Anda di halaman 1dari 5

AKPK Sedia Membantu Elak Muflis

MUFLIS atau bangkrap adalah perkataan yang paling digeruni kerana sekiranya ia
berlaku banyak kesan buruknya.
Setiap orang apabila ditanyakan soalan berkaitan kepentingan wang dalam kehidupan
biasanya, ada yang menjawab wang bukan segala-galanya dan ada juga yang
menjawab tanpa wang kita tidak boleh mengecapi kebahagiaan hidup.
Kos hidup yang semakin tinggi menyebabkan kebanyakan daripada kita menjadi
tertekan dan kerana tidak dapat mengurus kewangan dengan baik akhirnya hutang
piutang tidak dapat dibayar dan menyebabkan seseorang menjadi muflis.
Justeru, perlu diingatkan dari peringkat remaja lagi agar mengawal perbelanjaan dengan
bijak dan jangan ikut nafsu semasa berbelanja.
Belia muflis akibat belanja luar kemampuan
Secara purata, setiap hari dianggarkan terdapat 14 orang diisytiharkan muflis atau
bangkrap di negara ini. Ini berlaku kerana sikap suka berbelanja lebih daripada
pendapatan.
Sejumlah 122,169 rakyat Malaysia diisytihar muflis bagi tempoh 2007 hingga tahun
lepas berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).
Hari ini, semakin ramai belia yang muflis, gara-gara menanggung beban hutang yang
serius seperti kad kredit, pinjaman membeli kereta dan pinjaman peribadi.
Perangkaan Jabatan Insolvensi Malaysia dari tahun 2005 hingga 2012 menunjukkan
seramai 243,823 orang diisytiharkan muflis. Sebanyak 57 peratus daripadanya berusia
di bawah 45 tahun.
Sebanyak 50 peratus daripada mereka ialah pemegang kad kredit yang berusia di
bawah 30 tahun. Lebih menyedihkan 15 peratus daripada mereka tiada tabungan dan
37 peratus lagi tidak pernah memikirkan persediaan untuk persaraan.
Perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai
pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Hal ini membawa kepada
bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan.
Gaya hidup di luar kemampuan sering menjadi punca utama masalah kewangan yang
semakin meruncing dalam kalangan remaja.
Mereka merasakan status orang muda bagaikan tercabar sekiranya tidak mengikut trend
masa kini dari segi penampilan dan gajet. Hal ini membawa kepada bebanan hutang
pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan. Maklumlah hendak membayar bil
Internet, telefon, kelab gimnasium dan perbelanjaan makan minum.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna

(CRRC) mengenai perilaku dan tabiat kewangan golongan pekerja muda, 37 peratus
daripada kelompok itu mengakui berbelanja melebihi gaji bulanan. Kurangnya
pengetahuan mengenai pengurusan kewangan menjadi punca kepada kemelut bebanan
hutang golongan tersebut.
Jika dilihat dari segi peratusan kes kebangkrapan yang paling tinggi kepada golongan ini
adalah membabitkan pinjaman kenderaan iaitu 25.21 peratus, diikuti pinjaman
persendirian 13.15 peratus, pinjaman perumahan 12.31 peratus, pinjaman perniagaan
11.26 peratus dan kad kredit, 4.9 peratus.
Implikasi
Implikasi muflis ada macam-macam. Antaranya, menyebabkan seseorang itu tidak boleh
memegang jawatan tertentu dalam perkhidmatan awam.
Seorang pegawai pemegang harta akan ditugaskan untuk mengawasi harta benda dan
memantau tindakan anda dalam menyelenggarakan harta untuk melangsaikan hutang.
Anda juga tidak boleh ke luar negara.
Antara langkah bijak untuk mengelakkan berlakunya perkara ini adalah ibu bapa jangan
terlalu akur dengan kehendak anak-anak yang meminta barangan berjenama atau
sentiasa mahu menukar gajet. Anak-anak perlu dididik dari kecil lagi tentang
perancangan kewangan yang betul.
Terangkan kepada mereka yang mana menjadi keperluan dan prioriti perlu diutamakan
daripada mengikut kehendak arus semasa.
Dalam pada itu, Sekretariat Bebas Muflis perlu berperanan agar penggunaan khidmat
CTOS yang banyak menyusahkan orang ramai dari segi maklumat yang tidak
dikemaskini dan menimbulkan ketidakadilan dan penganiayaan ini, dikaji semula atau
dihentikan terus dan digantikan serta diuruskan oleh pihak kerajaan sendiri dalam
menentukan status kredit seseorang untuk dinilai oleh institusi kewangan dan
sebagainya.
Proses pinjaman dan lain-lainnya seharusnya juga dinilai semula agar tidak timbul
masalah dari segi penjamin, teraniaya dan tertipu dengan sistem yang ada sekarang ini.
Selain itu, program-program motivasi dan kewangan seperti yang diadakan oleh Agensi
Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit harus
diperhebatkan.
Program yang dijalankan ini bertujuan memupuk tabiat meminjam secara bijak sekali
gus menggalakkan budaya pembayaran semula pinjaman secara konsisten.
Jika berlaku muflis, masih ada cahaya di hujung terowong. Tetapi sebelum itu, ukurlah
baju di badan sendiri. Ukurlah ketebalan dompet dan jumlah wang dalam akaun bank.
Ukurlah gaji bulanan dan hutang yang perlu dilunaskan.
DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Sumber: Utusan [15/04/2014]

