Anda di halaman 1dari 6

SET 1

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara
mengamalkan gaya hidup sihat dan halangan-halangan yang dihadapi dalam
menjayakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Gaya hidup sihat bermaksud seseorang individu yang mempunyai badan yang sihat dan selalu
menjalani aktiviti yang berfaedah. Pada masa sekarang, sewajarnya masyarakat mengetahui
kepentingan amalan gaya hidup sihat. Waima begitu, pada era globalisasi yang penuh dengan
pancaroba ini, sesetengah ahli masyarakat tidak mengamalkan gaya hidup sihat dengan
memberikan pelbagai alasan. Sebenarnya, mengamalkan gaya hidup yang sihat akan membawa
banyak manfaat. Salah satu kaedah untuk kekal sihat ialah melakukan aktiviti sukan sekurang-
kurangnya tiga kali seminggu. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti sukan kita dapat
mengeluarkan peluh, iaitu dengan mengeluarkan toksin yang terhasil dalam badan kita selain
memastikan jantung kita berfungsi dengan baik.

Kehidupan yang sihat juga diperoleh apabila kita dapat mengurus tekanan dengan cara
yang baik. Hasilnya, seseorang individu akan seimbang dari segi rohani, intelek, emosi dan
jasmani. Selain itu, pengambilan makanan yang seimbang juga penting dalam kehidupan
seharian seseorang. Pengambilam makanan yang seimbang mestilah berpandukan jadual
piramid makanan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh itu, ibu bapa
disarankan agar menyediakan makanan yang seimbang dan berkhasiat untuk anak-anak.
Seterusnya mengadakan aktiviti rekreasi bersama-sama keluarga. Pada ketika itu, ibu bapa
akan memimpin anak-anak melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah di samping anak-anak
mendapat pengajaran dan pendidikan secara langsung daripada kedua-dua ibu bapa mereka.

Kita disarankan menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat agar
dapat membentuk persekitaran sosial yang sihat. Apabila setiap masyarakat dapat
mengamalkannya maka akan lahirlah rakyat yang sihat. Kita juga seharusnya bijak
mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang gejala sosial yang boleh merosakkan diri
dan masa depan. Dalam konteks ini, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak
supaya mereka tidak terpengaruh dengan gejala-gejala negatif.

Rehat yang mencukupi juga dapat memberikan kelegaan kepada otak untuk berehat.
Menurut kajian, seseorang individu perlu tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Dalam
tempoh rehat ini, sel-sel otak yang rosak dapat dipulihkan dengan sempurna. Hal ini dapat
menyediakan seseorang individu untuk meneruskan aktiviti kehidupan pada keesokan hari.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala sangat perlu untuk mengetahui tahap kesihatan
seseorang. Sehubungan dengan itu, kakitangan kerajaan telah disarankan untuk menjalani
pemeriksaan kesihatan agar dapat menjamin kualiti kehidupan yang sihat secara berterusan.
Kesimpulannya, setiap individu tidak haruslah menjadikan kesibukan aktiviti seharian
sebagai alasan untuk tidak mengamalkan gaya hidup sihat, bak kata pepatah hendak seribu
daya, tak hendak seribu dalih. Amalan gaya hidup sihat dapat menjamin badan yang sihat dan
otak yang cerdas. Seterusnya, keadaan ini dapat melahirkan rakyat yang inovatif bagi
menggerakkan negara menuju Wawasan 2020.

(Dipetik dan diubah suai daripada


Cara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat oleh
Soo Kai Huan, Dewan Siswa, Mac 2013)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Apakah maksud rangkai kata penuh dengan pancaroba? [2 markah]

(ii) Ibu bapa memainkan peranan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat
dalam kalangan anak mereka. Nyatakan dua peranan tersebut. [3 markah]

(iii) Sejak belakangan ini, ramai individu yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Pada
pendapat anda, jelaskan tiga kesan terhadap individu yang tidak mengamalkan gaya hidup
sihat. [4 markah]
SET 2

Baca petikan brikut dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk
memartabatkan batik Malaysia serta kekangan untuk melaksanakannya. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Seni batik merupakan merupakan salah satu akar budaya yang menjadi identiti bangsa
Malaysia dan bidang kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejak dulu lagi, fungsi batik tidak
pernah berubah sebagai busana kaum Hawa. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri telah
berusaha menghidupkan seni batik ini semula dengan mengarahkan kakitangan awam memakai
baju batik pada setiap hari Khamis. Arahan pemakaian batik selaras dengan usaha kerajaan
menyokong usaha untuk mengembangkan industri batik di negara ini, sekali gus
mempopularkan semula pakaian yang semakin dilupakan itu. Sesungguhnya, langkah
mewajibkan pemakaian batik telah memberi nafas baru kepada perkembangan industri batik
negara untuk terus berkembang maju.

