Anda di halaman 1dari 37

Cara-Cara Menangani Penularan Wabak Penyakit

● memastikan kebersihan diri dan persekitaran terjamin


● mengamalkan gaya hidup sihat
● mengawal kemasukan pelancong dan buruh asing
● memeriksa bahan-bahan import
● sentiasa membuat penyelidikan
● melupuskan ancaman dengan segera

Langkah-Langkah Mempopularkan Permainan Tradisional

● Ibu bapa dan ahli keluarga memperkenalkan permainan tradisonal


● Memperkasa pertandingan permainan tradisional
● Menyalurkan dana secara konsisten kepada penggiat permainan tradisional
● Melazimi permainan tradisional dalam media massa seperti drama dan dokumentari
● Program pertukaran budaya dengan negara lain
● Kempen yang lebih komprehensif

Kepentingan Makanan Seimbang Kepada Tubuh Badan

● Membekalkan zat dan nutrien yang cukup


● Mengurangkan risiko menghadapi penyakit
● Memberikan kesihatan mental yang stabil
● Meningkatkan kecantikan rupa paras
● Mampu mengawal kadar obesiti
● Membantu pembesaran fizikal yang lebih sempurna

Cara-Cara Mengatasi Stress Atau Tekanan (Untuk Mengelakkan)

● Mempelajari kawalan emosi kendiri


● Berkongsi masalah dengan orang yang dipercayai
● Melakukan aktiviti riadah
● Beribadat kepada Tuhan
● Berehat atau melancong
● Berjumpa dengan kaunselor
Cabaran Dalam Mengekalkan Perpaduan Kaum

● Landskap politik negara


● Jurang dan dominisasi ekonomi
● Kewujudan sistem pendidikan yang berbeza
● Laman sosial dan media massa
● Penggunaan bahasa kebangsaan

Langkah Memupuk Semangat Patriotisme

● perlu dipupuk bermula sejak di bangku sekolah


● ibu dan bapa berperanan memupuk
● kempen patriotik oleh media massa
● menghargai sejarah dan tokoh negara
● melawat tempat bersejarah
● menyertai program kenegaraan

Kelebihan Pendidikan Maya (Pengajaran & Pembelajaran Dalam Talian)

● Pembelajaran yang lebih mudah dan interaktif


● Pembelajaran yang selesa dan kondusif
● Meningkatkan kemahiran teknologi
● Memudahkan pelajar untuk mengulang kaji pelajaran
● Memanfaatkan penggunaan e-buku atau bahan pengajaran atas talian
● Meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar

Kelebihan Perniagaan Secara Atas Talian Kepada Pengguna Dan Peniaga

● menjimatkan masa pengguna


● menawarkan pelbagai jenis produk
● memudahkan perbandingan harga
● mengurangkan risiko perniagaan
● membuka pasaran global
● menawarkan fleksibiliti
Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pertanian Di Malaysia

● Mengubah kaedah pertanian menggunakan teknologi terkini


● Memberi bantuan insentif dan bengkel kemahiran
● Menggalakkan pengguna membeli produk tani tempatan
● Membuka kawasan pertanian baru
● Menawarkan sistem pemasaran tanpa orang tengah
● Menganjurkan pameran pertanian tempatan di luar negara

Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang

● Bermoral tinggi dan berakhlak baik


● Menumpukan perhatian dalam pembelajaran
● Mengulang kaji pelajaran
● Aktif dalam aktiviti kokurikulum
● Menjaga kesihatan dan kebersihan
● Belajar daripada kesilapan

Peranan Masyarakat Dalam Menjurus Kesejahteraan Hidup

● Mengenali dan menghormati latar belakang masyarakat


● Pembudayaan nilai-nilai murni
● Menyertai aktiviti kemasyarakatan
● Menjadi mata-mata kepada penguasa
● Mengutamakan kesihatan rohani dan fizikal
● Mengukuhkan sifat patriotisme dalam masyarakat
Contoh Karangan Cara-Cara Menangani Penularan Wabak Penyakit

Pendahuluan

Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini, kita dapat menyaksikan peningkatan
kes-kes penularan penyakit di dalam negara mahupun di seluruh pelosok dunia.
Fenomena ini dikategorikan sebagai subset penyakit yang boleh ditularkan dan
berjangkit kepada orang lain. Situasi ini mampu merebak melalui laluan udara dan juga
melalui hubungan fizikal. Polemik yang semakin membimbangkan masyarakat dunia
amnya dan masyarakat Malaysia khususnya ini umpama duri dalam daging. Rentetan
itu, kita wajar untuk mengenal pasti cara terbaik untuk menangani masalah ini untuk
daya tahan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Persis kata mutiara Melayu,
mencegah lebih baik daripada merawat.

Isi 1

Perkara utama dalam menghadapi isu global ini adalah tindakan setiap individu dalam
masyarakat untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Kebersihan diri adalah
nilai penting yang wajib diamalkan oleh semua manusia kerana kekotoran adalah punca
kepada penularan ini. Setiap ahli masyarakat dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa
perlu mengutamakan kebersihan diri dengan membuang sampah di tempat yang betul,
sentiasa mencuci tangan selepas menggunakan tandas dan memiliki restoran yang
memiliki tahap kebersihan terbaik. Aktiviti bergotong-royong dalam membersihkan
kawasan perumahan dan tempat-tempat awam perlu sentiasa dianjurkan agar
kebersihan dijaga di samping hubungan kemasyarakatan dapat dieratkan. Maka, kita
perlu sentiasa mengingatkan diri dan orang sekeliling supaya menitik beratkan aspek
kebersihan diri dan persekitaran dalam kehidupan seharian.

Isi 2

Cara lain dalam mencegahnya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Masyarakat yang inteligensia ialah masyarakat yang mempraktikkan gaya hidup sihat
kerana manfaatnya yang besar bukan sahaja pada diri malahan berfaedah untuk
negara. Gaya hidup sihat merangkumi pemakanan seimbang dan melakukan aktiviti
riadah atau bersukan. Aktiviti ini yang dilakukan pada waktu lapang ini akan
memanfaatkan diri individu tersebut. Mereka akan terhindar daripada wabak dan tahap
imunisasi badan lebih kuat berbanding individu yang tidak mengamalkan gaya hidup
sihat. Tambahan pula, pemakaian kondom dalam perlakuan seks suka sama suka juga
adalah penting sebagai langkah kebersihan dan mengelakkan penyakit yang tiada
penawar sehingga hari ini iaitu HIV dan AIDS. Justeru, pendidikan dan kempen
kesedaran perlu digiatkan dalam melibatkan semua lapisan masyarakat untuk
mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah menangani masalah yang kian
meningkat pada masa kini.

Isi 3

Selain itu, fenomena ini juga berpotensi dibawa oleh pelancong atau buruh asing. Pihak
berkuasa bertanggungjawab untuk memperketat kawalan kemasukan pelancong dan
buruh asing ke dalam negara. Pelancong asing mempunyai risiko rendah berbanding
buruh asing yang akan menetap lebih lama dan berisiko bergaul dengan masyarakat
tempatan. Oleh itu, saringan kesihatan perlu diwajibkan dan penangkapan pendatang
asing tanpa izin (PATI) perlu diperkasakan. Amalan kebersihan mereka mungkin
berbeza daripada kita jadi, pihak yang bertanggungjawab membawa buruh asing ini
perlu memastikan kebajikan pekerja mereka dijaga dengan baik. Kesannya, kita dapat
menjamin kesihatan kita di samping menyemarakkan ekonomi dengan kawalan yang
baik ke atas kemasukan pelancong dan buruh asing.

Isi 4

Akhir sekali, cara-cara menangani adalah dengan memeriksa setiap bahan import yang
masuk ke dalam negara. Hal ini kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti
peristiwa yang telah berlaku dahulu di negara China di mana berlaku serangan
selesema burung yang serius. Pihak berkuasa perlu memastikan haiwan-haiwan yang
dibawa masuk ke negara ini bebas daripada jangkitan sebarang penyakit berbahaya.
Tidak kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk dijadikan makanan atau haiwan
peliharaan. Sumber makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan juga perlu
disaring dan dipastikan kebersihannya daripada sebarang keracunan dan wabak.
Kerjasama antara agensi penguat kuasa dan kesihatan perlu dipererat agar tindakan ini
dapat dijalankan dengan baik dan sekali gus memusnahkan ancaman wabak daripada
luar.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak cara yang boleh diusahakan untuk menangani


masalah ini di Malaysia. Tindakan melawan penyakit secara holistik oleh semua pihak
akan menyumbang kepada penurunan kes ini seterusnya melahirkan negara yang
bebas dari masalah ini. Media massa dan kerajaan berperanan besar dalam
menyedarkan masyarakat kita akan kepentingan dan manfaat mencegah penularan
wabak ini. Janganlah kita berfikiran jumud dalam perkara ini kerana menyesal dahulu
pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Peribahasa ini membawa maksud kita
perlulah sedar dan mengambil tindakan segera ke atas perkara yang merbahaya ini
agar tidak kesal akan akibatnya di kemudian hari.
Contoh Karangan Langkah-Langkah Mempopularkan Permainan Tradisional

Pendahuluan

Era pasca perindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita
telah menyebabkan permainan tradisional semakin dilupakan dek ditelan zaman.
Masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa telah
mewujudkan pelbagai budaya yang wajar untuk dikekalkan untuk manfaat generasi
akan datang. Permainan tradisional merupakan salah satu budaya yang membentuk
sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Mereka mengisi
waktu lapang dengan bermain permainan tradisional seperti guli, congkak, wau,
selambut, sepak raga dan gasing bersama-sama dengan jiran tetangga mereka. Aktiviti
hiburan yang dimainkan bersama-sama telah mewujudkan perpaduan dan suasana
yang harmoni dalam kehidupan masyarakat pada waktu dahulu. Apakah
langkah-langlah yang boleh dilaksanakan untuk mempopularkan kembali permainan
tradisional pada hari ini?