AKPK sedia bantu rakyat urus bebanan hutang


Secara dasarnya, AKPK yang beroperasi pada April 2006 telah mencapai tahap
membanggakan terutama selepas merintis usaha membuka cawangan di Pulau Pinang,
Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Ipoh, Kuantan, Kuala
Terengganu. Alor Setar dan Kota Bharu.
Peranan pembukaan pejabat-pejabat cawangan itu yang menempatkan kaunselor
terlatih banyak membantu pelbagai golongan dan lapisan masyarakat daripada dibebani
masalah hutang. Perkhidmatan yang ditawarkan di bawah AKPK adalah bagi membantu
orang ramai menyelesaikan bebanan kewangan mereka.
Pada peringkat awal orang ramai menganggap AKPK hanya menguruskan mereka yang
bermasalah dari segi kewangan, tetapi lama-kelamaan ia semakin diterima di semua
peringkat masyarakat.
Perkhidmatan-perkhidmatan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
sebenarnya disediakan secara percuma untuk meningkatkan keupayaan kewangan
pengguna di Malaysia sebagai usaha untuk menangani isu-isu bebanan hutang yang
tinggi dan kebankrapan, seperti berikut:
1. Kaunseling Kewangan
AKPK memberi kaunseling kepada pelanggan secara perseorangan dan bersemuka di
mana kaunselornya akan:
(i) Memberi khidmat nasihat kewangan termasuk tentang bajet, pengurusan wang dan
isu-isu kredit.
(ii) Membantu pelanggan menganalisis status kewangan serta mengenal pasti jalanjalan pilihan untuk memulihkan kedudukan kewangan mereka.
Sejak AKPK ditubuhkan sehingga 31 Mac lalu, seramai 261,578 orang pelanggan telah
menghadiri sesi kaunseling kewangan AKPK. Daripada jumlah ini, seramai 105,560
orang atau 40.4% telah memohon bantuan di bawah Program Pengurusan Kredit (PPK).
2. PPK atau Debt Management Programme (DMP)
Melalui program ini, AKPK membantu individu yang mempunyai masalah hutang untuk
menstruktur dan menjadual semula hutang mereka serta membuat bayaran balik
bulanan mengikut kemampuan.
Bagi tujuan ini, kedudukan kewangan peminjam akan disemak dan seterusnya pelan
pembayaran hutang disediakan melalui perundingan dengan penyedia kredit mereka.
Kriteria kelayakan peminjam di bawah PPK adalah seperti berikut:
(i) Hanya pinjaman peribadi (bukan pinjaman perniagaan)
(ii) Mempunyai baki pendapatan yang positif selepas ditolak semua perbelanjaan
(iii) Jumlah pinjaman tidak melebihi RM2 juta
(iv) Peminjam tidak berada di bawah tindakan litigasi tahap lanjut
(v) Peminjam bukan seorang bankrap

