubahsuai daripada

Berfikiran Positif Perisai Penjajahan Minda Remaja

oleh Noor Azam Abdul Rahman, DewanSiswa, Januari 2017)

36
Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata mengendalikan cabaran. [ 2 markah ]

(ii) Remaja yang hebat mempunyai ciri-ciri yang tertentu berbanding dengan remaja

yang lain.

Apakah ciri-ciri remaja yang hebat ?


[ 3 markah ]

(iii) Ramai pakar motivasi di negara ini memberikan panduan seseorang remaja untuk

meningkatkan kemajuan diri dalam pelbagai bidang.

Pada pendapat anda, apakah punca-punca remaja tidak menggunakan panduan yang diberikan
oleh pakar motivasi dalam kehidupan seharian mereka. ?

[ 4 markah ]

37
SET 18

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan pusat sumber
sekolah dan sebab-sebab pusat sumber sekolah kurang dikunjungi. Panjang rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak dahulu lagi sesebuah sekolah dianggap tidak lengkap jika tidak mempunyai satu perpustakaan.
Perpustakaan itu pula dianggap sebagai gedung ilmu dan sumber pengetahuan. Hal ini bermakna, kalau
sebelum ini perpustakaan merupakan pusat pengumpulan bahan bercetak dan bilik alat merupakan
tempat pengumpulan bahan-bahan alat pandang dengar, sekarang kedua-dua tempat ini diintegrasikan
untuk menjadi pusat sumber sekolah.

Pusat sumber sekolah berfungsi sebagai pusat untuk menyediakan, menyimpan, mengedarkan,
dan memberi perkhidmatan koleksi bahan. Sama ada bersaiz sekadar sebuah bilik darjah ataupun
berdiri megah berbentuk bangunan sendiri, pusat sumber sekolah berpotensi besar dalam

38
meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan tahap intelektual warga sekolah, khususnya murid.
Usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu yang menjadi satu daripada fokus tahunan
pusat sumber sekolah. Pusat sumber sekolah dapat mengadakan kolaborasi dengan Panitia Bahasa
Melayu dalam program peningkatan akademik.

Pusat sumber sekolah juga merupakan tempat berlakunya segala kegiatan yang bertujuan
untuk meningkatkan pencapaian dalam proses pengajaran dan pemelajaran. Konsep pusat sumber
sekolah ini adalah berkaitan dengan konsep pendidikan moden, iaitu untuk mewujudkan keadaan
belajar secara kendiri. Dengan yang demikian, setiap individu boleh menentukan kehendak pelajarnya
dan merancang sesuatu bagi memupuk keperluan dan kehendak yang tersendiri. Pusat sumber sekolah
sememangnya dapat membantu dan membaiki kualiti pendidikan negara agar dapat memberikan asas
yang kukuh bagi membentuk masyarakat berpengetahuan. Oleh itu, golongan pendidik sentiasa
diingatkan supaya menghasilkan pengajaran yang berkesan.

Pada masa yang sama, pusat sumber sekolah perlu dilengkapi dengan alat bahan, dan
kemudahan. Pusat sumber yang lengkap dan menepati kehendak pelanggannya membolehkan proses
capaian maklumat dilaksanakan dengan berkesan. Antaranya termasuk penyediaan keratan akhbar
dan koleksi rencana daripada majalah. Selain itu, pusat sumber sekolah mampu menghasilkan bahan-
bahan yang mudah dan murah, tetapi berkesan kepada pelanggannya. Jadi, pusat sumber sekolah
disediakan bertujuan untuk memajukan sumber pelbagai media bagi kegunaan guru dan pelajar.

Tegasnya, dapatlah dikatakan bahawa peranan pusat sumber sekolah sangat luas. Di samping
memupuk minat gemar membaca dan membuat penyelidikan, diharapkan apabila pelajar dapat
memanfaatkan pusat sumber sekolah, mereka akan dapat menjadi pelajar yang berdedikasi, berfikiran
matang, berdisiplin, dan dapat mengembangkan bakat, serta kebolehan mereka berdasarkan minat dan
kecenderungan masing-masing.