Isi 1

Langkah pertama dan yang paling utama adalah dengan memperkenalkan permainan
tradisional kepada kanak-kanak atau golongan muda. Usaha ini merupakan peranan
ibu, bapa dan ahli keluarga dalam memberikan tauladan kepada generasi yang baru
setahun jagung bahawa bermain permainan tradisional juga menghiburkan. Ibu atau
bapa boleh menghadiahkan anak-anak permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir.
Selain itu, golongan muda hari ini perlu dibawa ke muzium atau pameran permainan
tradisional bagi membuka mata mereka terhadap keunikan yang dimiliki oleh
masyarakat kita. Peribahasa Melayu berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Oleh itu, setiap di antara kita perlu sedar bahawa kita ialah ejen penyampai sesuatu
perkara kepada orang di sekeliling kita khususnya ahli keluarga dalam usaha untuk
mempopularkan semula permainan tradisional masyarakat Malaysia.

Isi 2

Seterusnya, langkah untuk mempopularkan semula permainan tradisional adalah


dengan memperkasa pertandingan permainan tradisional di setiap peringkat. Selain di
rumah, sekolah juga boleh memainkan peranan dalam memperkenalkan permainan
tradisional kepada pelajar. Tamsilnya, sekolah mempunyai aktiviti kokurikulum di mana
permainan tradisional perlu diberikan perhatian oleh guru-guru. Sebuah kelab
permainan tradisional boleh diwujudkan bagi mengesan pelajar yang mempunyai bakat
terpendam dalam permainan tradisional. Sebagai contohnya, permainan sepak raga
yang memerlukan teknik yang baik oleh pemain bagi memenangi satu pertandingan.
Justeru, pihak sekolah seharusnya mengambil kesempatan yang ada untuk memupuk
pelajar di sekolah tentang permainan tradisional yang wujud dan boleh dimainkan oleh
mereka pada waktu lapang. Tambahan pula, penganjuran kempen seperti Minggu
Permainan Tradisional di peringkat sekolah, daerah mahupun negeri mampu menjadi
permulaan kepada usaha menaikkan semula kemasyhuran permainan tradisional
seperti waktu dahulu.

Isi 3

Di samping itu, inisiatif yang wajar untuk dilaksanakan adalah dengan memberikan
dana secara konsisten kepada penggiat permainan tradisonal di seluruh negara.
Perkara ini sedikit sebanyak bersangkut paut dengan autonomi yang dikawal oleh pihak
berkuasa di mana kematangan dan kestabilan politik adalah penting dalam
mengekalkan warisan dan tradisi sesuatu bangsa. Permainan tradisional masih lagi
dimainkan oleh sekumpulan kecil masyarakat yang duduk di kampung atau di desa.
Maka, pihak berkuasa sewajarnya membantu penggiat yang meneruskan tradisi nenek
moyang kita ini untuk kekal relevan dan diperhatikan oleh seluruh masyarakat dalam
negara. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan adalah dengan membawa penggiat
permainan tradisional ini ke sekolah-sekolah atau institusi yang melibatkan masyarakat
secara amnya. Dengan cara ini, mereka dapat memperkenalkan permainan tradisional
mereka dengan lebih berkesan. Contohnya, pemain gasing boleh menunjukkan
jenis-jenis gasing yang ada dan menunjukkan demo atau cara untuk melawan gasing
dengan rakan-rakan. Tambahan pula, penggiat permainan tradisional ini boleh menjual
secara terus kepada mereka yang berminat untuk membeli dan bermain di halaman
rumah masing-masing. Intihannya, pemberian sokongan yang konsisten kepada
penggiat permainan tradisional dapat membantu mereka untuk kekal relevan dan
menjadi popular.

Isi 4

Akhir sekali, media massa juga berperanan untuk mempopularkan semula permainan
tradisional yang kian dilupakan. Stesen televisyen, media cetak dan media elektronik
merupakan medium penyampai yang utama kepada masyarakat hari ini. Oleh itu,
inisiatif yang boleh digarap adalah dengan memperbanyakkan dokumentasi tentang
permainan tradisional. Mungkin generasi muda dewasa ini menjumpai congkak atau
batu seremban apabila mereka pulang ke kampung tetapi tidak tahu bagaimana untuk
bermain. Maka, mereka akan merujuk kepada media massa yang mudah dan ringkas
bagi mereka untuk mempelajari dan mengetahui cara permainan congkak ataupun batu
seremban yang dijumpai oleh mereka. Selain itu, penggiat seni juga wajar melazimi
permainan tradisional dalam segala bentuk seni yang diketengahkan oleh mereka.
Misalnya, produk animasi tempatan yang semakin mendapat perhatian masyarakat kita
boleh menggunakan elemen permainan tradisional dalam jalan cerita mereka.
Permainan seperti gasing boleh menjadi senjata dan reka bentuk wau sebagai kapal
terbang. Kesannya, kanak-kanak akan mempersoalkan dan berfikir akan apakah
elemen menarik dalam animasi fiksyen kegemaran mereka.

Penutup

Secara tuntasnya, pelbagai langkah boleh direalisasikan untuk mempopularkan semula


permainan tradisional dalam kalangan masyarakat hari ini. Permainan tradisional
adalah salah satu warisan dan budaya bangsa yang perlu dipelihara dan diraikan agar
tidak tenggelam akibat kemodenan serta kehadiran teknologi hari ini. Seperti yang
dihuraikan di atas, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha
yang ingin dilaksanakan. Kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit
yang melupakan asal usulnya dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek
moyang kita. Semoga setiap di antara kita sedar dan melakukan sesuatu bagi
memastikan generasi akan datang mengetahui dan memelihara keunikan budaya dan
warisan mereka tanpa ditelan arus kemajuan dunia.
Contoh Karangan Kepentingan Makanan Seimbang Kepada Tubuh Badan

Pendahuluan

Pengambilan makanan seimbang ialah diet atau corak pemakanan yang


mengutamakan jenis-jenis makanan tertentu di mana kandungan yang berkhasiat
menjadi elemen utama dalam pemakanan seseorang. Amalan ini sering kali
diwar-warkan oleh pakar kesihatan bagi menggalakkan setiap ahli masyarakat
mempraktikkan pemakanan yang betul dalam rutin harian. Berdasarkan statistik melalui
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2015 menunjukkan
Malaysia telah menjadi sebuah negara obes, di mana seorang dalam dua orang
dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Senario ini mungkin akan
berterusan dengan perkembangan industri makanan segera di Malaysia dan gimik
penjualan makanan secara tular di mana kesihatan menjadi perkara yang semakin
dipandang enteng oleh masyarakat. Justeru, diat ini adalah salah satu usaha yang
boleh diketengahkan bagi melonjak semula kesihatan rakyat secara am. Persoalannya,
apakah kepentingan makanan seimbang kepada tubuh badan kita?

Isi 1

Makanan yang seimbang adalah mustahak kerana membekalkan zat dan nutrien yang
berkhasiat untuk tumbesaran tubuh badan manusia. Tubuh kita merupakan organisma
yang memerlukan zat dan nutrien yang cukup bagi menjalankan fungsi-fungsi organ.
Seterusnya dapat membantu penghasilan tenaga, pembuangan sisa toksik di dalam
badan dan pelbagai lagi fungsi lain. Tamsilnya, pengambilan diet yang mengandungi
produk tenusu seperti susu dan keju dapat menambah penghasilan kalsium dalam
badan dan menguatkan tulang dan gigi manusia. Zat besi yang terkandung di dalam
daging dan juga sayur bayam misalnya dapat memastikan sistem peredaran darah
dalam tubuh menjadi lebih efisien dan berfungsi dengan lancar. Oleh itu, golongan
kanak-kanak seharusnya mengamalkan pemakanan yang betul agar zat dan nutrien
yang optimum dapat dinikmati dan tumbesaran fizikal menjadi lebih baik.

Isi 2

Selain itu, ianya penting bagi mengurangkan risiko seseorang daripada menghidapi
penyakit-penyakit yang berbahaya. Kebanyakan antara kita gemar memakan makanan
segera dan makanan ringan yang tidak berkhasiat tetapi sedap di tekak. Untuk
makluman semua, makanan ini mengandungi kolesterol, garam, gula dan lemak yang
terlalu tinggi. Sekiranya kita terlalu kerap makan makanan ringan atau segera, kita akan
mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi penyakit obesiti, diabetes, hipertensi dan
juga strok. Justeru, pemakanan cara betul yang menetapkan kuantiti jenis makanan
yang wajar untuk kita ambil dapat mengelakkan kita daripada menghidapi penyakit
malah meningkatkan tahap kesihatan diri secara langsung. Bak kata peribahasa
Melayu, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada guna. Pakar kesihatan telah
pun memperkenalkan piramid makanan sebagai panduan kepada semua dalam
merencana pemakanan yang seimbang. Kini keadaan tersebut menjadi tanggungjawab
kita bersama untuk mengamalkan diet sihat ini supaya manfaatnya dapat dinikmati
bersama.

Isi 3

Dalam masa yang sama, amalan ini dapat memberikan kesihatan mental yang stabil
serta perkembangan memori yang lebih cekap dan berkesan. Terdapat frasa yang
menyatakan bahawa apa yang kita makan akan menjadi darah dan daging kita kerana
secara analoginya, jika kita mengambil makanan yang baik maka baiklah fizikal dan
mental kita. Berdasarkan kajian saintifik, otak manusia ialah pusat kawalan seluruh
sistem badan yang dipengaruhi oleh nutrien-nutrien yang terdapat di dalam diet kita.
Mineral seperti kalsium dan sodium terlibat dalam proses penghantaran impuls dalam
sistem saraf badan kita. Intihanya, pemakanan sedikit sebanyak mempengaruhi
pembentukan diri secara fizikal dan mental seseorang. Persis kata mutiara Melayu
daripada Imam As Syafie bahawa makan secara berlebihan atau tidak berkhasiat
membuatkan badan menjadi berat, hati menjadi keras, menghilangkan kecerdasan,
membuat sering tidur dan lemah untuk beribadah.

