Anda di halaman 1dari 2

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang sedang menjunjung mahkota

keadilannya ,penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya, para peserta yang saya kagumi
serta hadirin dan hadirat yang saya hormati. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan.
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah
kurnianya serta keizinanNya dapat saya berdiri di sini bagi menyampaikan syarahan saya dalam
suasana yang sakinah pada pagi ini.Tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah 'Dadah
Musuh Negara'.

Hadirin yang saya muliakan,
Menurut Kamus Dewan,Edisi Keempat,dadah boleh ditakrifkan sebagai ubat-ubatan atau bahan
seperti ganja,heroin,marijuana,dan sebagainya yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada
orang yang menggunakannya. Apabila berbicara mengenai isu penyalahgunaan dadah,kenyataan
yang pahit untuk diterima adalah hakikat bahawa remaja merupakan antara golongan yang
terjerumus ke dalam gejala ini.Sememangnya dadah wajar dikatakan sebagai musuh nombor satu
negara kerana dadah mampu meranapkan sebuah negara.
Hadirin yang dikasihi,
Sememangnya tidak dapat disangkal lagi bahawa dadah mengundang banyak kesan negatif
kepada individu yang menyalahgunakannya. Keadaan mental dan emosi menerima kesan negatif
akibat penyalahgunaan dadah.Kesan ke atas mental dan emosi lazimnya dikenali sebagai kesan
psikologi,iaitu kesan pengaruh dadah pada otak dan minda.Ini termasuklah rasa seronok dan khayal
atau euforia yang dialami penagih dadah.Mereka seakan-akan tidak berpijjak di alam nyata.Pada
masa yang sama,sesesorang itu akan hilang kawalan diri dan pemikiran.Perwatakan seseorang
penagih dadah turut akan berubah.Mereka juga tidak akan berasa segan silu untuk melakukan
perkara yang aib serta tidak mempunyai rasa tanggungjawab.Mereka akan terus berada dalam
keadaan yang sebegini selagi dadah masih terdapat di dalam badan mereka.Malah semakin lama
seseorang itu menagih dadah,lebih banyak pula jumlah dadah yang diperlukan untuk mendapatkan
kesan euforia.Fenomena ini disebut sebagai toleran atau keadaan lali yang mana kesan euforia
daripada dadah berkurangan apabila digunakan secara berulangkali.Inilah yang menyebabkan
seseorang itu tidak putus mencari dan meningkatkan penggunaan dadah.Sekiranya bekalan dadah
tidak diperoleh,mereka akan berasa gelisah,tidak dapat memberi tumpuan,dan amat
menderita.Mereka cenderung untuk bertindak ganas dan hilang kawalan diri.Natijahnya,mereka
boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan tatasusila dan peradaban masyarakat.Keadaan
mental seseorang penagih dadah sangat sukar untuk dipulihkan seperti sedia kala.Justeru,jelaslah
kepada kita bahawa dadah boleh merosakkan kewarasan akal fikiran sekaligus mengaburi kemuliaan
diri sendiri sebagai manusia di muka bumi ini.