(Dipetik dan diubah suai daripada

Pusat Sumber Meningkatkan Penguasaan Bahasa Melayu

oleh Zuridah Hanim Md. Akhir, Pelita Bahasa, April 2011)

Soalan 2 (a): Pemahaman Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata gedung ilmu.   [2 markah]

(ii) Nyatakan kelebihan-kelebihan sekiranya seseorang pelajar itu gemar membaca dan membuat
penyelidikan di pusat sumber sekolah?

[3 markah]

39
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk meningkatkan minat pelajar menggunakan
pusat sumber sekolah?

[4 markah]

40
SET 19

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang kesan negatif penggunaan beg
plastik dan cara-cara menyedarkan orang ramai tentang bahaya beg plastik. Panjangnya rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah
mengumumkan bahawa setiap hari Sabtu ialah Hari Tanpa Beg Plastik di seluruh negara. Ketua
Pengarah kementerian terbabit menjelaskan bahawa pasar raya dan beberapa buah premis yang
terpilih di seluruh negara tidak akan memberikan beg plastik dengan percuma kepada pelanggan pada
hari tersebut dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan sisa buangan bahan tersebut. Di samping itu,
pemberian beg plastik dilihat sebagai salah satu punca peningkatan jumlah sisa pepejal yang mungkin
mencecah 30 000 tan sehari menjelang tahun 2020.

Oleh sebab itu, orang ramai perlulah melakukan perubahan dengan cara membawa barang-barang
yang dibeli menggunakan troli. Mereka juga boleh membawa beg kitar semula ketika membeli barang-
barang keperluan semasa membeli-belah. Isu tentang kesan negatif sisa beg plastik terhadap ekologi
dan alam sekitar bermula sejak beberapa tahun yang lalu khususnya di negara-negara barat. Kesedaran
berkaitan dengan perkara ini timbul selaras dengan meningkatkan keprihatinan manusia terhadap
kepentingan alam sekitar yang semestinya hanya diganggu secara minimum walaupun sesebuah negara
itu mengejar pembangunan.

Pada tahun 2008, akhbar ‘The Guardian’, United Kingdom telah membuat laporan tentang
sejumlah 13 bilion beg plastik diberikan secara percuma kepada pelanggan pasar raya di negara
tersebut. Kajian juga menunjukkan bahawa setiap beg plastik yang dibuang mengambil tempoh antara
400 hingga 1000 tahun untuk hancur menjadi cebisan bertoksik. Dalam pada itu, cebisan ini
memberikan kesan yang buruk pula terhadap tanah dan saliran air. Kesan ini turut membabitkan
rantaian makanan haiwan kerana turut dimakan oleh haiwan. Kebanyakan beg plastik yang dibuang ke
dalam sungai atau laut pula telah mencemarkan pantai dan kawasan sekitarnya. Haiwan laut seperti
penyu juga akan menerima kesan setelah memakannya.

KPDNKK telah melancarkan kempen untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya
penggunaan beg plastik, namun kempen hanya akan tinggal kempen jika tidak mendapat kerjasama
daripada orang ramai dan pekedai. Kerajaan juga perlu mengadakan sesi penerangan bagi menyemai
kesedaran kepada orang ramai dan murid tentang keburukan bahan plastik terhadap kehidupan
manusia dan dunia. Pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan mestilah menjadi pemacu kepada
kejayaan kempen berkenaan agar benar-benar berbaloi dan membawa manfaat dengan membabitkan
peserta daripada kalangan pekilang plastik, pasar raya dan pengguna. Selepas itu, kerajaan bolehlah
menambahkan bilangan hari tanpa beg plastik di negara kita dari semasa ke semasa.

(Dipetik dan diubah suai daripada

Beg Plastik Cemar Alam Sekitar

oleh Johari Ibrahim, Berita Harian, Januari 2011)

41
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Apakah maksud rangkai kata diganggu secara minimum? [2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa langkah yang dilakukan oleh kerajaan untuk
menyedarkan orang ramai tentang Hari Tanpa Beg Plastik.

Nyatakan langkah-langkah tersebut. [3 markah]

(iii) Masih terdapat sebilangan rakyat negara kita yang tidak menyedari bahaya penggunaan
beg plastik.

Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? Berikan tiga sebab.