Isi 4

Akhir sekali, pemakanan yang betul amat penting untuk diamalkan oleh setiap individu
kerana membantu meningkatkan kecantikan rupa paras. Dalam zaman yang
mengutamakan imej dan penampilan mutakhir ini, anda boleh mendapatkan rupa paras
yang diidam-idamkan hanya dengan mengamalkan diet yang betul. Realitinya,
masyarakat di Malaysia mudah terpedaya dengan produk kosmetik dan makanan
tambahan yang menggunakan taktik penjualan penuh helah demi mendapatkan
keuntungan. Hasilnya, ramai yang menderita dek kerana kesan sampingan yang
diperoleh akibat mengambil produk yang tidak melepasi saranan Kementerian
Kesihatan. Situasi ini menjadi bukti bahawa masyarakat kita mementingkan kecantikan
rupa paras dan mudah untuk mengambil jalan pintas dengan mengambil produk
makanan tambahan. Izharnya, amalan ini membantu meningkatkan keterampilan diri
tanpa sebarang kesan sampingan dan lebih mudah untuk didapati berbanding produk
makanan tambahan yang memerlukan kos yang lebih banyak.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai kepentingan yang akan diperoleh dengan mengamalkan


pemakanan seimbang. Mungkin anda tidak sedar dalam jangka masa pendek tetapi jika
diamalkan secara konsisten pada jangka masa panjang, keadaan ini akan
meninggalkan kesan yang lebih holistik kepada diri kita khasnya dari sudut kesihatan.
Semoga masyarakat kita sedar bahawa penjagaan kesihatan hendaklah diutamakan
kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat. Pihak kerajaan pula seharusnya
melaksanakan kempen yang lebih berkesan secara meluas supaya setiap golongan
masyarakat mendapat didikan yang betul dan cara yang tepat untuk mengamalkannya
demi menghasilkan komuniti yang sihat dan sejahtera. Diharapkan inisiatif yang
dirancang mendapat kerjasama dan sambutan daripada rakyat supaya aspirasi
menjadikan negara kita negara yang sihat dapat direalisasikan dalam masa yang
terdekat.
Contoh Karangan Cara-Cara Mengatasi Stress Atau Tekanan (Untuk Mengelakkan)

Pendahuluan

Sejak belakangan ini, isu depresi dan kemurungan menjadi polemik yang dibincangkan
dalam masyarakat konvensional. Kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi
negara telah menyebabkan isu yang sebelum ini tidak diberi perhatian umum kini
menjadi masalah utama dalam kalangan komuniti terutamanya golongan remaja dan
belia. Masalah depresi atau kemurungan berpunca daripada tekanan atau stres yang
berpanjangan, keterlaluan dan tiada kemampuan daya tindak seseorang individu
terhadap masalah tersebut. Situasi ini merupakan tindak balas fizikal, emosi dan juga
mental yang dialami oleh seseorang apabila terdapat desakan terhadap sesuatu
perkara. Sesiapa sahaja yang mengamalkan berbagai-bagai cara gaya hidup sama ada
kanak-kanak, remaja, dewasa serta warga emas boleh mengalami stres atau tekanan.
Justeru, wajar untuk kita bincangkan apakah cara-cara yang boleh dilaksanakan bagi
mengatasi tekanan atau stres sebagai panduan kepada masyarakat hari ini.

Isi 1

Prakarsa utama dalam membendung tekanan atau stres adalah dengan mempelajari
kawalan emosi kendiri. Terdapat tekanan yang berbentuk sedikit, sederhana dan
berlebihan di mana dalam jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani oleh individu
tersebut akan menyebabkan kesan negatif serta memudaratkan kesihatan mereka.
Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan penyelesaian
jangka pendek sebagai kawalan emosi kendiri yang dikenali sebagai kaedah “10B”.
Sekiranya anda mengalami stres atau tekanan anda perlu mengikuti kaedah ini secara
berturutan iaitu bertenang, bernafas secara dalam, berkata relaks kepada diri,
beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik,
beriadah, bersenam serta akhir sekali berfikiran positif. Kaedah ini juga baik untuk
membantu menangani tekanan darah tinggi yang meyumbang kepada punca stres.
Memang kita tidak boleh disangkal atau dinafikan bahawa punca tekanan dan stres
lazimnya bukan daripada diri kita dan sukar untuk mengatasinya tetapi dengan kaedah
yang diutarakan, kita dapat mencegah perkara yang lebih negatif daripada berlaku.

Isi 2

Di samping itu, tekanan atau stres boleh diatasi dengan berkongsi masalah atau
bercerita tentang perkara yang dilalui kepada individu yang dipercayai. Sebagai
contohnya, apabila majikan memarahi pekerja tentang tugasan yang diberikan, pekerja
tersebut tidak berasa tertekan dan tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalah
terbabit untuk mengurangkan stres. Maka, pekerja tersebut boleh mencari rakan kerja
yang berkecimpung dalam bidang yang sama seterusnya berkongsi masalah dan
berbincang tentang jalan penyelesaian terbabit. Tindakan ini bukan sahaja dapat
mengurangkan tekanan malah menunjukkan teladan dan tahap profesional yang lebih
baik daripada majikan pekerja tersebut yang menuding jari tanpa memberikan sebarang
bantuan. Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
telah pun membangunkan Talian Kasih 15999 yang beroperasi selama 24 jam pada
setiap hari. Talian aduan krisis ini membolehkan sesiapa sahaja yang mempunyai
masalah berkaitan kaunseling, kebajikan, perlindungan dan masalah keluarga untuk
berhubung dengan pegawai yang bertugas dan mereka akan membantu mangsa atau
individu yang tiada kenalan untuk berkongsi masalah serta untuk menghilangkan stres.

Isi 3

Alternatif lain yang dapat dilakukan oleh individu bagi mengelakkan tekanan atau stres
adalah dengan melakukan aktiviti riadah seperti bersenam atau bersukan. Umum
mengetahui bahawa aktiviti riadah mendatangkan pelbagai manfaat sekiranya kita aktif
dalam menyertainya. Misalnya, apabila seseorang bermain sukan badminton bersama
rakan-rakan, secara zahirnya mereka dapat melepaskan tekanan yang dialami oleh
mereka dengan menghasilkan pukulan smesy ke arah lawan. Tambahan pula
permainan sukan mewujudkan semangat setiakawan dan kerjasama di mana satu
bentuk kepuasan akan diperoleh sekiranya pasukan individu tersebut memenangi
permainan yang disertai. Bagi golongan dewasa yang berkerjaya dan mempunyai
kekangan masa untuk bersukan seharusnya meluangkan masa dihujung minggu untuk
beriadah sekurang-kurangnya selama 30 minit. Kemudahan pusat riadah seperti taman
permainan dan taman komuniti telah lengkap dengan trek untuk berjoging atau
berbasikal serta kelengkapan asas gimnasium yang boleh digunakan tanpa bayaran
untuk melepaskan hormon kesehatan tubuh. Kesannya, badan yang cergas akan
membentuk minda sihat dan tekanan atau stres dapat diatasi.

Isi 4

Jika dilihat pada sudut pandang yang berlainan, tekanan dapat dielakkan dengan
mendekatkan diri kepada Tuhan. Hal ini demikian kerana, ketenangan hati dan segala
urusan duniawi adalah kurniaan dan ujian yang diberikan oleh Tuhan. Maka, kita
seharusnya sentiasa bermunasabah diri sama ada perkara atau kehidupan yang kita
jalani seiring dengan ajaran dan kehendak beliau. Setiap agama mengetengahkan
konsep kebaikan dan nilai-nilai murni supaya kita tidak terjerumus ke dalam lembah
duniawi yang tidak kekal dan bersifat sementara. Sebagai seorang muslim, ibadat solat
merupakan tiang agama dan mampu membantu menenangkan hati dan minda jika
dilakukan dengan kekhusyukan. Tambahan pula, segala perbuatan dalam solat telah
ditafsirkan sebagai bentuk senaman ringan kepada kita setelah mengharungi pekerjaan
sepanjang hari. Lantaran itu, pendekatan diri kepada Sang Pencipta bukan sahaja
memberikan kita ketenangan malah menunjukkan jalan yang benar dan diperlukan oleh
manusia yang lemah seperti kita semua untuk meningkatkan kerohanian. Izharnya,
kekuatan rohani akan menzahirkan ketahanan jasmani terhadap apa sahaja masalah
yang timbul.

Penutup

Sebagai kesimpulannya, terdapat banyak cara menghilangkan stres yang boleh


dilakukan bagi mengatasi tekanan atau stres. Fenomena ini ialah perasaan semula jadi
yang ada pada setiap individu dan pelbagai faktor yang menyumbang kepada
desakannya terhadap seseorang individu. Dengan kesedaran masyarakat yang
semakin baik terhadap perkara ini, ramai pihak seharusnya menggembleng tenaga bagi
memperkenalkan mekanisme kawalan terhadap tekanan atau stres yang dihadapi oleh
ahli masyarakat. Perkara ini boleh diputar menjadi sumber motivasi seseorang untuk
mencapai segala bentuk kejayaan dalam perkara yang diceburi oleh mereka. Kita
hanya memerlukan kepakaran dan kajian yang telus supaya dapat membantu golongan
yang terkesan serta untuk mengetahui kaedah terbaik kerana mencegah lebih baik
daripada merawat. Semoga segala inisiatif dan cara menghilangkan stres yang diatur
dapat memangkin sifat mahmudah dalam diri setiap individu seterusnya melahirkan
komuniti yang hidup sejahtera, aman dan harmoni.
Contoh Karangan Cabaran Dalam Mengekalkan Perpaduan Kaum

Pendahuluan

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan
pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun di sebalik itu, kita
acap kali tersentak oleh pelbagai permasalahan perkauman yang dicetuskan oleh
rakyat kita sendiri. Negara Malaysia mengecapi kemerdekaan hasil usaha kesemua
rakyat pada ketika itu, tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit untuk hidup
harmoni bersama-sama. Namun, hari ini kita sering melihat siaran berita di televisyen
dan video-video perkongsian di laman sosial yang menggugat perpaduan kaum yang
telah terbina sejak dahulu lagi. Pelbagai faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku
di mana kekurangan sifat toleransi merupakan nilai yang penting bagi mencari
kemajmukan dalam kalangan masyarakat hari ini. Oleh itu, mari kita huraikan
cabaran-cabaran yang timbul dalam mengekalkan perpaduan kaum.