Industri batik kini semakin berkembang pesat dan generasi Malaysia telah mula
mencintai batik. Golongan remaja juga sudah tidak berasa segan mengenakan batik dengan
gaya kasual. Selain itu, batik juga telah mendapat penghargaan sebagai budaya seni yang begitu
tinggi nilainya dan boleh dijadikan cenderamata kepada sesiapa sahaja sama ada di dalam
mahupun di luar negara. Kita harus berterima kasih kepada Allahyarham Datin Seri Endon
Mahmood yang telah mengilhamkan serta melancarkan Batik Malaysia: Ciptaan Untuk Dunia.
Sejak dilancarkan, program tersebut telah mendapat sambutan hebat, walaupun pada mulanya
hanya bertujuan untuk menimbulkan kesedaran orang ramai untuk mempertahankan seni batik.
Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Budi Penyayang Malaysia telah
berusaha mengadakan Minggu Batik Malaysia 2005 bertujuan untuk berkongsi kegemilangan
dan keistimewaan batik Malaysia bersama-sama masyarakat tempatan dan dunia.

Buat julung-julung kalinya juga, Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 2005
telah diadakan di negara ini. Konvensyen tersebut telah menampilkan 14 orang pembentang
kertas kerja dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, India,
Indonesia, Jepun dan Australia telah menyentuh pelbagai aspek perkembangan batik seperti
sejarah batik, rekaan batik, pemasaran batik serta kejayaan industri itu. Perdana Menteri juga
telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi komitmen dalam menggerakkan
industri batik negara. Komitmen kerajaan ini disebabkan industri batik berpotensi menarik
kedatangan pelancong ke Malaysia sekali gus menyumbang kepada kemajuan industri
pelancongan negara. Oleh itu, pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia perlulah bekerja keras untuk
mempromosikan batik agar produk ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan
dan pelancong asing.
Bagi memastikan industri batik terus berkembang, Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia telah berusaha meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D)
merangkumi pelbagai aspek batik seperti penggunaan kain baru, penggunaan warna asli,
ketahanan basuhan dan lain-lain. Melalui Program Pembangunan Usahawan pula, latihan
kemahiran tenaga kerja dilaksanakan dengan matlamat untuk melahirkan tenaga kerja mahir
dalam industri batik ini. Di samping itu juga, teknologi baru seperti penggunaan mesin dan
bantuan komputer untuk menghasilkan batik yang lebih menarik dan berkualiti diperkenalkan.
Selain usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan, para pengusaha batik tempatan juga perlu
memainkan peranan mereka untuk meningkatkan kemajuan industri batik di negara ini.
Mereka perlu lebih kreatif dalam menghasilkan batik yang lebih menarik dan lebih bermutu
bagi memastikan batik tempatan mampu bersaing dengan batik dari negara-negara lain. Mereka
juga perlulah bersedia untuk melabur untuk meningkatkan pasaran batik ke peringkat global.

Secara tuntas, apa-apa yang selama ini menjadi identiti bangsa sebagai warisan tradisi
yang wajar dipertahankan terutama yang membabitkan seni budaya tempatan seperti seni batik
ini. Sudah tiba masanya seni batik Malaysia yang diusahakan secara turun-temurun, kembali
berdaya maju seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini dan terus bertapak di hati generasi
demi generasi sebagai khazanah bangsa yang dibanggakan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Memartabatkan


Batik Malaysia oleh Haji Samat Buang,
Dewan Siswa, April 2006)

Soalan 2 (a) Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata warisan tradisi yang wajar dipertahankan.
[2 markah]

(ii) Nyatakan tiga kesan langkah kerajaan mewajibkan kakitangan awam memakai
baju batik setiap Khamis. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, selain melalui industri batik, apakah bidang lain yang boleh
diketengahkan untuk memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing?
Kemukakan tiga pendapat.