[4 markah]

42
SET 20

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan penggunaan
kata slanga dan cara-cara mengawal penyebaran kata slanga. Panjangnya rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.

Slanga ditakrifkan sebagai kata-kata yang tidak tergolong dalam bahasa baku dan biasanya digunakan
dalam percakapan tidak rasmi. Penggunaan kata slanga seperti caya, cintan dan jiwang pada suatu
ketika dahulu pernah menjadi sebahagian daripada bahasa dalam kalangan remaja bagi
menggambarkan identiti mereka. Dalam bentuk tulisan, bahasa tersebut bukan sahaja digunakan dalam
bacaan ringan seperti komik dan majalah hiburan yang bertujuan santai serta hiburan, malah sistem
khidmat pesanan ringkas (sms) turut menggunakan bahasa pelik itu bagi memudahkan perbualan.

Pada tahap permulaan evolusi bahasa Melayu, berlaku pemendekan istilah yang masih mudah
difahami. Pada tahap pertengahan pula, berlaku penyerapan kata-kata kepada bahasa lisan seperti
yang digunakan dalam perbualan. Perkembangan selanjutnya, memaparkan pemelatan kata-kata
dengan tujuan memeriahkan suasana perbualan dan menambahkan kemesraan. Sesungguhnya,

43
penggunaan kata-kata slanga dalam bentuk percakapan masih boleh diterima tetapi apabila digunakan
dalam bentuk tulisan yang diterbitkan, penggunaannya boleh menjejaskan kedaulatan bahasa. Jika
keadaan ini dibiarkan, dikhuatiri kecenderungan penggunaan bahasa remaja yang makin meluas ini
akan memberi kesan buruk terhadap penguasaan bahasa Melayu Baku dalam kalangan pelajar.
Pengaruh kata slanga sebeginilah yang mendatangkan kerisauan bukan sahaja dalam kalangan pakar
linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga bimbang akan kebanjiran komik
menggunakan kata slanga di pasaran.

Pengubahsuaian penggunaan bahasa Melayu seperti caye (percaya) dan camni (macam ini)
bagi memudahkan perbualan seharian mereka. Pengubahsuaian bahasa seumpama ini jika tidak
dibendung mampu memudaratkan pengguna bahasa dan nilai bahasa itu sendiri. Perbuatan
memendekkan kata-kata atau ayat sering melahirkan makna yang berbeza jika dinilai oleh 'seseorang
yang bukan siber' yakni mereka yang baru saja berjinak-jinak dengan alam internet. Bagi 'orang siber'
pula, bahasa yang diubahsuaikan itu akan menjadi satu kebiasaan sehingga terbawa-bawa dalam
perbualan dan penulisan di luar alam siber, iaitu pada alam realiti.

Kesan yang amat ditakuti ialah penyelewengan bahasa makin berleluasa dari alam maya ke
alam realiti apabila penggunaan istilah, pemendekan kata dan ayat di ruang siber digunakan dalam
perbualan sesama teman dan guru. Jika dibiarkan sahaja, pencemaran bahasa akan menjadi satu
kebiasaan. Sekiranya kita menerima kebiasaan ini bagi penggunaan pada alam realiti, maka akan
lenyap bahasa Melayu baku yang gramatis dan murni. Sebaliknya, pengguna Internet seharusnya
mencari jalan untuk memastikan bahasa Melayu tetap terpelihara. Laras Internet sebaiknya disimpan
saja dalam Internet agar kemurnian dan kedinamikan bahasa Melayu lebih terserlah dan kekal relevan.

(Dipetik dan diubah suai daripada

Slanga Rosakkan Bahasa Jika Tidak Dikawal,

Sidang Pengarang, Berita Harian, Mac 2009)

Soalan 2(a) - Petikan Umum

(i) Apakah maksud rangkai kata memudaratkan pengguna bahasa? [2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa punca seseorang itu gemar menggunakan kata-kata
slanga.

Nyatakan punca-punca tersebut. [3 markah]

44
(iii) Sebagai seorang murid, apakah peranan-peranan yang dapat anda lakukan untuk menggalakkan
penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan rakan anda?

[4 markah]

45

Anda mungkin juga menyukai