Isi 1

Cabaran pertama adalah dari segi politik negara. Perbezaan parti politik di Malaysia
yang berasaskan perkauman telah menyukarkan perpaduan kaum. Dunia politik
sememangnya penuh dengan kontroversi di mana terdapat pelbagai individu yang
mempunyai tujuan dan kepentingan yang berbeza. Hasilnya, masih terdapat pemimpin
yang kurang bijak dengan mengharapkan sentimen perkauman dapat memancing
perhatian rakyat tetapi sebaliknya hanya ingin melindungi kepentingan diri sendiri. Oleh
itu, bagi menggerakkan negara ke arah kemajuan yang berdiri sama tinggi dan duduk
sama rendah dengan negara maju yang lain, ahli politik perlu bersikap terbuka dan
matang. Politik sepatutnya membela nasib keseluruhan rakyat bukannya mengikut
kepentingan bagi mana-mana pihak. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa fahaman parti
politik merupakan salah satu cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum di negara
ini. Sekiranya rakyat dan para pemimpin negara dapat mengatasi cabaran ini, pasti
perpaduan kaum antara masyarakat dalam negara akan menjadi lebih erat.

Isi 2

Di samping itu, dominisasi sesebuah kaum dalam sesuatu bidang ekonomi juga telah
mewujudkan jurang ekonomi antara perkauman. Cabaran ini telahpun timbul sejak
zaman penjajahan British lagi di mana kaum Melayu menjadi petani dan nelayan, kaum
India diletakkan di ladang getah dan kaum Cina bekerja sebagai ahli peniaga dan
melakukan perlombongan. Setelah kemerdekaan dicapai, berlaku perubahan di mana
setiap kaum mendapat peluang pendidikan dan mampu berjaya sekiranya berusaha
dengan betul. Namun begitu, akibat dasar penjajah dahulu, kesannya masih dapat
dilihat sampailah sekarang di mana sektor perniagaan masih didominisasi oleh kaum
Cina dan kebanyakan orang India masih tinggal di ladang. Rentetan senario ini telah
menyebabkan interaksi sosial antara mereka terbatas. Kesannya, perasaan prasangka
dan perkauman akan menjadi semakin kuat dan menebal antara sesama kaum dan
menyukarkan proses perpaduan.

Isi 3

Cabaran seterusnya adalah dari segi sosial golongan muda di mana sistem pendidikan
yang diasingkan mengikut kaum telah wujud dan meninggalkan kesan yang kurang
baik. Pengenalan sistem sekolah vernakular yang mengikut kaum telah menjadikan
hubungan masyarakat semakin renggang. Mutakhir ini, masih ramai rakyat yang
merupakan warganegara Malaysia tidak fasih untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan
iatu bahasa Melayu. Bahasa merupakan elemen utama untuk berkomunikasi antara
satu sama lain, sekiranya kita tidak fasih untuk berbahasa, bagaimana untuk kita
berkomunikasi dan memahami individu lain yang berbeza pendapat dengan kita. Jika
masyarakat majmuk melibatkan diri dalam kegiatan sosial terutamanya pendidikan dan
berkomunikasi dengan baik maka akan timbul sifat keterbukaan, persefahaman dan
toleransi antara satu sama lain. Pada hemat saya, mewujudkan satu sahaja aliran
dalam sistem pendidikan negara serta penekanan terhadap penggunaan bahasa
kebangsaan dapat menyelesaikan masalah perpaduan kaum yang semakin
membelenggu masyarakat hari ini. Persis kata mutiara Melayu, melentur buluh biarlah
dari rebungnya.

Isi 4

Pada masa yang sama, ledakan teknologi hari ini juga merupakan cabaran dalam
mengekalkan perpaduan kaum. Kemudahan media massa dan sosial yang semakin
pantas dalam menyampaikan sesuatu teks atau video telah menunjukkan sisi
negatifnya. Penyebaran fitnah dan berita palsu semakin menular terutama apabila isu
tersebut menyentuh sensitiviti perkauman atau agama. Setiap individu sewajarnya
bertanggungjawab dan beretika dalam menyampaikan atau berkongsi sesuatu perkara
yang sensitif dan mungkin tidak sahih. Netizen perlu menyelidik terlebih dahulu sebelum
memberi reaksi terhadap perkara yang menyentuh tentang perkauman dan agama.
Pihak berkuasa wajar menguatkuasakan undang-undang kepada pelaku yang
mencetuskan isu atau sesuatu perkara yang mampu menggalakkan perpaduan antara
kaum. Ahli masyarakat juga bertanggungjawab menjadi mata-mata pihak berkuasa di
mana jika ternampak sesuatu perkara yang akan menimbulkan kemarahan sesebuah
kaum atau penganut agama, wajar untuk kita laporkan kepada pihak polis. Intihanya,
penggunaan teknologi seperti media sosial sepatutnya menjadi perkara yang positif
dalam kehidupan harian kita sebaliknya, penularan isu-isu yang menyentuh perpaduan
kaum menjadi bahan perbualan masyarakat hari ini.
Penutup

Secara tuntas, pelbagai cabaran yang timbul dalam mengekalkan perpaduan kaum
dalam negara kita. Pelbagai usaha telah diambil tetapi belum cukup untuk mengekalkan
perpaduan kaum yang mudah untuk dimusnahkan. Kestabilan politik dan ekonomi
merupakan antara aspek yang bakal menentukan keutuhan perpaduan kaum dalam
negara ini. Semoga setiap di antara kita sedar betapa nikmatnya untuk hidup
bersama-sama dengan kaum dan agama lain secara harmoni dan sejahtera. Cabaran
mengekalkan perpaduan kaum ini sebenarnya merupakan tugas kita sendiri dalam
memastikan pemimpin yang adil dipilih, amalan sikap toleransi serta bertolak ansur
dilaksanakan dalam kehidupan harian masing-masing. Bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh.
Contoh Karangan Langkah Memupuk Semangat Patriotisme

Dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat negara kita pada
masa ini banyak pihak telah mendakwa bahawa semangat patriotik semakin luntur. Hal
ini terjadi kerana sikap masing-masing yang sibuk dengan urusan sendiri dan
menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Menurut mereka, apa yang
penting bagi kehidupan adalah bekerja untuk mengumpulkan kekayaan serta ingin
mendapatkan wang bagi menambahkan pendapat mereka sahaja. Justeru, mereka
mungkin terlupa dan tidak menitikberatkan langsung semangat patriotik sehingga tidak
mempedulikan sambutan hari kebangsaan. Sebagai contohnya, ada daripada kalangan
masyarakat kita kini alpa untuk mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang
tahun kemerdekaan negara dijalankan. Hal ini amat membimbangkan dan kita berharap
agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat dipertingkatkan.
Sama-sama kita sebagai rakyat Malaysia mengambil langkah yang sewajarnya bagi
memupuk semangat patriotik dalam diri sendiri dan juga kalangan masyarakat.

Isi 1

Apabila dilihat secara terperinci, sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh
dijalankan bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara
kita. Antaranya adalah dengan memupuk semangat patriotik sejak awal umur lagi
seperti di bangku sekolah. Hal ini membolehkan semangat patriotik hidup sebati dalam
diri pelajar seperti kata pepatah Melayu iaitu “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.
Perlu difahami pengaruh guru di sekolah adalah penting dan berperanan dalam usaha
menyemai semangat patriotik dalam jiwa anak-anak murid mereka semenjak mereka
masih kecil. Hal ini disebabkan para guru yang mengajar di sekolah boleh menekankan
sifat-sifat patriotik di dalam kelas. Mereka perlu mendorong kanak-kanak untuk
melahirkan perasaan bangga dan syukur terhadap negara serta cinta akan tanah air.
Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh mengadakan program seperti sambutan Hari
Kemerdekaan di peringkat sekolah, nyanyian Lagu Negaraku ketika perhimpunan dan
banyak lagi. Guru-guru juga boleh menerapkan semangat patriotik semasa mengajar
dalam subjek seperti:- Sejarah (secara umumnya sejarah Tanah Melayu dalam proses
mencapai kemerdekaan) bahasa Melayu (penerapan unsur-unsur patriotik melalui
medium bahasa kebangsaan) Pendidikan Islam / Pendidikan Moral (melahirkan akhlak
yang selari dengan semangat patriotik) Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk
sejak kecil, sudah pasti semangat itu akan terus diamalkan dan dikekalkan sehingga
dewasa. Dalam pada itu, amalan sebegini penting kerana kita dapat melahirkan
masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak akan melakukan
perkara-perkara yang boleh mencemarkan nama baik negara.
Isi 2

Selain itu, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam memupuk
semangat patriotik pada jiwa sanubari anak-anak mereka. Hal ini kerana, anak-anak
yang masih belum matang untuk berfikir akan sentiasa mencontohi tingkah laku ibu
bapa mereka ibarat kata pepatah “bapa borek, anak rintik”. Kanak-kanak akan ingat
pada pengajaran yang dilihat oleh mereka dan sering mendengar kata-kata ibu bapa
mereka dan sikap yang diamalkan semasa kecil biasanya akan kekal sehingga mereka
dewasa. Disebabkan itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan semangat patriotik dalam
jiwa anak mereka “bagai menatang minyak yang penuh”. Hal ini kerana anak-anak
remaja zaman kini dilihat sering terlibat dengan masalah sosial. Gejala buruk ini
mestilah dielakkan kerana boleh menyebabkan remaja semakin alpa atau lalai tentang
tanggungjawab mereka terhadap tanah air tercinta ini. Sebaliknya, ibu bapa haruslah
mendidik anak mereka tentang sejarah kemerdekaan negara dan kepahlawanan
tokoh-tokoh terkenal yang berjuang demi tanah air. Selain itu, contoh-contoh lain yang
boleh diikuti oleh ibu bapa adalah seperti:- Melibatkan diri bersama anak-anak dalam
mengibarkan bendera ketika sambutan hari kemerdekaan negara. Melawat
bersama-sama anak-anak ke tempat-tempat bersejarah tanah air semasa cuti sekolah.
Berkongsi cerita-cerita yang berkaitan isi kandungannya dengan patriotisme bersama
anak-anak. Tegaslah bahawa peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam
langkah-langkah untuk memupuk semangat patriotik dalam masyarakat Malaysia dan
lebih spesifiknya kepada anak-anak ketika masih kecil

Isi 3

Selain itu, pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara


besar-besaran dalam memupuk semangat patriotik antara masyarakat.
Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan
kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat di negara kita. Pelbagai pertandingan boleh dianjurkan sempena bulan
penghayatan kemerdekaan. Oleh itu, Jabatan Penerangan Malaysia boleh
menggunakan media elektronik seperti televisyen dan radio yang sememangnya
berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat. Dengan ini, kempen bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik
malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita bak kata pepatah
Melayu “sambil menyelam minum air”. Sebagai contohnya, tindakan yang sewajarnya
boleh dilakukan oleh media massa televisyen dan radio adalah seperti:- Menyiarkan
rancangan atau program yang berunsurkan patriotisme supaya dapat meningkatkan
semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan
negara. Menayangkan filem-filem patriotik seperti “Paloh”, “Bukit Kepong” dan
drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara. Jelaslah, sekiranya
pihak yang bertanggungjawab mengambil peranan mereka masing-masing yang
akhirnya sedikit sebanyak dapat menerapkan semangat patriotik dalam diri masyarakat.

Isi 4

Di samping itu, kita juga hendaklah sering bermuhasabah terhadap diri sendiri. Kita
seharusnya berasa amat bersyukur dan merasakan diri amat bertuah kerana dapat
hidup di negara yang aman dan damai. Belajar mengagumi tokoh-tokoh agung dunia
dan tokoh negara sendiri untuk melahirkan perasaan berbangga kerana negara kita
memiliki pemimpin yang berdedikasi. Simpanlah cita-cita untuk menjadi insan yang
berjiwa besar yang mahu mencapai kejayaan cemerlang terutama dalam kerjaya yang
bagus dan ingin berkhidmat untuk negara.

Isi 5

Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi akan sentiasa berusaha untuk
memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan
pantas. Sebagai contohnya, melawat ke tempat bersejarah seperti Kota A’ Famosa di
Melaka. Sambil melawati tempat bersejarah, pemandu pelancong yang mengetuai
lawatan tersebut akan menceritakan kejatuhan Melaka lalu Portugis membina Kota A’
Famosa. Sesungguhnya, bangsa yang mulia ialah bangsa yang sentiasa berbangga
terhadap tanah air, sesuai dengan kata peribahasa Arab iaitu “kasih akan negara
adalah sebahagian daripada iman”. Oleh itu, kesedaran awal daripada kecil lagi perlu
diterapkan dengan membina kekuatan semangat patriotik dalam diri kita sendiri.

Isi 6

Akhir sekali, generasi pada masa kini perlu menyertai program yang dilakukan oleh
pihak kerajaan. Program-program tersebut lazimnya dipenuhi dengan aktiviti yang
memupuk semangat patriotik seperti kawad kaki dan latihan berkumpulan. Program
seperti ini dapat memupuk semangat patriotik di mana para peserta akan lebih merasai
semangat cinta akan negara. Antara kelebihan yang boleh diperoleh adalah:- Dapat
mempelajari nilai-nilai murni seperti kerjasama, nilai tanggungjawab yang perlu
dilaksanakan dan rasa hormat-menghormati. Pelatih-pelatih ini akan bercampur gaul
sesama mereka yang berlainan budaya, agama yang berbeza dan berbilang kaum.
Dapat memupuk semangat perpaduan yang merupakan elemen yang penting dalam
semangat patriotik sesuai dengan pepatah iaitu “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
Program ini akan dapat melahirkan generasi yang mengetahui hal kenegaraan yang
berkaitan dengan kedaulatan negara serta kerajaan yang memerintah. Antara contoh
lain program yang boleh menawarkan perkara sebegini adalah salah satu inisiatif
kerajaan yang pernah diwajibkan disertai oleh pelajar lepasan SPM iaitu Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Penutup

Kesimpulannya, semangat patriotik sangat penting untuk melahirkan warganegara yang


cinta akan negara dan pastinya akan menjadi individu yang berguna kepada agama,
bangsa dan negara sendiri. Seseorang yang memiliki semangat patriotik yang tinggi
akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya demi mencapai
kemajuan dan pembangunan dengan cepat seiring dengan negara-negara maju yang
lain. Oleh itu, semua pihak hendaklah bersama-sama berganding bahu bagi
memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat disuburkan dan
dipupuk dalam generasi akan datang. Kita perlu ingat seperti kata-kata Samuel
Johnson yang merupakan seorang editor, pengkritik sastera, penyair, moralis, biografi,
penyusun kamus dan penulis esei yang terkenal ini yang menyatakan bahawa “masa
depan itu dibeli oleh masa sekarang”.
Contoh Karangan Kelebihan Pendidikan Maya (Pengajaran & Pembelajaran Dalam
Talian)

Pendahuluan

Dasawarsa ini, penggunaan gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan tablet
menjadi kewajipan bagi segenap manusia. Evolusi teknologi yang pesat membangun
telah banyak mengubah cara hidup manusia pada hari ini. Misalnya, penggunaan surat
telah digantikan dengan e-mel yang hanya menggunakan alam maya untuk berhubung
dan perkhidmatannya adalah percuma. Kemajuan yang dikecapi manusia pada hari ini
menjadi satu bukti bahawa kita hendaklah terus berevolusi untuk memanfaatkan
teknologi. Hal ini kerana tamadun yang maju adalah tamadun yang sentiasa menambah
baik kehidupan mereka khususnya anggota masyarakat agar kita dapat duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Antara sektor yang perlu
meraikan penggunaan teknologi masa kini dan meninggalkan cara konvensional adalah
sektor pendidikan. Maka, wajar untuk kita bincangkan apakah kelebihan pendidikan
secara maya atau pengajaran & pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian?

Isi 1

Pendidikan secara dalam talian dapat membantu guru untuk menyampaikan ilmu
dengan cara yang lebih mudah serta interaktif buat para pelajar. Berbeza dengan
pembelajaran secara bersemuka, pendidikan maya memerlukan guru dan pelajar
berinteraksi melalui tablet, komputer atau telefon. Guru-guru perlu menyediakan bahan
pembelajaran secara video dan mengajar melalui webinar atau panggilan video kepada
anak muridnya. Kita akui bahawa cara ini kurang diberikan kepada pelajar khususnya
kanak-kanak yang memerlukan pembelajaran secara bersemuka. Tetapi, guru boleh
menggunakan video interaktif yang terdapat secara percuma di Internet. Pelajar juga
boleh mencari sumber pembelajaran yang lebih banyak berbanding hanya bergantung
pada buku teks. Malah, terdapat banyak aplikasi seperti kuiz yang dapat memudahkan
proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian untuk guru dan pelajar. Bak
kata pepatah Melayu, laut yang ditimba tidak akan kering. Selagi kita ada kemahuan
untuk mencari dan menyampaikan ilmu, pasti ada jalan yang terbaik untuk kita
mengecapi niat murni itu.

Isi 2

Dari sudut pandang yang lain, pendidikan secara maya dapat memberi keselesaan
atau suasana yang kondusif kepada pelajar dan guru. Jika di sekolah, pelajar perlu
memakai pakaian seragam yang bagus untuk mendisiplinkan mereka tetapi apabila di
rumah, pelajar tidak perlu untuk berpakaian seragam dan hanya memakai pakaian
mengikut keselesaan mereka. Selain itu, pendidikan secara maya di rumah
membolehkan pelajar untuk fokus dengan lebih baik kerana kurang gangguan daripada
pelajar atau rakan sekelas. Tetapi realitinya, masih ramai pelajar di luar bandar yang
sukar untuk mengikuti pendidikan secara maya. Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah
melakukan tindakan untuk meningkatkan infrastruktur Internet di seluruh negara agar
pendidikan secara maya ini dapat dinikmati oleh segenap penduduk di Malaysia.

Isi 3

Kelebihan lain pendidikan secara maya adalah dapat meningkatkan kemahiran


teknologi dalam kalangan guru dan juga pelajar. Umum mengetahui, pendidikan secara
maya memerlukan kemahiran teknologi pelajar untuk akses masuk ke dalam aplikasi
pembelajaran dalam talian. Pelajar perlu mendapatkan talian Internet yang stabil untuk
melalui proses pendidikan maya secara lancar. Di waktu negara kita menghadapi
pandemik COVID-19, kita dapat menyaksikan guru-guru menggunakan pelbagai
kaedah khususnya penggunaan teknologi untuk menyampaikan pengajaran kepada
murid-murid. Situasi ini telah membuatkan warga pendidik untuk berfikir di luar kotak
dan menghasilkan bahan pengajaran yang terbaik menggunakan teknologi yang ada.
Intihanya, pendidikan secara maya dapat meningkatkan kemahiran teknologi dalam
kalangan guru serta pelajar secara langsung atau tidak langsung.