(vi) Kemudahan pinjaman yang diperolehi daripada penyedia kredit yang ditentukan oleh
BNM, iaitu:
* Bank-bank Komersil
* Bank-bank Islam
* Syarikat-syarikat Insurans Hayat
* Syarikat-syarikat Takaful Pengeluar-pengeluar Kad Kredit/Caj
* Koperasi-koperasi Terpilih
* Malaysia Building Society Berhad
* Institusi-institusi Kewangan Pembangunan.
Sepanjang tempoh penyertaan di dalam PPK, peminjam memperolehi ketenangan
kerana tidak diganggu oleh penyedia kredit dan pemungut hutang. Namun demikian,
peminjam berkenaan mestilah mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi bagi
memastikan kejayaan mereka untuk menyelesaikan hutang di bawah PPK.
Setakat 31 Mac 2014, seramai 96,867 orang individu telah diluluskan di bawah PPK.
Daripada jumlah ini, seramai 5,165 orang telah berjaya menyelesaikan hutang mereka
dengan jumlah pinjaman agregat RM203.1 juta. Sebahagian besar lagi peserta PPK,
iaitu seramai 65,068 orang dengan jumlah pinjaman RM4.8 bilion, masih lagi aktif
membuat pembayaran balik hutang mereka yang telah distruktur atau dijadual semula.
Bagi pinjaman tanpa cagaran, tempoh maksimum pembayaran balik adalah selama 10
tahun, manakala pinjaman bercagar pula tertakluk kepada persetujuan penyedia kredit.
Di samping PPK, AKPK juga menyediakan panduan-panduan berikut untuk membantu
peminjam melunaskan bayaran hutang mereka:
(i) Panduan Urus Sendiri untuk Pelan Pemulihan Hutang - Panduan untuk
berkomunikasi/berunding secara terus dengan pihak penyedia kredit berhubung dengan
cadangan pembayaran balik hutang.
(ii) Cara Menyelesaikan Hutang Anda - Panduan tentang cara penyelesaian pinjaman
satu persatu terutama bagi peminjam yang mempunyai beberapa pinjaman.
3. Pendidikan Kewangan
AKPK menyediakan program-program pendidikan kewangan tentang asas-asas
pengurusan wang yang bijak serta tip meminjam dan penggunaan kredit secara
bertanggungjawab terutamanya kepada golongan dewasa muda.
Program-program ini dilaksanakan melalui taklimat, seminar/bengkel, kempen jelajah
dan pameran di seluruh negara serta promosi melalui media-media massa.
Bagi menyokong program-program ini, AKPK telah menerbitkan beberapa buku
kewangan, iaitu Celik Wang - Pengurusan Wang Secara Bijak, POWER! - Pengurusan
Wang Ringgit Anda dan buku komik kewangan. Bagi memastikan pencapaian yang
meluas, taklimat-taklimat dan buku-buku kewangan AKPK diadakan dalam bahasa
Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Setakat 31 Mac 2014, seramai 437,257 orang
pengguna telah menghadiri pelbagai program pendidikan kewangan AKPK.
Pada masa ini, AKPK mempunyai 11 pejabat cawangan dan 10 pejabat kaunseling
kredit di seluruh negara. Maklumat lanjut mengenai AKPK dan perkhidmatannya boleh

diperolehi daripada sesawang www.akpk.org.my dan sebarang pertanyaan boleh


dikemukakan melalui saluran-saluran berikut:
* Talian Bebas : 1800 88 2575
* Facebook : AKPKofficial
* Twitter : AKPK_POWER
* YouTube : AKPKTVC
* E mel : csd@akpk.org.my
Oleh Mohamad Khalil Jamaldin
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK
Sumber: Utusan [24042014]

Anda mungkin juga menyukai