Anda di halaman 1dari 2

Cara-cara menggalakkan pengguna tempatan membeli barangan Malaysia

Ketika menyambut hari Kemerdekaan yang ke-53, sebagai rakyat Malaysia kita berasa bangga
kerana ibu pertiwi kita telah berjaya melepaskan diri daripada belenggu penjajah dan berjaya
menempa nama di persada dunia. Salah satu kejayaan tanah air kita ialah barang buatan Malaysia
telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Kereta buatan Malaysia seperti Myvi dan Proton
telah dijual di banyak negara, termasuk England, Australia dan lain-lain lagi. Ironinya, rakyat
Malaysia masih ragu-ragu terhadap kualiti barangan Malaysia. Lantaran, semua pihak yang terlibat
patut mengaturkan strategi yang bersepadu untuk menggalakkan rakyat kita membeli barangan
Malaysia supaya mata wang Malaysia tidak mengalir ke luar negara.

Sesungguhnya, pihak media massa memainkan peranan yang signifikan untuk menggalakkan
anggota masyarakat kita supaya membeli barangan Malaysia. Kempen Beli Barangan Malaysia harus
dijalankan atas kerjasama media massa dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan. Pelbagai iklan, dokumentari, rancangan, wawancara dan sebagainya harus disiarkan
dalam siaran televisyen, radio, surat khabar dan majalah. Pihak berkenaan harus mengadakan
pertandingan kuiz, melukis poster, menulis esei, dan lagu patriotik bersempena dengan kempen
tersebut. Kata orang tua-tua, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dengan propaganda
daripada pihak media, kempen tersebut dapat mencelikkan minda pengguna kita supaya
mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan
Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta.

Untuk menjamin kualiti barangan Malaysia dan memberikan jaminan tentang mutu barangan
Malaysia, para pengusaha sama ada kaum petani, pengusaha industri kecil dan sederhana serta
usahawan korporat harus memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% pendapatan mereka sebagai
belanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Pengusaha kita harus mengaplikasikan
budaya R&D sebagai budaya perniagaan mereka. Mereka harus berusaha meningkatkan mutu
barangan hasil mereka sama ada bahan pertanian, penternakan atau buatan kilang sehingga
mencapai kriteria ISO atau SIRIM. Dengan ilmu sains dan teknologi yang canggih, barangan Malaysia
bukan sahaja perlu bermutu malah harus terjamin dari segi kesihatan, keselamatan dan mesra alam.
Selain kualiti, para pengusaha harus sentiasa meneliti, mengkaji dan menyiasat cinta rasa trend
semasa, keinginan pasaran serta pembungkusan yang unik. Perniagaan yang tradisional tidak dapat
bersaing dalam dunia perdagangan yang penuh dengan cabaran dan kompetitif. Salah contoh yang
nyata ialah setiap tahun, Syarikat Nokia dan Apple telah berbelanja berpuluh-puluh bilion ringgit
dalam penyiasatan dan pembangunan supaya produk mereka sentiasa di takuk mercu di pasaran
dunia. Lantaran R&D merupakan pendekatan yang ampuh untuk mengadaptasikan barangan
Malaysia kepada pasaran tempatan dan dunia. Seperti pepatah Cina, ketika menongkah arus, kita
tidak maju ke depan bermaksud kita telah mundur.

Pada masa yang sama, pihak swasta harus bertindak proaktif untuk mempromosikan barangan
Malaysia. Salah satu tindakan yang maslahat ialah mengadakan ekspo di seluruh negara. Pengeluar
harus bergabung tenaga untuk memperkenalkan barangan mereka kepada para pengguna. Ketika
ekspo diadakan, jurujual atau jurucakap syarikat tersebut dapat memperkenalkan produk syarikat
secara langsung kepada pengguna tentang keistimewaan dan keunikan produk mereka. Sebagai
contohnya, ekspo kosmetik dan makanan herba tempatan boleh diadakan untuk memperkenalkan
barangan buatan Malaysia yang juga tidak kurang mutunya dengan bahan kosmetik atau makanan
kesihatan luar negara, seperti ditanggung halal, menggunakan bahan semula jadi dan boleh
digunakan tanpa waswas. Sehubungan dengan itu, ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen
pakaian tempat dan ekspo industri kecil dan sederhana juga patut diadakan dari semasa ke masa.
Hakikatnya, Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3 telah berjaya mengadakan ekspo barangan
Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pengeluar kita harus
bersikap komitmen bagai genggam bara api biarlah sampai jadi arang. Keikhlasan dan kesungguhan
mereka pasti dapat menarik perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia.

Di samping itu, Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan
Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan
pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus menetapkan bahawa
hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga yang istimewa. Atas tajaan
pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant,
Jasco, Tesco, Mertojaya, Parkson dan sebagainya boleh mengadakan jualan megah atau jualan
murah tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Jika harga barangan Malaysia sangat
menawan, para pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya. Para pelancong juga turut terpukau
oleh potong harga yang istimewa. Di samping memajukan industri pelancongan, Karnival Membeli-
belah Malaysia juga dapat melariskan barangan Malaysia. Hal ini bagai menyelam sambil minum air.

Sementelahan pula, pihak sekolah perlu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar
sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana
semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja kita supaya mereka terpanggil untuk
membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Melalui mata pelajaran Bahasa
Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, nilai cinta akan negara
boleh disuntik kepada generasi muda kita. Kita patut mencontohi warganegara Jepun dan Korea
kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya,
dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti
jenama Samsung, LG dan Hunydai. Jika pelajar kita telah diterapkan semangat cinta akan negara dan
ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak
dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja.
Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.

Natijahnya, rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan: 1Malaysia Menjana
Transformasi. Seisi negara patut seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu
perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Negara kita, tanggungjawab kita. Marilah kita
berbangga terhadap barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

Anda mungkin juga menyukai