Isi 4

Akhir sekali, kelebihan pendidikan secara dalam talian adalah dapat memudahkan
pelajar untuk mengulang kaji pelajaran. Contohnya, pelajar boleh melihat semula
rakaman pengajaran guru sekiranya mereka tidak memahami atau ingin mengulang kaji
pelajaran. Situasi ini adalah satu kelebihan jika dibandingkan dengan pendidikan secara
bersemuka kerana pelajar mungkin berasa malu dan takut untuk bertanyakan kepada
guru. Tambahan pula, pelajar dapat mengakses pelbagai bahan pembelajaran yang
terdapat di Internet untuk mengulang kaji dan tidak bergantung pada buku teks sahaja.
Pembelajaran yang interaktif ini sedikit sebanyak dapat membuka minda dan ruang
kreatif pelajar dalam mendapatkan ilmu pengetahuan dan menambah kemahiran diri
mereka. Natijahnya, pendidikan secara maya banyak membantu pelajar untuk tidak
menjadi seperti katak di bawah tempurung kerana penggunaan tekcnologi akan menjadi
satu perkara penting pada masa kini dan akan datang.
Penutup

Kesimpulannya, pelbagai kelebihan yang diperoleh sekiranya guru atau pelajar


melaksanakan pendidikan secara maya. Seperti yang saya bincangkan, masih terdapat
jurang di kawasan luar bandar yang tidak mampu untuk menikmati pendidikan dalam
talian dengan baik. Justeru, kerajaan hendaklah berganding bahu dengan pembekal
perkhidmatan talian Internet untuk memastikan liputan Internet di Malaysia ditingkatkan
dan berada pada tahap yang terbaik. Pandemik Covid-19 menjadi satu bukti bahawa
kita perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dalam mendepani apa jua
situasi agar pendidikan anak-anak kita terjamin. Seterusnya memastikan generasi akan
datang yang mewarisi barisan kepimpinan negara dapat menjadi lebih baik dan
membawa negara yang maju ke persada dunia.
Contoh Karangan Kelebihan Perniagaan Secara Atas Talian Kepada Pengguna Dan
Peniaga

Pendahuluan

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi, kita dapat menikmati
pelbagai kemudahan hasil inovasi dan aplikasi teknologi dalam kehidupan harian.
Evolusi telefon kepada telefon bimbit dan seterusnya menjadi telefon pintar telah
mengubah landskap masyarakat hari ini di mana setiap perkara bergerak dengan
pantas dan singkat. Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah juga
penggunaan aplikasi di telefon pintar di mana pelbagai aplikasi yang diperkenalkan
termasuklah perniagaan secara atas talian. Hanya dengan sambungan Internet,
perniagaan atas talian atau dikenali sebagai e-dagang membolehkan sesiapa sahaja
melakukan urusan jual beli secara maya. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan
kelebihan perniagaan secara atas talian kepada pengguna dan peniaga.

Isi 1

Antara, manfaat yang diperoleh pengguna dalam melakukan pembelian secara atas
talian adalah dapat menjimatkan masa pengguna. Faktor kesesakan di pusat
membeli-belah dan pasar raya telah membuatkan pengguna beralih kepada perniagaan
secara atas talian. Pengguna tidak perlu bersesak mencari kawasan untuk parkir
kenderaan, beratur untuk membuat pembayaran atau berebut untuk mendapatkan
barang yang terhad. Pembelian atas talian memberikan pengguna pengalaman yang
jauh berbeza kerana mereka bebas untuk melayari dan mencari barang yang menepati
kehendak masing-masing. Pembayaran juga mudah dengan teknologi perbankan
Internet hari ini yang hanya memerlukan pengguna melalui proses verifikasi dan
pengesahan. Kemudahan logistik yang cekap, selamat dan mudah ini telah menjadi
norma baharu dalam masyarakat di mana penggunaan masa itu adalah penting ibarat
peribahasa Melayu, masa itu emas.

Isi 2

Selain itu, aplikasi perniagaan secara atas talian menawarkan variasi produk yang
boleh dilihat dengan mudah oleh pengguna. Pelbagai aplikasi perniagaan atas talian
yang telah dilancarkan kepada pengguna dalam negara seperti Lazada, Shopee dan
mudah.my. Setiap aplikasi menawarkan pelbagai jenis produk di samping promosi yang
berbeza bagi menarik pengguna. Justeru, sebagai pengguna yang bijak, perbandingan
harga dapat diaplikasikan hanya dengan menggunakan hujung jari. Situasi berbeza
sekiranya kita melakukan jual beli secara realiti di mana banyak tenaga dan masa akan
dibazirkan. Tambahan pula, pembelian secara atas talian membolehkan pengguna
mencari produk mengikut kategori dan kriteria yang dikehendaki hanya dengan
menekan butang yang disediakan. Oleh itu, kemudahan melayari dan membandingkan
harga atau kualiti produk yang diinginkan ialah kelebihan yang dinikmati apabila
pengguna membeli secara atas talian.

Isi 3

Dari sudut pandang peniaga pula, kelebihan perniagaan secara atas talian
memberikan risiko yang lebih rendah untuk menjalankan perniagaan. Hal ini demikian
kerana peniaga tidak perlu mengeluarkan kos untuk menyewa kawasan perniagaan
serta mengupah pekerja pada kadar yang lebih optimum berbanding perniagaan
konvensional. Kos untuk memulakan sesebuah perniagaan konvensional biasanya lebih
tinggi tetapi kos sewa kedai, ubah suai bangunan, upah pekerja dan lain-lain dapat
dikurangkan melalui perniagaan dalam talian. Sebaliknya, peniaga memerlukan
kemahiran komunikasi yang tinggi bagi menjaga hubungan dengan pelanggan serta
mengharapkan servis penghantaran yang digunakan melakukan tugas yang baik.
Pengurusan perniagaan secara atas talian juga adalah lebih selamat dan mudah untuk
diuruskan. Segala maklumat dan urusan jual beli yang berlaku direkod dan boleh
disemak semula bagi tujuan audit dan sebagainya. Jelaslah bahawa perniagaan secara
atas talian memberi kelebihan dari segi risiko kepada peniaga hari ini.

Isi 4

Di samping itu, peniaga juga dapat memasarkan produk mereka ke pasaran global
dengan menjalankan perniagaan secara atas talian. Capaian Internet yang tiada terhad
telah menjadikan proses globalisasi masyarakat dunia menjadi semakin pantas.
Kesannya, e-perdagangan telah menjadi penyumbang utama dalam industri perniagaan
dunia secara amnya. Rentetan senario itu, usahawan tempatan perlu menaikkan tahap
perniagaan mereka supaya sejajar dengan barisan usahawan di seluruh dunia bagi
memecah pasaran global. Tamsilnya, perniagaan pakaian muslimah atau muslim
wanita, hanya perlu menggunakan laman e-dagang yang menggunakan bahasa
pengantar dunia iaitu bahasa Inggeris untuk memasarkan produk mereka kepada
golongan muslimah di serata dunia. Tambahan pula, media sosial juga telah menjadi
medium perniagaan secara atas talian yang memudahkan pengguna global untuk
membeli.

Penutup

Akhirulkalam, pelbagai kelebihan yang dinikmati hasil daripada perniagaan atas talian
kepada pengguna dan peniaga. Kemudahan teknologi ini juga telah membuka peluang
perniagaan secara sambilan kepada golongan yang memerlukan pendapatan
sampingan. Pihak yang berkenaan sepatutnya memperkenalkan inisiatif untuk
membantu peniaga secara atas talian untuk berkembang dan maju. Selain itu,
penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi dalam negara juga membantu
perkembangan dan penggunaan teknologi secara atas talian di dalam negara ini.
Semoga setiap pihak dan ahli masyarakat bersedia untuk memanifestasikan fikiran
dalam usaha mendepani corak ekonomi dan perniagaan pada alaf baharu. Persis kata
mutiara Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Contoh Karangan Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pertanian Di Malaysia

Pendahuluan

Dalam meniti arus kemodenan hari ini, sektor pertanian di dalam negara sering kali
dipandang enteng dan tidak mendapat perhatian oleh pentadbir negara. Malahan
masyarakat konvensional masih mempunyai stigma fikiran bahawa pertanian adalah
suatu pekerjaan yang kuno dan tidak mendatangkan hasil yang lumayan. Perkara ini
menjadi faktor-faktor yang membantutkan usaha bagi meningkatkan kemampuan
industri tani domestik menjadi salah satu pemain utama dalam ekonomi negara. untuk
makluman semua pertanian merangkumi aktiviti perladangan sawit dan getah,
penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta penternakan ayam, lembu, dan
hidupan laut seperti ikan dan udang. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu
diambil bagi memajukan sektor pertanian di Malaysia?

Isi 1

Langkah pertama untuk memajukan sektor pertanian dengan mengubah kaedah


pertanian menggunakan teknologi terkini. Industri tani mengalami kelembapan dalam
kemajuan dek kerana petani dan syarikat perladangan masih menggunakan kaedah
lama yang menghasilkan kuantiti produk yang tidak banyak dan berlaku banyak
kerosakan. Hal ini disebabkan oleh kos untuk mengubah kaedah pertanian adalah
tinggi dan pengguna tidak akan membeli sekiranya harga produk pertanian meningkat.
Petani kecil dan syarikat pertanian bertindak untuk mengekalkan kaedah lama dan
mencipta keuntungan daripada mengambil risiko kerugian. Maka, anjakan paradigma
seharusnya diusahakan supaya hasil pertanian menjadi lebih berkualiti dan kuantiti
produk dapat ditingkatkan. Sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya masyarakat
diperlukan agar sektor yang menghasilkan sumber mentah bekalan makanan dan
minuman kita dapat dibawa ke tahap yang lebih baik.

Isi 2

Selaras dengan langkah pertama, sektor pertanian boleh dimajukan dengan bantuan
bimbingan dan insentif daripada pihak yang bertanggungjawab. Penerapan kaedah
baru yang menggunakan teknologi tinggi memerlukan kepakaran pekerja yang mampu
membimbing petani menghasilkan produk yang terbaik. Lambakan graduan yang
terhasil pada ketika ini boleh diberikan peluang untuk menyertai sektor pertanian dan
menyumbangkan kepakaran masing-masing dalam meningkatkan kemampuan industri
pertanian domestik. Selain itu, sektor pertanian juga layak mendapatkan bantuan
insentif sebagai modal untuk mereka beralih kepada penggunaan kaedah pertanian
yang berteknologi tinggi. Kewujudan agensi-agensi kerajaan seperti Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) sepatutnya menjadi penggerak kepada
inisiatif untuk memajukan sektor pertanian dalam negara. Dengan adanya peruntukan
bajet yang mencukupi dan bimbingan yang tepat, pasti kemajuan sektor pertanian
dapat dijalankan dengan baik.

Isi 3

Pada masa yang sama, sektor pertanian boleh dimajukan dengan menggalakkan
pengguna membeli produk tani tempatan. Menurut laporan tahunan oleh Bank Negara
Malaysia, negara kekal sebagai pengimport makanan dengan sekurang-kurangnya
seperempat daripada jumlah keseluruhan bekalan makanan diimport. Hal ini bermakna
Malaysia masih lagi tidak mencapai tahap keberdikarian di dalam bekalan makanan.
Jika dilihat pada sudut geografi, Malaysia dikurniakan sumber seperti air dan tanah
yang sesuai dan cukup untuk menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu industri
utama di dalam negara. Oleh itu, sebagai rakyat yang cinta akan negara perlu sedar
kita berkemampuan untuk menghasilkan bekalan makanan domestik kita. Produk tani
tempatan juga telah dipelbagaikan di mana satu jenis hasil seperti buah strawberi boleh
menjadi sambal, jem dan juga jus minuman. Justeru, dengan membeli dan menyokong
produk-produk hasil pertanian tempatan, kita telah memberikan secara terus suntikan
insentif yang diperlukan industri tersebut untuk mengorak langkah dalam kemajuan
yang sepatutnya dilaksanakan.