Hadirin sekalian,
Penyalahgunaan dadah bukan sahaja membawa kesan buruk kepada penagih dadah itu
sendiri,malah juga kepada keluarga.Individu yang menagih dadah akan mengabaikan tanggungjawab
kepada keluarga.Mereka tidak akan menghiraukan keadaan di sekeliling mereka termasuk keluarga
sendiri.Akibatnya nilai-nilai kasih sayang antara ahli keluarga akan semakin terhakis dan akhirnya
keluarga akan berpecah-belah.Selain itu,keluarga juga akan melalui tekanan yang berat,konflik,dan
kebimbangan kerana ingin melindungi ahli keluarga daripada kemudaratan dan kerosakan yang
dibawa oleh ahli keluarga yang terjerumus ke dalam gejala dadah.Lebih teruk lagi,penyalahgunaan
dadah akan lebih menjejaskan golongan kanak-kanak dalam keluarga.Misalnya,ibu atau bapa yang
ketagihan dadah akan menyebabkan anak-anak terbiar.Anak-anak juga tidak akan dapat merasai
belaian kasih sayang dan dakapan mesra daripada ibu bapa mereka.Akibatnya,mereka akan berasa
terpinggir dan cenderung untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat.Hal ini sekaligus meranapkan
harapan negara yang beraspirasi untuk melahirkan generasi yang berwawasan.Walaupun institusi
keluarga merupakan agen sosial yang terkecil dalam masyarakat,namun impak negatif yang diterima
mampu menghancurkan sesebuah negara.Oleh itu,masalah yang menjadi kudis dalam masyarakat
ini tidak wajar dipandang enteng malah sebaliknya perlu dibendung dengan segera.

Di Samping itu,jenayah akan terus bermaharajalela akibat penyalahgunaan
dadah.Masyarakat tidak lagi akan dapat menikmati suasana kehidupan yang harmoni sekiranya
dikelilingi manusia yang menjadi hamba kepada dadah.Individu yang menagih dadah tidak akan
dapat berhenti daripada menggunakan dadah dan akan terus berusaha mencari dadah walau
dengan apa cara sekalipun.Mereka sanggup mencederakan orang lain asalkan mereka dapat
memiliki dadah dan terus berada di dalam dunia mereka sendiri.Banyak kes jenayah yang melibatkan
penagih dadah telah dilaporkan oleh pihak berkuasa.Jenayah seperti
merompak,mencuri,meragut,mahupun membunuh sanggup dilakukan oleh mereka.Lebih
menyedihkan lagi,ada anak yang sanggup membunuh ibu sendiri hanya semata-mata kerana gagal
mendapat wang untuk membeli dadah.Justeru,masalah yang dicetuskan oleh penagih dadah ini
menjadikan masyarakat terpaksa hidup dalam ketakutan.Akibatnya masyarakat akan menjadi
semakin mundur kerana tidak dapat meluaskan horizon pemikiran dan bersatu ke arah
membangunkan masyarakat.Oleh itu,masalah penyalahgunaan dadah perlu turut diberi perhatian
oleh masyarakat supaya dapat membanteras dadah dalam masyarakat.
Hadirin yang dimuliakan,
Sememangnya banyak kesan buruk yang dibawa oleh masalah penyalahgunaan dadah kepada
individu,keluarga,masyarakat,mahupun negara.Semua pihak sewajarnya berganding bahu bagi
memastikan gejala ini dapat dibendung agar tidak menjadi satu wabak yang terus bernanah dalam
masyarakat.Isu penyalahgunaan dadah ini sememangnya boleh ditangani andainya terdapat sinergi
daripada semua pihak kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.Sebagai anak bangsa yang
menjadi aset penting dan kebanggaan negara,kita seyogianya merealisasikan misi untuk mencipta
peradaban baru yang sudah pasti akan disanjung tinggi dan diagung-agungkan oleh masyarakat
dunia.Ayuh,kita bangkit bersama-sama ke arah hidup yang sejahtera tanpa terlibat dengan najis
dadah yang boleh mencemarkan diri,keluarga,dan bangsa.Jangan kita abaikan peringatan Nabi
Muhammad S.A.W. kepada umatnya agar sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi perkara yang
boleh memberi kemudaratan.Walaupun usaha bagi mencapai matlamat Malaysia sebuah negara
yang mempunyai masyarakat yang berbudaya penyayang,masyarakat yang berjiwa bebas daripada
cengkaman anasir-anasir jahat,tenteram,dan berkeyakinan hanyalah prakarsa kecil ke arah
menangani masalah sosial,namun natijahnya mampu mengembalikan imej dan jati diri sesebuah
bangsa itu sendiri.

Sekian,terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai