Anda di halaman 1dari 2

Remaja merupakan tonggak utama negara pada masa hadapan, justeru jatuh bangunnya negara

akan ditentukan oleh remajapada hari ini. Namun begitu, remaja yang sepatutnya berada di bangku
sekolah telah terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah seperti pembunuhan, rompakan,
penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Fenomena ini membimbangkan semua pihak kerana ia boleh
membantutkan aspirasi negara untuk melahirkan modal insan yang mempunyai nilai kredibiliti dan
bertanggungjawab untuk memajukan negara pada masa akan datang. Oleh itu, pelbagai faktor yang
menyebabkan remaja terjerumus dalam kancah jenayah.

Kepincangan dalam institusi keluarga punca utama remaja melakukan jenayah. Ibu
bapa yang sering bertengkar di hadapan anak-anak menyebabkan anak-anak berasa tertekan dan
menganggap rumahnya seperti neraka, justeru mereka mengambil keputusan untuk keluar dari
rumah untuk mencari ketenangan. Dalam hal ini, anak-anak akan ke pusat-pusat hiburan, melepak
di pusat membeli belah ataupun menganggotai kumpulan kongsi gelap. Semasa mereka berusaha
melupakan masalah mereka, remaja ini tersilap langkah apabila terlibat dalam penyalahgunaan
dadah. Nasib mereka lebih malang apabila mereka terpaksa merompak dan membunuh bagi
mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Seterusnya, ibu bapa kurang memberi penekanan terhadap pendidikan agama dan
moral juga mengakibatkan remaja terlibat dengan jenayah. Ibu bapa sendiri yang jahil tentang
agama menyebabkan kurang penghayatan agama dalam diri anak-anak dan mengakibatkan remaja
terlibat dalam pergaulan bebas. Melalui pergaulan bebas, remaja terlibat dalam kumpulan kongsi
gelap. Pada masa yang sama, ibu bapa juga sibuk mencari nafkah sehingga menyebabkan anak-anak
kebuluran dari segi makanan rohani. Ini menyebabkan remaja keluar rumah untuk mencari
kebebasan yang tiada batasan sehingga menjerumus remaja ke arah jenayah yang lebih parah
seperti seks bebas, pembuangan bayi dan sebagainya.

Selain itu, kemiskinan juga merupakan salah satu faktor remaja terlibat dalam
jenayah. Keinginan untuk mendapatkan sebuah kehidupan yang mewah dan bergaya walaupun tidak
mampu mendorong remaja terlibat dalam jenayah seperti mencuri, merompak dan lain-lain lagi.
Remaja terasa terpinggir apabila melihat rakan sekeliling yang mengamalkan kehidupan mewah
seperti memiliki gajet mewah dan sebagainya. Remaja yang dari keluarga susah akan berasa rendah
diri, seterusnya mempunyai keinginan tinggi untuk mendapatkan apa yang dihajati walaupun
dengan cara yang salah. Kesannya, remaja tersebut terlibat dengan pelbagai jenayah seperti
meragut, sindiket pelacuran, pengedaran dadah dan sebagainya.

Pengaruh media massa yang negatif banyak mendorong remaja terlibat dalam kes
jenayah. Penyalahgunaan media terutama media cetak sangat berleluasa dalam kalangan remaja.
Ramai remaja terlibat dalam langganan majalah pornografi yang begitu mudah merangsang nafsu
remaja yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Mereka menganggap diri mereka sudah matang dan
bebas melakukan apa sahaja tanpa mengambil kira baik dan buruknya. Tidak lupa juga
penyalahgunaan media elektronik yang semakin menjadi-jadi dari hari ke hari. Pada zaman moden
ini, penciptaan teknologi canggih seperti telefon pintar, tablet dan sebagainya meningkatkan lagi
pengaruh remaja untuk melakukan jenayah. Remaja akan mudah memuat turun gambar serta video
yang tidak elok untuk merangsang mereka melakukan lebih banyak penyalahgunaan media.
Kesannya, remaja akan mengalami perubahan tingkah laku. Ada pula sesetengahnya yang terlibat
dengan pergaulan bebas yang akhirnya menjerumus mereka kepada seks bebas, arak, anak luar
nikah dan sebagainya.

Di samping itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berleluasanya kegiatan
jenayah dalam kalangan remaja kerana mereka begitu rapat dengan rakan-rakan sebaya mereka.
Remaja khususnya para pelajar lebih banyak menghabiskan masa mereka di sekolah dan selepas
pulang dari sekolah pula, mereka akan melepak di tempat-tempat tertentu seperti pasar raya
sebelum pulang ke rumah. Mereka lebih suka mencari rakan sebaya untuk menemani mereka. Jika
mereka bijak memilih rakan yang dapat memimpin mereka, mereka tidak akan mudah terjebak
dengan kegiatan yang tidak bermoral. Sebaliknya, jika mereka tersalah pilih rakan sudah pasti
mereka juga akan berkelakuan tidak bermoral kerana sememangnya remaja mudah terikut-ikut
perangai rakan. Di sinilah berpuncanya kegiatan jenayah seperti peristiwa membakar sekolah, kes
ragut dan sebagainya.
Kesimpulannya, remaja haruslah di dedahkan kepada isu-isu semasa, kempen-kempen
dan sebagainya bagi menyedarkan mereka bahawa merekalah generasi pemangkin kegemilangan
negara supaya mereka tidak mudah terjebak dalam kes-kes jenayah yang semakin berleluasa kerana
ia bakal merosakkan masa depan remaja dan negara.

Anda mungkin juga menyukai