Isi 4

Bagi menyokong langkah di atas, ladang-ladang pertanian yang baru perlu dibuka
dengan lebih banyak mengikut kadar pertumbuhan dan permintaan pengguna. Hal ini
demikian kerana apabila terciptanya permintaan yang tinggi, kuantiti produk perlu
ditambah bagi menampung keperluan pengguna. Dengan pembukaan ladang atau
kawasan pertanian yang baru, kaedah pertanian yang terkini boleh diasimilasikan sekali
gus membentuk pertanian terancang dan lebih berkesan berbanding kaedah lama.
Perkara ini boleh direalisasikan jika setiap pihak yang terlibat bekerjasama demi
membantu memajukan sektor pertanian di dalam negara. Tamsilnya, Jabatan Pertanian
telah memperkenalkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di mana dengan
kerjasama kerajaan negeri, sebahagian tanah telah digazetkan sebagai kawasan
pertanian kekal dan menggalakkan aktiviti pertanian secara komersial dan berskala
besar. Inisiatif ini perlu disemarakkan lagi supaya masyarakat tahu dan lihat bahawa
hasil pertanian menguntungkan dan membantu meningkatkan ekonomi diri dan negara.
Penutup

Kesimpulannya, pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan bagi memajukan sektor


pertanian di Malaysia. Sejarah menunjukkan bahawa negara kita pernah menjadi pusat
dagangan dunia dalam membekalkan barang dagangan seperti hasil pertanian ke
seluruh pelusuk dunia. Sekiranya sektor pertanian diangkat sebagai industri utama di
dalam negara, Malaysia berpotensi menjadi hub produk pertanian di rantau Asia
Tenggara. Tambahan pula, industri halal yang semakin mendapat perhatian masyarakat
dunia wajar disinergikan bersama sektor pertanian negara yang lazimnya menghasilkan
produk-produk yang “Halalan Toyyiban”. Semoga masyarakat bersikap cakna dalam
potensi yang ada pada industri pertanian dan pemimpin negara membuka mata dan
peluang kepada rakyat untuk menghasilkan produk pertanian yang terbaik serta mampu
dipasarkan ke pasaran antarabangsa. Bak kata peribahasa Melayu, kalau tidak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Contoh Karangan Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang

Pendahuluan

Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, kalau dicampak ke darat menjadi gunung
dan jika dicampak ke laut menjadi pulau. Ungkapan tersebut memberikan
perumpamaan bahawa pelajar yang cemerlang mampu untuk mengadaptasi dalam apa
jua keadaan untuk berjaya. Kumpulan ini sukar untuk dicipta tetapi jika berjaya
dilahirkan, masa hadapan masyarakat dan negara pasti akan mencapai tahap
kemajuan yang terbaik. Setiap pihak berperanan dalam memberikan sumbangan untuk
melahirkan pelajar cemerlang. Namun, keadaan akan bergantung pada iltizam pelajar
tersebut sama ada untuk mengamalkan ciri-ciri pelajar cemerlang atau sebaliknya.
Apakah ciri-ciri yang menjadikan seseorang pelajar itu sebagai pelajar cemerlang?

Isi 1

Antara ciri pelajar cemerlang adalah bermoral tinggi dan mempunyai akhlak yang baik.
Hal ini demikian kerana, pelajar yang bermoral tinggi akan menerapkan nilai-nilai murni
yang baik dalam kehidupan seharian mereka. Dengan akhlak yang baik pula, pelajar
dapat menerapkan nilai keagamaan yang dipelajari dalam membuat keputusan yang
betul. Ciri ini dapat membantu pelajar untuk tidak terjebak dengan permasalahan sosial
seperti membuang masa melepak di pusat membeli belah dan bergaul bebas dengan
golongan yang bermasalah. Persis kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Ibu dan bapa perlu menjadi tauladan terbaik kepada anak-anak di rumah
manakala guru akan menambah nilai dalam memantapkan sahsiah pelajar di sekolah.
Kesannya, pelajar yang bermoral tinggi dan berakhlak baik pasti akan menjadi seorang
pelajar yang cemerlang dalam akademik mahupun kokurikulum.

Isi 2

Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menumpukan perhatian ketika proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung di bilik darjah. Bukan sahaja dalam
persekolahan tetapi dalam kehidupan harian, jika kita menumpukan perhatian dalam
melakukan sesuatu hasil yang baik akan diperoleh. Guru di sekolah saban tahun
mengajar anak murid input yang sama, justeru pelajar yang perlu peka dan cakna atas
setiap tutur kata yang diberikan oleh mereka. Tambahan pula, tips-tips yang sering kali
tiada di dalam buku teks merupakan sebab pelajar perlu menumpukan perhatian bagi
menghadapi peperiksaan yang bakal diduduki. Bak kata pepatah Melayu hendak seribu
daya, tak hendak seribu dalih. Intihanya, pelajar yang menumpukan perhatian di dalam
kelas dapat melahirkan pelajar yang cemerlang.
Isi 3

Pada masa yang sama, pelajar yang cemerlang akan sentiasa memastikan latihan
yang diberikan oleh guru disiapkan dan mengulang kaji pelajaran di rumah. Apabila
pelajar berusaha melengkapkan latihan yang ditugaskan, mereka pasti memahami dan
berjaya menguasai subjek tersebut dengan baik. Manakala, mengulang kaji pelajaran
adalah penting bagi mengaktifkan memori jangka masa panjang dalam pembelajaran
yang telah diulang kaji. Sebagai contohnya, pelajar memperuntukkan masa sebanyak
tiga jam setiap hari bagi mengulang kaji pelajaran. Jika pelajar berjaya mengekalkan
disiplin ini, mereka akan menjadi seorang yang menepati masa. Seperti pesanan
orang-orang tua, belakang parang kalau diasah, lagikan tajam yang bermaksud
sekiranya pelajar ingin menjadi cemerlang latihan yang kerap akan membantu diri
mereka untuk menjadi insan yang lebih cemerlang.

Isi 4

Di samping itu, ciri pelajar yang cemerlang adalah apabila mereka aktif dalam aktiviti
kokurikulum. Mutakhir ini, pencapaian akademik bukanlah segala-galanya. Penajaan
biasiswa dan syarat kelayakan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi
akan dinilai secara menyeluruh termasuklah pencapaian di luar bilik darjah. Aktiviti
kokurikulum seperti persatuan, kelab permainan dan badan beruniform dapat
membentuk seseorang murid menjadi individu lebih berdisiplin dan mengasah sifat
kepimpinan. Melibatkan diri dalam bidang sukan dan permainan pula dapat
meningkatkan kesihatan serta berkomunikasi dengan baik secara berkumpulan.
Kesannya, penglibatan yang aktif oleh pelajar dalam aktiviti kokurikulum akan
menjadikan mereka lebih cemerlang.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai ciri yang membentuk seseorang pelajar untuk menjadi


cemerlang. Setiap pihak berperanan dalam membimbing dan memberikan tauladan
terbaik kepada para pelajar dalam menjadi seorang individu yang berguna kelak untuk
keluarga, masyarakat dan negara. Semoga generasi muda hari ini menepati ciri-ciri
modal insan minda kelas pertama iaitu mempunyai kualiti diri yang tinggi dari segi
akademik, kokurikulum, disiplin, sahsiah dan pegangan agama yang disebut-sebut
sebagai hala tuju pendidikan negara. Diharapkan golongan pelajar cemerlang ini
berjaya dihasilkan dan menjadi harapan nusa bangsa untuk meletakkan daya saing
negara di pentas antarabangsa. Persis kata peribahasa Melayu kalau tidak dipecahkan
ruyung manakan dapat sagunya.
Contoh Karangan Peranan Masyarakat Dalam Menjurus Kesejahteraan Hidup

Pendahuluan

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan
pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Di sebalik itu, kita acap kali
tersentak oleh pelbagai permasalahan kemasyarakatan yang mengancam
kesejahteraan hidup rakyat berbilang kaum. Isu-isu rasisme menjadi tajuk berita dan
polemik yang dibincangkan oleh ahli masyarakat dek kerana berlaku kes seperti
pemandu mabuk melanggar mangsa sehingga kehilangan nyawa. Namun begitu,
terdapat pihak yang mengambil kesempatan terhadap isu ini sebagai bahan politik
untuk kepentingan diri dan prinsip yang tidak sihat dalam masyarakat majmuk di negara
ini. Persis kata peribahasa Melayu, seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing. Sebagai ahli masyarakat yang berinteraksi dan menjalani kehidupan
antara satu sama lain pada setiap hari, kita seharusnya sedar dan mengetahui peranan
dalam mencipta kesejahteraan hidup kita supaya kekal harmoni. Maka, wajar untuk kita
bincangkan persoalan mengenai apakah peranan masyarakat dalam menjurus
kesejahteraan hidup di dalam negara Malaysia.