[4 markah]
SET 3

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang langkah-
langkah mengekalkan gaya hidup sihat dan halangan mengekalkannya. Panjang rumusan
anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Dewasa ini, pembangunan arus globalisasi merupakan perkara yang kian pesat berkembang di
negara kita. Namun begitu, dalam mengejar arus modenisasi, kita seharusnya menitikberatkan
perihal kesihatan. Tanpa kehidupan yang sihat nescaya kita terdedah dengan penyakit yang
berbahaya. Oleh itu, mengamalkan gaya hidup sihat merupakan langkah yang wajar dijadikan
amalan. Antara amalan gaya hidup sihat ialah menjaga pemakanan seharian kita. Oleh itu, kita
perlu mengamalkan pemakanan seimbang. Pemakanan seimbang membolehkan badan kita
sihat dan tidak terlalu gemuk. Pemakanan yang tidak seimbang akan menyebabkan badan kita
mendapat pelbagai penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung, dan kencing manis.

Selain itu, kita juga hendaklah rajin bersenam atau beriadah. Dengan melakukan aktiviti
senaman, jantung akan menjadi sihat dan kuat. Sisa toksin dalam badan pula akan keluar
melalui peluh semasa kita bersenam. Senaman yang kita lakukan akan membolehkan darah
mengalir dengan baik dan menguatkan lagi otot-otot badan. Pada waktu yang sama, kita perlu
menjaga kebersihan rumah dan persekitaran. Tempat-tempat yang membolehkan nyamuk
membiak mestilah dihapuskan. Jangan sesekali membuang sampah sarap ke dalam sungai atau
dibiarkan di luar rumah kerana akan menyebabkan pencemaran alam sekitar. Di samping itu,
kita juga hendaklah membuat pemeriksaan kesihatan. Apabila mengetahui tahap kesihatan kita,
kita boleh mengambil langkah tertentu bagi memastikan kesihatan kita terus berada dalam
keadaan baik. Jika tidak membuat pemeriksaan, tanpa kita jangka, tiba-tiba sahaja kita rebah.

Kita juga mesti menjauhi perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan. Antaranya,
menghisap rokok, minum arak, dan menagih dadah. Tabiat menghisap rokok menyebabkan
seseorang mendapat penyakit paru-paru dan jantung. Kebaikan utama gaya hidup sihat ialah
amalan yang membina ini sentiasa memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan yang
baik. Sebagai contoh, gaya hidup sihat juga menjamin kestabilan kesihatan mental serta
sentiasa mengawal ataupun mengurangkan tekanan. Oleh itu, amalan berehat dan tidur dengan
kadar yang mencukupi dapat mengurangkan tekanan dan menenangkan tubuh serta minda.

Kita juga perlu mempunyai pemikiran positif yang mampu memberikan jalan
penyelesaian bagi kemelut yang serius tanpa menghadapi tekanan yang berlebihan. Gaya hidup
yang sihat juga melahirkan insan yang berdisiplin dan sihat dari segi fizikal dan
persekitarannya. Sehubungan itu, kita hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri. Malah, kita
hendaklah sentiasa berbaik-baik dengan jiran. Jiran yang baik bukan sahaja dapat
mengukuhkan ikatan silaturahim, malahan melahirkan jiwa yang tenang. Akhir sekali, kita
hendaklah sentiasa peka dengan keadaan persekitaran kerana persekitaran yang baik dapat
mengekalkan keharmonian hidup kita.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana

Mengamalkan Gaya Hidup Sihat,


oleh Lyisronney Dulasik, Dewan Siswa, Januari
2013)
Soalan 2(a) Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata mengekalkan keharmonian. [ 2 markah ]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kelebihan apabila memiliki tubuh yang sihat.

Nyatakan kelebihan tersebut.

[ 3 markah ]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah rakyat Malaysia rata-rata mengalami obesiti.

Kemukakan tiga pendapat anda.


[ 4 markah ]

Anda mungkin juga menyukai