Isi 1

Prakarsa utama dalam melaksanakan peranan sebagai ahli masyarakat adalah untuk
mengenali antara satu sama lain. Pepatah Melayu berkata, tak kenal maka tak cinta
yang bermaksud, kita seharusnya mengenali dan memahami dahulu masyarakat yang
tinggal di sekeliling barulah kita boleh menghormati dan mencintai antara satu sama
lain. Malaysia merupakan negara yang unik jika dibandingkan dengan negara-negara
asing yang lain kerana kita mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan agama.
Senario ini berlaku kerana faktor penjajahan yang membawa masuk pelbagai kaum dan
mengasingkan sosioekonomi setiap bangsa pada ketika itu. Namun, setelah mengecapi
kemerdekaan, jurang perbezaaan antara kaum semakin berkurangan dan
kesamarataan boleh dicapai kerana perpaduan yang terjalin antara masyarakat kita.
Kewujudan keturunan baba nyonya atau peranakan menjadi bukti kukuh bahawa
integrasi antara kaum boleh dicapai dan keharmonian masyarakat dan
kesejahteraannya terjamin. Perpaduan merupakan konsep yang mudah dan senang
untuk diamalkan jika keterbukaan dalam mengenali dan menghormati budaya dan
agama lain dapat diterapkan dalam diri setiap individu. Kesannya, pengenalan dan
pemahaman antara satu sama lain akan membuka ruang kepada nilai toleransi dan
hormat-menghormati kerana situasi ini merupakan kunci kepada kemakmuran hidup
bermasyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Isi 2

Peranan lain yang wajar dilaksanakan bukan sahaja oleh masyarakat di dalam
Malaysia malahan masyarakat di seluruh dunia ialah pembudayaan nilai-nilai murni.
Kalau kita lihat tamadun manusia pada dekad ini mencapai kemajuan yang tidak pernah
dicapai dalam ketamadunan manusia yang dicatat dalam sejarah. Justeru, kita
seharusnya mencorak kemajuan sejagat dari setiap segi terutamanya dalam
kesejahteraan hidup. Peperangan dan penjajahan bukan lagi satu perkara yang
masyarakat mahukan sebaliknya ialah kesejahteraan hidup dan memanfaatkan
teknologi dalam memudahkan urusan harian. Oleh itu, kemajuan ini boleh dikekalkan
dengan mengamalkan nilai-nilai murni seperti nilai tolak ansur, hormat-menghormati,
baik hati, keselamatan, cinta dan belas kasihan, kebijaksanaan dan kesederhanaan
sebagai asas sistem kemasyarakatan. Misalnya jika kita melihat orang yang dalam
kesusahan tanpa melihat kaum atau agamanya, kita seharusnya membantu individu
tersebut dalam kapasiti yang kita mampu. Hal ini demikian kerana, perbuatan baik pasti
akan dibalas dengan kebaikan. Intihanya, jika kebanyakan antara kita sentiasa
mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan, masyarakat akan menjadi lebih
tenteram dan aman untuk tinggal dan duduk bersama-sama membina negara ke arah
yang lebih baik.

Isi 3

Di samping itu, kesejahteraan hidup bermasyarakat dapat dijamin dengan penyertaan


setiap ahlinya dalam aktiviti sosial seperti aktiviti bergotong-royong dan rukun tetangga.
Penglibatan secara langsung dalam aktiviti seperti gotong-royong bukan sahaja dapat
mengeratkan silaturahim antara jiran tetangga malah dapat memastikan kebersihan
kawasan setempat terjaga. Selain itu, aktiviti persatuan seperti Rukun Tetangga juga
adalah antara inisiatif yang baik untuk dilaksanakan oleh ahli-ahli masyarakat. Hal ini
demikian kerana tugasan secara bergilir-gilir membuat rondaan di kawasan tempat
tinggal untuk menjaga keselamatan keluarga dan jiran tetangga adalah amalan yang
murni. Tambahan pula, dengan melibatkan diri dalam komuniti setempat, kita dapat
menyalurkan masalah dan kerunsingan yang dihadapi dengan lebih jelas kerana suara
yang dibawakan oleh sekumpulan adalah lebih kuat berbanding suara secara
berseorangan. Bak kata mutiara Melayu, sebatang lidi mudah patah tetapi apabila
menjadi penyapu, lidi menjadi kuat dan kukuh.
Isi 4

Dalam waktu yang sama, masyarakat juga sepatutnya menjadi mata-mata kepada
pihak penguasa terhadap aktiviti yang salah di sisi undang-undang dan mendatangkan
keraguan. Lambakan warga asing yang menjadi dasar kepada kerajaan telah
meletakkan masyarakat kita semakin waspada terhadap jenayah yang semakin
meningkat dalam kalangan warga asing. Justeru, sebagai warganegara yang
bertanggungjawab, setiap antara kita berhak untuk melaporkan sebarang kesalahan
yang berlaku di kawasan setempat yang mengancam kesejahteraan hidup. Pihak
berkuasa juga seharusnya bersikap tegas dan mengutamakan intergriti dalam
melaksanakan tugas dan menjamin kesejahteraan hidup masyarakat tempatan. Oleh
itu, masyarakat perlu membuka minda dan bersikap cakna dalam memilih pemimpin
yang berkelayakan untuk mewakili masyarakat dalam kerajaan negeri mahupun
persekutuan agar agenda kesejahteraan rakyat menjadi dasar utama yang akan
diperjuangkan. Jika ditelusuri, individu-individu yang dilantik ke jawatan yang
mempunyai kuasa majoritinya dibayar daripada hasil kutipan cukai rakyat marhaen.
Justeru, tidak boleh dinafikan bahawa pemimpin seharusnya bekerja demi
kesejahteraan masyarakat dan masyarakat perlu bijak dalam mengusulkan
perkara-perkara yang dapat menjamin kesejahteraan hidup.

Penutup

Secara tuntasnya, banyak peranan masyarakat yang telah dihuraikan supaya menjurus
ke arah kesejahteraan hidup bermasyarakat di dalam Malaysia. Jika kita telah
mengecapi kemerdekaan selama 66 tahun, sudah pasti kita mampu mengekalkan
malah mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain bagi tahun-tahun yang
mendatang. Peribahasa Melayu berkata, bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat. Semoga masyarakat Malaysia menjadi contoh kepada masyarakat
dunia bahawa perpaduan antara kaum, bangsa dan agama boleh dicapai. Permainan
persepsi dan diskriminasi daripada pihak yang tidak gemar akan perpaduan pasti akan
timbul. Oleh itu, setiap negara harus membina mekanisme kerjasama yang kukuh untuk
setiap komuniti bagi memastikan sistem nilai sejagat dapat dipupuk dan dipelihara
sehingga melahirkan generasi yang melazimi kesejahteraan hidup sebagai nilai utama
ketamadunan manusia.
Banjir

Kemunculan bencana banjir beberapa ketika dulu sudah cukup untuk memberikan
ancaman besar kepada keselamatan dan ekonomi negara kita. Sejarah telah
mencatatkan fenomena banjir besar berlaku pada 2014 sehingga mengorbankan
banyak nyawa. Malangnya, sikap rakyat yang kurang prihatin terhadap alam sekitar
telah menyebabkan berlakunya banjir yang membawa pelbagai kesusahan kepada
banyak pihak. Langkah-langkah pemulihan selepas bencana mengambil masa yang
panjang dan melibatkan kos yang tinggi. Persoalannya, apakah kesan banjir berlaku di
Malaysia?

Kehilangan nyawa

Kejadian banjir merupakan fenomena alam semula jadi yang membawa kepada tragedi
dan kebiasaannya berlaku dalam keadaan yang luar jangka. Kesan banjir yang paling
buruk ialah kehilangan nyawa insan atau individu yang disayangi. Kesan ini mungkin
terjadi akibat daripada lemas sewaktu meredahi banjir dalam usaha menyelamatkan diri
atau disebabkan putus bekalan makanan dan bekalan air bersih. Bagaimanakah
sekiranya air naik dan tidak surut-surut? Bukan saja boleh membunuh manusia, bahkan
boleh melenyapkan negara.

Kehilangan harta benda

Dari segi kehilangan harta benda, banjir boleh menyebabkan mangsa kehilangan
barang-barang kepunyaan mereka akibat dibawa arus. Selain itu, perkakas rumah yang
ditenggelami air menyebabkan harta benda rosak dan sudah tidak boleh digunakan
lagi. Kerosakan harta benda sudah membayangkan kesannya kepada ekonomi
manusia. Sekurang-kurangnya, mereka memerlukan belanja untuk mengembalikan
keadaan kepada sediakala. Bank, premis perniagaan, semuanya mengalami kerugian
teruk bukan sahaja kerana kerosakan harta, bahkan kerana aktiviti perniagaan yang
terhenti. Syarikat yang menyertai bursa saham akan terjejas dan menyebabkan pelabur
berasa tidak selamat dan mula mengalihkan modal kepada negara-negara lain sebagai
alternatif.
Mengancam kesihatan

Selain itu, banjir juga menyebabkan kesihatan penduduk terjejas. Penyakit seperti
cirit-birit, taun, demam kepialu, denggi, hepatitis A dan kudis buta menjadi ancaman
akibat daripada bahana banjir yang menjejaskan kebersihan makanan, minuman,
persekitaran. Bakteria yang tersebar melalui air banjir mengancam keselamatan kerana
penularan yang susah untuk terkawal. Bahkan kesesakan di pusat-pusat pemindahan
mangsa banjir turut memudahkan penularan sebarang penyakit berjangkit.

Sektor pertanian dan penternakan terjejas

Sektor pertanian dan penternakan turut terjejas akibat berlakunya banjir. Air banjir yang
bertakung terlalu lama di kawasan pertanian menyebabkan tanaman mati. Antara
tanaman yang mudah mati ialah getah, koko, kelapa sawit dan padi. Kemusnahan
tanam-tanaman ini akan merugikan para petani. Selain itu, pengusaha-pengusaha
penternakan seperti ayam, itik dan sebagainya turut menanggung kerugian akibat
ternakan mereka yang mati ditenggelami arus banjir. Mereka yang mengalami
kemusnahan ladang tanaman dan ternakan memerlukan bantuan kerajaan kerana
kerugian yang besar.

Penutup Karangan Kesan Banjir

Kesimpulannya, banjir bukan sahaja memberi kesan buruk kepada semua mangsa
yang terlibat, bahkan juga melibatkan semua pihak melalui akibatnya. Di samping itu,
peristiwa banjir ini juga memberi kesan kepada kesedaran manusia terutamanya dalam
persiapan menghadapi banjir. Banjir telah membuka mata kita berkenaan sistem
perparitan yang dilaporkan bermasalah serta beberapa aktiviti pembalakan yang tidak
terancang. Justeru, pihak yang berkenaan harus mengambil tindakan secepat mungkin
untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini ini daripada terus berlaku bak kata
pepatah Melayu “mencegah lebih baik daripada merawat”.

Anda mungkin juga menyukai